Tuesday, March 11, 2014

MUHASABAH ~ SEPULUH DASAR

Sepuluh Dasar Muhasabah Harian.

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh

بِسْمِ ٱللَّهِ ٱلرَّحْمَـٰنِ ٱلرَّحِيم

Segala puji bagi Allah, Tuhan sekelian alam. Selawat serta salam buat junjungan mulia Nabi Muhammad SAW keluarga serta para sahabat dan pengikut yang istiqamah menuruti baginda hingga ke hari kiamat.


Sahabat yang dirahmati Allah,
Mari kita mulakan dengan doa ini : "Segala puji bagi Allah, Tuhan yang memelihara dan mentadbir sekalian alam. Tuhan yang Maha Pemurah dan Maha Pengasih. Tuhan yang menguasai hari pembalasan. Kepada-Mu kami menyembah dan kepada-Mu sahajalah kami memohon pertolongan. Tunjukkanlah kami kejalan yang lurus, iaitu jalan orang-orang yang Engkau beri nikmat, bukan jalan orang-orang Engkau murkai, dan bukan pula jalan orang-orang yang sesat."



Persaksikan bahawa tidak ada pengatur kecuali Allah SWT dan bersyahadahlah bahawa Nabi Muhammad SAW itu sebagai hamba dan utusan Allah. Fokuskan hati kalian kepada memuja dan mentaati Allah serta mengikut contoh kehidupan Rasulullah SAW.

Peliharalah diri kalian dari terikut rentak dan ragam manusia yang dimurkai Allah SWT. Sedarilah tekanan kehidupan hari ini terlalu banyak. Semua gejala tamadun baru yang direka menurut keinginan nafsu hanya bertujuan menyesatkan dan meruntuhkan nilai norma yang tinggi. Sekaligus menghancurkan sendi-sendi budi dan akhlak yang mulia yang mengembangkan sifat kejahilan di kalangan umat.

Sahabat yang dimuliakan,
Janganlah merasai jemu apabila risalah yang ditulis ini berulang-ulang untuk membicarakan perkara yang sama. 

Ingatlah sahabat! Sememangnya tabiat tarbiah itu dinyatakan berulang-ulang. Untuk menghidupkan balik hati yang keras dan mati, untuk menaikkan semula iman yang telah turun dan untuk memulihkan balik akhlak yang telah rosak, bukanlah satu perkara yang mudah. Nabi SAW sendiri mendidik dan mentarbiah sahabat-sahabat baginda di Mekkah mengambil masa 13 tahun. Proses ini berterusan di Madinah dan memakan masa 10 tahun pula.

Didalam al-Quran sendiri Allah SWT sentiasa mengulang-ulangkan asas iman, tauhid dan perkara-perkara ghaib dan kehidupan dihari akhirat. Selagi hayat dikandung badan dan masih bernafas di bumi Allah proses tarbiah imaniah dan takwa perlu berterusan dan berjalan tanpa berhenti.

Sahabat yang dihormati,
Al-Ustaz Fathi Yakan dalam menghuraikan tatacara memelihara diri dari dorongan nafsu serta bisikan syaitan telah menyarankan 10 dasar muhasabah harian. Yakinilah dasar ini akan dapat memelihara jiwa kalian untuk terdorong memusatkan pemujaan dan ketaatan kepada Allah. Juga memperteguhkan iman diatas jalan yang diredhai.

Pertama : Qiyamulail merupakan pendidikan rohani yang tidak patut diabaikan. Ia boleh melahirkan kekuatan iman yang tidak dapat dihasilkan oleh ibadat-ibadat yang lain.

Kedua : Sedapatnya solat Subuh berjemaah kerana akan beroleh jaminan perlindungan dari Allah, seperti maksud hadis : "Siapa yang solat Subuh berjemaah maka ia berada dalam jemaah Allah. Allah tidak sekali-kali meminta sesuatu dari kamu kerana jaminan-Nya."
(Hadis Riwayat Muslim) .

Ketahuilah malaikat menjaga kita dan mereka datang berhimpun serta bergilir masa kerja pada waktu Subuh dan Asar.

Ketiga : Al-Quran itu sebagai penawar dan kita sangat berhajat rawatan hati dari ayat-ayatnya. Dengannya, hati akan tenang, tenteram dan dapat merasai suasana hening. Berwirid dengan al-Quran sewajarnya diamalkan sehingga berlinangan air mata.

Keempat : Setiap kali menghadap hidangan makanan telitilah sumber ia diperolehi. Pastikan rezeki yang diperolehi itu adalah halal dan suci serta sedaya upaya menjauhkan diri dari berbuat yang haram. Disamping itu, kita patut menyedari tujuan utama makan adalah untuk menambah kekuatan beribadah kepada Allah SWT, dan bukannya melakukan kerosakan.

Kelima : Bersihkan diri dari sifat malas. Islam tidak menyukai hamba Allah yang tidak berusaha atau menganggur. Sepatutnya setiap muslim perlu bersungguh dalam melaksanakan apa jua tugas dan pekerjaan. Di samping itu, tidak lupa untuk membersihkan rezeki dengan mengeluarkan zakat, insaf dan sedekah. Usaha yang gigih serta rezeki yang bersih akan membawa kebahagiaan hakiki.

