Tuesday, February 25, 2014

HATI YANG SAKIT DAN HATI YANG MATI

Hati Perlu di Tarbiah dan di Jaga Dengan Baik

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh

سْمِ اللهِ الرَّحْمنِ الرَّحِيْم

Segala puji bagi Allah, Tuhan sekelian alam. Selawat serta salam buat junjungan mulia Nabi Muhammad SAW keluarga serta para sahabat dan pengikut yang istiqamah menuruti baginda hingga ke hari kiamat.

Sahabat yang dirahmati Allah,
Allah SWT akan mempersoal hati manusia ketika dia datang bertemu dengan-Nya pada hari kiamat mengenai apa dilakukan semasa di dunia. Hal ini ditegaskan Allah SWT menerusi ayat 36 surah al-Israa maksudnya: "Dan janganlah engkau mengikut apa yang engkau tidak mempunyai pengetahuan mengenainya; Sesungguhnya pendengaran dan penglihatan serta hati, semua anggota-anggota itu tetap akan ditanya tentang apa yang dilakukannya. "

Ini kerana hati manusia ibarat seorang raja yang boleh mengeluarkan arahan terhadap bala tenteranya. Dia boleh bertindak untuk menerus atau memberhentikan sesuatu peperangan jika dia melihatnya tidak memberi apa-apa keuntungan.

Nabi SAW. menganggapnya sebagai perkara yang utama dalam diri manusia, jika ia baik, maka baiklah seluruhnya anggota manusia, tetapi jika sebaliknya ia jahat, maka jahatlah seluruh anggotanya, itulah hati manusia.

Paling penting, setiap mukmin perlu mencari jalan bagaimana mereka dapat meluruskan hati mereka daripada terkena  penyakit berbahaya yang boleh mencacatkan hubungan mereka dengan Allah SWT pada hari kiamat.

Terdapat tiga jenis hati manusia iaitu :

Pertama : Hati yang sejahtera, 

Kedua : Hati yang sakit.

Ketiga : Hati yang mati.

Huraiannya :

Pertama : Hati yang sejahtera.

Hanya hati yang sejahtera sahaja dapat menyelamatkan kita semasa berada di hadapan Allah SWT di hari akhirat nanti.

Allah SWT telah mengingatkan kita sebagai hamba-Nya agar membawa hati kita untuk bertemu-Nya pada hari kiamat dengan hati yang sejahtera.

Ini ia dirakam menerusi ayat 88-89 surah as-Syu'araa yang bermaksud: "Iaitu pada hari di mana harta dan anak-anak tidak berguna. Melainkan mereka yang menghadap Allah dengan hati yang bersih (sejahtera). "

Iaitu sejahtera, bersih dan selamat daripada penglibatan dalam perkara syirik, nifaq atau tidak mempercayai akan kebesaran Allah SWT. 

Hati yang sejahtera adalah hati yang terselamat daripada menuruti hawa nafsu serakah yang menyalahi perintah Allah SWT, tidak terjebak dalam perlakuan syirik kepada-Nya, tidak melakukan tindakan yang menyalahi ajaran Rasul-Nya. Ia adalah hati yang sentiasa tunduk kepada kehendak Allah, mencintai-Nya lebih daripada isi dunia, takut kepada seksaan-Nya, rindu untuk menemui-Nya, ikhlas kerana-Nya, mengasihi seseorang mukmin dan membencinya kerana-Nya, sentiasa sokong dan cenderung kepada hukum-hakam- Nya, terselamat daripada jangkitan virus penyakit hati. Inilah hati yang hidup sejahtera, lembut, sedia menerima nasihat. Hati yang sejahtera juga akan cinta kepada kebenaran dan akan memilih hanya pemimpin yang amanah, beriman dan bertakwa bukannya pemimpin yang fasik dan munafik. 

Kedua : Hati yang sakit.

