Tuesday, March 11, 2014

NABI AYUB A.S

Sirah Anbiya : Kesabaran Nabi Ayub a.s. Menghadapi Ujian Allah SWT

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh

سْمِ اللهِ الرَّحْمنِ الرَّحِيْم

Segala puji bagi Allah, Tuhan sekelian alam. Selawat serta salam buat junjungan mulia Nabi Muhammad SAW keluarga serta para sahabat dan pengikut yang istiqamah menuruti baginda hingga ke hari kiamat.

Sahabat yang dirahmati Allah,
Setiap Nabi dan Rasul utusan Allah SWT adalah manusia pilihan Allah SWT dimuka bumi untuk menyampaikan risalah Allah SWT terutama kepada kaumnya sendiri kecuali Rasulullah SAW diutuskan untuk sekelian manusia hingga ke hari kiamat.

Salah satu Nabi yang terkenal dengan kesabaran dan ketabahan menghadapi ujian Allah SWT adalah Nabi Ayub a.s.

Sebelum Nabi Ayub a.s. mendapat ujian yang berat salah seorang malaikat telah berkata; “Aku tidak pernah melihat seorang manusia yang hidup di atas bumi Allah yang lebih baik dari hamba Allah Ayub. Dia adalah seorang mukmin sejati dan ahli ibadah yang tekun. Walaupun mempunyai harta yang banyak, namun sebahagiannya digunakan untuk menolong orang fakir miskin. Hari-harinya terisi penuh dengan ibadah, sujud kepada Allah dan bersyukur atas segala nikmat yang yang ada”. 

Para malaikat mengakui kebenaran itu bahkan menyebut lagi beberapa sifat dan tabiat yang lain yang ada pada diri Nabi Ayub. Percakapan para malaikat yang memuji-muji Nabi Ayub itu didengar oleh Iblis laknatullah yang sedang berada tidak jauh dari tempat mereka berkumpul. Mereka merasa sakit hati dan geram mendengar kata-kata pujian para malaikat. Mereka tidak rela melihat seorang dari anak cucu anak Nabi Adam menjadi seorang mukmin yang baik, ahli ibadah yang tekun dan melakukan amal soleh.

Maka pergilah Iblis mendatangi Nabi Ayub untuk melihat sejauh mana kebenaran pujian para malaikat itu. Ternyata memang benar Nabi Ayub patut mendapat segala pujian itu. Siang dan malam sentiasa berada di mihrabnya untuk melakukan solat, berzikir, bertasbih dan bertahmid. Iblis pun menggoda Nabi Ayub supaya asyik kepada dunia namun usahanya gagal. Telinga Ayub pekak terhadap segala bisikannya dan hatinya sudah penuh dengan iman dan takwa. Cinta dan taatnya kepada Allah merupakan benteng daripada serangan godaan Iblis laknatullah.

Akan tetapi Iblis laknatullah masih tidak berputus asa lalu menghadap Allah untuk menghasut. Ia berkata : “Wahai Tuhan, sesungguhnya Ayyub yang menyembah, bertasbih dan bertahmid menyebut nama-Mu, tidak berbuat demikian seikhlas dan setulus hatinya kerana cinta dan taat pada-Mu. Ia melakukan semua itu kerana takut akan kehilangan semua kenikmatan duniawi yang telah Engkau kurniakan kepadanya”.

Lalu Allah berfirman : “Sesungguhnya Ayub adalah seorang hamba-Ku yang sangat taat kepada-Ku, ia seorang mukmin sejati, apa yang ia lakukan untuk mendekati dirinya kepada-Ku adalah semata-mata didorong oleh iman yang teguh dan taat yang bulat kepada-Ku."

Seterusnya Allah mencabar iblis supaya menggoda Nabi Ayub a.s. yang terkenal sebagai seorang yang beriman dan bertakwa.

Setelah itu, iblis pun mengumpulkan syaitan-syaitan, pembantunya dan bersepakat untuk merosakkan akidah dan iman Nabi Ayub. Caranya ialah dengan memusnahkan harta kekayaannya sehingga ia menjadi seorang yang miskin, mencerai-beraikan keluarganya sehingga ia menjadi sebatang kara. Nabi Ayub juga diuji dengan penyakit kulit yang teruk dan bermacam-macam penyakit yang lain sehingga baginda menjadi sangat kurus. Isteri yang dikasihinya juga meninggalkannya lantaran termakan pujukan syaitan durjana.

