Tuesday, March 11, 2014

APA ITU MUKMIN

Mukmin Manusia Hebat dan Tinggi Cita-cita

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh

بِسْمِ ٱللَّهِ ٱلرَّحْمَـٰنِ ٱلرَّحِيم

Segala puji bagi Allah, Tuhan sekelian alam. Selawat serta salam buat junjungan mulia Nabi Muhammad SAW keluarga serta para sahabat dan pengikut yang istiqamah menuruti baginda hingga ke hari kiamat.

Sahabat yang dirahmati Allah, Manusia adalah makhluk ciptaan Tuhan yang paling unik, paling hebat dan paling gagah. Sebagai Khalifah Allah di muka bumi, mereka telah dibekalkan dengan potensi-potensi diri yang hebat untuk mencapai kecemerlangan di dalam hidup. Dengan potensi fizikal, akal, emosi dan ruh, seseorang itu boleh melangkaui segala kejayaan yang dicapai orang lain. Manusia benar-banar dicipta untuk berjaya.

Tidak kira siapa kita, baik sebagai anak, ibu bapa, usahawan, pelajar, guru, pendakwah, pemimpin masyarakat dan sebagainya, kita semua mempunyai peluang yang sama untuk berjaya dan cemerlang. Bukankah kelahiran kita kedunia ini hasil kejayaan 'perjuangan' kita di alam rahim dahulu? Sebenarnya, detik awal kehidupan kita sudah pun dimulai dengan kejayaan!

Kerana itu, mengapa harus kita hilang peduman, lemah semangat, putus asa dan berserah pada takdir semata? Kegagalan bukan untuk ditangisi, tetapi suatu momentum untuk kita bangkit kembali. Bukankah dunia ini tempat ujian? Maka gunakanlah seluruh potensi diri untuk menghadapinya.

Orang mukmin adalah mereka yang memiliki sifat takwa dan yang paling layak dan paling berpotensi untuk berjaya, kerana mereka memiliki iman. Iman mendorong mereka kepada kejayaan, sumber motivasi ketika menghadapi kegagalan dan ukuran sebenar sesuatu kejayaan itu.

As Syahid Syed Qutb rahimahullah telah bermadah :

Manusia tanpa iman ialah manusia yang kerdil dan kecil
Manusia tanpa iman ialah manusia yang rendah dan dangkal cita-citanya
Manusia tanpa iman ialah manusia yang sempit dan perit kehidupannya
Manusia tanpa iman ialah manusia yang pendek dan singkat matlamatnya
Manusia dengan iman ialah manusia yang hebat dan gagah
Manusia dengan iman ialah manusia yang tinggi dan jauh cita-citanya
Manusia dengan iman ialah manusia yang luas dan aman kehidupannya
Manusia dengan iman ialah manusia yang panjang dan jauh matlamatnya

Firman Allah SWT. yang bermaksud :
"Sesungguhnya orang-orang yang beriman hanyalah orang-orang yang beriman kepada Allah dan Rasul-Nya kemudian tidak ragu-ragu.."
(Surah al-Hujurat ayat 15)

Sahabat yang dikasihi,Hati orang-orang yang beriman tidak pernah ragu-ragu kepada Allah dan Rasul-Nya, yakin pada rukun-rukun iman yang lain, dengan keyakinan inilah lahir ubudiyah sepenuhnya kepada Allah s.w.t. dan melahirkan amal-amal soleh.

Oleh itu, rasailah kehebatan diri sebagai orang-orang yang beriman dan sebagai orang mukmin dan mulakanlah langkah untuk mencapai kejayaan di dunia dan akhirat.

Empat Perkara yang Membahagiakan Orang Mukmin.

Sahabat yang dirahmati Allah,
Sabda Rasulullah S.A.W.  yang bermaksud : "Empat perkara yang membawa kebahagiaan rumah tangga iaitu wanita yang baik, tempat tinggal yang luas, jiran yang baik dan kenderaan yang baik." (Hadis Riwayat Baihaqi)

Setiap manusia inginkan kebahagiaan dalam kehidupan. Tanpa kebahagiaan hidup manusia seolah-olah hilang keselesaan dan kesempurnaan. Nabi S.A.W.  menjelaskan bahawa ada empat perkara yang boleh membawa  kebahagiaan untuk orang mukmin iaitu 1. wanita yang baik . 2. tempat tinggal yang luas  3. jiran yang baik dan 4. kenderaan yang baik.
Huraiannya adalah seperti berikut :

Pertama : Wanita yang baik.

Wanita yang baik adalah wanita solehah yang memiliki ciri-ciri isteri dan ibu yang solehah.
Wanita solehah sentiasa menghiasi diri dengan akhlak Islam dan sifat-sifat terpuji yang boleh melindungi dirinya dari kemurkaan Allah S.W.T., bersedia menjadi isteri yang taat kepada suami, berfikiran positif  dan sentiasa menjaga kehormatan diri, menjaga harta suami dan meneruskan proses tarbiyyah keatas anak-anak ketika ketiadaan suami di rumah.

Wanita solehah juga pandai mengemas dan menghias rumah. Pandai menguruskan perbelanjaan keluarga dengan berjimat cermat dan tidak boros. Pandai mengambil hati suami dan anak-anak dan tahu menyediakan menu makanan yang berhasiat untuk keluarga dan berkemahiran menjahit pakaian.