Hati yang sakit mengakibatkan pandangan dan tanggapan hati terhadap sesuatu tidak betul. Hati yang sakit menyebabkan kebenaran tidak dapat dilihat walaupun ianya merupakan satu kebenaran, hati yang sakit melihat kebatilan sebagai satu kebenaran, atau ia melemahkan pemahamannya terhadap sesuatu kebenaran lalu mematikan hatinya untuk menerima kebenaran.

Hati yang sakit menyebabkan hati membenci kebenaran yang memberi kebaikan kepadanya. Hati yang sakit menyukai kebatilan sedangkan kebatilan itu akan memudaratkannya. Hati yang sakit juga tidak tahu memilih antara kebenaran dan kebatilan, akhir cenderung kepada kebatilan kerana mengikut hati dan perasaan.

Justeru orang yang hatinya sakit sukar untuk melihat kebenaran sebagai kebenaran dan kebatilan sebagai kebatilan. Apabila melihat sesuatu dia akan melihat manusia yang melakukan atau kejadian semulajadi, lupa bahawa Allah s.w.t yang sebenarnya menjadikan tiap sesuatu. Apabila ditimpa bala dan bencana, mereka melihat manusia yang menyebabkan bala bencana tetapi mereka tidak nampak ia merupakan qada' dan qadar dari Ilahi.

Hati yang sakit adalah hati yang tidak konsisten, adakalnya cenderung kepada kebaikan dengan mendengar nasihat penceramah dan pada masa sama cenderung kepada kejahatan, inilah hati jenis sekejap baik sekejap jahat.

Ketiga : Hati yang mati. 

Hati yang mati adalah hati yang berlawanan dengan hati yang sejahtera  iaitu membiarkan untuk tidak terus mengabdikan sebagai hamba Allah, menuruti hawa nafsu, menyanggah hukum-hukum- Nya, membenci golongan yang menyeru kepada kebaikan, menghalang majlis-majlis ilmu, tidak mahu menerima nasihat yang baik malah melawannya, bersahabat dengan orang-orang jahat. Itulah hati yang mati dengan Islam.

Ciri-ciri hati yang mati.

Orang yang hatinya mati ialah orang yang tidak menerima iman dan hidayah Allah SWT. Itulah orang-orang kafir dan musyrik yang dimurkai Allah SWT. Justeru antara sifat-sifat orang yang hatinya telah mati ialah seperti berikut;

1. Menolak keimanan kepada Allah SWT dan Rasul-Nya serta perkara-perkara yang wajib di imani sebagai orang Islam.

2. Menyekutukan Allah SWT.

3. Menolak ajaran Islam dan memilih kekufuran.

4. Tidak ada perasaan rasa bersalah apabila melakukan dosa dan maksiat.

5. Menjadikan akal dan fikiran dan logik semata-mata dalam membuat penilaian dan keputusan.

6. Menjadikan dunia sebagai matlamat hidup mereka.

7. Tidak mempercayai dosa dan pahala serta kehidupan alam akhirat.

8. Sentiasa melakukan penindasan dan kezaliman di atas muka bumi.

9. Tidak mengenal halal dan haram dalam kehidupan mereka.

Sahabat yang dimuliakan,
Marilah sama-sama kita menjaga hati kita dengan iman dan takwa. Kita didik hati kita supaya sentiasa yakin dan reda dengan ketetapan dan takdir Allah SWT. Hati yang sentiasa melalui proses tarbiah ini akan menjadi hati yang hidup, hati sejahtera dan hati yang bersih. Hati ini sahaja akan dijemput oleh Allah SWT untuk masuk ke dalam syurga-Nya seluas langit dan bumi.

Jauhkanlah diri kita daripada hati yang sakit kerana hati yang sakit adalah hati orang fasik dan orang derhaka, ianya berada didalam keadaan merbahaya kerana bila-bila masa hati yang sakit ini akan jadi mati, jika hati sudah mati maka pintu taubat dan hidayah semakin jauh dan akan mudah tergelincir ke neraka.

