Jauhi Fitnah Dengan Solat, Puasa dan Bersedekah
Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh
بِسْمِ ٱللَّهِ ٱلرَّحْمَـٰنِ ٱلرَّحِيم
Segala puji bagi Allah, Tuhan sekelian alam. Selawat serta salam buat junjungan mulia Nabi Muhammad SAW keluarga serta para sahabat dan pengikut yang istiqamah menuruti baginda hingga ke hari kiamat.
Sahabat yang dirahmati Allah,
Dari Umar r.a. katanya; "Siapa yang hafaz sebuah hadis dari Nabi SAW berkenaan fitnah?" Jawab Huzaifah, Aku mendengar baginda bersabda: "Fitnah seorang dalam keluarga, dalam hartanya dan tetangga dapat ditutup (dihapuskan) oleh solat, puasa dan sedekah." (Hadis Riwayat Bukhari)
Berdasarkan hadis diatas bahawa fitnah seseorang dalam keluarga, dalam hartanya dan jiran tetangganya boleh ditutup ( dihapuskan) dengan mengerjakan tiga perkara iaitu : solat, puasa dan bersedekah.
Apakah yang dimaksudkan dengan fitnah? Fitnah adalah sesuatau perkara , perbuatan atau percakapan yang boleh mendatangkan keburukan atau mudharat. Fitnah dalam keluarga biasanya berlaku selisih faham, perbalahan atau pergaduhan dikalangan suami, isteri atau anak-anak hingga menyebabkan keluarga menjadi huru-hara. Fitnah dalam harta adalah berlakunya perebutan harta atau kehilangan harta disebabkan salah urus dan fitnah jiran tetangga adalah perselisihan, permusuhan atau hasad dengki berlaku sesama jiran.
Nabi SAW telah memberi panduan bahawa untuk mengelakkan ketiga-tiga fitnah tersebut selain daripada solat fardu, puasa Ramadan dan berzakat maka seorang mukmin itu perlulah perbanyakkan solat sunat, puasa sunat dan bersedekah .
Firman Allah SWT maksudnya : “Wahai orang-orang yang beriman jadikanlah sabar dan solat sebagai penolongmu. Sesungguhnya Allah beserta orang-orang yang sabar.
(Surah al-Baqarah ayat 153)
Orang mukmin akan menjadikan sifat sabar dan solat adalah penolongnya. Solat yang dikerjakan dengan sempurna boleh mencegah seseorang daripada perbuatan keji dan mungkar.
Ibadah puasa akan melahirkan muslim yang amanah yang merupakan sifat yang tinggi nilainya. Puasa melatih manusia dengan sifat-sifat amanah kerana tanpanya puasa akan menjadi batal atau tidak sempurna. Jika begitu, sia-sia sahaja seseorang itu berpuasa dan tiada faedahnya menahan lapar dan dahaga.
Puasa mengajarkan rasa amanah di hadapan Allah SWT, baik dengan amalan yang nampak maupun yang tersembunyi.
Tidak ada yang mengawasi seseorang yang berpuasa agar menghindari hal-hal yang dilarang dalam berpuasa kecuali Allah SWT. Amanah yang dimiliki orang beriman mendorongnya untuk tetap menjaga kejujuran untuk tidak membatalkan puasa sekalipun ia tahu tidak seorang pun akan mengetahui perbuatannya.
Seorang anak lelaki bertanya Rasulullah SAW: "Sedekah mana yg lebih besar pahalanya?
Nabi SAW menjawab, "Sedekah yg diberikan sedangkan pada masa itu engkau masih sihat dan sebenarnya engkau bakhil (merasa sayang nak dermakan harta kerana takut jadi fakir dan engkau berangan jadi kaya) maka jangan menangguh sedekah sehingga apabila roh sampai dikerongkongan lalu pada masa itu kau berkata, "ini untuk si anu ini untuk si anu sekian" dan sebenarnya harta engkau pada masa itu memang akan dimilki oleh orang lain."
(Hadis Riwayat Bukhari dan Muslim)
Orang yang banyak bersedekah hatinya jadi bersih dan akan dijauhi daripada sifat mementingkan diri sendiri, sombong dan takbur.
Sahabat yang dikasihi,
Terlalu banyak hikmah dan kebaikan yang terdapat di dalam solat, puasa dan sedekah. Jika kita istiqamah dan terus melaksanakannya semata-mata kerana Allah SWT, rahmat dan keberkatan daripada Allah SWT akan dapat kita perolehi dan kita akan dijauhkan musibah dan bala oleh Allah SWT dan terhindar daripada fitnah keluarga, fitnah harta dan fitnah daripada jiran tetangga.
No comments:
Post a Comment