Keenam : Dalam setiap waktumu berada dikhalayak, sentiasalah menjaga dan mengawal pandangan mata serta perasaan. Jauhkan diri daripada tergoda atau digoda. Malahan, tidak juga terdorong kepada perkara-perkara syubahah atau yang tidak jelas halal atau haramnya.

Ketujuh : Perhatikan setiap tingkahlakumu supaya dikuasai akhlak Islam. Sebaliknya, jadilah muslim contoh yang akan membawa kebaikan kepada manusia lain. Sesungguhnya, engkau akan beroleh pahala seperti orang yang mendapat hidayah kerana kebaikanmu.

Kelapan : Tanyakan dirimu adakah setiap saat dan sepanjang hayatmu dipergunakan untuk menuntut serta menambah ilmu khasnya ilmu Islam itu sendiri.

Perhatikan maksud hadis berikut : "Pelajarilah ilmu! Dalam mempelajarinya kerana Allah akan menambah takwa; menuntutnya ibadah, muzakarah menjadi tasbih, membahas menjadi jihad dan mengajarkannya menjadi sedekah. Mewariskannya kepada ahli keluarga menjadi ibadah qurban. Ilmu itu menunjukkan perbezaan halal dan haram. Juga menjadi lampu isyarat dijalanan ahli syurga. Ilmu menjadi teman keseorangan, menjadi sahabat kepada perantau, dan menjadi penghibur dalam suka dan duka. Juga menjadi senjata berhadapan dengan musuh, dan perhiasan dalam persahabatan. Dengan ilmu juga Allah mengangkat darjat Muslim untuk memimpin setiap insan."
(Hadis Riwayat Ibnu Adil Barri)

Kesembilan : Sejauh mana telah engkau bulatkan hati untuk sentiasa melaksanakan tuntutan syarak serta sentiasa berada dalam tanggungjawab mengutamakan kehidupan Islam atas kepentingan-kepentingan lain.

Kesepuluh : Usah dilupakan hak jasad. Kesihatan dan kekuatan fizikal wajib dipelihara. Ingatlah! Mukmin yang kuat lebih baik dan lebih dikasihi Allah dari mukmin yang lemah. Hindari diri dari kerja yang meletihkan dan merosakkan ketangkasan badan. Oleh itu bersederhanalah dalam bekerja dan makan-minum.

Sahabatku,
Jadikanlah sepuluh perkara diatas sebagai KPI untuk muhasabah diri yang mesti berjalan setiap masa dan saat selagi denyutan nadi kalian berfungsi bukan hanya berjalan dalam waktu tertentu sahaja.

Ingatlah! Kalian semua harapan Islam untuk membawa risalah yang mulia ini dan untuk memakmurkan alam dan membawa kebahagiaan dalam kehidupan insan. Berhati-hatilah dalam menghadapi cabaran baru yang mendatang!

Sentiasa Sibuk Mendisiplinkan Diri

Sahabat yang dirahmati Allah,
Semoga Allah sentiasa memberkati serta merahmati kalian dan dibahagiakan dengan keredhaan-Nya. Sentiasa beroleh taufik, hidayah dan keimanan mendalam. Hiasilah diri kalian dengan ketakwaan yang tinggi, mematuhi perintah Allah dan menjauhi larangan-Nya.

Sahabat yang di muliakan,
Jadilah kalian penyuluh ke jalan kebenaran. Elakkan kaki kalian menuju ke lorong maksiat dan keingkaran. Pimpinlah tangan rakan-rakan ke jalan ketaatan serta kejayaan hakiki.

Dalam kesibukan kalian memburu cita-cita dan kerjaya, ambillah sedikit waktu untuk meneliti hakikat kejadian kalian sebagai manusia. Renungkan maksud firman Allah SWT. dalam surah Az-Zariat ayat 20-21, "Dan di bumi itu terdapat tanda-tanda kekuasaan Allah bagi orang-orang yang yakin, dan juga pada dirimu sendiri. Maka apakah kamu tidak memerhatikan?"

Dengan itu Allah memerintah supaya memikirkan penciptaan diri kita. Untuk apa kita diciptakan? Fikirlah tentang tanda-tanda kekuasaan-Nya dalam penciptaan makhluk-Nya yang lain. Fikirkan tentang penciptaan bumi serta segala yang terkandung di dalamnya. Seterusnya fikirkan tanda-tanda kekuasaan Allah dalam penciptaan lautan yang mengandungi berbagai kehidupan yang bermanfaat kepada kita.

Usah pula lupa untuk memikirkan kekuasaan Allah SWT dalam penciptaan langit. Selidikilah sistem cakerawala supaya kalian merasai keajaiban ciptaan Allah SWT. Sesungguhnya dengan memerhatikan setiap ciptaan Allah SWT akan terbit rasa mengagungkan Allah SWT yang tiada tolok bandingnya. Inilah akan melahirkan keinsafan dihati kalian seterusnya dapat menghampirkan diri dengan Allah, menjadikan kalian muslim dan sentiasa taat dengan perintah-Nya.