Minta dijauhi Allah SWT daripada hati yang mati kerana hati ini adalah hati orang kafir dan munafik yang akan dihumbankan ke dalam Neraka Jahanam.

Waspadalah Empat Perkara.
السَّلاَمُ عَلَيْكُم

سْمِ اللهِ الرَّحْمنِ الرَّحِيْم

Segala puji bagi Allah, Tuhan sekelian alam. Selawat serta salam buat junjungan mulia Nabi Muhammad SAW keluarga serta para sahabat dan pengikut yang istiqamah menuruti baginda hingga ke hari kiamat.

Sahabat yang dirahmati Allah,
Al-fadhil Kalam Musafir ada berpesan : "Ada empat perkara yg dapat menyembabkan hidup terasa sempit, hati menjadi sedih, dan dada terasa sesak :-

Pertama : Tidak suka terhadap qada dan qadar Allah dan tidak rela menerimanya.

Kedua : Terjerumus pada kemaksiatan tanpa bertaubat kepada Allah.

Ketiga : Dengki kepada manusia, suka balas dendam, dan iri terhadap kurnia yang diberikan Allah kepada seseorang .

Keempat : Berpaling dari peringatan Allah.

Huraiannya :

Pertama : Tidak suka terhadap qada dan qadar Allah dan tidak rela menerimanya.

Orang mukmin akan menerima dengan hati yang yakin dan reda terhadap qada dan qadar Allah SWT tanpa ragu-ragu kerana percaya kepada qada dan qadar adalah rukun Iman yang ke 6. Jika seseorang tidak rela menerima qada dan qadar maka akan rosak imannya kepada Allah SWT.

Qada dan Qadar ialah ketetapan Allah SWT yang telah ditentukan sejak dari azali lagi berdasarkan ilmuNya yang Maha Tinggi, disusuli dengan kejadian seperti mana yang telah ditetapkan.

Firman Allah lagi maksudnya : "Tiada suatu bencana pun yang menimpa di bumi dan (tidak pula) pada dirimu sendiri melainkan telah tertulis dalam kitab (loh mahfuz) sebelum Kami menciptakannya. Sesungguhnya yang demikian itu adalah mudah bagi Allah ".

(Surah Al-Hadid ayat 22)

Qada dan qadar rahsia Allah .Bukan tugas kita untuk mempersoalkannya..Tugas kita melaksanakan ibadah sebaik mungkin dan tingkatkan ketakwaan dan keimanan pada Allah SWT dan yakin dengan janji -janji-Nya bahawa Dia akan membalasi hamba-Nya yang beriman dengan syurga. Sentiasa berdoa kepada Allah SWT supaya kita sentiasa dirahmati-Nya di dunia dan akhirat.

Berdasarkan hadis Nabi SAW hanya doa dapat mengubah qada dan qadar. Baginda bersabda maksudnya : “Tiada suatu yang boleh menolak(mengubah)qada melainkan doa”
Kita juga hendaklah bersangka baik dengan Allah SWT (husnu zan) di atas sesuatu peristiwa atau kejadian yang berlaku di dunia ini.

Abu Hurairah r.a meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW  bersabda yang bermaksud : "Allah SWT berfirman, 'Aku sesuai dengan prasangka hamba-Ku kepada diri-Ku'."
(Hadis RiwayatAl-Bukhari)

Rasulullah SAW bersabda, maksudnya : "Janganlah kamu mati melainkan dalam keadaan kamu berbaik sangka dengan Allah."
(Hadis Riwayat Muslim)

Apakah maksud berbaik sangka dengan Allah? Berbaik sangka di sini adalah rasa takut dan harap yang saling bergandingan, ataupun rasa takut mengatasi rasa harap. Yakinilah setiap sesuatu kejadian yang berlaku samaada di langit atau di bumi atau kepada diri kita sendiri adalah ketetapan yang terbaik yang diciptakan oleh Allah SWT dan terdapat seribu hikmah yang tidak mampu kita memikirkannya.

