Tuesday, February 25, 2014

HARI AKHIRAT

Perbicaraan , Hukuman dan Balasan Yang Adil Ketika Berada di Hari Akhirat

Bismillahirrahmanirrahim.
Segala puji bagi Allah, Tuhan sekelian alam. Selawat serta salam buat junjungan mulia Nabi Muhammad S.A.W. keluarga serta para sahabat dan pengikut yang istiqamah menuruti baginda hingga ke hari kiamat.

Sahabat yang dirahmati Allah,
Dari Abi Barzah al-Aslami r.a., dari Nabi S.A.W. bersabda maksudnya : "Tidak berganjak kedua kaki seseorang dari tempat berdirinya di mahkamah Tuhan pada hari kiamat sehingga ia disoal tentang umurnya pada perkara apakah ia habiskan dan tentang ilmunya untuk apakah ia gunakan dan tentang harta bendanya dari manakah ia dapati dan pada perkara apakah ia belanjakan dan juga tentang tubuh badannya pada perkara apakah ia susutkan kemudaan dan kecergasannya?"
(Hadis Riwayat Tirmizi)

Apabila habis orang-orang yang disoal oleh Tuhan yang Maha Adil;  maka suratan amal manusia dikeluarkan untuk diberi ke tangan masing-masing yang apabila menerimanya ia dapati suratan amalnya itu terbuka,  boleh ditatap dan dibaca olehnya sendiri.

Firman Allah S.W.T. maksudnya : "Dan setiap manusia telah Kami kalungkan (catatan) amal perbuatannya dilehernya. Dan pada hari kiamat Kami keluarkan baginya sebuah kitab dalam keadaan terbuka. 'Bacalah kitabmu, cukuplah dirimu sendiri pada hari ini sebagai penghitung atas dirimu." (
Surah al-Isra' ayat 13-14 )

Firman Allah S.W.T. maksudnya : "Adapun orang yang kitabnya diberikan di tangan kanannya, maka dia berkata, "Ambillah, bacalah kitabku (ini)."
(Surah al-Haqqah ayat 19)

"Dan adapun orang yang kitabnya diberilkan ditangan kirinya, maka dia berkata, "Alangkah baiknya jika kitabku (ini) tidak diberikan kepadaku."
(Surah al-Haqqah ayat 25)

Selepas itu perbicaraan diteruskan - perbicaraan perkara-perkara yang berkenaan dengan hak-hak makhluk dan perkara-perkara yang berhubung dengan amal ibadat kepada Allah.  Perkara-perkara berkenaan dengan hak-hak makhluk meliputi :

Pertama : Perkara-perkara yang berkenaan dengan melakukan jenayah ke atas nyawa dan tubuh badan satu-satu makhluk seperti bunuh membunuh,  tikam menikam, pukul memukul, seksa-menyeksa, sabung-menyabung, laga-melaga dan sebagainya.

Kedua : Perkara-perkara yang berkenaan dengan melakukan jenayah terhadap kehormatan diri dan maruah,  seperti caci-mencaci, buruk-memburuk, maki-hamun, umpat-keji, tuduh-menuduh, ceroboh-mencerobohi, fitnah- memfitnah dan sebagainya.

Ketiga : Perkara-perkara yang bersabit dengan harta benda seperti curi-mencuri, rompak -samun, ragut, rebut-merebut, tipu-menipu, hutang-piutang dan lain-lainnya.


Hukuman ke atas sesiapa yang di dapati bersalah dalam perbicaraan ini ialah:

Pertama - Menerima balasan dari makhluk yang dilakukan jenayah itu terhadapnya.

Kedua - Memberi amal kebajikannya kepada orang yang ia aniayakan, untuk membayar hutang orang itu atau mengganti-ruginya; dan apabila tidak ada lagi amal kebajikannya untuk diberi kepada orang itu, maka ia terpaksa menanggung kesalahannya.

Dari Abu Hurairah r.a bahawa Nabi S.A.W. bersabda yang bermaksud :
“Tahukah kamu siapakah dia Orang Muflis?”

Sahabat-sahabat baginda menjawab :
“Orang Muflis di antara kami, ya Rasulullah ialah orang yang tidak ada wang ringgit dan tidak ada harta benda.”

