Tuesday, February 25, 2014

GOLONGAN YANG BERJAYA DISISI ALLAH

Jadilah Golongan Yang di Berjaya di Sisi Allah

Sahabat yang dikasihi Allah,
Nilai dan matlamat hidup merupakan sesuatu yang penting untuk dikaji dan dilihat secara mendalam. Nilai hiduplah menjadikan seseorang itu menghargai kehidupannya. Tanpa nilai dan matlamat hidup, manusia sebenarnya bukan manusia. Dia ibarat haiwan yang saban hari memikirkan mengisi perut dan nafsu.

Celik sahaja mata, mula fikir nak cari wang, makanan dan keseronokan sehinggalah melelapkan mata pada waktu malamnya. Keesokannya jika masih diberikan Allah nyawa, dia akan begitu lagi. Mungkin tidak pernah dia menyoal dirinya akan matlamat dia dihidupkan, dan hidupnya berlalu begitu sahaja dengan nilai yang kosong sehinggalah keakhir hayatnya.

Sahabat yang dihormati,
Mujahid Fathi Yakan di dalam bukunya bertajuk, Apa Ertinya Saya Menganut Islam, telah menyatakan bahawa di dunia terdapat tiga kategori manusia.

Kategori Pertama ;Golongan yang hidup hanya untuk dunia semata-mata. Mereka dinamakan sebagai golongan ad-Dahriyyun. Golongan ini ingin hidup dan puas di dunia yang sementara ini. Sikap mereka jelas seperti yang dinyatakan di dalam al-Qur'an, firman Allah s.w.t. yang bermaksud :"Dan tentu akan mereka katakan : 'Hidup hanyalah kehidupan kita di dunia sahaja dan kita sekali-kali tidak dibangkitkan."(Surah al-An'am ayat 29).

Didalam ayat yang lain Allah s.w.t. berfirman yang bermaksud :"Dan mereka berkata : 'Kehidupan tidak lain hanyalah kehidupan dunia sahaja, kita mati dan kita hidup dan tidak ada yang membinasakan kita selain masa.' Dan mereka sekali-kali tidak mempunyai pengetahuan tentang itu, mereka tidak lain hanyalah menduda-duga sahaja."(Surah al- Jatsiyah ayat 24).

Kategori Kedua :Golongan yang hilang peduman , terumbang ambing, aqidah bersimpang siur, mereka melakukan kesesatan dan menyimpang daripada jalan Allah s.w.t. dalam kehidupan duniawi. Namun mereka masih menyangka mereka membuat kebaikan. Meskipun mereka mempunyai kepercayaan kepada Allah s.w.t. dan hari Qiyamat tetapi aqidah mereka lemah. Aqidah yang tidak dapat memandu aktiviti harian.

Mereka berfahaman kebendaan (materialis) walaupun kadangkala mereka melakukan kerja-kerja berbentuk kerohanian. Golongan seperti ini tidak memahami tuntutan Islam sebenar dan akhirnya menjadi tertipu dengan amalan mereka. Dalam Islam baik sahaja tidak mencukupi, tetapi mesti mengikut landasan syariat dan niat mestilah kerana Allah sahaja. Barulah ia jadi ibadat yang ada nilai pelaburan akhirat.

Ramai yang pergi haji tiap-tiap tahun tetapi beli rumah menerusi sistem kewangan riba, ramai yang menderma kebajikan tetapi bercampur matlamat antara riak dan ibadat, ramai yang kuat sembahyang tetapi isterinya masih membuka aurat dan memakai solek di khalayak ramai.

Kategori Ketiga :Golongan ini adalah golongan yang berjaya disisi Allah s.w.t.. Golongan yang menganggap bahawa dunia ini sebagai ladang tanaman untuk mendapat atau memungut hasilnya di akhirat kelak. Golongan ini benar-benar beriman dengan Allah s.w.t. Mereka mengetahui hakikat hidup serta memahami nilai dunia berbanding dengan Hari Akhirat. Orang seperti ini jasadnya sahaja di dunia tetapi hatinya di akhirat. Segala kerjanya di atas dunia di salurkan kepada kepentingan akhirat. Orang begini dekat dengan Allah dan sentiasa menjaga agar amalannya atau pelaburan akhiratnya tidak rosak. Allah membandingkan mereka seperti dalan firman-Nya yang bermaksud :"Dan tidaklah kehidupan dunia ini selain daripada bermain-main dan bersenda gurau belaka. Dan sesungguhnya kampung akhirat itu lebih baik bagi orang-orang yang bertakwa. Maka tidaklah kamu memahaminya."(Surah al-An'am ayat 32)