Sepanjang kesibukan kalian untuk cemerlang dalam pelajaran atau kerjaya, hayatilah maksud firman Allah SWT. dalam surah Ali-Imran, ayat 191, "Sesungguhnya dalam penciptaan langit dan bumi dan silih bergantinya malam dan siang terdapat tanda-tanda bagi orang-orang yang berakal, iaitu orang-orang yang mengingati Allah sambil berdiri atau duduk atau dalam keadaan berbaring dan mereka memikirkan tentang penciptaan langit dan bumi seraya berkata, 'Ya Tuhan kami, tiadalah Engkau menciptakan ini dengan sia-sia, Maha Suci Engkau, maka peliharalah kami dari siksa api Neraka'."

Oleh itu, sentiasalah meneliti serta menilai kualiti diri kalian kerana kalian tidak dijadikan untuk sia-sia. Adakah semua anggota badan yang Allah SWT kurniakan telah digunakan sebaik-baiknya untuk mentaati Allah SWT? Usahlah hanya mengingati Allah SWT ketika genting sahaja. Fikirkanlah mengenai kewajipan sebagai hamba Allah SWT. Gunakanlah segala kurniaan Allah SWT untuk melaksanakan ketaatan kepada-Nya. Terhadap dosa dan kesilapan yang pernah dilakukan, berazamlah untuk tidak mengulanginya. Sentiasalah bertekat untuk melaksanakan ketaatan dengan lebih baik pada masa-masa mendatang.

Sahabat yang dimuliakan,
Marilah kita renung sebuah riwayat yang membentangkan keberuntungan umat Muhammad SAW. Nabi Adam a.s. telah berkata :

"Sesungguhnya Allah kurniakan umat Muhammad SAW  empat kemuliaan yang tidak diberikan kepadaku :

1. Allah SWT menerima taubatku di Mekah sahaja tetapi umat Muhammad tetap diterima taubat di mana sahaja mereka berada.

2. Aku berpakaian, apabila aku engkar dijadikan-Nya aku telanjang, tetapi umat Muhammad melakukan maksiat dalam telanjang tetapi Allah SWT terus beri mereka pakaian.

3. Apabila aku melakukan dosa, terpisah aku daripada isteriku tetapi umat Muhammad melakukan maksiat kepada Allah SWT tidak dipisahkan mereka daripada isteri mereka.

4. Aku melakukan dosa di dalam syurga dan dikeluarkan aku darinya, tetapi umat Muhammad melakukan maksiat kepada Allah SWT diluar syurga, dimasukkannya ke dalam syurga setelah bertaubat."

Sahabat ayng diksihi,
Maka bersyukurlah kepada Allah SWT kerana betapa banyaknya nikmat Allah yang kalian terima. Syukur itu berhubung dengan hati, lidah dan anggota badan. Dengan hati kita berakidah bersih terhadap Allah SWT dan berperasaan baik terhadap semua makhluk. Dengan lidah kita mengucapkan kata puji-pujian kepada Allah SWT dan kata-kata yang mendekatkan manusia kepada Allah SWT. Dengan anggota badan ertinya kita menggunakan semua pancaindera untuk mentaati-Nya serta menjauhi maksiat.

Akhir kata, dalam setiap perbuatan hendaklah ikhlas, dengan hanya mengharapkan keredhaan Allah SWT. Dengan ini akan ujud hati yang tenang, lapang, bebas dari sebarang tekanan dan kerungsingan.

Orang Mukmin Perlu Bermuhasabah Diri dan Membuat Perancangan Untuk Masa Hadapan


Sahabat yang dirahmati Allah,
Allah SWT  mengurniakan semua manusia dengan dua mata. Mata adalah antara nikmat jasadiah yang terbesar, juga merupakan lubang dugaan yang paling hebat bagi insan. Dengan mata manusia mampu melihat, sekali gus menjana akalnya untuk berfikir pelbagai perkara.

Namun dengan mata juga manusia mudah bermaksiat dan akhirnya dari apa yang dilihat, akalnya berfikir pelbagai perkara yang merosakkan. Di samping dua mata yang Allah SWT berikan kepada manusia, terfikir pula 'dua mata' lagi manusia hakikatnya perlu wujudkan dalam diri mereka. Satu mata yang melihat masa belakang. Satu mata lagi melihat masa hadapan.

Mata melihat masa belakang : Muhasabah

Kelemahan manusia antaranya adalah membuat kesilapan yang sama berulang-ulang. Dengan mengulangi kesilapan yang sama, peningkatan manusia dalam hidupnya akan terganggu. Manusia yang baik, adalah manusia yang tidak mengulangi kesilapannya.

Sebab itu Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud : "Seorang mukmin itu tidak akan disengat kala pada lubang yang sama sebanyak dua kali."