Wanita solehah bersedia menjadi ibu misali mendidik anak-anak hingga menjadi anak-anak yang soleh dan solehah. Sentiasa meniupkan semangat jihad, menanamkan asas-asas Islam dan akidah Islam dalam jiwa anak-anaknya.

Bersabar menghadapi keranah anak-anak dan sentiasa mengujudkan biah solehah di dalam rumah hingga menjadikan  "rumahku, syurgaku". Dari sinilah akan melahirkan Baitul Muslim dan seterusnya masyarakat Islam dan Daulah Islamiyyah.
  
Sabda Rasullah s.a.w: “Dunia itu adalah kenikmatan dan sebaik-baik kenikmatan dunia ialah wanita yang solehah.”
(Hadis Riwayat Muslim)

Agama merupakan faktor terpenting dalam mendapatkan kebahagiaan rumah tangga. Namun, tidak ramai di kalangan umat manusia pada zaman ini yang meneliti dan mengambil faedah daripada panduan agama dalam memilih calon isteri. Ramai di kalangan kita yang masih tidak menyedari bahawa faktor ini berupaya memberikan kebahagiaan dan keuntungan dunia dan akhirat.

Wanita yang beragama sentiasa mentaati Allah dan Rasul-Nya. Menjaga maruah diri dan ibu bapa, menundukkan pandangan di hadapan lelaki yang bukan mahram, berusaha menuntut ilmu, memahami dan mengamalkan apa yang difahaminya. Sentiasa bertaubat dan mendekatkan diri kepada Allah dengan melakukan pelbagai amalan wajib dan sunat.

Wanita yang terdidik dengan agama akan sentiasa memastikan dirinya bersih, kemas dan cantik. Ini kerana agama memerintahkan dia melakukan demikian. Semua itu dilakukan ikhlas kerana Allah berserta keyakinan bahawa dia akan dibalas dengan pahala di sisi Tuhannya.

Dia sentiasa memelihara diri dan menutup aurat dari pandangan lelaki yang bukan mahram. Percakapan yang lembut dan tepat seringkali menjadikan dirinya disukai dan disayangi oleh sesiapa sahaja yang mengenalinya. Masa yang terluang sentiasa dipenuhi dengan aktiviti yang berfaedah dan demi kebaikan diri serta agama.

Isteri solehah adalah idaman setiap suami yang soleh. Bila suami memandangnya terasa sejuk hati suami dan terbina rasa kasih dan sayang. Bila suaminya diluar rumah teringat akan kebaikan akhlak isterinya dan layanan istimewa yang diterima dari isteri yang tercinta.

Isteri  yang solehah adalah wanita yang beriman kepada Allah s.w.t. dan rukun-rukun Iman yang lain. Mempunyai akhlak yang mulia, hati yang bersih daripada sifat-sifat mazmumah dan sentiasa melaksanakan tanggungjawabnya untuk memastikan rumahtangga yang terbina adalah rumahtangga Islam (baitul Muslim). Semua masa dan waktunya dipergunakan dengan sebaik-baiknya untuk mencari keredhaan Allah s.w.t.

 Kedua : Tempat tinggal yang luas.

Tempat tinggal yang luas adalah rumah yang lapang dan selesa.
Pertama perlu diambil perhatian bahawa pembelian rumah hendaklah mengikut syariat Islam iaitu pembeliaan mengunakan pinjaman cara Islam samaada BBA atau murabahah.
Rumah yang dibeli dengan cara riba' akan mendapat kemurkaan Allah S.W.T. kerana sistem riba' telah diharamkan oleh Allah S.W.T.

Sabda Rasulullah s.a.w yang bermaksud :
“ Selagi akan terjadi dan nyata pada akhir zaman empat macam di kerjakan manusia :
Pertama : orang-orang (mudah sahaja mengerjakan riba’ dan) memakan harta riba’.
Kedua : orang-orang (dengan tak merasa takut-takut) mengerjakan zina.
Ketiga : orang-orang (sering) bersumpah (walau pun palsu , tak ambil peduli)
Keempat : orang-orang (suka) mengurangkan sukatan atau timbangan (pada jual beli)
Maka apabila berlaku dan telah nyata (di lakukan orang-orang seperti di lakukan itu) akan bertebaranlah penyakit dan bala yang akan di turunkan Allah dengan perang setengah akan setengahnya.”

Rumah merupakan tempat pertama sesi pendidikan bermula sebelum masuknya kita ke alam persekolahan. Guru yang pertama adalah isteri kita sendiri sebab itulah wanita yang solehah merupakan asas dan tunjang utama dalam kebahagiaan anak adam kerana merekalah yang akan menjadi pendidik pertama kepada bakal-bakal da'i yang akan datang selepas kita. Kelahiran rumah yang lapang dan selesa ini akan memberi kemudahan dan ketenangan semasa proses didikan berjalan di rumah. Pendidikan kepada anak-anak khususnya, perlu kepada suasana yang tenteram dan harmoni. Dari suasana inilah yang akan membentuk jiwa dan akhlak mereka.

