Tiga Nasihat Nabi SAW Kepada Abu Hurairah Untuk Dijadikan Ikhtibar
أًلسَّلاَمُ عَلَيْكُمْ
بِسْمِ اللهِ الرَّحْمنِ الرَّحِيْمِ
Segala puji bagi Allah, Tuhan sekelian alam. Selawat serta salam buat junjungan mulia Nabi Muhammad S.A.W. keluarga serta para sahabat dan pengikut yang istiqamah menuruti baginda hingga ke hari kiamat.
Sahabat yang dirahmati Allah,
Abu Hurairah berkata , Nabi SAW bersabda maksudnya : “Barang siapa yang mengambil daripada aku nasihat - nasihat ini dan dia beramal dengan nasihat ini ataupun dia mengajarkan orang akan nasihat ini maka sesungguhnya kebaikan akan dapat kepada nya”
Abu Hurairah berkata : “Aku nak pegang nasihat itu ya Rasullullah”
Nabi pegang tangan Abu Hurairah lalu Nabi SAW bersabda maksudnya : “Yang pertama kamu jadikanlah diri kamu takut melakukan benda – benda yang haram. Kalau kamu boleh jadikan diri kamu takut kepada benda-benda yang haram, kamu jadi manusia yang paling kuat beribadat pada Allah".
Kemudian Nabi SAW bersabda maksudnya : ” Kamu kena reda dengan benda yang di bahagi-bahagikan oleh Allah. Kamu jadi orang paling kaya”.
Kemudian sabda Nabi SAW lagi maksudnya : “ Dan berbuat baik engkau kepada jiran nescaya jadi engkau mukmin yang kamil”
(Hadis Riwayat Tarmizi)
Berdasarkan hadis di atas terdapat nasihat-nasihat Nabi SAW kepada Abu Hurairah. Apabila kita menjaga tiga perkara maka akan mendapat tiga kebaikan pula yang akan dikurniakan oleh Allah SWT.
Perkara tersebut adalah seperti berikut :
Pertama : "Kamu jadikanlah diri kamu takut melakukan benda – benda yang haram kamu jadi manusia yang paling kuat beribadat pada Allah"
Setiap perkara haram adalah penyakit. Penyakit yang akan menyerang hati. Apabila seseorang melakukan satu dosa, maka akan terjadi sati titik hitam di dalam hatinya, jika berkali-kali dosa itu dilakukan maka lama kelamaan hati akan menjadi hitam kerana banyaknya dosa yang telah dilakukan. Bila hati menjadi hitam pekat maka akan wujud hijab di antara hati manusia dengan Allah SWT. Maka terhalanglah taufik dan hidayah daripada Allah SWT.
Apabila hati bebas daripada kotoran dosa dan penyakit-penyakit hati maka akan melahirkan kekhusyukkan dan ketenangan dalam melaksanakan ibadah kepada Allah SWT
Hati yang sihat, tidak berpenyakit akan memancarkan sinar kebahagiaan pada dirinya, kerana itulah kita melihat orang yang hatinya sihat akan sentiasa tenang, bahagia, ceria tidak stres, sebagaimana orang yang tubuhnya sihat akan sentiasa gembira, aktif dan bahagia. Itulah yang diinginkan oleh setiap manusia.
Firman Allah SWT
الَّذِينَ آمَنُوا وَتَطْمَئِنُّ قُلُوبُهُمْ بِذِكْرِ اللَّهِ أَلَا بِذِكْرِ اللَّهِ تَطْمَئِنُّ الْقُلُوبُ
Maksudnya; Orang-orang yang beriman dan hati mereka manjadi tenteram dengan mengingat Allah. Ingatlah, Hanya dengan mengingati Allah-lah hati menjadi tenteram.