Di sini perlunya kita, sebagai seorang yang ingin mendekatkan diri kepada Allah SWT, dan menjalani kehidupan dengan baik, hidup dalam ketaatan, sekali gus menggapai redha-Nya, perlu mempunyai mata melihat masa belakang (bermuhasabah). Dengan mata ini, kita bermuhasabah dan merenung salah silap kita. Ramai manusia mengingati kelebihannya, kebaikannya dan kegemilangannya. Namun amat sedikit yang mengingati kekurangannya, kejahatannya dan kerendahannya.

Mata melihat masa hadapan : Merancang.

Satu lagi kelemahan manusia adalah tidak mempunyai perancangan. Hidupnya tidak dirancang, pengurusan dirinya tidak dirancang, keluarganya tidak dirancang, pekerjaannya tidak dirancang, tarbiah anak-anaknya tidak dirancang, pelajarannya tidak dirancang dan begitulah dalam kebanyakan sisi kehidupannya. Apakah perbezaan manusia yang merancang dengan yang tidak merancang?

Manusia yang merancang akan bersedia. Persediaan adalah pakej perancangan. Jangan samakan merancang dengan harapan, atau sembang kemas atau cakap omong kosong. Merancang bermakna mempnyai agenda dan strategi.

Apabila kita telah bersedia dan tidak mendapat apa yang dirancang, sekurang-kurangnya persediaan kita tadi punya makna pada medan lain. Contohnya, seorang lelaki merancang hendak berkahwin dengan si Fulanah binti Fulan. Maka lelaki itu mula mengumpul wang. Sampai pada masanya, si Fulanah tidak mahu berkahwin dengan lelaki tersebut. Apa yang dirancang oleh lelaki tersebut tidak berjaya. Dan duit itu boleh jadi bermakna di medan lain pula. Kegagalan satu perancangan, bukan penamat pada kehidupan. Begitulah juga dalam menjadi hamba Allah SWT.

Apakah perancangan kita? Di mana strategi kita hendak menggapai redha-Nya? Apakah jalan yang kita hendak ambil? Pernahkah kalian merancang? Allah SWT juga menggalakkan perancangan.

Firman Allah SWT maksudnya : "Wahai orang-orang yang beriman, bertakwalah kamu kepada Allah, dan hendaklah setiap kalian memerhatikan apa yang telah dia sediakan untuk hari esok..." (Surah Al-Hasyr, ayat 18)

Sahabat yang dimuliakan,
Muhasabah dan perancangan adalah amat penting. Tidak guna merancang sesuatu yang akan mengulangi kesilapan yang sama pada masa yang lalu. Bersama manusia, ada masa. Masa ini tidak akan dapat dikembalikan.

Bagi yang tidak bermuhasabah dan asyik mengulangi kesilapannya yang sama, maka dia telah kehilangan masa-masanya yang berharga. Bagi yang tidak merancang dan kehidupannya tunggang-langgang, dia juga telah kehilangan masa-masanya yang berharga. Inilah dia kerugian. Sebab itu Allah SWT berfirman : "Demi masa, sesungguhnya manusia itu berada dalam kerugian." (Surah Al-Asr, ayat 1-2)

Dan lebih merugikan, apabila kita tidak bermuhasabah, kita mengulangi kesilapan kita yang sama, dan mewariskan pula kesilapan itu pada anak-anak , pada keturunan kita, pada sahabat-sahabat  dan manusia di sekeliling kita. Lebih merugikan, kerana kita tidak merancang, keluarga kita rosak, pelajaran kita terbengkalai dan diri kita terhumban ke dalam kerosakan. Na'udzubillah.

Inilah kerugian yang nyata. "Katakanlah : Sesunggguhnya orang yang rugi itu adalah mereka yang merugikan diri mereka dan keluarga mereka di akhirat." (Surah Az-Zumar, ayat 15)

Bukankah dunia ini ladang akhirat? Di sini kita menanam, di sana kita menuai? Maka rugi di sini, maka di akhirat sana juga menanti hasilan kerugiannya. Bagaimana? Hendak mewujudkan dua mata ini dalam kehidupan? Atau memilih untuk tidak melakukan apa-apa peningkatan?

Sahabat yang dikasihi,
Marilah sama-sama kita perbaiki misi dan visi kita dalam kehidupan iaitu kita bermuhasabah diri di atas kelemahan dan memperbaikinya, begitu juga kita membuat perancangan untuk membina masa depan yang lebih baik semata-mata mencari keredhaan Allah SWT.

Muhasabah Diri Untuk Kehidupan Yang Lebih Cemerlang

Sahabat yang dirahmati Allah,
Setiap saat masa berlalu, samaada kita sedar ataupun tidak sebenarnya kita telah menghampiri bertemu dengan Allah S.W.T. Berlalunya masa itu dari detik ke suatu detik, minit ke minit, jam ke jam, suatu hari ke suatu hari, adalah aturan, ketentuan dan ketetapan Allah S.W.T.
Inilah hakikat kehidupan, ia sentiasa bergerak pantas dan tidak  berada dalam keadaan statik. Kepantasan dan bergeraknya masa itu berlalu, dan kita sebagai manusia harus sentiasa disedarkan tentang hakikat ini, bahawa hakikat kehidupan ia sentiasa bergerak dan berubah. Masa berubah, dan sejajar dengan itu juga usia kita semakin meningkat dan bertambah. 