Bukan ini sahaja malahan suasana begini akan dapat mengisi ketenteraman jiwa kepada para suami setelah penat bekerja seharian suntuk mencari nafkah . Rumah yang lapang adalah rumah yang sempurna dari segi kedudukannya, kebersihannya dan kemudahan-kemudahan asas. Sebaik-baiknya eloklah seseorang itu membuat pelan rumah itu sendiri bagi menyusun sendiri struktur rumah antara ruang tamu, bilik dan sebagainya. Bilik-bilik yang asas adalah untuk ibu bapa sendiri, bilik untuk anak perempuan, bilik untuk anak lelaki, bilik pembantu rumah, bilik tetamu, bilik perpustakaan kecil dan bilik solat.

Untuk bilik perpustakaan kecil yang dipenuhi dengan buku-buku dan majalah-majalah Islam untuk meningkatkan ilmu syara dan ilmu waqei (realiti). Dari segi kebersihan pula sentiasa diuruskan dengan sempurna. Tidak dibiarkan kotoran dan abuk-abuk begitu saja. Dari pandangan luarnya sudah cukup menerangkan sifat dan akhlak penghuninya. Di keliling rumah ditanami sedikit bunga sebagai perhiasan, dipotong mana-mana rumput yang
panjang dan dicat sekadarnya untuk memberi pandangan luar yang lebih elok.

Perhiasan yang mahal-mahal dan perabut yang mewah jika boleh dikurangkan kerana sifat seorang mukmin ia tidak suka kepada kemegahan dan pembaziran. Lebih baik wang yang berlebihan disimpan untuk pendidikan anak-anak. Segala alat-alat moden yang boleh menjimatkan masa dan memudahkan kerja-kerja rumah adalah perlu digunakan sepenuhnya bergantung kepada kemampuan masing-masing, kerana dengan ini akan lebih memberi kemudahan dan keselesaan. Janganlah jadikan patung-patung manusia atau binatang menjadi perhiasan rumah. Jangan gantung gambar keluarga di dinding-dinding rumah. Malaikat rahmat tidak masuk di dalam rumah yang ada patung-patung makhluk yang bernyawa. Rumah yang lapang juga sentiasa bersedia untuk digunakan dalam rangka menjalankan aktiviti-aktiviti pengajian dan pendidikan Islam.

Rumah yang lapang dan selesa adalah penghuninya sentiasa membaca al-Quran, berzikir, mendirikan solat-solat  sunat dan jika berkemampuan panggil guru datang kerumah untuk mengajar anak-anak membaca al-Quran dan membuat pengajian ilmu Islam. Rumah seperti ini akan menjadikan penghuninya sentiasa tenteram dan tenang hatinya kerana malaikat rahmat akan sentiasa mengunjungi rumah tersebut.

Rumah yang baik juga sentiasa di datangi tetamu kerana tetamu yang hadir membawa rezeki dan bila tetamu balik dosa penghuni rumah itu akan di ampunkan oleh Allah S.W.T.
Nabi S.A.W. berwasiat kepada Sayyidina Ali k.w maksudnya :  "Wahai Ali ! Anjurkanlah berbuat baik kepada mereka yang sedang ceria wajahnya. Dan hormatilah tetamu sebab rezeki tetamu yang singgah kerumah sesaorang pun ikut singgah di situ. Dan kalau ia meninggalkan rumah itu, dosa penghuni rumah itu lenyap bersama kepergian tetamu tersebut. Lalu terhapuslah dosa-dosa itu jauh ditengah lautan."

"Wahai Ali ! Malaikat tidak akan masuk ke dalam rumah yang ada lukisannya atau patung atau orang yang menyakiti kedua orang tuanya atau rumah yang tidak pernah dikunjungi tetamu."

Ketiga : Jiran yang baik.

Islam menggariskan dengan jelas mengenai tatacara hidup dengan meletakkan akhlak dan adab sebagai panduan. Tanpa akhlak yang baik, kehidupan manusia menjadi kucar-kacir. Allah Swt telah mengutuskan Nabi Muhammad Saw sebagai model terbaik dan contoh akhlak yang terpuji kepada seluruh umat Islam.

Orang yang beriman kepada Allah S.W.T. dan hari kiamat ialah mereka yang memuliakan jiran tetangganya. Sesiapa yang tidak menjaga hak jiran dan tidak pula berbuat baik kepada jiran mereka, maka ia sebenarnya bukanlah orang yang benar-benar beriman.

Daripada Abu Hurairah r.a., bahawa Rasulullah S.A.W telah bersabda maksudnya : "Barangsiapa yang beriman dengan Allah dan hari akhirat, maka hendaklah dia berkata baik atau dia diam. Barangsiapa yang beriman dengan Allah dan hari akhirat, maka hendaklah dia memuliakan jiran tetangganya. Barangsiapa yang beriman dengan Allah dan hari akhirat, maka hendaklah dia memuliakan tetamunya."
(Hadis Riwayat Bukhari dan Muslim.)

Berdasarkan hadis di atas salah satu kewajipan seorang mukmin adalah menghormati jiran tetangganya. Jiran tetangga mendapat penghormatan yang besar di sisi Islam sehingga Nabi S.A.W. menyatakan bahawa sesiapa yang beriman kepada Allah dan hari akhirat hendaklah menghormati jira tetanggannya. Hormat menghormati, tolong menolong dan hidup berjiran yang mufakat adalah asas keimanan, kemajuan dan keharmonian sesebuah masyarakat.

