Hati Yang Beriman Dan Bertakwa Akan Sentiasa Reda Terhadap Ketetapan Allah SWT Di Dunia Ini
Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh
بِسْمِ ٱللَّهِ ٱلرَّحْمَـٰنِ ٱلرَّحِيم
Segala puji bagi Allah, Tuhan sekelian alam. Selawat serta salam buat junjungan mulia Nabi Muhammad SAW keluarga serta para sahabat dan pengikut yang istiqamah menuruti baginda hingga ke hari kiamat.
Sahabat yang dirahmati Allah,
Setiap mukmin yang beriman dan bertakwa kepada Allah SWT akan reda kepada setiap peristiwa yang berlaku dimuka bumi ini. Beriman kepada qada dan qadar atau reda terhadap ketetapan Allah SWT adalah termasuk di dalam percaya kepada rukun Iman yang ke enam.
Jika seseorang itu rasa kecewa dan putus asa terhadap peristiwa yang menimpa dirinya ini bermakna dia seolah-olah marah kepada Allah SWT dan menafikan takdir yang menimpa dirinya. Sifat ini sebenarnya boleh menjejaskan dan merosakkan imannya terhadap Allah SWT .
Kenapa seseorang bersifat tidak wajar kepada Tuhannya sedangkan dirinya dan apa yang dimilikinya bukan haknya secara mutlak? Sebenarnya semunya adalah milik Allah Rabbul Jalil dan manusia hanya diberi pinjam untuk sementara waktu ketika di dunia ini sahaja.
Islam melarang sama sekali sifat putus asa, kecewa dan tidak reda dengan takdir Allah SWT. Apa yang berlaku dimuka bumi termasuk musibah yang menimpa diri semuanya telah ditakdirkan sebelum Allah SWT mencipta muka bumi dan diri manusia sendiri.
Firman Allah SWT dalam surah Ar-Ra’d ayat 39 yang bermaksud: “Allah menghapuskan apa juga yang dikehendaki-Nya dan Dia juga menetapkan apa juga yang dikehendaki-Nya. Dan (ingatlah) pada sisi-Nya ada ibu segala suratan.”
Jika kita terima musibah atau ujian daripada Allah SWT ini dengan perasaan positif dan yakin peristiwa ini terdapat hikmah di dalamnya kita akan merasa tenang dan sabar menerima ketentuan Allah SWT. Yakinlah sifat Allah SWT Maha Pengasih dan Penyayang, Dia tidak akan menzalimi para hamba-Nya. Jika kita bersangka baik terhadap Allah SWT maka Dia akan mengasihi dan menyayangi kita dan akan diberinya rahmat, kasih sayang dan rezeki yang tiada disangka-sangka.
Kesemua ini menunjukkan, Allah tidak pernah mengikat dan menzalimi manusia malah sebaliknya manusia telah diberi kebebasan untuk menentukan jalan hidupnya sendiri. Walau bagaimanapun, segala keputusan manusia tidak boleh keluar dari ruang kemanusiaan yang telah Allah SWT tetapkan dan Allah SWT sejak dari awal lagi telah mengetahui segala keputusan yang akan diambil oleh manusia.
Allah SWT berfirman maksudnya : “Keputusan di sisiKu tidak akan berubah dan Aku sekali-kali tidak menzalimi hamba-hambaKu.”(Surah Qaaf ayat 29)
Hidup di dunia adalah medan ujian untuk manusia, siapakah di antara mereka yang taat dan patuh kepada perintah-Nya dan bersabar terhadap ujian-Nya berupa kehilangan orang yang di sayangi, kemiskinan dan kekurangan harta, penyakit yang dihadapi ,gagal dalam pepereksaan atau kecundangan dalam perkahwinan / pertunangan maka semua ini adalah dugaan-dugaan yang perlu dihadapi dengan tenang, sabar dan reda dengan qada dan qadar Allah SWT.