Firman Allah S.W.T. maksudnya : "Demi masa sesungguhnya manusia itu benar-benar di dalam kerugian, kecuali orang-orang yang beriman dan beramal soleh. Dan berpesan-pesan kepada kebenaran dan berpesan-pesan kepada kesabaran." (Surah al-Ashr ayat 1-3)
Penjelasan ayat di atas memberi satu penerangan yang nyata kepada manusia bahawa suatu nilai kehidupan di dunia ini terletak kepada nilaian iman dan amal soleh. Melalui kehidupan bersama nilaian ini melambangkan kita sudah tempah tiket untuk keselamatan di alam seterusnya.


Sahabat yang dimuliakan,
Kehidupan kita di dunia ini umpama musafir yang singgah berteduh di bawah sepohon pokok, kemudian meneruskan perjalanannya. Kehidupan di dunia hanyalah seketika sedangkan kehidupan di akhirat adalah selama-lamanya.

Meletakkan matlamat, merancang pelan kehidupan, meletakkan strategi, melaksanakan pelan tindakan, pemantauan proses tindakan dan menilai setiap apa yang kita lakukan di dunia ini adalah satu tindakan yang bijak dan harus kembangkan kepada seluruh masyarakat. Sentiasa sedar untuk terus mengkoreksi, menilai dan muhasabah diri adalah satu sikap yang harus disistemkan dan dibumikan dalam amalan seharian.

Perkara ini telah diamalkan oleh para sahabat, alim ulama, dan para cerdik pandai yang terdahulu daripada kita dan hasilnya mereka sentiasa mempertingkatkan diri untuk menjadi lebih baik dari sehari ke sehari. Moto harian mereka ialah, "Hari ini lebih baik daripada semalam dan hari esok lebih baik daripada hari ini" terus subur dalam jiwa mereka.

 Sahabat yang dikasihi,
Ingatlah ketika Allah S.W.T.  berfirman yang bermaksud: "Hai orang-orang yang beriman, bertakwalah kepada Allah dan hendaklah setiap diri memperhatikan apa yang telah diperbuatnya untuk hari esok (akhirat) dan bertakwalah kepada Allah, sesungguhnya Allah Maha Mengetahui apa yang kamu kerjakan."
(Surah al-Hasyr ayat 18)

Ayat di atas mengingatkan  agar selalu muhasabah diri.

"Kamu ibarat pedagang di dunia ini!

Ajaran Islam dan segala hukumnya adalah modalmu.

Keikhlasan, ketaatan dan istiqamah adalah strategimu.

Pahala dan keampunan dari Allah adalah untungmu.

Keredaan Allah adalah matlamatmu.

Tempoh perniagaanmu hanya seumur hidupmu sahaja.

Jika kamu beruntung dan berjaya hendaklah kamu bersyukur kepada Allah S.W.T. sambil mengucap 'Alhamdulillah.'
Jika ditakdirkan kamu kurang bernasib baik dalam hidup ini, rugi atau gagal apa yang dihajatkan maka janganlah lemah dan patah semangat...

Perbaikilah langkah kamu sambil memohon ampun kepada Allah. 

Mungkin ada dosa-dosamu yang menyebabkan kegagalan ini. 

Ucaplah istighfar agar Dia mengampunkan dosa-dosamu dan segala keterlanjuranmu."

Sahabat yang dihormati,
Hayatilah firman Allah S.W.T. yang bermaksud : “Sesungguhnya jika kamu bersyukur, pasti Kami akan menambah (nikmat) kepadamu dan jika kamu mengingkari (nikmat Ku), maka sesungguhnya azab Ku sangat pedih.”
(Surah Ibrahim, ayat 7).
 
Ingatlah pesanan Saydina Umar al-Khattab r.a :
"Hisablah dirimu sebelum kamu dihisab (Allah) dan timbanglah dirimu sebelum ditimbang (Allah) serta bersiap-siaplah untuk menghadapi hari peperiksaan yang paling besar (hari kiamat)".

Marilah sama-sama kita menilai prestasi amalan dan segala hasil kerja yang kita perolehi. Muhasabah secara menyeluruh, kemudian membuat penilaian secara jujur, ikhlas dan melihat dengan mata hati. Jika terdapat kekurangan, berazamlah untuk memperbaiki dan mempertingkatkannya. Sekiranya ia menampakkan kebaikan, maka bertekadlah untuk memeliharanya sehingga mampu mengekalkannya pada tahap yang baik dan konsisten. Semoga amalan kita terus mendekatkan diri kepada Allah S.W.T. dan mampu menjadi bekalan di hari pertemuan dengan Allah S.W.T. nanti. Insya Allah.

Muhasabah Diri Untuk Menjadi Insan Soleh Dan Bertakwa.