Maka datang lah iblis itu menyamar sebagai lelaki dan mencuba untuk menggoda Nabi Ayub a.s supaya tidak berharap pada Allah SWT.

Iblis berkata : "Sungguh malang nasib mu wahai Ayub , dulu kamu orang kaya sekarang kamu miskin. kasihan sekali dengan kamu."

Tapi Nabi Ayub a.s menjelaskan dengan penuh ketabahan.

"Segala puji bagi Allah, Allah telah mencurah diri ku nikmat , dimana nikmat itu adalah hak milik Allah.. dan saat Allah ingin kembali nikmat tersebut diambil. Maka Allah layak untuk mengambil nya dan aku sangat bersyukur kepada-Nya."

Pada satu saat, Allah SWT menguji lagi ketabahan Nabi Ayub a.s. di mana baginda ditimpa ujian dengan kematian anak-anaknya yang soleh, yang selama ini menyokong perjuangan baginda. Anak Nabi ayub a.s kesemuanya ditakdirkan mati di dalam sebuah gempa bumi yang dahsyat.

Iblis datang lagi mengambil kesempatan terus menerus menghasut Nabi Ayub a.s ,

"Wahai Ayub , apa yang ada pada mu ! harta benda mu telah pun hilang , anak-anak kamu semua nya telah diambil kembali oleh Allah. Apa yang ada pada kamu?"

Lalu Nabi Ayub a.s menjawab dengan penuh rendah hati,

"Anak-anak itu adalah milik Allah. Dia yang menghidup kan dan Dia jua yang mematikan. Segala puji bagi Allah."

Nabi Ayub a.s. tidak putus asa kepada Allah SWT walaupun telah kehilangan segala-galanya, tapi baginda reda selagi tidak kehilangan cinta Allah. Inilah sifat dan ciri-ciri orang yang beriman kepada Allah SWT.

Tidak putus asa walau apa jua sekali pun , kerana mereka tahu ujian itu adalah satu didikan langsung daripada Tuhan. Allah SWT mendidik kita melalui kesusahan, kesenangan, pujian mahu pun cercaan.

Iblis tetap tidak putus asa lalu , dia berjumpa dengan isteri Nabi Ayub a.s yang setia kepada suami nya , mengurus dan menjaga diri Nabi Ayub a.s. Tapi isterinya Rahmah telah terpedaya oleh iblis laknatullah.

Sebelum isterinya meninggal kan Nabi Ayub , dia mengadu keluhannya kepada suami nya Nabi Ayub a.s : " Wahai suami yang ku sayangi , sampai bila kah Tuhan mu akan mengazab mu! Dulu kita senang , kita dikelilingi dengan anak-anak yang soleh , kita dikurniakan kesenangan harta benda , kita dipandang tinggi oleh masyarakat. Kenapa kau tidak mohon saja kepada Tuhan mu wahai suami ku , agar Tuhan membebaskan kita daripada kesusahan ini."

Lalu Nabi Ayub a.s memberi jawapan dengan pertanyaan : "Wahai isteri yang ku sayangi , tadi kau sesali anak-anak yang telah pergi , dan kau lagi sesali harta yang telah habis dan juga menyesali penyakit yang menimpa suami kamu ini. Aku ingin bertanya , berapa lama tempohnya Allah memberikan kita sebuah kehidupan yang senang lenang dengan segala harta , kemewahan , anak-anak , dengan kesihatan?"

" 80 Tahun." jawab Rahmah singkat.

Nabi Ayub tanyakan lagi. " Wahai isteri , berapa lama kita menderita dan sengsara dimuka bumi Allah ini?"

"7 tahun." jawab Rahmah.

Lalu Nabi Ayub a.s menadah munajatnya kepada Allah SWT dengan rendah hati dalam pilu dan sedih : "Wahai Allah. aku malu untuk memohon agar Engkau bebaskan aku daripada penderitaan dan kesusahan ini. Aku malu kerana nikmat yang telah Engkau berikan kepada kami selama 80 tahun , sama sekali tidak sebanding dengan kesusahan yang dialami 7 tahun ini."

"Wahai Allah. Sesungguhnya isteri ku telah dihasut syaitan."