Sahabat yang dimuliakan,
Manusia diminta berusaha dan berikhtiar di dalam kehidupan tetapi di akhir keputusannya adalah hak Allah SWT menentukannya. Jika kita berjaya di atas ikhtiar yang dijalankan maka banyakkan bersyukur kerana Dia mengizinkan kejayaan itu kita miliki, tetapi jika berlaku sebaliknya apa yag kita usahakan gagal maka jangan putus asa kerana disana mengandungi banyak hikmah dan kebaikannya yang mana kita sendiri tidak mengetahuinya maka banyakkan bersabar.
Sifat orang mukmin sentiasa berada didalam kebaikan sebagaimana hadis Nabi SAW yang bermaksud : “Ajaib sungguh urusan orang mukmin . Sesungguhnya setiap urusannya, baginya semuanya baik. Dan hal itu tidaklah demikian akan terjadi kepada seseorang, melainkan dia seorang mukmin. Ketika ia ditimpa dengan suatu kesenangan, ia bersyukur, dan syukur itu justeru baik untuk dirinya. Dan ketika ia ditimpa dengan suatu kesusahan, ia bersabar, maka (sabar) itu baik untuknya” . (Hadis riwayat Muslim)
Sahabat yang dikasihi,
Marilah kita mendidik dan melatih hati dan jiwa kita supaya sentiasa bersikap positif dan tidak ragu-ragu di atas qada dan qadar dan yakin janji-janji Allah bahawa setiap kesusahan itu ada kesenangan dan setiap kegagalan itu akan ada kejayaan. Oleh itu jangan lupa sentiasa berdoa dan bertawakal kepada Allah SWT setiap pekerjaan dan urusan kita di dunia ini. Jiwa dan hati yang sentiasa terikat dengan Allah SWT akan mendapat kasih sayang dan rahmat daripada-Nya.
Abu Hurairah r.a meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud : "Allah SWT berfirman, 'Aku sesuai dengan prasangka hamba-Ku kepada diri-Ku'." (Hadis RiwayatAl-Bukhari)
Rasulullah SAW bersabda, maksudnya : "Janganlah kamu mati melainkan dalam keadaan kamu berbaik sangka dengan Allah." (Hadis Riwayat Muslim)
Akhirkata marilah kita reda dan berbaik sangka dengan Allah SWT dan percaya terhadap takdir-Nya tanpa ragu-ragu. Sentiasalah berdoa kepada Allah SWT semoga Dia memilih kita menjadi hamba-hamba-Nya yang di redai , diberkati dan dirahmati di dunia dan akhirat.
Terdapat 10 Tanda Hati Yang Rosak
Segala puji bagi Allah, Tuhan sekelian alam. Selawat serta salam buat junjungan mulia Nabi Muhammad S.A.W. keluarga serta para sahabat dan pengikut yang istiqamah menuruti baginda hingga ke hari kiamat.
Sahabat yang dirahmati Allah,
Allah SWT akan mempersoal hati manusia ketika dia datang bertemu dengan-Nya pada hari kiamat mengenai apa dilakukan semasa di dunia. Hal ini ditegaskan Allah SWT menerusi firman-Nya yang bermaksud : "Dan janganlah engkau mengikut apa yang engkau tidak mempunyai pengetahuan mengenainya; Sesungguhnya pendengaran dan penglihatan serta hati, semua anggota-anggota itu tetap akan ditanya tentang apa yang dilakukannya. "
(Surah al-Israa ayat 36)
Ini kerana hati manusia ibarat seorang raja yang boleh mengeluarkan arahan terhadap bala tenteranya. Dia boleh bertindak untuk menerus atau memberhentikan sesuatu peperangan jika dia melihatnya tidak memberi apa-apa keuntungan.
Nabi SAW menganggap hati manusia sebagai perkara yang utama dalam diri manusia, jika ia baik, maka baiklah seluruhnya anggota manusia, tetapi jika sebaliknya ia jahat, maka jahatlah seluruh anggotanya.