Sahabat yang dirahmati Allah,
Alhamdulillah syukur kepada Allah SWT sehingga ke hari ini Allah SWT masih memanjangkan umur kita di bulan Ramadan al-Mubarak, dapat meneruskan ibadah puasa dan dapat meneruskan ibadah rutin kita setiap hari. Tanpa kita sedari bermula sahaja hari baru ini bermakna umur kita semakin singkat untuk menuju kepada kematian. Kematian tidak dapat ditangguhkan walaupun sesaat atau di cepatkan sesaat semuanya telah tertulis di Loh Mahfuz. Walaupun manusia cuba menjaga kesihatan dengan serapi mungkin dan makan makanan kesihatan yang terbaik dipasaran. 

Allah SWT  berfirman maksudnya : "Tiap-tiap umat mempunyai batas waktu; maka apabila telah datang waktunya mereka tidak dapat mengundurkannya barang sesaatpun dan tidak dapat (pula) mencepatkannya. (Surah al-A'raf ayat 34)

Kematian apabila datang tidak kira umur seseorang , samaada kanak-kanak, remaja yang sihat, dewasa yang berkerjaya dan orang tua yang uzur. Setelah kematian tidak ada lagi kehidupan untuk beramal tetapi yang ada adalah kehidupan untuk mendapatkan balasan dan hisab, tidak ada lagi kehidupan kedua di dunia yang ada adalah kehidupan di alam barzakh dan hari akhirat, hari akhirat adalah hari yang kekal selama-lamanya.

Manusia yang tidak beramal semasa peluang hidup di dunia akan menyesal dan kecewa tetapi semuanya sudah terlambat dan umurnya tidak akan dikembalikan balik oleh Allah SWT . Maka apa yang telah dikerjakan semasa di dunia itu sahaja yang akan dibawa bersama untuk berhadapan dengan Allah SWT di alam barzakh dan hari akhirat.

Nabi SAW berpesan bahawa hidup di dunia ini umpama musafir yang sedang dalam perjalanan menuju destinasi yang dituju. Perjalanan ke alam barzakh dan akhirat adalah terlalu jauh  perlu kepada bekalan yang cukup kerana dikhuatiri terkandas di tengah diperjalanan. Bekalan yang dimaksudkan disini adalah bekalan amal-amal soleh, amal ibadah dan amal kebajikan . Nabi SAW juga berpesan semasa perjalanan supaya meninggalkan beban-beban yang berat dan tidak diperlukan kerana ianya akan menyusahkan dalam perjalanan. Maksudnya beban dosa dan maksiat perlulah ditinggalkan sebanyak mungkin (jika boleh kosongkan terus) kerana perjalanan menuju akhirat memakan masa beribu tahun sebelum dihisab dan dimasukkan samaada ke syurga atau ke neraka.

Hadis Anas bin Malik r.a katanya: Nabi SAW  bersabda: "Apabila seseorang hamba dikebumikan di dalam kuburnya kemudian ditinggalkan oleh kawan-kawannya nescaya dia akan mendengar bunyi hentakan tapak kasut mereka. Seterusnya dia akan didatangi oleh dua malaikat lalu mendudukkannya dan bertanya: 'Apa pendapatmu tentang lelaki ini iaitu Nabi Muhammad SAW?'. Baginda bersabda lagi: 'Sekiranya dia seorang mukmin, nescaya dia akan menjawab: Aku bersaksi bahawa dia hamba Allah dan pesuruh-Nya'. Lalu diberitahu kepadanya: 'Lihatlah tempatmu di neraka, sesungguhnya Allah telah menggantikannya dengan syurga. Nabi SAW bersabda: 'Dia dapat melihat kedua-duanya iaitu syurga dan neraka." (Hadis Riwayat Muslim- no. 5115)


Alam barzakh adalah alam pertengahan di antara alam dunia dan hari akhirat. Di alam barzakh seorang manusia akan tahu kedudukannya nanti selepas berlakunya kiamat dan di himpunkan di Padang Mahsyar samaada akan ke syurga atau ke neraka. Jika dia termasuk golongan orang-orang yang beriman dan bertakwa maka dia akan duduk di alam barzakh seperti taman-taman syurga, tetapi sebaliknya jika dia orang kafir, fasik atau munafik maka dia akan duduk di alam barzakh seperti salah satu lubang daripada lubang-lubang api neraka. Masing-masing akan diperlihatkan setiap pagi dan petang.

Hadis Ibnu Umar r.a: Rasulullah SAW  bersabda: "Apabila seseorang itu mati, akan diperlihatkan tempatnya setiap pagi dan petang. Sekiranya dia di kalangan ahli syurga, akan diperlihatkan kepadanya syurga. Sekiranya dia dari kalangan ahli neraka, akan diperlihatkan kepadanya neraka. Diberitahu kepadanya: Inilah tempatmu sehingga kamu dibangkitkan oleh Allah pada hari kiamat." (Hadis Riwayat Muslim- no.5110) 

Bagi orang-orang kafir dan ahli maksiat (melakukan dosa-dosa besar) mereka bukan sahaja menderita kerana melihat azab yang akan mereka terima nanti tetapi di alam barzakh sendiri mereka akan di seksa dengan azab  kubur yang bukan kepalang sakitnya dan dibalun setiap hari kerana dosa-dosa yang pernah mereka lakukan ketika di dunia. Malaikat Munkar dan Nakir datang dalam keadaan bengis dan tidak ada belas kasihan, bumi menghimpit simati dengan hempitan yang dahsyat dan ular-ular yang berbisa akan membelit dan mematuk simati. Penyiksaan ini dilakukan berulang-ulang hingga sampai hari kiamat.

