Tuesday, March 11, 2014

MUSAFIR

Cara-cara Bermusafir Menurut Pandangan Islam

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh

بِسْمِ ٱللَّهِ ٱلرَّحْمَـٰنِ ٱلرَّحِيم



Segala puji bagi Allah, Tuhan sekelian alam. Selawat serta salam buat junjungan mulia Nabi Muhammad SAW keluarga serta para sahabat dan pengikut yang istiqamah menuruti baginda hingga ke hari kiamat.

Sahabat yang dirahmati Allah, 
Apabila seseorang itu bermusafir lebih dari dua marhalah (89 kilometer), maka ia di  haruskan untuk melakukan solat qasar dan jamak sekali. Solat jamak dan qasar ini adalah suatu keringanan yang diberi oleh Allah SWT kepada hamba-Nya dalam segenap masa bagi orang musafir, senang atau susah asalkan melebihi dua marhalah (89km).

Permulaan musafir ini dikira setelah kita keluar kawasan rumah sama ada melalui kawasan kampung, sungai, parit, kota sempadan atau kawasan yang sudah tidak ada bangunan lagi. Akhir musafir ialah apabila kita memasuki kawasan permulaan musafir tadi. Solat jamak dan qasar boleh dilakukan apabila perjalanan seorang musafir tidak kurang dari 89 km walaupun ada khilaf ulama dalam penentuan jarak jauhnya. 

Sebelum seseorang itu layak melakukan solat jamak dan qasar perlu dipastikan bahawa musafir yang dilakukan adalah dalam perkara baik yang dibenarkan oleh syarak bukannya musafir dengan tujuan melakukan maksiat atau dosa. Contoh yang dibenarkan oleh syarak adalah bermusafir atas urusan kerja di pejabat, ziarah saudara mara,  menuntut ilmu, urusan dakwah dan tarbiah dan urusan perniagaan.

Sahabat yang dimuliakan,
Sebelum memulakan musafir, terdapat beberapa adab-adab yang perlu dipatuhi supaya musafir dan perjalanan kita mendapat keberkatan dan keredaan Allah SWT.
Pertama : Tujuan musafir adalah dengan niat yang baik dan bukan tujuan melakukan maksiat dan mulakan dengan membaca Basmalah.

Apabila kita keluar dari rumah, sunat kita membaca basmalah. "Dengan nama Allah aku beriman dan bertawakal dan tiada yang berkuasa melainkan Allah". 

Apabila mula menaiki kenderaan untuk bermusafir, berdoalah dengan doa musafir dan doa naik kenderaan.



الله أَكْبَر ، الله أَكْبَر ، الله أَكْبَر سُبْحانَ الَّذِي سَخَّرَ لَنَا هَذَا وَمَا كُنَّا لَهُ مُقْرِنِينَ وَإِنَّا إِلَى رَبِّنَا لَمُنقَلِبُونَ اللَّهُمَّ إِنَّا نَسْأَلُكَ فِي سَفَرِنَا هَذَا الْبِرَّ وَالتَّقْوَى وَمِنْ الْعَمَلِ مَا تَرْضَى ، اللَّهُمَّ هَوِّنْ عَلَيْنَا سَفَرَنَا هَذَا وَاطْوِ عَنَّا بُعْدَهُ ، اللَّهُمَّ أَنْتَ الصَّاحِبُ فِي السَّفَر وَالْخَلِيفَةُ فِي الأَهْلِ ، اللَّهُمَّ إِنِّي أَعُوذُ بِكَ مِنْ وَعْثَاءِ السَّفَرِ وَكَآبَةِ الْمَنْظَرِ وَسُوءِ الْمُنْقَلَبِ فِي الْمَالِ وَالأَهْلِ