Nabi SAW bersabda maksudnya :
"Sesungguhnya dalam diri manusia itu ada seketul daging. Jika daging itu baik, maka baiklah seluruh anggota badannya tetapi seandainya daging itu rosak dan kotor, maka kotor dan rosaklah seluruh anggota badannya. Daging yang dimaksudkan ini adalah hati."
(Hadis Riwayat Bukhari dan Muslim daripada Nu'man bin Basyir)
Paling penting, setiap muslim perlu mencari jalan bagaimana mereka dapat meluruskan hati mereka daripada terkena penyakit berbahaya yang boleh mencacatkan hubungan mereka dengan Allah SWT pada hari kiamat nanti.
Ini kerana sesungguhnya hati yang hidup adalah hati yang menjadi pangkal hidupnya iman, akhlak Islam dan mendapat hidayah daripada Allah SWT.
Sahabat yang dimuliakan,
Allah SWT telah mengingatkan kita sebagai hamba-Nya agar membawa hati kita untuk bertemu-Nya pada hari kiamat dengan hati yang sejahtera.
Firman Allah SWT yang bermaksud: "Iaitu pada hari di mana harta dan anak-anak tidak berguna. Melainkan mereka yang menghadap Allah dengan hati yang bersih (sejahtera). " (Surah as-Suy'araa ayat 88-89)
Hati yang bersih itu adalah hati yang sejahtera dan selamat daripada penglibatan dalam perkara syirik, nifaq atau tidak mempercayai akan kebesaran Allah SWT.
Setelah kita mengenal hati yang bersih dan sejatera, maka apakah pula ciri-ciri hati yang rosak?.
Terdapat 10 perkara tanda-tanda hati yang rosak. Perkara-perkara tersebut adalah seperti berikut :
1. Hati tidak merasa bersalah apabila terlibat melakukan dosa dan maksiat.
2. Tidak terasa untuk melakukan taubat apabila melakukan kesalahan.
3. Merasa seronok bergelumang dalam dosa.
4. Tidak mempedulikan perintah Allah, malah suka terbabit pada larangan-Nya.
5. Benci kepada kebenaran dan cuba menghalang kemaraannya.
6. Benci kepada orang-orang soleh atau mereka yang suka melakukan kebaikan.
7. Suka bertengkar pada perkara yang tidak memberi manfaat untuk agama.
8. Menerima rasuah, sogokan, riba dan perkara haram serta merasakan keseronokannya.
9. Takut kepada orang yang gagah, tetapi sedikit pun tidak takut kepada Allah.
10. Benci kepada perkara makruf dan suka kepada perkara mungkar.
Huraiannya :
1. Hati tidak merasa bersalah apabila terlibat melakukan dosa dan maksiat.
Daripada Ibnu Masu’d radiallahu anhu berkata : Sesungguhnya orang mukmin itu memandang dosa-dosanya seperti orang yang berdiri di bawah gunung,yang mana dia (sentiasa) rasa takut yang gunung itu nanti akan menghempapnya,dan orang yang keji pula memandang dosa-dosa mereka seperti seekor lalat yang hinggap di atas hidungnya, yang berkata : dengan hanya begini sahaja (iaitu dengan hanya ditepis dengan tangan sahaja) maka dengan mudah sahaja lalat itu terbang » (Hadis Riwayat Bukhari)
2. Tidak terasa untuk melakukan taubat apabila melakukan kesalahan.
Orang yang telah rosak hatinya tidak mahu bertaubat kepada Allah SWT, sedangkan Rasulullah SAW sentiasa bertaubat 100 kali sehari.
Nabi SAW bersabda yang bermaksud : "Wahai manusia! Bertaubatlah kepada Allah,sesungguhnya aku bertaubat kepada Allah setiap hari sebanyak 100 kali (Hadis Riwayat Muslim)
3. Merasa seronok bergelumang dalam dosa.
Hati yang telah rosak adalah hati yang merasa seronok dengan maksiat dan dosa seperti orang-orang kafir. Sedangkan dunai ini syurga untuk orang kafir dan penjara untuk orang Islam.