"Wahai Allah , andai aku diberikan kesempatan kesembuhan oleh Allah. Pasti akan aku sebat isteri ku 100 kali sebatan sebagai hukuman.."

Dan untuk mu wahai isteri ku Rahmah , aku tidak akan makan dan minum lagi apa-apa dari hasil tanganmu itu mulai pada saat ini ! Aku tidak akan meminta tolong lagi daripada kamu wahai isteriku.. Tinggal kan saja diri ku menerima ketentuan daripada Allah."
Maka tinggal lah Nabi Ayub bersendirian keseorangan.

Al Quran menggambarkan munajat Nabi Ayub a.s merayu merintih pada Allah SWT.

Maka tinggallah Nabi Ayyub sendirian dalam kesakitan namun baginda tetap tabah dan sabar kerana yakin dan beriman bahawa Allah SWT sentiasa bersamanya.

Firman Allah SWT maksudnya : "Dan (sebutkanlah peristiwa) Nabi Ayub, ketika ia berdoa merayu kepada Tuhannya dengan berkata: "Sesungguhnya aku ditimpa penyakit, sedang Engkaulah sahaja yang lebih mengasihani daripada segala (yang lain) yang mengasihani. Maka Kami perkenankan doa permohonannya, lalu Kami hapuskan penyakit yang menimpanya, serta Kami kurniakan kepadanya: keluarganya, dengan seganda lagi ramainya, sebagai satu rahmat dari Kami dan sebagai satu peringatan bagi orang-orang yang taat kepada Kami (supaya bersabar dan mendapat balasan baik)." (Surah al-Anbiya' ayat 83-84).

Allah lalu mewahyukan kepada Nabi Ayub a.s. supaya menghentakkan kakinya ke tanah supaya keluar air daripada tanah tersebut. Air yang keluar itu hendaklah diminum dan digunakan untuk mandi agar segala penyakit yang dideritainya menjadi sembuh. 

Sebagaimana firman Allah di dalam surah Shaad ayat 42 , maksudnya “(Maka Kami kabulkan permohonannya serta Kami perintahkan kepadanya) : “Hentakkanlah (bumi) dengan kakimu”, (setelah ia melakukannya maka terpancarlah air, lalu Kami berfirman kepadanya) : “Ini ialah air sejuk untuk mandi dan untuk minum (bagi menyembuhkan penyakitmu zahir dan batin)”.

Nabi Ayub dipilih sebagai nabi dan teladan yang baik bagi hamba-hamba-Nya sehingga dikenali sebagai simbol kesabaran. 

Sahabat yang dikasihi,
Pengajaran dari kisah Nabi Ayub as. di atas adalah seperti berikut : 

Pertama : Kita hendaklah beriman kepada Allah SWT dengan sebenar-benarnya, yakin kepada ketentuan takdir daripada Allah SWT kerana semuanya mengandungi hikmah yang banyak disisi Allah SWT.

Kedua : Kita hendaklah sabar dalam menghadapi apa jua dugaan dan cabaran. Allah SWT sentiasa bersama kita.

Firman Allah SWT maksudnya : "Dan sungguh akan Kami berikan cubaan kepadamu, dengan sedikit ketakutan, kelaparan, kekurangan harta, jiwa dan buah-buahan. Dan berikan berita gembira kepada orang yang sabar.'' (Surah al-Baqarah ayat 155)

Ketiga : Setiap kesusahan itu ada kebahagiaan dan kejayaan.

Firman Allah SWT :

إِنَّ مَعَ الْعُسْرِ يُسْرًا ) 

Maksudnya : "Sesungguhnya bersama kesusahan itu ada kemudahan." 
(Surah Alam Nasyrah ayat 6)

Keempat : Setiap penyakit ada ubatnya.

Rasulullah SAW telah bersabda yang maksudnya:”Bahawa Allah telah menurunkan penyakit dan ubat dan dijadikan kepada setiap penyakit ada ubatnya, berubatlah tetapi jangan berubat dengan benda-benda yang haram.”(Hadis Riwayat Abu Daud)

Kelima : Isteri yang solehah akan sentiasa bersama suaminya ketika menghadapi musibah seperti penyakit dan bersabar mengharungi ujian kehidupan. 


No comments:

Powered By Blogger | Template Created By Lord HTML