Maksudnya : "Allah Maha Besar, Allah Maha Besar, Allah Maha Besar, Maha Suci Tuhan yang telah memudahkan kenderaan ini untuk kami, sedang kami sebelum itu tidak terdaya menguasainya. Dan sesungguhnya kepada Tuhan kamilah, kami akan kembali. Ya Allah kami memohon kepadaMu kebaikan dan ketakwaan pada perjalanan kami dan dengan amalan yang Engkau redai, Ya Allah ringankanlah perjalanan kami dan pendekkanlah jaraknya, Ya Allah Engkaulah Teman dalam perjalanan, dan Ketua bagi ahli keluarga, Ya Allah aku memohon perlindunganMu dari kesulitan perjalanan, pandangan yang samar, dan dari kejahatan yang boleh menimpa kepada harta dan ahli keluarga sekembalinya kami." 

Doa Naik Kenderaan :  
Surah Az-Zukruf (43) ayat 13-14


Maksudnya : "Maha Suci Tuhan yang telah memudahkan kenderaan ini untuk kami, sedang kami sebelum itu tidak terdaya menguasainya. Dan sesungguhnya kepada Tuhan kamilah, kami akan kembali!"


Kedua : Menunaikan solat sunat 2 rakaat di rumah sebelum bermusafir. 

Sabda Nabi Muhammad S.A.W maksudnya : ”Perkara yang terbaik yang ditinggalkan oleh seorang lelaki kepada ahli keluarganya apabila dia bermusafir ialah menunaikan solat dua rakaat”.

Ketiga : Dianjurkan memulai perjalanan pada Khamis.

Nabi SAW bersabda maksudnya : : “Rasulullah SAW  berangkat ke Perang Tabuk pada Khamis. Rasulullah menyukai memulai perjalanannya pada Khamis.” 
(Hadis Riwayat Bukhari)

Di antara sunnah Rasulullah SAW ialah baginda suka bermusafir pada hari Khamis dan tidak suka bermusafir pada hari Jumaat. Sesseorang sepatutnya tidak bermusafir pada hari Jumaat, menyebabkan dia gagal menunaikan solat Jumaat.

Keempat : Dianjurkan memulakan perjalanan pada waktu malam.

Rasulullah SAW  bersabda, maksudnya: “Berjalanlah pada waktu malam kerana bumi dijadikan lebih pendek pada waktu malam.” (Hadis Riwayat Abu Daud) 

Kelima : Dianjurkan bermusafir bersama-sama.

Rasulullah SAW  bersabda, maksudnya: “Jika manusia mengetahui bahaya bermusafir sendirian sebagaimana aku ketahui, tentu mereka enggan bermusafir sendirian.” (Hadis Riwayat Bukhari) 

Keenam : Berdoa dalam musafir.

Sabda Rasulullah SAW  yang bermaksud: “Tiga doa yang pasti akan dikabulkan Allah S.W.T ialah doa orang teraniaya, doa orang dalam musafir (perjalanan)  dan doa orang tua terhadap anaknya.” (Hadis Riwayat Tirmidzi)

Ketujuh : Meraikan permulaan perjalanan dan berdoa

Dalam hadis riwayat Tirmidzi, Abu Hurairah r.a meriwayatkan, seorang lelaki berkata (kepada Rasulullah), wahai Rasulullah, saya akan memulai perjalanan (musafir), jadi berikanlah nasihat kepada saya. Nabi SAW bersabda : "Hendaklah engkau bertakwa kepada Allah dan bertakbir setiap kali melewati (melalui) tempat yang tinggi. Selepas lelaki itu pergi, Nabi SAW  berdoa, “ Ya Allah, dekatkanlah jarak perjalanannya dan mudahkan perjalanannya.”

Nabi SAW  apabila menghantar seseorang bermusafir, tidak melepaskan tangannya daripada orang terbabit sebelum orang berkenaan melepaskan dahulu tangannya.