Nabi SAW bersabda maksudnya : " Dunia itu penjara bagi orang yang beriman dan syurga bagi orang kafir."(Hadis Riwayat Ahmad, Muslim, dan At-Tirmidzi dari Abu Hurairah. Sahih Al-Jami' - 3412)
Orang-orang kafir berseronok melakukan maksiat dan kemungkaran. Mereka buru harta dunia siang dan malam, Mereka berhibur dengan muzik, menonton filem, meminum arak, bermain judi, memiliki wanita-wanuta cantik, dan makan-minum apa saja yg mereka suka dan memuaskan hawa nafsu mereka sepenuhnya maka itu adalah syurga untuk mereka. Sekiranya umat Islam terikut-ikut dengan cara hidup mereka dan menjadikan dunia ini seperti syurga maka di hari akhirat nanti mereka akan dijauhi dari syurga oleh Allah SWT.
4. Tidak mempedulikan perintah Allah, malah suka terbabit pada larangan-Nya.
Orang mukmin sentiasa mematuhi segala perintah Allah SWT dan menjauhi larangan-Nya . Sedangkan orang fasik, munafik dan kafir tiadak akan memperdulikan perintah Allah SWT dan sentiasa melakukan larangan-Nya dan berseronok-seronok dengan maksiat.
Firman Allah SWT maksudnya : "Dan janganlah kamu mentaati perintah orang-orang yang melampau batas, yang membuat kerosakan di bumi dan tidak mengadakan perbaikan." (Surah Asy-Syuaara ayat 151-152)
5. Benci kepada kebenaran dan cuba menghalang kemaraannya.
Firman Allah SWT maksudnya ; "Mereka (orang munafik) menjadikan sumpah-sumpah mereka sebagai perisai, lalu mereka menghalang-halang (manusia) dari jalan Allah. Sungguh betapa buruknya apa yang telah mereka kerjakan."
Sifat orang munafik suka menghalang manusia dari jalan Allah, tidak suka tarbiah, tazkirah dan menarik balik tauliah para ulama yang berilmu dan menyampaikan dakwah. Hati golongan ini telah rosak dan ditambah lagi kerosakkan hati-hati mereka, nanti di akhirat mereka akan dihumbankan kedalam neraka.
6. Benci kepada orang-orang soleh atau mereka yang suka melakukan kebaikan.
Sesiapa yang membenci orang soleh sebenarnya dia menjauhkan dirinya kepada rahmat Allah SWT dan mendatangkan kemurkaan Allah SWT.
Nabi SAW juga mengajarkan kepada kita agar bersahabat dengan orang yang dapat memberikan kebaikan dan sering menasehati kita.
مَثَلُ الْجَلِيسِ الصَّالِحِ وَالْجَلِيسِ السَّوْءِ كَمَثَلِ صَاحِبِ الْمِسْكِ ، وَكِيرِ الْحَدَّادِ ، لاَ يَعْدَمُكَ مِنْ صَاحِبِ الْمِسْكِ إِمَّا تَشْتَرِيهِ ، أَوْ تَجِدُ رِيحَهُ ، وَكِيرُ الْحَدَّادِ يُحْرِقُ بَدَنَكَ أَوْ ثَوْبَكَ أَوْ تَجِدُ مِنْهُ رِيحًا خَبِيثَةً
“Seseorang yang duduk (berteman) dengan orang solih dan orang yang jelek adalah bagaikan berteman dengan pemilik minyak wangi dan tukang besi. Jika engkau tidak dihadiahkan minyak wangi olehnya, engkau boleh membeli darinya atau sekurang-kurangnya dapat baunya. Adapun berteman dengan tukang besi, jika engkau tidak mendapati badan atau pakaianmu hangus terbakar, paling kurang engkau dapat baunya yang tidak elok.” (Hadis Riwayat Bukhari dari Abu Musa.)