Kedua : Terjerumus pada kemaksiatan tanpa bertaubat kepada Allah.

Apabila seorang itu terjerumus pada maksiat sebenarnya di hatinya akan berlaku titik-titik hitam . Jika titik-titik hitam ini banyak maka hati akan menjadi hitam dan ketika ini taufik dan hidayah daripada Allah SWT tidak akan masuk ke hati seperti ini.
Dalam hadis Nabi SAW disebutkan : "Hati manusia itu ibarat sehelai kain putih yang apabila manusia itu berbuat dosa maka tercorenglah / ternodailah kain putih tersebut dengan satu titik noda kemudian jika sering berbuat dosa lambat-laun sehelai kain putih itu berubah menjadi kotor / hitam".

Jika hati nurani sudah kotor maka terkunci nuraninya akan sulit menerima petunjuk dari Allah. Untuk membersihkan titik-titik hitam dan kotoran yang melekat di hati adalah dengan beristighfar dan bertaubat kepada Allah SWT.

Manusia sentiasa terdedah kepada kesilapan dan kesalahan. Malah setiap anak Adam adalah berdosa dan tidak pernah lekang dari dosa.

Rasulullah SAW  bersabda yang bermaksud :
"Semua anak Adam adalah berdosa dan sebaik-baik orang yang berdosa ialah yang bertaubat dari dosanya."

Allah SWT. berfirman yang bermaksud, " Sesungguhnya Allah amat menyukai orang-orang bertaubat dan menyukai orang-orang yang mensucikan diri."
(Surah Al-Baqarah ayat 222)

Sabda Nabi SAW  yang bermaksud :
"Sesungguhnya Allah membuka tangan selebar-lebarnya pada waktu siang untuk menerima taubat mereka yang melakukan dosa pada waktu malam, dan membuka tangan selebar-lebarnya pada waktu malam untuk menerima taubat mereka yang melakukan dosa pada waktu siang. Hal ini berkekalan sehinggalah matahari terbit dari sebelah barat." (Hadis Riwayat Muslim)

Ketiga : Dengki kepada manusia, suka balas dendam, dan iri terhadap kurnia yang diberikan Allah kepada seseorang.

Sifat hasad dengki, suka balas dendam dan iri hati terhadap kurniaan seseorang yang diberikan oleh Allah SWT adalah sifat-sifat mazmumah.

Sifat hasad dengki  adalah sifat yang banyak membawa keburukan dan kemusnahan. Orang berpenyakit hasad dengki ini tidak suka melihat orang lain berjaya daripada dirinya, tidak kira dalam apa juga bidang. Dia akan berusaha sedaya upaya menjatuhkan atau menggagalkan orang yang lebih daripadanya itu. Dia akan melakukannya sehingga berjaya, iaitu sehingga musuhnya jatuh gagal dan tewas.

Sabda Rasulullah S.A.W. maksudnya : "Waspadalah terhadap hasad (iri dan dengki), sesungguhnya hasad mengikis pahala-pahala sebagaimana api memakan kayu.
(Hadis Riwayat Abu Dawud)"

Firman Allah SWT maksudnya : "Dan janganlah kamu iri hati terhadap apa yang dikurniakan Allah kepada sebahagian kamu lebih banyak dari sebahagian yang lain. (Kerana) bagi orang lelaki ada bahagian dari pada apa yang mereka usahakan, dan bagi para wanita (pun) ada bahagian dari apa yang mereka usahakan, dan mohonlah kepada Allah sebagian dari kurnia-Nya. Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui segala sesuatu" (Surah an-Nisa' ayat 32)

Firman-Nya lagi yang bermaksud : "ataukah mereka dengki kepada mausia (Muhammad) kerana kurnia yang telah diberikan Allah kepadanya?"(Surah an-Nisa' ayat 54)

Umumnya semua kita punya sifat ini, cuma bergantung kepada kekuatan diri untuk mengawalnya. Ada yang tidak mempedulikannya. Ada yang mengikutinya hingga menggadaikan maruah diri dan orang sekitarnya. Kita seringkali lupa bagaimana Allah mendidik kita supaya sentiasa meminta kepadaNya.