Islam memandang berat perihal menjaga hak jiran sehingga jiran itu boleh di anggap sebagai orang yang boleh mewarisi harta. Memuliakan jiran merupakan budi pekerti yang mulia dan terpuji. Menurut Imam Nawawi, jiran ialah mereka yang tinggal berdekatan dengan rumah kita dalam lingkungan jarak 40 buah rumah, samada dari kiri atau sebelah kanan, depan mahupun dari sebelah belakang. Dalam menghayati hak-hak jiran, Islam membahagikan jiran itu kepada tiga bahagian berdasarkan hadis Nabi Saw yang bermaksud :

" Jiran itu ada tiga macam. Jiran yang mempunyai satu hak, jiran yang mempunyai dua hak dan jiran yang mempunyai tiga hak. Jiran yang mempunyai tiga hak ialah jiran yang muslim yang berkerabat, maka baginya hak jiran, hak muslim dan hak kerabatnya. Adapun jiran yang mempunyai dua hak ialah jiran muslim, di mana haknya ialah hak jiran dan sebagai orang muslim. Manakala jiran yang mempunyai satu hak ialah jiran dikalangan bukan Islam ".

 Keempat : Kenderaan yang baik.

Hidup di dalam dunia penuh cabaran dan cangih memiliki kenderaan adalah satu keperluan bukannya kemewahan. Kenderaan yang baik adalah kenderaan yang dibeli secara tunai, jika tidak berkemampuan hendaklah dibeli dengan mengunakan sistem pinjaman cara Islam iaitu bebas daripada sistem riba'. Jenis dan kualiti kenderaan adalah bergantung kepada kemampuan kewangan kita. Carilah kenderaan yang berkualiti dan murah penyelengaraannya.

Firman Allah s.w.t yang bermaksud :
“Hai orang-orang yang beriman , bertakwalah kepada Allah dan tinggalkanlah riba’ (yang belum di pungut) jika kamu orang-orang yang beriman. Maka jika kamu tidak mengerjakan (meninggalkan sisa riba’) maka ketahuilah , bahawa Allah dan RasulNya akan memerangimu . Dan jika kamu bertaubat (dari mengambil riba’), maka bagimu pokok hartamu, kamu tidak menganiaya dan tidak (pula) dianiaya.”
(Surah Al- Baqarah ayat 278-279)

Kenderaan yang baik adalah kenderaan yang sentiasa dijaga dengan baik dan di servis setiap kali habis tempuh perjalanan yang ditetapkan. Dipereksa tayar, bateri, lampu, brek, minyak hitam dan injen supaya kenderaan tersebut tidak membahayakan pemandu dan penumpangnya bila digunakan dijalan raya. Kita sering dengar kemalangan berlaku disebabkan kerosakkan brek atau tayar botak dan ianya akan membahayakan keselamatan terutama bila waktu hujan.

Selain pembelian pinjaman secara Islam , insuran untuk kenderaan juga perlulah diambil takaful (insuran Islam) supaya kita tidak terikat dengan riba' yang diharamkan oleh Allah S.W.T.

Kenderaan yang baik adalah kenderaan yang akan digunakan untuk mencari rezeki halal, untuk solat berjemaah dimasjid dan kuliah agama dan untuk menjalankan aktiviti-aktiviti dakwah dan kerja-kerja kebajikan. Kenderaan ini juga akan menjadi saksi dihadapan Allah bahawa kita gunakan kenderaan ini untuk jalan kebaikan dan ia tidak digunakan untuk melakukan maksiat kepada Allah S.W.T.

Sahabat yang dimuliakan,
Marilah sama-sama kita memiliki dan mencari empat kebahagiaan di dunia ini  seperti yang dinyatakan hadis di atas supaya dengan kebahagiaan yang kita perolehi di dunia sebenarnya ada kaitan dengan keimanan dan kebahagiaan kita dihari akhirat, kerana dunia adalah jambatan menuju ke hari akhirat.

Wanita yang baik,  rumah yang luas , jiran yang baik dan kenderaan yang baik adalah wasilah menuju ke hari akhirat. Jika ianya baik maka ianya memudahkan proses kita bertemu Allah S.W.T. Di dalam empat perkara ini yang paling penting sekali adalah perkara pertama iaitu wanita yang baik lagi solehah dan bersedia menjadi isteri dan ibu solehah. Para suami akan berada di dalam keadaan yang paling bahagia apabila memiliki isteri solehah yang bersedia bersama-sama susah hidup di dunia ini iaitu bersifat reda dan qanaah untuk mencapai kebahagiaan di hari akhirat.

Tanggungjawab Orang Mukmin Memberi Nasihat Untuk Lima Perkara.

 Sahabat yang dirahmati Allah,
Abu Hurairah pernah mendengar Rasulullah S.A.W. berwasiat kepadanya yang bermaksud :
“Siapakah yang sudi mengambil dari diriku lima wasiat ini, lalu mengamalkannya atau mengajarkannya kepada orang yang mahu mengamalkannya?”

Abu Hurairah segera menyambut kata-kata Rasulullah ini dengan ucapan, “Saya, ya Rasulullah”

Maka baginda menjabat tangan Abu Hurairah dan menghitung lima kali seraya berkata,
yang bermaksud :

1.Jagalah dirimu dari perbuatan yang haram nescaya engkau akan menjadi orang yang paling baik dalam beribadah.