7. Suka bertengkar pada perkara yang tidak memberi manfaat untuk agama.
Suka bertengkar pada perkara yang tidak bermanfaat akan mematikan hati dan menimbulkan kebencian sesama muslim. Salah satu sifat orang munafik adalah suka bertengkar dan mempertahankan kebatilan dan pendapat yang menyalahi agama.
Sabda Nabi SAW yang bermaksud ; "Mahukah kamu semua aku beritahu( sifat-sifat) ahli syurga? Para sahabat menjawab . "Ya", baginda bersabda," Setiap orang lemah dilemahkan, andainya dia meminta kepada Allah, nescaya Allah mengkabulkannya. Mahukah aku beritahu (sifat-sifat) ahli neraka? Setiap orang yang suka bertengkar dengan kasar ('utul) , berlagak (jawwaz) dan sangat sombong (mustakbir) (Hadis Riwayat Bukhari dan Muslim)
8. Menerima rasuah, sogokan, riba dan perkara haram serta merasakan keseronokannya.
Sabda Rasulullah SAW. maksudnya : “ Pemberi rasuah dan penerima rasuah akan masuk ke dalam api neraka”. (Hadis Riwayat at-Tabrani)
Firman Allah SWT yang bermaksud :
“Hai orang-orang yang beriman , bertakwalah kepada Allah dan tinggalkanlah riba (yang belum di pungut) jika kamu orang-orang yang beriman. Maka jika kamu tidak mengerjakan (meninggalkan sisa riba) maka ketahuilah , bahawa Allah dan RasulNya akan memerangimu . Dan jika kamu bertaubat (dari mengambil riba), maka bagimu pokok hartamu, kamu tidak menganiaya dan tidak (pula) dianiaya.”
(Surah Al- Baqarah ayat 278-279)
Berdasarkan pemerhatian, punca-punca menyebabkan berlaku rasuah ialah bernafsu besar atau sifat tamak haloba, sikap mahu hidup mewah, memburu kekayaan dengan cepat, tidak bersyukur serta terikut-ikut dengan rakan-rakan sekerja. Orang yang suka mengambil riba pula sebenarnya melanggar hukum Allah SWT yang jelas mengharamkan riba seksaannya cukup berat dihari akhirat nanti.
9. Takut kepada orang yang gagah, tetapi sedikit pun tidak takut kepada Allah.
Orang yang telah rosak hatinya dia takut kepada manusia, jin dan syaitan lebih daripada Allah SWT. Orang mukmin hanya bertawakal dan berserah diri kepada Allah SWT. Semua makhluk tidak boleh mendatangkan mudarat kepada kita melainkan dengan izin Allah SWT.
Firman Allah SWT maksudnya : "Jika Allah menyentuhkan kemudharatan bagi mu, tidak ada yang boleh menghilangkannya selain Allah, Jika Allah memberikan kebaikan pada-Mu maka tidak ada yang boleh menolaknya, Allah memberikan kepada siapa saja diantara hamba yang Dia kehendaki, Dialah Allah Yang Maha Pengampun Lagi Maha Penyayang ..." (Surah Yunus ayat 107)
10. Benci kepada perkara makruf dan suka kepada perkara mungkar.
Sifat orang fasik dan hatinya telah rosak adalah benci pada makruf dan suka kepada kemungkaran. Sedangkan Allah SWT berfirman dalam surah Ali-Imran, ayat 110 yang bermaksud: “Kamu adalah umat yang terbaik yang dilahirkan kepada manusia, menyuruh kepada yang makruf dan mencegah daripada yang mungkar, dan beriman kepada Allah…”
Sahabat yang dikasihi,
Marilah sama-sama kita meningkatkan iman dan takwa kita kepada Allah SWT. Jagalah hati-hati kita supaya sentiasa sihat, sejahtera dan menjaganya supaya tidak rosak binasa. Jauhilah 10 perkara yang menyebabkan hati kita akan rosak . Jika dah rosak makan masa hendak dipulihkan, maka dari itu teruskan kita mendekati orang soleh, banyakkan berdakwah dan bekerja untuk Islam supaya hati kita sentiasa dekat dengan Allah SWT dan sentiasa mendapat rahmat-Nya.