Jika sifat hasad dengki, dendam dan iri hati ini tidak dibuangkan pada diri seseorang dia akan menerima balasan di sisi Allah SWT.

Orang yang disebut Allah dalam firman-Nya itu ternyata rohaninya (hatinya) tidak sihat dan tentunya berpenyakit. Apabila rohani berpenyakit maka berlakulah sifat bertentangan tuntutan agama dan lebih buruk lagi boleh mengakibatkan manusia itu ingkar kepada Allah.

Firman Allah S.W.T. yang bermaksud: “Di dalam hati mereka ada beberapa penyakit, lalu Allah menambah penyakit itu, dan untuk mereka itu azab yang pedih kerana mereka telah berdusta.” (Surah al-Baqarah ayat 10)

Orang mukmin akan memaafkan kesalahan orang lain dan dia tidak ada perasaan dendam kerana dendam itu datangnya daripada dorongan hawa nafsu yang lahir daripada bisikan syaitan. Walaupun dia berkuasa membalas dendam tetapi pilihannya adalah memaafkan kesalahan orang lain.

Sabda Rasulullah SAW. yang bermaksud : "Orang yang terkuat di kalangan kamu semua ialah orang yang dapat mengalahkan hawa nafsunya di ketika dia marah dan orang yang tersabar ialah orang yang suka memberikan pengampunan di saat dia berkuasa memberikan balasan (kejahatan orang yang menyakitinya)"

(Hadis Riwayat Baihaqi)

Keempat : Berpaling dari peringatan Allah.


Jika kita berpaling daripada peringatan Allah SWT akan menyembabkan hidup terasa sempit, hati menjadi sedih, dan dada terasa sesak kerana setiap peringatan Allah SWT adalah untuk menjadi iktibar dan pengajaran. Jiwa yang menerima tarbiah dan didikan daripada Allah SWT , menerusi al-Quran maka jiwa akan tenteram dan damai dan melahirkan keseronokan dan kebahagiaan yang sebenarnya.


Firman Allah SWT maksudnya : “Sesungguhnya orang-orang yang beriman itu ialah mereka yang apabila disebut ‘Allah’, gementarlah hati mereka, dan apabila dibacakan kepada mereka ayat-ayatNya, bertambahlah keimanannya, dan kepada Tuhan merekalah sahaja mereka bertawakal.” (Surah al-Anfal ayat 2)

Tanda hati yang hidup, ialah ia masih boleh bergetar dan teralun dengan zikrullah dan bacaan Al-Quran, ia akan bergetar untuk segala jenis kebaikan. Hati yang hidup akan terkesan apabila menerima teguran dan berasa tenang apabila menerima nasihat. Hati yang hidup akan peka terhadap kebesaran Ilahi dan takut akan kemurkaanNya. Hati yang hidup juga akan mendorang diri berasa lebih ringan untuk melakukan ibadah.

Hati yang hidup dan jiwa yang tenang akan mampu membezakan antara yang hakiki dengan yang ilusi. Ia tidak seperti pandangan mata kasar yang sifatnya selalu menipu, pandangan akal yang sifatnya boleh tersalah dan pandangan nafsu yang sifatnya selalu melulu.

Mereka yang hatinya sentiasa takut kepada Allah dan takut dengan azab-Nya bukan setakat tahu tetapi sedar hakikat dirinya sebagai hamba Allah. Hamba Allah tidak akan bersifat seperti 'tuan', bersikap angkuh, tamak, pemarah, bangga diri dan sifat-sifat mazmumah yang lain. Oleh itu tahu dan sedar adalah dua perkara yang berbeza. Tahu letaknya di akal, dengan memiliki ilmu dan maklumat. Manakala kesedaran letaknya di hati, dengan memiliki penghayatan dan hikmah.