Nabi S.A.W. bersabda yang bermaksud :
“Sebenarnya Orang Muflis dari kalangan umatku ialah orang yang datang pada hari kiamat membawa sembahyang, puasa dan zakat , sedang datangnya itu dengan kesalahan memaki hamun orang ini, dan menuduh orang itu , memakan harta orang orang ini ,menumpah darah orang itu dan juga memukul orang . Maka akan di ambil dari amal kebajikannya serta di beri kepada orang ini dan orang itu , kemudian kiranya habis amal kebajikannya sebelum habis di bayar kesalahan-kesalahan yang di tanggungnya , akan di ambil pula dari kesalahan-kesalahan orang yang di aniayakannya serta di timpakan keatasnya , kemudian ia di humbankan kedalam neraka.”

(Hadis Riwayat Muslim dan Turmizi)

Ketiga - Dimasukkan ke dalam penjara yang disediakan Tuhan (Neraka Jahanam)

Sahabat yang dikasihi,
Untuk menyelamatkan seseorang daripada menghadapi perbicaraan yang tersebut, maka Nabi Muhammad  S.A.W. mengingatkan umatnya serta menerangkan jalan keselamatan masing-masing - dalam hadis-hadis yang berikut:

1. Dari Abu Hurairah r.a. bahawa Rasulullah S.A.W. bersabda maksudnya : "Sesiapa yang menanggung sesuatu kezaliman yang dilakukan terhadap orang lain, sama ada yang mengenai maruah dan kehormatan atau sebarang perkara yang lain, maka dari sekarang juga hendaklah ia meminta orang itu melepaskannya dengan jalan memaafkan atau menghalalkannya sebelum datangnya masa yang tidak ada padanya wang ringgit atau emas perak untuk membayarnya; bahkan pada masa itu kalau ia mempunyai amal soleh, akan diambil daripada amalnya itu sekadar perbuatan aniaya yang dilakukannya untuk diberi kepada orang itu; kalau ia pula tidak mempunyai amal soleh, maka akan diambil dari kesalahan orang itu serta dibebankan kesalahan itu ke atasnya."
(Hadis Riwayat Bukhari)

2. Dari Sa'id bin Zaid r.a., bahawa Nabi S.A.W. bersabda maksudnya : "Sesiapa yang mengambil tanah secara zalim sekalipun sejengkal, akan dibelitkan pada hari kiamat dengan tanah yang diperintahkannya mengangkut sebanyak itu dari tujuh petala bumi."
(Hadis Riwayat Bukhari dan Muslim)

3. Dari Anas bin Malik r.a., katanya: "Rasulullah S.A.W. melarang menyeksa binatang sampai mati dengan jalan mengikatnya untuk dijadikan sasaran panah,  rejaman dan sebagainya."

(Hadis Riwayat Bukhari dan Muslim)


4. Dari Ibn Abbas r.a. katanya: "Rasulullah S.A.W. melarang perbuatan melagakan binatang. "
(Hadis Riwayat Tirmizi dan Abu Daud)

5. Dari Abu Sa'id Al-Khudri r.a., bahawa Nabi S.A.W. bersabda: "Tidak ada seseorang yang melakukan sesuatu perbuatan aniaya terhadap orang lain di dunia dengan tidak menyerah dirinya kepada orang itu untuk membalasnya, niscaya Tuhan akan menyerahkannya kepada orang itu supaya membalasnya pada hari kiamat."
(Hadis Riwayat Baihaqi)

Ada pun perkara-perkara yang berkenaan dengan ibadat kepada Allah,  maka yang mula-mula dibicarakan ialah ibadat sembahyang yang lima sehari semalam - sesiapa yang sembahyangnya itu diterima Tuhan maka berjaya dan beruntunglah dia; sebaliknya rugi dan menderita orang yang tidak diterima sembahyangnya. Sesiapa yang didapati sembahyang fardunya terkurang, sama ada terkurang bilangannya, rukun,  syaratnya, sunatnya atau khusyuknya maka ditampal dan dicukupkan dengan sembahyang-sembahyang sunatnya jika ada, kalau tidak ada terpulanglah hukumnya kepada keadilan atau kemurahan Tuhan Rabbul `Alamin.

Dari Abu Hurairah r.a., bahawa Rasulullah S.A.W. bersabda maksudnya : "Sesungguhnya amal yang mula-mula sekali dihisabkan seseorang pada hari kiamat mengenainya ialah sembahyangnya jika sembahyangnya diterima maka sesungguhnya beruntung dan berjayalah ia, dan jika sembahyangnya tidak diterima maka kecewa dan rugilah dia. Kiranya terkurang dari sembahyang fardunya sesuatu, Tuhan berfirman: "Periksalah, adakah hambaku itu mempunyai sembahyang-sembahyang sunat untuk dicukupkan dengannya apa yang terkurang dari sembahyang fardunya?" Demikianlah keadaan amal-amalnya yang lain." (Hadis Riwayat Tirmizi)

Demikianlah pula halnya ibadat-ibadat puasa,  zakat dan haji dibicarakan seperti sembahyang juga, iaitu apabila di dapati mana-mana fardunya terkurang maka ditampal dan dicukupkan dengan sunatnya yang ada.