Hati Yang Sakit
Hati yang sakit mengakibatkan pandangan dan tanggapan hati terhadap sesuatu tidak betul. Hati yang sakit menyebabkan kebenaran tidak dapat dilihat walaupun ianya merupakan satu kebenaran, hati yang sakit melihat kebatilan sebagai satu kebenaran, atau ia melemahkan pemahamannya terhadap sesuatu kebenaran lalu mematikan hatinya untuk menerima kebenaran.
Hati yang sakit menyebabkan hati membenci kebenaran yang memberi kebaikan kepadanya. Hati yang sakit menyukai kebatilan sedangkan kebatilan itu akan memudaratkannya. Hati yang sakit juga tidak tahu memilih antara kebenaran dan kebatilan, akhir cenderung kepada kebatilan kerana mengikut hati dan perasaan.
Justeru orang yang hatinya sakit sukar untuk melihat kebenaran sebagai kebenaran dan kebatilan sebagai kebatilan. Apabila melihat sesuatu dia akan melihat manusia yang melakukan atau kejadian semulajadi, lupa bahawa Allah s.w.t yang sebenarnya menjadikan tiap sesuatu. Apabila ditimpa bala dan bencana, mereka melihat manusia yang menyebabkan bala bencana tetapi mereka tidak nampak ia merupakan qada' dan qadar dari Ilahi.
Berbeza dengan orang yang hatinya sihat dengan cahaya keimana, mereka melihat semua perkara ada hikmahnya dan ditentukan oleh Allah s.w.t, pasrah dan redha menjadi hiasan hati, kehidupan yang bahagia sentiasi dimiliki.
قال رسول الله صلى الله عليه وسلم عجبا لأمر المؤمن إن أمره كله خير إن أصابته سراء شكر فكان خيرا له وإن أصابته ضراء صبر وكان خيرا له وليس ذلك لأحد إلا للمؤمن
Maksudnya;" Sungguh menghairankan urusan orang beriman, Semua urusannya baik, apabila mendapat nikmat kesenangan, ia bersyukur, maka baiklah baginya dan apabila ditimpa kesusahan, ia bersabar maka baik jugalah baginya. Dan sifat tersebut tidak ada melainkan bagi orang yang beriman."
Kebiasaannya orang yang hatinya sakit tidak merasa tenang, tidak merasa bahagia walaupun dikelilingi berbagai nikmat dan kemewahan, hatinya sentiasa gelisah dan keluh kesah dalam menghadapi kerenah kehidupan, kebiasaannya membuat sesuatu diluar dari kewajaran dan rasional. Hatinya penuh dengan macam-macam penyakit hati menyebabkan sakitnya bertambah parah.
Sebab-sebab hati sakit :
1.Lupakan Allah, lupa dari mengingati Allah, lupa bahawa Allah tidak alpa dari apa yang dilakukan oleh manusia, lupa bahawa Allah lah yang menentukan segalanya, lupakan Allah kerana kurang mengingati Allah, dan hati lebih terikat kepada perkara-perkara yang disukai selain Allah.
2.Lupakan perintah-perintah Allah kerana tidak suka kepadanya, mengutamakan keseronokan dan hatinya sentiasa terikat dengan dorongan nafsu syaitan.
3.Lupakan hari qiamat, tidak mengingati mati, kurang mengingati dosa dan pahala, kurang mengingati hari pembalasan, Syurga dan Neraka
Apabila ketiga-tiga sebab tadi terangkum dalam hati manusia maka beratlah untuk melakukan ibadah, sebaliknya ringan pula untuk melakukan dosa dan maksiat, mengutamakan urusan dunia dan meninggalkan urusan berkaitan akhirat, mendahulukan keinginan nafsu dan mengambil ringan perintah Allah, melampaui batasan-batasan agama, menjadi orang yang zalim dan mendahulukan keinginan diri dari kehendak Allah
Perkara-perkara yang boleh merosakkan hati :
1.Jahil agama.