(Surah al-Ra'd ayat 28)
Apabila seseorang tidak mengetahui bahawa dosa merupakan hal yang dapat menjauhkan dirinya dari Allah, maka dia tidak akan merasa menyesal atas dosa yang dilakukannya, dan ia juga tidak merasa bersalah dengan perilakunya yang jauh dari Tuhannya. Semua itu mengakibatkan ia tidak akan pernah kembali kepada jalan yang benar, iaitu jalan taubat. Oleh kerana itu, mengetahui punca-punca dosa dan menjauhkan diri daripadanya adalah satu kewajipan kepada Allah SWT.
Ibnu al-Mubarak Rahimahullah berkata; "Aku melihat dosa-dosa mematikan hati. Kadang kebiasaan melakukan dosa mengakibatkan kehinaan. Meninggalkan dosa adalah kehidupan hati. Itu lebih baik untuk dirimu dengan meninggalkannya."
Kedua : "Kamu kena reda dengan benda yang di bahagi-bahagikan oleh Allah. Kamu jadi orang paling kaya”.
Kalau seseorang itu reda akan kurniaan Allah SWT maka dia akan jadi orang yang kaya. Sememangnya bagi individu yang mempunyai sifat khana'ah (berasa cukup dengan apa yang ada) dia akan kaya kerana rezeki yang Allah SWT bagi walaupun sedikit tetapi cukup. Berbeza dengan orang yang gaji besar tetapi wang yang banyak tidak cukup untuk memenuhi kehendak nafsunya. Saidina Ali bin Abi Talib k.wj pernah jumpa nabi dan bertanya kepada Rasullullah SAW : “Ya Rasululullah siapakah orang paling miskin dan siapakah orang paling kaya”..Nabi SAW bersabda maksudnya : “Sesungguhnya orang paling miskin ialah orang yang sentiasa tidak cukup dengan apa yang ada , sesunguhnya orang yang paling kaya ialah orang yang cukup dengan apa yang ada”
Firman-Nya bermaksud: “Sesungguhnya jika kamu bersyukur, pasti Kami akan menambah (nikmat) kepadamu dan jika kamu mengingkari (nikmat Ku), maka sesungguhnya azab Ku sangat pedih.” (Surah Ibrahim, ayat 7).
Ketiga : “ Dan berbuat baik engkau kepada jiran nescaya jadi engkau mukmin yang kamil”
Daripada Abu Hurairah r.a., bahawa Rasulullah SAW telah bersabda: "Barangsiapa yang beriman dengan Allah dan hari akhirat, maka hendaklah dia memuliakan jiran tetangganya". (Hadis Riwayat Bukhari dan Muslim.)
Nabi Muhammad s.a.w pernah bersabda: "Siapa yang benar beriman kepada Allah SWT. dan hari kemudian maka janganlah mengganggu jirannya dan berpesan-pesan baiklah kamu terhadap jiran" (Hadis Riwayat Bukhari)
Nabi Muhammad SAW pernah bersabda: "Berapa banyak jiran yang memegang tetangganya pada hari kiamat untuk diajukan kepada Allah SWT. lalu berkata:' Ya Allah orang ini telah menutup pintunya daripadaku dan tidak membantu aku' . " (Hadis Riwayat Bukhari)
Jiran tetangga adalah suatu golongan yang mendapat perhatian besar dalam lslam. Hormat menghormati, tolong menolong dan hidup berjiran yang muafakat adalah asas keamanan, kemajuan dan keharmonian sesebuah masyarakat.
Bagaimana Nabi SAW menyamakan seseorang yang beriman dengan Allah dan hari akhirat dengan memuliakan jiran tetangga. Baginda ada menyatakan bahawa tidak sempurna iman seseorang muslim itu jika dia tidur dalam keadaan kenyang dan dia membiarkan jirannya kelaparan dan dia mengetahui keadaan tersebut.
Sahabat yang dikasihi,
Marilah sama-sama kita amallkan hadis Nabi SAW yang tersebut di atas dalam kehidupan kita dan disampaikan pula kepada orang lain supaya saudara-saudara kita juga akan mendapat menfaat daripada nasihat yang amat berguna kepada kita semua. Semoga Allah SWT memberi kekuatan kita untuk sentiasa istiqamah di atas jalan yang benar.
No comments:
Post a Comment