Sahabat yang dimuliakan,
Marilah sama-sama kita berwaspada dan menjauhi empat perkara yang boleh menjadikan hidup terasa sempit, hati menjadi sedih, dan dada terasa sesak . Untuk mengatasi perkara ini perlulah kita kembali kepada Allah SWT, beriman dan bertakwa kepada-Nya dan meyakini bahawa hanya sistem hidup Islam yang lengkap dan sempurna akan menyelamatkan kita samaada hidup di dunia maupun di hari akhirat.

Hati Yang Sedang Sakit Lebih Cintakan Dunia Berbanding Hari Akhirat

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh

بِسْمِ ٱللَّهِ ٱلرَّحْمَـٰنِ ٱلرَّحِيم

Segala puji bagi Allah, Tuhan sekelian alam. Selawat serta salam buat junjungan mulia Nabi Muhammad SAW keluarga serta para sahabat dan pengikut yang istiqamah menuruti baginda hingga ke hari kiamat.

Sahabat yang dirahmati Allah,
Hati manusia sentiasa disebukkan dengan kecintaan kepada dunia. Harta kekayaan yang dimegah-megahkan, keseronokan kepada isteri dan anak-anak,  perniagaan yang diusahakan takut kerugian, hiburan yang diminati dan aktiviti harian melayan hobi dan kesukaan. Tidak ramai manusia yang cinta kepada majlis ilmu, tazkirah, bahan tarbiah dan dakwah.

Jika ditagkan nota tazkirah diwall facebook  cepat-cepat dipadamkan kerana merasa elagi dan tak selesa. Tidak berminat jika wall dipenuhi artikal yang mengajak kepada akhirat dan membaiki akhlak kepada akhlak mukmin. Lebih suka berbincang hal-hal dunia dan kesukaan masing-masing. Lebih suka khayal mengenangkan nostalgia lama yang mengasyikkan. Tidak salah mengenangkan kisah-kisah lama tetapi itu hanyalah "BAHAN SEJARAH" yang lebih penting bagaimana kita hendak mengajak rakan-rakan lama (yang telah berada diambang usia senja) menuju siratul mustakim supaya kita dapat bertemu disyurga nanti insya Allah.

Dalam hadis menjelaskan sahabat-sahabat yang baik dan bertakwa ketika di dunia akan bertemu disyurga nanti. Ada pasar disyurga tetapi tidak ada jual beli yang ada hanya lah perjumpaan mengenangkan kisah-kisah lama ketika di dunia.

Anas bin Malik r.a. berkata: Nabi SAW. bersabda yang bermaksud: "Di dalam syurga ada pasar tetapi tidak ada jual beli, hanya orang-orang berkumpul membicarakan keadaan ketika di dunia dan cara beribadat, bagaimana keadaan antara si fakir dengan yang kaya dan bagaimana keadaan sesudah mati dan lama binasa dalam kubur sehingga sampai di syurga".

Manusia lebih tertarik membincangkan perlawanaan bola sepak pasukan mana yang menjadi pilihan, penyanyai mana yang memenangi pertandingan (mentor, akademik fantasi, kilauan emas dan sebagainya), pelaburan mana yang lebih menguntungkan (tidak kira halal/haram), filem mana yang mendapat box office, termasuk jenis-jenis kereta yang dipakai, rumah tempat tinggal dan perabut berjenama dan  jenis pakaian yang dipakai dan model telefon bimbit terkini yang digunakan dan sebagainya.

Manusia benar-benar terpedaya dengan dunia yang melalaikan dan melekakan hinggakan manusia sanggup menghabiskan ribuan ringgit dan masa yang banyak untuk melayan hobi dan kesukaan hawa nafsu yang dituruti. Mereka yang berminat terhadap kereta sanggup menghiasi kereta dengan "accessory" yang mahal dan membazir. Mereka yang berminta perhiasan rumah sanggup menghabiskan puluhan ribu untuk mengiasi rumah dengan perabut mahal dan kemasan yang berjenama dan diimport dari luar negara. Mereka yang minat memancing sanggup ambil cuti dan menyewa bot laju untuk memenuhi kepuasan memancing dikawasan laut dalam. Sedangkan amat berat untuk membayar zakat dan bersedekah kepada fakir miskin atau kejalan Allah SWT.