2.Pergaulan dengan orang-orang yang hatinya sudah rosak, hatinya mati dan menjadikan mereka sebagai teman.
3.Suka berangan-angan dan berkhayal tentang sesuatu yang tak kan dapat dicapai.
4.Bergantung dengan selain daripada Allah s.w.t.
5.Banyak makan dan sentiasa memikirkan tentang makanan, tidak menghiraukan halal haram dalam urusan makanan.
6.Banyak tidur, orang yang banyak tidur mensia-siakan masa, pelupa dan pemala.
Bagaimana Memperolehi Hati Yang Sejahtera
Segala puji bagi Allah, Tuhan sekelian alam. Selawat serta salam buat junjungan mulia Nabi Muhammad SAW keluarga serta para sahabat dan pengikut yang istiqamah menuruti baginda hingga ke hari kiamat.
Sahabat yang dirahmati Allah,
Hati dan roh merupakan raja dalam kerajaan diri. Ia mempunyai kelebihan daripada semua anggota lahir. Ia adalah raja yang luar biasa, yang sangat ditaati oleh rakyatnya. Dialah pentadbir manusia yang menjalankan kehidupan yang sangat luas.
Hati sangat sensitif, peka dan perasa. Ia adalah wadah tempat mengisi 'barang-barang'. Siapa yang mengisinya? Samaada syaitan atau malaikat, yang berebut-rebut mengisinya. Kalau malaikat yang mengisi, maka baiklah hati. Jika syaitan yang mengisi maka jahatlah hati. Yang diisi oleh malaikat ialah hidayah, wahyu dan ilham kebaikan. Jika syaitan yang mengisi, akan diisi dengan kekufuran, was-was dan keraguan.
Setiap hari perlulah kita ambil perhatian dan perhalus atas perjalanan hati kita. Hati kita akan diuji, misalnya bila orang marah pada kita adakah kita bangkit hendak marah balik? Jika ini berlaku ini bermakna bahawa kita masih ada sifat pemarah. Bila mendapat sesuatu kejayaan, hati akan menerima sesuatu rangsangan lalu akan merasa samaada bangga, riyak, ujub, takabur, ego dengan kejayaan itu ataupun rasa syukur, malu (pada Allah). Pada waktu merasa itulah, hati yang sensitif akan sedar.
Sekiranya hati tidak sedar ia sudah berbuat baik, ini satu sifat terpuji, kerana tidak akan berbangga dengan kebaikan itu. Tetapi jangan pula sampai hati tidak bersyukur kepada Allah SWT atas keizinan-Nya kita boleh berbuat kebaikan.
Yang paling buruk ialah bila hati tidak sedar ia jahat. Hati tidak sedar, rangsangan yang datang membuatkannya berasa bangga atau ego. Lebih merbahaya jika hati yang jahat disedari sebagai hati yang baik. Yang punya hati tidak akan sedar kejahatan hatinya sampai bila-bila dan tidak akan cuba buat perubahan (dengan bertaubat). Bahkan ia akan terus berbuat jahat, kerana merasakan dirinya dalam kebaikan.
Rasa-rasa positif pada hati boleh dibantutkan jika sejak kecil seseorang itu tidak dididik, dibimbing dan diasuh. Maka ia terpaksa bersusuh payah dan berhempas pulas untuk menyuburkannya kembali. Sebaliknya jika benih yang positif (mahmudah) ini dijaga dan disuburkan sejak kecil maka ia akan subur dan tidak payah lagi bersusuh payah bila dewasa.
Sahabat yang dimuliakan,
Hati yang sejahtera dipanggil juga sebagai jiwa yang tenang. Mereka yang mempunyai maqam nafsu mutmainnah (jiwa yang tenang) adalah mereka yang Tuhan ikhtiraf sebagai hamba-Nya dan layak memperolehi ganjaran syurga-Nya di akhirat nanti.