Tiap-tiap perbicaraan dibuat keputusannya oleh Tuhan yang Maha Adil dengan berdasarkan keterangan-keterangan saksi, iaitu selain daripada dua Malaikat yang menulis amal seseorang maka anggotanya, hartanya, tempatnya dan masanya juga menjadi saksi .

Firman Allah S.W.T. maksudnya : "Pada hari, (ketika) lidah, tangan dan kaki mereka menjadi saksi atas mereka terhadap apa yang yang dahulu mereka kerjakan. Pada hari itu Allah menyempurnakan balasan yang sebenarnya bagi mereka terhadap apa yang dahulu mereka kerjakan." (Surah an-Nur ayat 24-25)

Diriwayatkan daripada Abu Hurairah r.a katanya: Rasulullah S.A.W.  membaca ayat ini: "Yang bermaksud: 'Pada hari itu bumi menceritakan beritanya'. Kemudian baginda bertanya:" Adakah kamu tahu apakah yang akan diberitahu oleh bumi itu nanti?"

Para sahabat menjawab:" Allah S.W.T. dan Rasul-Nya yang lebih mengetahui."

Baginda S.A.W. bersabda maksudnya : "Sesungguhnya berita yang akan disampaikan oleh bumi ialah bumi menjadi saksi terhadap semua perbuatan manusia, sama ada lelaki ataupun perempuan terhadap apa yang mereka lakukan di atasnya."
Bumi akan berkata: 'Dia telah melakukan itu dan ini pada hari itu dan ini'. Itulah berita yang akan diberitahu oleh bumi."
(Hadis Riwayat Tirmizi).

Sahabat yang di hormati,
Setiap amalan manusia yang dikerjakan ketika di dunia akan dihisab di hari akhirat nanti di Hari Penimbangan Amal (Yaumul Hisab) samaada amalan kebaikan atau amalan kejahatan.

Firman Allah S.W.T. maksudnya :  “Barangsiapa yang mengerjakan amal kebaikan seberat zarrah pun, niscaya dia akan melihat (balasan) nya”. (Surah al-Zalzalah ayat 7)      

Sabda Nabi S.A.W. maksudnya : “Kebersihan itu separuh iman dan (kalimat) alhamdulillah dapat memenuhi mizan.” (Hadis Riwayat Muslim)

Dari Jabir r.a., katanya: Rasulullah S.A.W. bersabda maksudnya : "Diletakkan neraca pada hari kiamat, lalu ditimbang amal-amal yang baik dan amal-amal yang jahat; maka sesiapa yang berat timbangan amal-amal baiknya daripada amal-amal jahatnya, masuklah ia ke syurga dan sesiapa yang berat timbangan amal-amal jahatnya daripada amal-amal baiknya, masuklah ia ke neraka. "
(Hadis Riwayat Abu Al-Syeikh)

Setelah perbicaraan selesai dan hukuman balas-membalas dan bayar-membayar dijalankan, maka apa jua amalan yang tetap ada atau yang baki bagi tiap-tiap seorang ditimbangkan dengan neraca keadilan Tuhan untuk ditentukan apakah balasan yang masing-masing berhak menerimanya, lalu neraca itu dibawa datang dan penimbangannya pun dijalankan.

Tentang ini, Allah S.W.T. berfirman, maksudnya : "Penimbangan amal pada hari kiamat adalah satu keadilan yang benar, maka sesiapa yang berat timbangan kebaikannya, mereka itulah orang-orang yang berjaya memperolehi apa yang mereka harapkan dan sesiapa yang ringan timbangan kebaikannya, maka mereka itulah orang-orang yang merugikan diri sendiri dengan sebab mereka telah meletakkan ayat-ayat keterangan Kami pada bukan tempatnya." ( Surah Al-A'raaf ayat 8-9).