2.Berpuas hatilah dengan kurnia yang Allah berikan kepadamu nescaya kamu akan menjadi orang yang paling kaya.

3.Berbuat baiklah kepada tetanggamu, nescaya kamu akan menjadi seorang mukmin sejati .

4.Cintailah manusia sebagaimana kamu mencintai dirimu sendiri, nescaya kamu akan menjadi muslim yang sempurna.

5.Dan janganlah banyak bergurau kerana banyak bergurau itu akan mematikan hati.

(Hadis Riwayat Muslim)

Rasulullah S.A.W.  sering memberi panduan yang berharga sedemikian rupa. Semuanya disesuaikan dengan permintaan para sahabat atau sesuai dengan kadar potensi orang yang baginda ajak berbicara.

Nasihat atau wasiat yang baginda sampaikan walaupun ringkas namun padat serta suatu yang praktikal. Apa sahaja yang baginda ungkapkan sentiasa terbukti kebenarannya dalam sepanjang sejarah kehidupan manusia.

Setiap muslim dan muslimah yang baik bukan mereka yang mengasingkan diri dari masyarakat sekitarnya, sehingga mereka mewujudkan satu kelompok yang terasing. Muslim dan muslimah tidak berhak menuduh masyarakat sebagai masyarakat yang jahil  sebelum mereka cuba untuk memperbaikinya.

Sabda Rasulullah S.A.W.  yang bermaksud :
“Mukmin yang bergaul di tengah-tengah masyarakat dan sabar atas gangguannya lebih baik daripada muslim yang tidak bergaul dalam masyarakat dan tidak sabar terhadap gangguan mereka.”

Oleh itu sebagaimana lima nasihat dari hadis Nabi S.A.W. di atas, memberikan arahan kepada kita untuk hidup dalam masyarakat. Nasihat ini sangat penting, berharga dan berguna ketika berinteraksi dengan masyarakat. Nasihat ini mestilah diamalkan serta disampaikan kepada saudara sesama muslim dimana jua mereka berada.

Pertama : Menjaga diri dari perbuatan yang haram.

Kunci pergaulan Islam di tengah masyarakat adalah memelihara diri dari perkara yang di haramkan Allah. Kaum muslimin boleh melakukan apa saja perkara selagimana perkara itu tidak haram atau syubhat. Perkara syubhat juga perlu dijauhi kerena ia akan menyeret kepada yang haram. Apabila perkara yang haram telah ditinggalkan, yang syubhat pun dihindari, sanggup melawan hawa nafsu serta membentengi diri dari tipu daya syaitan maka itulah jalan menuju takwa. Jalan yang akan mempertemukan kita bersama dengan orang-orang soleh yang di janjikan pelbagai bentuk kenikmatan oleh Allah S.W.T.

Kedua : Puas dan reda dengan kurnia yang dilimpahkan Allah padanya :

Wasiat kedua ini menjelaskan kepada kita bahawa hakikat ‘kaya’. Kaya bukanlah bererti melimpah ruahnya harta, memiliki rumah yang tersergam indah, perabut mewah, kenderaan hebat atau perhiasan yang dipakai oleh seseorang. Tetapi kekayaan yang hakiki terletak pada lubuk hati. Ia merupakan ketenteraman dan ketenangan jiwa kerana puas dengan segenap kurnia yang diberikan Allah S.W.T. Sehingga ia tidak memburu dan rakus terhadap harta lalu menghalalkan segala cara bagi memperolehinya.

Walaubagaimanapun apabila kita bersyukur diatas rezeki yang di kurniakan Allah, nescaya Allah akan tambah lagi rezeki kepada  kita dengan berlipatkali ganda dan kekayaan yang di miliki akan membawa kita lebih hampir dengan Allah S.W.T.

Kekayaan juga bermakna apabila kita memiliki nikmat Iman dan Islam yang mampu menyelamatkan kita dari seksa neraka, tentulah ianya tak mungkin dapat dinilai dan diukur dengan nilai-nilai kebendaan.

Ketiga : Berbuat baik kepada jiran tetangga.

Rasulullah S.A.W.  memerintahkan kita agar berbuat baik terhadap orang yang paling hampir rumahnya iaitu jiran. Jiran yang paling berhak mendapat perlakuan baik kita. Maka ajaran Islam mengatur masaalah rumah tangga secara terperinci termasuk kewajipan berinteraksi dengan baik terhadap jiran tetangga.

Sabda Nabi S.A.W. yang bermaksud :
“Barangsiapa beriman kepada Allah dan hari akhirat, hendaklah ia memuliakan jiran tetangganya.”
(Hadis Riwayat Bukhari dan Muslim)

Keempat : Mencintai Orang Lain.

Prinsip dasar ajaran Islam adalah cinta kepada Allah dan Rasul-Nya. Mencintai orang lain kerana Allah termasuk dalam tuntutan Islam. Mencintai orang lain yang dimaksudkan Rasulullah S.A.W. adalah sesama muslim sebagaimana yang disabdakan baginda dalam hadis lain yang bermaksud :
“Tidak beriman salah seorang di antara kamu sehingga mencintai saudaranya sama sebagaimana dia mencintai dirinya sendiri.”
(Hadis Riwayat Bukhari dan Muslim)

Manakala terhadap orang yang bukan Islam, tidak boleh ada hubungan cinta selain daripada seruan dakwah ke jalan Allah. Sebagai pendakwah kita perlulah berlemah lembut kepada mereka bagi tujuan memperlihatkan kemuliaan akhlak Islam.