Kemudian, baginda berdoa yang bermaksud : “Saya titipkan kepada Allah agamamu, amanatmu dan kesudahan amalmu.” (Hadis Riwayat Ahmad)

Kelapan : Dianjurkan juga segera kembali kepada keluarga apabila urusan sudah selesai.

Sabda Nabi SAW  bermaksud: “Perjalanan adalah sebahagian daripada azab. Dia tidak dapat makan enak dan minum sepuas-puasnya serta tidur dengan nyenyak. Apabila seorang daripada kamu sudah menyelesaikan hajatnya, segeralah kembali kepada keluarganya.” (Hadis Riwayat Bukhari dan Muslim)

Kesembilan : Membawa bersamanya beg kecil berisi keperluan asas untuk diri sendiri.

Di antara perkara sunat dalam bermusafir ialah seseorang perlu membawa bersamanya beg kecil berisi keperluan asas untuk dirinya. Setiap kali bermusafir, Nabi SAW  membawa beg kecil berisi siwak. Baginda sentiasa membawa siwak ketika bermusafir. Baginda juga membawa sikat, cermin, celak dan kayu wangi. Kayu wangi ini dianamakan Al-Midra, dengannya baginda meleraikan rambut. 

Kesepuluh : Mengucapkan selamat tinggal kepada ahli keluarga.

Dengan memohon penjagaan daripada Allah SWT. Inilah sunnah yang dibaca oleh Nabi SAW  kepada beberapa sahabat, “Aku pohon agar kau dijagai Allah S.W.T. yang takkan hilang jagaan daripadaNya”.

Kesebelas : Sunat bagi meminta didoakan oleh orang musafir. 

Sesungguhnya Rasulullah S.A.W. meminta salah seorang sahabatnya iaitu Umar Al-Khattab agar mendoakannya ketika dia berangkat untuk bermusafir apabila dia datang meminta izin daripada Rasulullah SAW.  Lalu Nabi SAW. bersabda, “Saudaraku, janganlah kau lupa untuk mendoakan kami." Rasulullah SAW. sendiri meminta sahabatnya mendoakan untuknnya. 

Kedua belas : Berdoa ketika memasuki pekan atau kampung .

Nabi S.A.W. mengajarkan kita, apabila memasuki sesuatu pekan atau kampung kita disunatkan berdoa kepada Allah S.W.T. Setiap kali baginda memasuki sesuatu negara atau kampung, baginda akan berdoa agar Allah permudahkan perjalanannya. Jika seseorang itu mengamalkan sunnah ini, Allah akan lindunginya setiap kali dia melalui sesuatu kawasan. 

Ketiga belas : Balik daripada musafir membawa hadiah.

Nabi S.A.W. juga berpesan agar kita membawa balik hadiah. Pastikan ada hadiah ketika balik daripada bermusafir. Biarpun hadiah tersebut hanya kecil tetapi amat bernilai bagi ahli keluarga, kanak-kanak, sanak saudara dan rakan karib. Hadiah mengeratkan hati manusia. Terutama apabila pulang dengan membawa hadiah. Ramai yang pulang dengan membawa hadiah. Tetapi siapa antara kita yang merasai ia adalah sunnah dan ikutan daripada Rasulullah S.A.W. 

Sahabat yang dikasihi,
Marilah sama-sama kita amalkan bermusafir menurut adab-adab yang diajarkan oleh Nabi SAW yang mana masyarakat kita ramai yang meninggalkannya. Akibat daripada meninggalkan sunah ini kita kehilangan ganjaran yang besar di sediakan oleh Allah SWT dan juga sering ditimpa musibah (kemalangan jalan raya) kerana perjalanan yang tidak disertakan doa dan bertawakal kepada Allah SWT tidak mendapat rahmat dan perlindungan daripada-Nya. Oleh itu amalkanlah doa dan  adab-adab ini insya Allah kita akan selamat pergi dan pulang dan mendapat keredaan Allah SWT.

No comments:

Powered By Blogger | Template Created By Lord HTML