Firman Allah S.W.T. maksudnya : "Dan Kami akan adakan penimbangan-penimbangan yang adil pada hari kiamat, oleh sebab itu maka tidak ada seseorang yang akan teraniaya barang sedikit pun, walau amalannya seberat biji sawi Kami tetap menghitungnya dan cukuplah Kami menjadi penghitung." (Surah al-Anbiya' ayat 47)

Dari Abdullah bin `Amr r.a., katanya: Rasulullah S.A.W.  bersabda maksudnya : "Sesungguhnya Allah akan memberi keistimewaan kepada seseorang dari umatku dengan memanggilnya di hadapan khalayak yang ramai pada hari kiamat, serta membentangkan kepadanya sembilan puluh sembilan gulung suratan amalnya, tiap satu gulung panjangnya sejauh mata memandang; kemudian Tuhan bertanya kepada orang itu: "Adakah engkau hendak menafikan sesuatu dari apa yang ada dalam suratan ini? Adakah penulis-penulis yang Aku tugaskan menjaga amalmu itu telah menzalimkanmu?" Orang itu menjawab: "Tidak, wahai Tuhanku"; Tuhan bertanya lagi: "Kalau demikian, maka adakah engkau mempunyai sebarang alasan atau kebaikan untuk engkau melepaskan diri?" Ia menjawab: "Tidak ada juga wahai Tuhanku"; Tuhan berfirman maksudnya : "Ia, ada sebenarnya engkau ada mempunyai satu kebajikan yang tersimpan pada Kami dan sebenarnya engkau tidak akan menanggung sebarang kezaliman pada hari Kami; lalu dikeluarkan sehelai kertas kecil yang tertulis padanya

أَشْهَدُ أَنْ لَا إِلَهَ إِلَّا اللَّهُ وَأَشْهَدُ أَنَّ مُحَمَّدًا عَبْدُهُ وَرَسُولُه

maka Tuhan berfirman kepadanya yang bermaksud : "Melihat timbangan amalmu", lalu ia berkata: "Ya Tuhanku! Apakah nilainya kertas yang secebis ini berbanding dengan suratan jahat amalku yang bergulung-gulung itu?" Maka Tuhan berfirman kepadanya yang bermaksud : "Walau bagaimanapun, sesungguhnya engkau tidak akan di zalimi." Nabi S.A.W. bersabda maksudnya : "Kemudian suratan amalnya yang bergulung-gulung itu diletakkan pada sebelah daun neraca dan kertas kecilnya, diletakkan pada daun neraca yang sebelah lagi lalu suratan amal buruknya itu terangkat ringan dan kertasnya yang secebis itu berat menurun, kerana tidak ada sesuatu benda pun yang boleh menjadi berat berbanding dengan apa yang mengandungi nama Allah".
(Hadis Riwayat Ahmad, Tirmizi dan lbn Majah)

Setelah habis timbangan amal manusia akan terbagi tiga golongan :

Pertama : Golongan  yang mempunyai timbangan kebaikan lebih berat daripada timbangan kejahatan , maka golongan ini akan masuk ke syurga.

Kedua : Golongan yang mempunyai timbangan kejahatan lebih berat daripada timbangan kebaikan maka golongan ini akan masuk ke neraka.

Ketiga : Golongan yang sama berat kebaikan dan kejahatan iaitu  50 : 50, ke  syurga tidak dan ke neraka pun tidak. Maka golongan ini  sangat memerlukan syafaat daripada Rasulullah S.A.W, syafaat daripada anaknya yang hafal al-Quran atau anaknya yang mati semasa kecil dan dia reda dan bersabar. Dia juga memerlukan syafaat daripada guru-gurunya dan sahabat-sahabatnya yang terpilih untuk memasuki syurga.

Apakala penimbangan amal itu selesai, maka manusia diperintahkan dan dibawa pergi ke kampung tempat balasan yang diuntukkan bagi masing-masing mendiaminya melalui satu titian (al-Sirat) yang biasa disebut dengan nama "Titian Siratal Mustaqim", titian yang diletakkan untuk menyeberangi lautan api Neraka,  titian yang di kiri kanannya terdapat banyak pengait-pengait untuk mengait kaki sesiapa yang berhak dikait.

Orang-orang yang terkait kakinya itu ada dua golongan:

Pertama : Golongan yang gugur jatuh ke dalam lautan api itu ialah orang-orang yang pada masa hidupnya di dunia telah terkait, terpengaruh dan terpedaya dengan hasutan syaitan atau galakan nafsu liarnya sehingga jatuhnya ke dalam lubang kejahatan dan kederhakaan sampai matinya dengan tidak sempat bertaubat.