Kelima : Tidak banyak bergurau .

Keceriaan dan kegembiraan merupakan tuntutan hidup yang sihat dan bahagia. Islam menganjurkan umatnya untuk bersikap riang gembira, tidak kaku dan sentiasa bersikap optimis. Rasulullah S.A.W.  mengatakan bahawa senyum terhadap saudara seakidah merupakan perbuatan makruf dan tergolong dalam ibadah.

Sabda Rasulullah S.A.W.  maksudnya :
“Janganlah kamu meremehkan yang makruf meskipun hanya dengan memberi senyuman kepada saudaramu.”

“Senyum terhadap saudaramu adalah sedekah.”

Namun hal ini bukan bererti kita harus banyak bergurau. Gurauan adalah ucapan yang diada-adakan yang sering kali terjerumus pada perlecehan dan seumpamanya. Apabila perlecehan ini berkaitan dengan masaalan agama dan perkara yang berkaitan maka kita akan berdosa dan berhak mendapat kemurkaan Allah. Manakala jika gurauan itu terseleweng lalu melecehkan sesama manusia maka ia juga berdosa kerana mencemarkan kehormatan orang lain.

Rasulullah S.A.W.  bersabda yang bermaksud :
“Allah melaknat orang-orang yang membuat orang lain ketawa.”

Sahabat yang dimuliakan,
Inilah lima pedoman dalam bergaul dalam masyarakat. Marilah sama-sama kita amalkan dalam kehidupan kita. Setiap muslim yang mengamalkannya tentu akan berjaya di dunia dan di akhirat sebagaimana yang dijanjikan oleh Nabi S.A.W. seperti hadis diatas. Di dunia ia akan menjadi muslim sejati yang di cintai sesama insan sedang di akhirat ia akan terhindar dari kemurkaan Allah.

Apakah Perbezaan Di Antara Orang Mukmin Dengan Orang Munafik?

Sahabat yang dirahmati Allah, 
Orang mukmin dan orang munafik adalah  dua golongan yang amat berbeza sekali darisegi sifat, akhlak dan keperibadian mereka, umpama langit dengan bumi. Orang mukmin sentiasa beriman dan bertakwa dan beristiqamah dengan ajaran Islam sedangkan orang munafik hatinya bersifat nifak dan hidup dengan kepura-puraan dan kebencian kepada orang mukmin dan ajaran Islam.

Berikut ini dikutip tulisan dari Imam Al Ghazali yang menjelaskan ucapan Imam Hatim Al Ashom, seorang ulama yang soleh ketika mengupas perbezaan antara orang mukmim dengan orang munafik. Perbezaan tersebut adalah seperti berikut :

Pertama : Seorang mukmin senantiasa disibukan dengan bertafakur, merenung, mengambil pelajaran dari aneka kejadian apapun di muka bumi ini, sementara orang munafik disibukkan dengan ketamakan dan angan-angan kosong terhadap dunia ini.

Kedua : Seorang mukmin berputus asa dari siapa saja dan kepada siapa saja kecuali hanya kepada Allah, sementara orang munafik mengharap dari siapa saja kecuali dari mengharap kepada Allah.

Ketiga : Seorang mukmin merasa aman, tidak gentar, tidak takut oleh ancaman siapa pun kecuali takut hanya kepada Allah kerana dia yakin bahawa apapun yang mengancam, dia ada dalam genggaman Allah, di lain pihak orang munafik justru takut kepada siapa saja kecuali takut kepada Allah, nauzubilah.

Keempat : Seorang mukmin menawarkan hartanya demi mempertahankan agamanya, sementara seorang munafik menawarkan agamanya demi mempertahankan hartanya.

Kelima : Seorang mukmin menangis kerana malunya kepada Allah meskipun dia berbuat kebajikan, sementara seorang munafik tetap tertawa meskipun dia berbuat keburukan.

Keenam : Seorang mukmin senang berkhalwat dengan menyendiri bermunajat kepada Allah, sementara seorang munafik senang berkumpul dengan bersukaria bercampur baur dengan khalayak yang tidak ingat kepada Allah.

Ketujuh : Seorang mukmin ketika menanam merasa takut jikalau merosak, sedangkan seorang munafik mencabuti seraya mengharapkan kesuburan.

Kelapan : Seorang mukmin memerintahkan dan melarang sebagai siasat dan cara sehingga berhasil memperbaiki, larangan dan perintah seorang mukmin adalah upaya untuk memperbaiki sementara seorang munafik memerintah dan melarang demi meraih jawatan  dan kedudukan sehingga dia malah merosak, nauzubillah.

Daripada kenyataan di atas jelaslah kepada kita bahawa terdapat lapan perbezaan yang jelas akhlak antara seorang mukmin dengan seorang munafik. Justeru kita harus benar-benar berusaha menjauhi diri daripada perbuatan dan amalan orang-orang munafik seperti diuraikan di atas. 