Apabila diajak kepada kemasjid atau surau untuk mengikuti kuliah agama atau tazkirah berbagai-bagai alasan diberikan. Tidak ada masa, sebuk dengan keluarga, sebuk dengan pelanggan dan letih bekerja sehari  suntuk dipejabat dan sebaginya.

Apakah manusia merasakan bahawa dia boleh hidup 100 tahun lagi atau seolah-olah panggilan kealam barzakh masih jauh?. Walaupun umur sudah menjangkau  50 an, 60 an dan 70 an tetapi minat kepada dunia melebihi kesukaan kepada hari akhirat.

Sahabat yang dimuliakan,
Rasulullah SAW. pernah menasihati umatnya agar sentiasa bertaubat kepada Allah : "Wahai sekelian manusia, bertaubatlah kamu kepada Tuhan sebelum kamu mati. Gunakanlah kesempatan yang ada untuk beramal dan berbakti sebelum masa kamu dipenuhi oleh urusan dan kerja. Wujudkanlah satu pertalian antara kamu dengan-Nya, memperbanyakan mengingati-Nya (zikrullah)."

 Tahukah kalian bahawa malaikat maut sentiasa merenung serta melihat wajah seseorang itu 70 kali dalam sehari? Andainya manusia sedar hakikat itu, nescaya mereka tidak lalai mengingati mati.

Oleh kerana malaikat maut adalah makhluk ghaib, manusia tidak dapat melihat kehadirannya, sebab itu manusia tidak menyedari apa yang dilakukan malaikat Izrail.

Hadis Nabi SAW yang diriwayatkan oleh Abdullah bin Abbas r.a bahawa Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: "Bahawa malaikat maut memerhati wajah manusia di muka bumi ini 70 kali dalam sehari. Ketika Izrail datang merenung wajah seseorang, didapati orang itu ada yang gelak-ketawa. Maka berkata Izrail: "Alangkah hairannya aku melihat orang ini, sedangkan aku diutus oleh Allah untuk mencabut nyawanya, tetapi dia masih berseronok-seronok dan bergelak ketawa."

Justeru, tidak hairanlah, jika ramai manusia yang masih mampu lagi bergelak sakan dan bersenang-lenang seolah mereka tiada masalah yang perlu difikirkan dalam hidup.

Takdirnya esok hari terakhir Allah 'pinjamkan' nyawa kepada kita untuk bernafas di muka bumi ini adakah kita sudah cukup bekalan bagi menghadapi dua fasa berikutnya iaitu alam barzakh dan alam akhirat?

Oleh itu marilah sama-sama kita bermuhasabah dan membuat persiapan secukupnya untuk hari esok (akhirat). Untuk keperluan makan, minum, rumah, kenderaan dan keperluan hidup yang  lain cari dan gunakanlah seadanya (qanah) kerana hidup di dunia hanya sementara waktu sahaja. Jika berharta perbanyakan sedekah jariah kerana inilah saham yang sebenarnya untuk kita semasa disana nanti. Janganlah memandang sepi terhadap ilmu yang bermanfaat walaupun satu perkataan. Sebarkanlah dan kongsi bersama sahabat-sahabat lain kerana ianya juga saham akhirat.

Nabi SAW bersabda maksudnya : "Apabila mati seorang anak Adam, maka terputuslah segala amalan, melainkan 3 perkara yg dibawa pergi iaitu pahala amalan (yg dilakukan semasa hayatnya masih ada), sedekah yang berkekalan, ilmu yang dimanfaat, anak-anak soleh yang berdoa kepadanya." (Hadis riwayat Muslim daripada Abu Hurairah.)

No comments:

Powered By Blogger | Template Created By Lord HTML