Kedua : Golongan yang rebah bangun, rebah bangun, dan akhirnya selamat sampai ke seberang, iaitu orang-orang yang pada masa hayatnya di dunia kerap-kali dikait, dipengaruhi dan diperdaya oleh syaitan atau nafsu amarahnya melakukan maksiat,  tetapi pada tiap-tiap kali mereka jatuh ke dalam satu-satu kesalahan,  mereka segera ingatkan azab seksa Tuhan,  lalu mereka menyesal dan bertaubat sampai mati dengan keadaan taatkan Allah.

Pendeknya orang-orang yang melalui titian itu terbahagi kepada tiga golongan:

Pertama - Golongan yang selamat sentosa menyeberangi lautan api Neraka.

Kedua - Golongan yang diputus-putuskan perjalanannya oleh pengait-pengait titian itu, tetapi dapat juga menyeberangi lautan api itu.

Ketiga - Golongan yang terkait kakinya lalu jatuh terus ke dalam api Neraka.

Oleh itu marilah sama-sama kita bermuhasabah diri kita sendiri kita akan menjadi golongan yang mana? Adakah kita akan terlepas setiap soalan dan siasatan , timbang amal dan dipermudahkan meniti Siratul Mustaqim tanpa terjatuh ke dalam jurang api Neraka? Justeru itu perbanyakkan amal soleh, amal ibadah, amal kebajikan dan niat-niat yang baik untuk melakukan ketaatan kepada Allah S.W.T.


Penyesalan Dan Tangisan Di Hari Akhirat Sudah Tiada Berguna Lagi

Sahabat yang dirahmati Allah,
Jurang neraka terlalu curam, setiap penderhaka akan merasai seksa dihumbankan ke dalamnya. Pernahkah kalian membayangkan jatuh dari ketinggian sejauh 70 tahun perjalanan baru sampai ke dasar lantainya? Jika kejadian itu di dunia ini, bagaimana pula keadaan orang yang jatuh ke dasar jurang neraka itu nanti?

“Pada suatu hari kami berada di sisi Rasulullah SAW, tiba-tiba terdengar suara benda yang jatuh. Lalu Baginda bertanya: “Tahukah kamu semua suara apakah itu?” Kami menjawab: “Allah dan Rasul-Nya lebih mengetahui.” Baginda bersabda yang maksudnya: “Itu adalah suara batu yang dilemparkan ke dalam Neraka Jahanam sejak 70 tahun yang lalu dan sekarang baru sampai ke dasarnya.” (Hadis riwayat Muslim)

Begitulah hebat dan dahsyatnya seksaan di Neraka Jahanam, yang akan dipenuhi oleh jin  dan manusia yang derhaka dan melakukan dosa ketika di dunia.

Pada hari penghisaban, apakah akan terasa malu seperti si penjenayah yang malu apabila kesalahannya menjadi bahan laporan dalam akhbar? Bolehkah muka ini ditutup?

Bolehkah mereka mengupah peguam paling hebat untuk menghadapi segala pertuduhan ke atas dirinya sendiri?  Jika di dunia manusia boleh menipu dan memberi rasuah kepada hakim atau pendakwa raya tetapi bukan di mahkamah Allah SWT. Ketika ini tidak seorang pun boleh melarikan diri. 

Sebagai manusia yang kerdil, tetapi mengapa kita tidak takut kepada Tuhan Pemilik alam in? Manusia sanggup diperkudakan oleh syaitan dan hawa nafsu, padahal dia berada dalam genggaman Tuhannya. Ketika dia merampas hak orang lain, sewenang-wenangnya melakukan fitnah dan pecah amanah, segala rekod perbuatannya itu disimpan kukuh sebagai bukti.

Mengapakah Allah SWT tidak menurunkan bala-Nya terus menerus pada saat seseorang itu melakukan dosa? Jawapannya adalah firman Allah bermaksud: “Berapa banyak penduduk negeri yang telah Aku beri tempoh, sedangkan mereka berbuat zalim, kemudian Aku seksa mereka dan kepada-Ku mereka kembali.” (Surah al-Hajj, ayat 48)

Biarlah pelaku dosa itu diberi tempoh selagi hayatnya di atas bumi ini belum berakhir. Allah Maha Penerima Taubat. Tetapi, sayang sekali, mereka suka menunda-nunda taubat, menganggap peluang itu untuk berpuas-puas terlebih dulu dan bertaubat kemudian.

Semakin dihulur setiap peluang, maka semakin buta matanya, pekak telinganya, keras hatinya dan hebat bergaya tidak insaf dan sedar bahawa kematian akan datang tidak kira waktu.