Firman Allah SWT. yang bermaksud :
"Wahai mereka yang berjiwa mutmainnah (tenang), kembalilah kepada Tuhanmu dalam keadaan (kamu) reda dan diredai (Tuhan), maka masuklah kamu ke dalam golongan hamba-hamba-Ku dan masuklah ke dalam syurga-Ku."
(Surah Al-Fajr ayat 27-30).
Untuk memperolehi jiwa yang dilimpahi dengan cahaya ketenangan ini, ia mestilah suci daripada segala syirik, nifaq dan semua penyakit hati yang keji. Ia mesti melalui suatu proses pendidikan dan pembersihan agar 'raja' dalam diri manusia ini akan sentiasa terarah kepada kebaikan dan perhambaan diri kepada Allah.
Bagaimana mendidik hati agar ia dapat disucikan dan kembali kepada fitrahnya yang suci bersih sehingga terbukalah hijab yang selama ini membentengi dirinya dengan Tuhannya?
Pertama : Perlulah melalui jalan zikrullah.
Jalan zikrullah adalah jalan yang paling afdhal, jalan para ambiya' dan auliya' serta orang-orang soleh yang telah terbukti berkesan dalam usaha pencucian hati dan roh. Orang yang melalui perjalanan ini telah beroleh kedudukan yang tinggi disisi Allah SWT. Rasulullah SAW. memberi perumpamaan, hati yang kotor seperti besi yang berkarat, dan zikrullah adalah alat untuk mencucinya.
Hati yang selalu diketuk dan dihujam dengan kalimah zikrullah akan menjadikannya bersih dari kotoran mazmumah dan penyakit-penyakit hati yang menghijabkan dirinya dengan rahsia-rashia alam ghaib.
Kedua : Perlu sentiasa mujahadah dan istiqamah untuk melawan syaitan dan hawa nafsu.
Syaitan dan hawa nafsu adalah dua musuh batin yang sentiasa mendorong kepada kejahatan, dan tempatnya adalah dihati. Oleh itu kita perlu melawan kedua-dua musuh ini dengan mujahadah. Ia lebih hebat dari menentang musuh zahir.
Ini kerana peperangan berlaku dalam diri kita. Lebih-lebih lagi syaitan adalah makhluk yang paling derhaka dan paling banyak memperdaya manusia. Hanya orang-orang yang ikhlas sahaja akan selamat daripada tipudayanya sebagaimana yang disebutkan dalam Al-Qur'an. Begitu juga nafsu, musuh yang tidak pernah kenal erti letih dan lesu. Sedikit sahaja kita terleka, pasti kita dihasut dan ditipunya.
Satu prinsip asas dalam mujahadah adalah istiqamah, yakni konsisten, terus menerus dan berkesinambungan dalam peperangan dengan syaitan dan hawa nafsu. Jika kita hanya bermujahadah tapi tidak istiqamah, maka ia tidak akan memberi kesan.
Ketiga : Perlu berilmu dengan ilmu yang benar.
Kita perlu suluh hati kita dengan ilmu yang ada. Dari situ kita akan kenal hati kita. Kita akan tahu berapa banyak sifat-sifat negatif yang kita ada dan sejauhmana kekuatannya. Begitu juga dengan sifat-sifat positif.
Sahabat yang dikasihi,
Inilah beberapa kaedah asas untuk kita mendidik dan membersihkan hati, beramal dengan bersungguh-sungguhlah, kerana hati dan roh akan kembali ke tempat asalnya, bertemu dengan Allah SWT. Kalau ia datang ke dunia dalam keadaan suci bersih, maka sudah tentu ia perlu kembali dalam keadaan yang sama. Di dunia lagi ia menjadi jiwa yang tenang dan di akhirat nanti, Allah SWT janjikan dengan kebaikan, keselamatan dan rahmat-Nya.
No comments:
Post a Comment