Sunday, December 29, 2013

IBADAH

Ibadah dan Tugasnya Yang Perlu Di Laksanakan

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh

بِسْمِ ٱللَّهِ ٱلرَّحْمَـٰنِ ٱلرَّحِيم

Segala puji bagi Allah, Tuhan sekelian alam. Selawat serta salam buat junjungan mulia Nabi Muhammad SAW keluarga serta para sahabat dan pengikut yang istiqamah menuruti baginda hingga ke hari kiamat.

Sahabat yang dirahmati Allah,
Hidup kita didunia ini akan dipersoalkan oleh Allah SWT, dari amalan yang sekecil-kecilnya misalnya membuang sampah di tengah jalan, hinggalah yang sebesar-besarnya iaitu berusaha menegakkan Daulah Islamiah. Semuanya tidak akan terlepas dari perhitungan Allah SWT. di hari akhirat nanti. Kejujuran adalah sifat peribadi yang paling utama yang akan dipersoalkan nanti. Dimaksudkan kejujuran disini adalah jujur pada diri sendiri, jujur pada manusia dan jujur pada Allah SWT. Orang yang bertakwa kepada Allah SWT. sentiasa menghiasi dirinya dengan sifat jujur.

Jujur pada diri sendiri adalah bermaksud seseorang bersikap amanah dan ikhlas dalam melaksanakan segala amal soleh dan amal kebaikan, tidak berbohong dan berdusta dan sentiasa merasai bahawa Allah SWT. memerhatikan segala amalan-amalannya secara terang-terang atau yang tersembunyi.

Jujur pada manusia adalah bermaksud melaksanakan tugas dan amanah untuk membaiki akhlak dan kehidupan manusia mengikut acuan Allah SWT. iaitu melaksanakan amal makruf dan nahi mungkar.

Jujur pada Allah SWT adalah bermaksud memperhambakan diri sepenuhnya kepada Allah SWT dan tidak menyekutukannya dengan yang lain. Melaksanakan semua yang diperintahkan-Nya dan meninggalkan semua yang dilarangan-Nya.

Diriwayatkan dari Rasulullah SAW  baginda ditanya , "Dengan amal apakah meraih (mendapatkan) syurga itu?"
Baginda menjawab, "Dengan kejujuran, kerana kejujuran seorang hamba adalah kebaikan. Jika ia berbuat kebaikan, maka ia akan beriman, jika ia beriman, maka ia akan masuk syurga."

Nabi SAW juga pernah ditanya, amalan apa yang membuat pelakunya masuk neraka?
Baginda menjawab, "Dusta, jika seorang hamba berdusta, maka ia akan menjadi durhaka. Jika ia durhaka, maka ia akan menghantarkannya menjadi kafir. Jika ia kafir, maka dia akan masuk neraka."

Sahabat yang dikasihi,
Utamakanlah amalan yang paling diutamakan Nabi SAW  dan seterusnya melaksanakan amalan-amalan yang lain. 

Rasulullah SAW ditanya tentang amal yang paling utama, maka baginda menjawab yang bermaksud, " Solat."

Baginda ditanya, "Kemudian apa lagi?"

Baginda menjawab, "Solat." Nabi s.a.w mengulanginya tiga kali, setelah itu baginda bersabda maksudnya : "Jihad fisabilillah."

Seorang bertanya, "Saya mempunyai kedua orang tua." Baginda bersabda,"Aku perintahkan kamu untuk berbakti kepada keduanya."

Kemudian ia mengatakan, "Demi Allah yang mengutusmu dengan kebenaran kenabian, aku akan tinggalkan keduanya untuk berjihad di jalan Allah." 

Kemudian baginda bersabda, "Anda lebih mengetahui."

(Hadis Riwayat Ahmad)

Oleh itu utamakanlah solat fardu lima waktu dari amalan yang lain. Pastikan dilaksanakan di awal waktu dan paling utama dilaksanakan secara berjemaah di masjid. Setelah solat adalah jihad fisabilillah dan menjaga kedua ibu bapa yang telah tua. Sekiranya kedua orang tua masih ada orang lain boleh menguruskannya maka tugas jihad fisabilillah adalah menjadi keutamaan kedua selepas solat. Dalam realiti kita sekarang, termasuk dalam tugas jihad fisabilillah adalah melaksanakan kerja-kerja dakwah dan tarbiah untuk mengajak manusia kepada amal makruf dan nahi mungkar.

Sahabat yang dimuliakan,
Takutlah kamu kepada Allah SWT  ialah dalam setiap suasana hidupmu, pada setiap masa, dan jadikanlah keredaan Allah SWT sebagai matlamat kehidupan. Awasilah setiap aktiviti dan kegiatan harian dalam lingkungan syariat Allah. Dari itu kenyataan diatas memberi kefahaman bahawa tugas sebagai hamba Allah adalah besar. 

Benarlah apa yang dinyatakan didalam al-Qur'an yang bermaksud :"Dan tidak Aku jadikan jin dan manusia kecuali untuk mengabdikan diri kepadaku." (Surah Az-Zariat ayat 56)

Sebagai latihan persediaan yang rapi dan berterusan untuk melaksanakan ibadah yang besar, maka Islam meletakkan solat, puasa, zakat dan haji. Ibadat khusus ini bertujuan untuk melatih dan mendidik jiwa manusia, bagi memenuhi satu rancangan lanjutan yang tidak dapat tidak, pasti ditunaikan. Hanya jiwa-jiwa yang dididik dengan didikan Islam yang sebenar sahaja dapat memahami bahawa masih ada ibadat yang lebih besar untuk dilaksanakan.

Berdasarkan ini perlu kamu lihat bagaimana cara Rasulullah SAW  melaksanakan ajaran Islam iaitu langkah pertama yang diambil oleh Rasulullah SAW  ialah mengisytiharkan 'Tiada tuhan yang disembah melainkan Allah dan Muhammad SAW  ialah hamba dan pesuruh Allah.'. 

Pengisytiharan pengabdian ini disebarkan secara terang-terangan walaupun baginda ditentang habis-habisan oleh kuncu-kuncu musuh Islam dizaman itu. Pengisytiharan pengabdian ini merupakan akar tunjang penghayatan Islam.

Oleh itu adalah menjadi kewajipan setiap muslim untuk memperlihatkan tata-cara hidup Islam yang menyeluruh dalam kehidupan seharian. Apabila ianya dapat dilaksanakan barulah hidupnya dikira sebagai beribadat kepada Allah SWT  sepertimana firman Allah SWT dalam ayat diatas.

No comments:

Powered By Blogger | Template Created By Lord HTML