Sahabat yang dimuliakan,
Kita perlu mencegah diri kita untuk meyakini adanya pemimpin yang menandingi kebesaran dan keagungan Allah SWT. Kita harus yakin siapa pun yang ada jawatan atau pangkat kedudukan di dunia ini hanyalah sekedar makhluk yang hidup sementara dan akan menemui kematian. Jangan tertipu dan terpesona dengan kedudukan, pangkat, dan harta sebab itu hanyalah amanah sementara sahaja jika tidak dijaga dan diawasi ianya boleh memesongkan kita daripada matlamat hidup yantg sebenarnya.

Kehidupan sekarang ini di zaman kecangihan teknologi maklumat sungguh mencabar.  Berita fitnah, umpat mengumpat, mendedahkan keaiban, sumpah seranah dan maki hamun dan saling menjatuhkan di antara satu sama lain sudah menjadi satu kebiasaan yang tidak merasa bersalah dan dosa di sisi Allah SWT. Tujuannya adalah untuk terus berkuasa dan mengaut keuntungan harta dunia dalam projek pembangunan dan dunia perniagaan. Golongan berkuasa hanya mengutamakan kroni dan ahli keluarga semata-mata tanpa melihat kesusahan dan penderitaan rakyat miskin yang memerlukan pembelaan. Golongan munafik ini  tidak segan silu menggunakan apa saja jalan yang salah semata-mata untuk mencapai matlamat kekal berkuasa dan menjaga status ko.

Sahabat yang dikasihi,
Kita hanya sekadar makhluk yang hidup sementara di dunia ini, bila tiba masanya kita semua akan dijemput kesana. Sebaik-baiknya kita perlulah membuat persiapan sebagai bekalan untuk kepulangan kita ke alam barzakh dan hari akhirat. Oleh itu janganlah kita meletakkan kemuliaan manusia melebihi kemuliaan Allah SWT. Hanya Allahlah segala-galanya, Dia Penguasa yang mutlak dan Dia Pemilik alam ini. Tidak ada kuasa lain melainkan kuasa Allah Azza Wa Jalla.

Bulatkan dan bersihkan hati kita hanya kepada Allah dengan dibuktikan oleh kesungguhan ibadah dan amal soleh kita. Oleh itu tiada  yang dituju selain Allah, tiadalah yang diharap selain mengharap daripada Allah, tiadalah yang ditakuti selain Allah, tiadalah dipanjatkan doa dan pergantungan hidup melainkan kepada Allah SWT.

Orang Mukmin Yang Kuat Lebih Dikasihi Allah

Sahabat yang dirahmati Allah,
Rasulullah s.a.w bersabda yang maksudnya: “Orang Mukmin yang kuat lebih baik di sisi Allah dan lebih dikasihi daripada orang Mukmin yang lemah, sedangkan setiap seorang itu mempunyai kebaikannya (imannya); oleh itu hendaklah engkau bersungguh-sungguh berusaha memperoleh apa yang memberi manfaat kepadamu, serta hendaklah meminta pertolongan kepada Allah dan janganlah engkau bersikap segan dan malas; dan sekiranya engkau ditimpa sesuatu maka janganlah engkau berkata: “Kalaulah aku lakukan itu ini, tentulah akan terjadi begitu begini, tetapi katalah: “Allah telah takdirkan, dan apa yang dikehendaki oleh kebijaksanaan-Nya Ia lakukan, kerana perkataan ‘kalau’ itu membuka jalan kepada hasutan syaitan.”
(Hadis Riwayat Muslim)

Berdasarkan hadis di atas jelaslah kepada kita bahawa setiap Mukmin itu mempunyai tingkat imannya yang tertentu di mana ada yang kuat semangatnya, ilmunya dan kuat pula berusaha untuk mendapatkan kebaikan dalam hidup, manakala setengah yang lain pula adalah sebaliknya.

Seharusnya kita berusaha bersungguh-sungguh dalam mencapai sesuatu di samping meminta pertolongan daripada Allah s.w.t. supaya dengan ihsan-Nya Allah memberi taufik dan menjayakan segala usaha yang dilakukan itu kerana manusia walau sebijak mana dan sekuat mana pun ia, tetap berhajat kepada pertolongan dan pimpinan daripada Allah s.w.t.

Demikian juga kita tidak sepatutnya bersikap malas dan malu untuk bekerja serta hanya memasang angan-angan bahawa Allah akan menyampaikan hajat kita dengan alasan Allah itu Maha Berkuasa sedangkan Allah sendiri telah menjelaskan bahawa sesuatu yang boleh diusahakan oleh manusia tidak akan berhasil melainkan setelah diusahakan sebab atau jalan untuk mencapainya.

Allah s.w.t. berfirman di dalam Al-Qur’an maksudnya :  “Sesungguhnya Allah tidak akan merubah nasib suatu kaum sehingga mereka mau merubah diri mereka sendiri.”
  
Dulu ketika umat islam masih berpegang teguh kepada Al-Qur’an dan sunnah Nabi s.a.w. aqidah mereka masih bersih perbuatan dan akhlaknya masih mengikut lunas-lunas Islam,  masih terjunjung tinggi ketika itulah Allah s.w.t. eratkan tali persaudaraan mereka. Dia muliakan mereka sehingga mereka dihormati dan ditakuti musuh pada saat itulah mereka mampu menguasai dunia . 