Sahabat yang dimuliakan,
Hari kiamat pasti datang mematikan semua makhluk lalu membangkitkannya kembali untuk mendapatkan hisab dari seluruh amalnya. Setelah itu tidak ada lagi hari untuk beramal kerana hari itu adalah hari pembalasan. Beramalah sebelum hari kiamat tiba.

Sabda  Rasulullah SAW  yang bermaksud : "Orang yang paling menyesal pada hari kiamat ialah lelaki yang ada peluang menuntut ilmu di dunia tetapi ia tidak mengambil kesempatan menuntutnya, dan lelaki yang mengajar ilmu kepada orang lain; lalu yang belajar darinya mendapat faedah dari ilmu itu sedangkan ia sendiri tidak mendapat apa-apa."

Dari Ady bin Hatim r.a. yang berkata, bahawa Rasulullah SAW. telah bersabda, "Tidak seorang pun di antara kamu sekelian, kecuali Tuhannya akan berbicara kepadanya besok di hari kiamat. Antara ia dan Tuhannya tidak ada penterjemah. Ia memandang suatu kebaikan, maka ia tidak melihat kecuali apa yang telah dipersembahkannya, dan ia memandang sesuatu yang buruk darinya, maka ia tidak melihat kecuali apa yang telah dilakukannya serta memandang apa yang ada di depannya, maka ia tidak melihat kecuali neraka yang persis ada di depan wajahnya. Maka takutlah kalian kepada neraka meski dengan hanya (bersedekah) separuh kurma, dan kalimat yang baik." (Hadis Riwayat Muttafaq Alaih)

Sahabat yang dikasihi,
Marilah kita meningkatkan amal ibadah dan amal soleh kita di bulan yang mulia ini. Apakah maksud amal soleh? Amal soleh adalah setiap amal yang boleh mendatangkan pahala. Sebesar-besar amal soleh adalah solat hingga sekecil-kecilnya membuangkan halangan dijalan raya. Amal yang mula-mula di hisab di hari akhirat adalah solat seseorang, jika diterima solatnya maka barulah amal soleh yang lain akan di hisab. Buangkanlah segala beban-beban dosa yang akan menyusahkan kita dengan kita banyak bertaubat dan beristighfar dan bersedekah.

Jika ada dosa-dosa menumpat, memfitnah, mengambil barang orang maka cepat-cepatlah minta maaf dan pulangkan kepada yang punya hak. Jika di blog dan facebook banyak share berita-berita fitnah, sangkaan, tuduhan zina, kutuk orang lain , maki hamun maka cubalah minta maaf dan padamkan gambar-gambar dan nota-nota tersebut dan gantikan dengan nota-nota yang bermanfaat untuk mengajak kepada kebenaran dan Islam.

Jangan dilambat-lambatkan amal soleh ini dan jangan tunggu kerana dikhuatiri kita mati dulu tidak sempat bertaubat dan minta maaf kepada orang yang kita mengumpat dan fitnah dahulu, atau pun orang yang menjadi mangsa mengumpat dan fitnah mati dulu dan kita pula tidak sempat meminta maaf.  Kedua-dua keadaan kita amat mencemaskan jika kita fikir dengan hati yang yakin kepada kehidupan di hari akhirat.

Hitunglah Dirimu

Wahai Sahabatku yang dirahmati Allah,

Ingatlah ketika Allah SWT berfirman yang bermaksud: 
"Hai orang-orang yang beriman, bertakwalah kepada Allah dan hendaklah setiap diri memperhatikan apa yang telah diperbuatnya untuk hari esok (akhirat) dan bertakwalah kepada Allah, sesungguhnya Allah Maha Mengetahui apa yang kamu kerjakan."
(Surah al-Hasyr ayat 18)

Ayat di atas mengingatkan kita agar selalu menghitung diri.
Kita ibarat pedagang di dunia ini :
Ajaran Islam dan segala hukumnya adalah modalmu.
Keikhlasan, ketaatan dan istiqamah adalah strategimu.
Pahala dan keampunan dari Allah adalah untungmu.
Keredhaan Allah adalah matlamatmu.
Tempoh perniagaanmu hanya seumur hidupmu sahaja.
Jika kamu beruntung dan berjaya hendaklah kamu bersyukur kepada Allah s.w.t. sambil mengucap 'Alhamdulillah.'

Sahabatku yang dimuliakan,
Hayatilah firman Allah SWT yang bermaksud :
"Dan (ingatlah), tatkala Tuhanmu memaklumkan :' Sesungguhnya jika kamu bersyukur pasti kami akan menambah (nikmat-Ku), maka sesungguhnya azab-Ku sangat pedih."