Diteguk segala kemanisan syahwat duniawi sehingga lupa kepanasan buah zaqqum tanaman neraka yang akan diletakkan di dalam kerongkongnya nanti.

Hatinya puas menikmati kesenangan yang memuncak pada hujung keghairahan. Tetapi, dia lupa di dasar lubang jahanam yang gelap itu nanti terpaksa melalui aksi pembakaran manusia, penyeksaan dan pembunuhan yang tidak pernah berhujung dengan kematian.
Sahabat yang dimuliakan,
Semua jenis tangisan di atas dunia ini tidak sehebat tangisan ahli neraka. Tangisan yang mengalirkan penyesalan tidak berhujung. Tiada harapan dan peluang.

Mereka merayu kepada Tuhan: “Wahai Tuhan kami, keluarkanlah kami daripadanya (kembalikanlah kami ke dunia) maka jika kami kembali kepada kekufuran, sesungguhnya kami adalah orang yang zalim.” (Surah al-Mukminun, ayat 107)

Allah menjawab rayuan mereka itu dengan firman-Nya bermaksud: “Tinggallah kamu dengan hina di dalamnya dan janganlah kalian bercakap dengan Aku.” (Surah al-Mukminun, ayat 108)

Oleh itu, jika kalian menangis di dunia ini, pastikan tangisan itu adalah tangisan penyesalan dan taubat kepada Allah SWT. Barang siapa yang banyak menangis di sini, nescaya tiada air mata lagi yang akan jatuh menitis di Padang Mahsyar nanti.

Nabi S.A.W. bersabda yang maksudnya : "Tiap mata pasti akan menangis pada hari kiamat, kecuali mata yang dipejamkan dari segala yang haram dan mata yang berjaga malam dalam jihad fisabilillah dan mata yang mentitiskan air mata walaupun sebesar kepala lalat kerana takutkan Allah." (Hadis Riwayat Abu Naim)

Balasan Allah SWT sangat adil. Saksi yang dipanggil adalah anggota badan kita sendiri, bumi, langit hari dan masa. Menunduklah wajah yang dulunya rasa sombong, kecutlah hati yang dulunya bongkak dan takbur serta menggigil sekujur badan bagai hendak melepaskan kulit.

Sesungguhnya mereka yang berada dalam neraka itu hidup dan merasai setiap kesakitan itu sedikit demi sedikit. Diganti setiap kulit yang hangus dengan kulit yang baru. Sehari di sana sama seperti seribu tahun di dunia ini.

Mengapakah mereka memilih keseronokan yang sebentar saja di dunia ini? Pada hal mereka  tahu membezakan makna sengsara dan bahagia, berakal tajam dalam menganalisis segala sesuatu. Allah SWT mengingatkan kita bahawa azab dan sengsara yang akan diderita itu bukan sebentar. Firman-Nya bermaksud; “Sesungguhnya sehari di sisi Tuhanmu seperti seribu tahun daripada apa yang kamu hitung.” (Surah al-Hajj, ayat 47)

Sahabat yang dikasihi,
Kita perlu ulang-ulangkan kisah-kisah hari akhirat dan seksaan neraka sebagai motivasi supaya kita tidak terlalu buru keduniaan sehingga melupakan bahawa setiap di antara kita akan meninggalkan dunia yang fana ini. Dengan mengingatkan tentang kematian, seksa kubur, penderitaan di himpunkan di Padang Mahsyar, di hisab dan ditimbang segala amalan baik dan buruk, meniti siratul mustakim dan seksaan neraka maka akan menghidupkan hati yang leka dan lupa. Mengilapkan lagi hati yang berpenyakit kerana terlalu cintakan dunia dan takut mati. 

Jika kita sedang kejar kuasa (sedang sebuk berkempen) atau sebuk menghimpun harta dunia maka dengan kuasa dan harta yang akan diperolehi nanti akan digunakan untuk mencari reda Allah SWT bukan untuk bermegah-megah dan berlagak sombong dan bukan untuk menentang hukum-hukum Allah SWT.

Ingatlah setiap amanah yang diterima (jika berjaya mendapat kuasa) dan setiap ringgit harta di perolehi semuanya akan ditanya oleh Tuhan Rabbul Jalil dihari akhirat nanti. Jika kalian gagal melaksanakan amanah ini maka segala penyesalan dan tangisan di sana nati sudah tidak berguna lagi.



No comments:

Powered By Blogger | Template Created By Lord HTML