Keadaan ini sangat jauh berbeza dengan umat Islam sekarang ini, aqidah mereka sudah tercemar akhlak dan perbuatan mereka rusak terhadap urusan agama dan dunianya pun mereka tidak menguasai teknologinya terkini  maka patutlah mereka terhina di hadapan musuh musuh Islam. Persatuan mereka rapuh dan kemuliaan mereka telah hilang wibawanya dan mereka telah kalah dalam segala hal . 

Firman Allah s.w.t maksudnya : “Tiadalah Allah telah menzalimi mereka akan tetapi merekalah yg telah menzalimi diri mereka.”

Sekiranya sesuatu usaha yang dibuat itu ditakdirkan menemui kegagalan maka kita selaku umat Islam dikehendaki menghadapinya dengan perasaan redha, tenang tenteram kerana hal tersebut pasti mengandungi hikmahnya yang tersendiri yang hanya diketahui oleh Allah.

Janganlah sekali-kali disebut perkataan ‘kalau’ jika mengalami kerugian atau kekecewaan kerana ia akan membuka jalan kepada hasutan syaitan yang akan menjadikan seseorang itu gelisah, marah, tidak redha kepada takdir dan ketentuan Allah Yang Maha Esa.

Mukmin Yang Kuat Lebih Baik Daripada Mukmin Yang Lemah

Sahabat yang dirahmati Allah,
Bahawa sesungguhnya seorang mukmin itu mempunyai sifat-sifat yang akan mempersiapkan dirinya menjadi hamba yang mulia, berani mengatakan dan menegakkan kebenaran walaupun pahit ditelan. Jadikanlah diri kalian seorang Mukmin yang kuat, kerana sesungguhnya seorang mukmin yang kuat seperti ini lebih baik dan lebih dicintai Allah SWT daripada seorang mukmin yang lemah.

Sabda Rasulullah SAW. yang bermaksud : "Seorang mukmin yang kuat itu lebih baik dan lebih dicintai oleh Allah daripada seorang mukmin yang lemah, dan dalam segala sesuatu itu baik adanya. Jagalah apa yang bermanfaat bagimu, mintalah tolong kepada Allah dan jangan merasa tidak mampu." (Hadis Riwayat Muslim)

Mukmin yang kuat adalah mukmin yang lebih cintanya dan taqarrubnya kepada Allah SWT. , Rasul-Nya dan pada pemahaman Kitab-Nya. Kerana ia kuat dalam memahami dan meneliti, kuat dalam berfikir dan menganalisa kebenaran dan kebatilan.

Mukmin yang kuat disini bukan bermakna kuat fizikal semata-mata tetapi kuat yang dimaksudkan adalah kuat darisegi kerohanian, jiwa dan daya pemikiran. Ia mampu untuk melihat sesuatu perkara yang bermanfaat dan berbahaya. Contohnya apabila ia lihat temannya dalam keadaan lemah, ia berusaha untuk memperkuatkannya dan mengatasi kelemahannya. Apabila ia lihat umatnya dalam keadaan kritikal berpenyakit ia akan mencari ubatnya.

Sahabat yang dihormati,
Apabila kalian ingin menjadi mukmin yang kuat kalian perlu melihat kitab Allah itu dengan kekuatan analisa, pemahaman, pemikiran dan makrifat untuk mengetahui maksud yang dibaca. Kalian perlu menguasai jiwa, perasaan, nurani dan hati. Sebagaimana sabda Nabi SAW yang bermaksud, "Orang yang kuat itu bukanlah orang yang kuat dalam bergulat, akan tetapi orang yang kuat adalah orang yang mampu menguasai dirinya ketika sedang marah."
(Hadis Riwayat Muttafaq Alaih)

Kalian perlu setiap hari mempersiapkan diri kalian dengan kekuatan iman dan hidupkan hati dengan zikrullah, memahami masaalah umat Islam dan berusaha untuk mengatasinya. Membaiki peribadi dan akhlak Islam, memperkukuhkan kekuatan akidah dan mempertingkatkan hubungan hati dengan Allah SWT.

Seorang mukmin yang lemah dia tetap mukmin dan mempunyai ciri-ciri kebaikan, hanya peribadinya tidaklah sama dengan sifat-sifat seorang mukmin yang kuat. Oleh itu bantulah saudaramu yang memerlukan bantuan, kerana Allah SWT. akan melapangkan rezekimu dan memberi ganjaran yang besar di hari akhirat.

Sahabat yang dikasihi,
Seorang mukmin adalah orang yang sama sekali tidak pernah merasa bahawa dirinya tidak mampu. Dibuangkan jauh-jauh segala kelemahan dirinya dengan sebuah keyakinan, bahawa Allah Yang Maha Berkuasa telah membangkitkan dalam dirinya kebaikan, kemampuan dan kekuatan. Yakin dengan janji-janji Allah dan terus berjihad, berjuang dan berkorban apa sahaja demi mencari keredaan Allah SWT Yang penting laksanakan dahulu tugas dan tanggungjawab dan segala masaalah serahkan kepada Allah SWT, insya Allah ianya akan dipermudahkan oleh Allah SWT.

No comments:

Powered By Blogger | Template Created By Lord HTML