Jika ditakdirkan kalian kurang bernasib baik, rugi atau gagal maka janganlah lemah dan patah semangat, perbaikilah langkah kamu sambil memohon ampun kepada Allah. Ucaplah istighfar agar Dia mengampunkan dosa-dosamu dan segala keterlanjuranmu.

Sahabat,

Kalian adalah batu-bata yang menegakkan bangunan Islam.
Jangan biarkan masamu walaupun sedikit berlalu begitu sahaja.
Gunakanlah masa itu untuk menghitung diri, hingga kamu ketahui amalan mana yang harus dipelihara atau diperelokkan dan amal mana yang harus ditinggalkan.
Dengan demikian, kamu dapat meneruskan langkah-langkah sebagai seorang yang beriman dengan lebih mantap untuk hari esok yang pastinya lebih mencabar akalmu, jiwamu dan saksiahmu.

Ingatlah pesanan Saydina Umar al-Khattab r.a :
"Hisablah dirimu sebelum kamu dihisab (Allah) dan timbanglah dirimu sebelum ditimbang (Allah) serta bersiap-siaplah untuk menghadapi hari peperiksaan yang paling besar (hari kiamat)".

Kerana itu sahabatlah yang diharapkan untuk membawa kebenaran dan kejayaan Islam!
Oleh itu berilah perhatian yang sungguh-sungguh akan semua pesanan ini.
Lantaran itu, fikirkan sedalam-dalamnya mengenai :

Pertama : Gerak hatimu.

Adakah gerak hati dan niatmu ikhlas kerana Allah SWT dalam melakukan sesuatu kerja. Adakah hatimu ada perasaan takabur dan ujub?.Ingatlah perasaan takabur dan ujub akan menghapuskan pahala dan amalan kebaikan.

Kedua : Perkara yang memenuhi akalmu.

Adakah kamu faham perbedzaan antara fikrah Islam dengan fahaman-fahaman sekular yang lain seperti nationalis, sosialis, kapitalis dan komunis? Untuk menjadi Muslim yang tulin dan baik, maka fahaman-fahaman yang sesat ini perlulah difahami dan dihindari agar ia tidak mempengaruhi akal dan fikiran sehingga ianya boleh membei kesan dalam kehidupan untuk menjadi hamba Allah s.w.t.

Oleh itu tingkatlah ilmu pengetahuan Islam, hadirlah dimajlis-majlis ilmu dan membaca buku-buku karangan ulama'-ulama' yang muktabar supaya ilmu dan fikrah kita benar-benar tulin yang tidak dipengaruhi dengan fahaman-fahaman sekular.

Ketiga : Kerjaya dan perniagaanmu.

Adakah semua kerja kamu semata-mata untuk menimbunkan kekayaan hingga melupakan perjuangan menegakkan agama Islam? Adakah kerja-kerja kamu menguntungkan atau merugikan Islam? Adakah kamu memperolehi rezeki dari sumber yang halal?
Oleh itu ingatlah semua rezeki datangnya dari Allah SWT  kita akan ditanya dari mana sumber datangnya rezeki dan kemana ianya digunakan.

Keempat : Ibdah kamu kepada Allah.

Adakah kamu tunaikan solah lima waktu dengan sempurna, tepat waktunya dan khusyuk? Dan adakah kamu tunaikan ibadah puasa dengan memenuhi semua syarat-syaratnya yakni kamu berpuasa zahir dan batin? Adakah kamu menjaga hubungan kamu dengan Allah setiap masa dan ketika, dan merasai bahawa Allah s.w.t. memerhatikan setiap pergerakan kamu setiap masa dan ketika?. Ingatlah bahawa kita diciptakan Allah s.w.t. adalah semata-mata untuk memperhambakan diri kepada-Nya.

Kelima : Aktiviti dan tugas harianmu.

Adakah kamu telah melaksanakan tugasmu terhadap oramg tuamu, rakan-rakanmu, anak-anak yatim dan masyarakat sekelilingmu?
Semua amal-amal kebajikan yang kamu laksanakan akan dikira sebagai amal soleh yang akan dapat membantumu ketika kamu berhadapan dengan Allah dihari akhirat nanti.

Wahai sahabatku,
Memanfaatkanlah sisa-sisa usiamu yang tinggal dengan berusaha memperbaiki diri.
Hiasilah diri kalian dengan akhlak Islamiah.

Jangan pandang dan buangkan jauh-jauh budaya serta akhlak yang bukan datang dari al-Quran dan Sunnah Nabi SAW.

Juga sentiasalah kalian merasakan Allah sentiasa mengawasimu.
Dialah Penguasa dan Pemilik segala yang ada di langit dan di bumi, baik yang nampak oleh mata zahirmu atau yang tidak kelihatan. Tapi, yakinilah akan kekuasaan-Nya.
Semoga sahabatku sentiasa mendapat petunjuk dan rahmat dari Allah SWT.

No comments:

Powered By Blogger | Template Created By Lord HTML