Mereka yang benar-benar beriman menganggap dunia sebagai medan perlumbaan untuk mentaati Allah s.w.t. dan mencari keredhaan-Nya. Seluruh bidang hidupnya (ilmu, perniagaan, kekayaan, rumah, masa dan fikiran) diarahkan ke jalan Allah s.w.t. Untuk kita menjadi seperti ini (dan memang kita dituntut menjadi seperti ini), kita mesti memahami beberapa kewajipan atau syarat-syarat yang ditetapkan.

Di dalam golongan ketiga ini terdapat satu kaum yang zuhud dan amat mulia disisi Allah kerana Nabi s.a.w. menyatakan makam mereka sama taraf dengan kedudukan para Nabi tetapi mereka bukan dikalangan Nabi.

Rasulullah s.a.w. berkata dalam wasiatnya kepada Abu Hurairah, "Wahai Abu Hurairah! Hendaklah engkau mengikut jalan suatu kaum. Jika manusia lain merasa takut, mereka tidak takut. Jika manusia mencari keselamatan dari api Neraka, mereka tidak takut."

Abu Hurairah bertanya, "Siapakah mereka itu? Terangkan dan jelaskan mereka itu padaku hingga aku dapat mengenalinya."

Rasulullah s.a.w. menjawab, "Suatu kaum dari umatku di akhir zaman. Mereka berkumpul pada Hari Qiyamat di tempat berkumpulnya para Nabi. Jika manusia memandang mereka, manusia mengira bahawa mereka adalah para Nabi dari keadaan yang mereka lihat hinggalah aku beritahukan kepada mereka nanti. Aku katakan, "Umatku, umatku." Maka para makhluk mengetahui bahawa mereka bukanlah para Nabi. Mereka berlalu seperti kilat dan angin. Pandangan mata yang hadir kagum dengan cahaya mereka."

Abu Hurairah berkata, "Wahai Rasulullah, kemukakan padaku apakah amalan mereka. Mudah-mudahan aku dapat mengikuti mereka."

Rasulullah s.a.w. menjawab, "Wahai Abu Hurairah, kaum itu menempuh jalan sukar hingga sampai pada tingkatan para Nabi. Mereka memilih lapar setelah Allah memberikan (peluang) kepada mereka untuk (sentiasa) kenyang, memilih pakaian kasar setelah Allah memberi mereka pilihan berbagai pakaian, dan memilih haus setelah Allah memberi mereka rasa puas.

"Mereka meninggalkan itu semua kerana mengharap apa yang ada di sisi Allah (redha dan nikmat Syurga). Mereka tinggalkan yang halal kerana takut banyak dihisab. Mereka mempergauli manusia dengan badan-badan (lahir) mereka, tetapi itu tidak menyibukkan (hati) diri mereka (daripada mengingati Tuhan mereka). Para Nabi dan malaikat takjub dengan ketaatan mereka kepada Tuhan. Kebahagiaan bagi mereka! Kebahagiaan bagi mereka! Aku ingin agar Allah mengumpulkan aku bersama mereka."

Kemudian Rasulullah s.a.w. menangis kerana rindu kepada mereka. Lalu baginda berkata, "Jika Allah hendak mengazab penghuni bumi lalu memandang mereka, maka Dia berpaling dan tidak jadi menurunkan azab. Barangsiapa berpaling dari jalan mereka, maka ia akan terbeban kerana kerasnya azab."

Sahabat yang dimuliakan,
Jadilah kalian golongan katagori ketiga, kerana golongan ini adalah orang-orang Mukmin yang bertakwa kepada Allah s.w.t. Mereka sentiasa beriman dan mengerjakan amalan-amalan soleh, dan tetap istiqamah di dalam menjalankan kewajipan menegakkan Kalimah Allah dimuka bumi, menegakkan yang ma'aruf dan mencegah kemungkaraan. Golongan ini berkasih sayang semata-mata kerana Allah, bertemu dan berpisah semata-mata mencari keredhaan-Nya. Golongan ini sahaja akan mendapat kebahagiaan di dunia dan kebahagiaan di Hari Akhirat. 

No comments:

Powered By Blogger | Template Created By Lord HTML