Hati Merasa Bahagia Bila Nafsu Di Tundukkan.
Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh
بِسْمِ ٱللَّهِ ٱلرَّحْمَـٰنِ ٱلرَّحِيم
Segala puji bagi Allah, Tuhan sekelian alam. Selawat serta salam buat junjungan mulia Nabi Muhammad SAW keluarga serta para sahabat dan pengikut yang istiqamah menuruti baginda hingga ke hari kiamat.
Sahabat yang dirahmati Allah,
Firman Allah SAW yang bermaksud : "Dan demi jiwa dan penciptaannya yang sempurna, maka Allah mengilhamkan (menunjukkan) jalan kejahatan dan jalan ketakwaan. Sesungguhnya beruntunglah orang yang menyucikan jiwa itu dan rugilah orang yang mengotorinya."(Surah As-Syams ayat 7-10)
Di dalam kita menjalani kehidupan harian, perlulah kita merenung sejenak adakah segala amalan perbuatan, pergaulan dan rutin hidup kita sentiasa bersandarkan ketakwaan kepada Allah SWT.
Berdasarkan ayat di atas menjelaskan manusia di ciptakan Allah dengan dua persediaan iaitu
*menuju ke jalan kejahatan (fujur)
*menuju ke jalan kebajikan (takwa)
Pilihannya ada pada diri kita. Dua perkara ini tidak boleh duduk sekali dalam hati kita, samaada kita pilih jalan kejahatan (fujur) atau jalan kebajikan (takwa). Jalan fujur membawa ke neraka sedangkan jalan takwa membawa ke syurga.
Dengan rahmat Allah manusia dilengkapkan petunjuk dan bimbingan yang dibawakan oleh para nabi dan rasul dalam usaha mencetuskan keimanan serta meraih hidayah. Dengan yang demikian jalan hidup manusia tersuluh dan terhindar dari kekaburan yang dibawa oleh syaitan dan hawa nafsu. Keadaan ini juga akan menyelamatkan manusia dari berbagai kesesatan yang merugikan.
Kita amat memerlukan petunjuk Allah SWT, sedarilah bahawa orang yang menjadikan hidupnya hanya untuk memenuhi keinginan nafsu akan menjadi hamba nafsu bukannya hamba Allah.
Sentiasalah bersungguh-sungguh dalam usaha menjuruskan fitrah hati supaya kekal dalam ketaatan kepada Allah SWT seiring menangkis desakan nafsu.
Firman Allah SWT. yang bermaksud : "Dan orang-orang yang berjihad untuk mencari keredhan Kami, benar-benar akan Kami tunjukkan kepada mereka jalan-jalan Kami. Dan sesungguhnya Allah benar-benar berserta orang-orang yang berbuat baik."
(Surah Al-Ankabut ayat 69)
Terdapat satu syair Arab akibat buruknya yang di datangkan oleh dorongan nafsu :
Apabila nafsu di taati pada setiap ketaatan,
Engkau digelar orang tak berakal dan tak dihormati!
Bila kau turuti nafsu pada setiap ajakannya,
Ia membawamu kepada keburukan yang haram!
Hawa nafsu itu musuh bagimu,
mengingkarinya adalah teman.
Allah SWT. memberi jaminan bahawa sesiapa di kalangan hamba-hamba-Nya yang mencegah dirinya daripada menuruti hawa nafsu adalah syurga sebagai kurniaan-Nya di akhirat nanti.
Firman Allah SWT yang bermaksud : "Dan orang-orang yang takut kepada kebesaran Tuhannya dan mencegah dirinya dari hawa nafsu, maka syurgalah tempat kediamannya."
(Surah An-Nazi'at ayat 40-41)
Sahabat yang dikasihi,
Oleh itu marilah kita berusaha bersungguh-sungguh untuk meningkatkan stamina iman kita dan tidak terputus menjalani proses tarbiyyah, sentiasa berdoa dan munajat kepada Allah dengan kerendahan hati, membaca Al-Quran dan merenung pengertiaan ayat-ayatnya, sentiasa menjaga solat fardu berjemaah, mengerjakan solat sunat rawatib dan tahajud dan sentiasa bergaul dengan orang-orang soleh dan berakhlak mulia.
No comments:
Post a Comment