Tuesday, February 25, 2014

HAKIKAT MANUSIA

Hakikat Diri Manusia



Sahabat yang dirahmati Allah,
Manusia adalah makhluk yang paling mulia, melebihi kedudukan para malaikat dan makhluk-makhluk yang lain. Ia dijadikan sebaik-baik kejadian. Bukan kerana faktor fizikal dan anggota lahiriah semata-mata, tetapi kerana ia mempunyai jiwa atau roh, yang datang dari alam ghaib atau alam ke Tuhanan yang membolehkan ia berhubung terus dengan Allah, Tuhan yang menciptanya.

Hari ini ramai manusia yang derhaka kepada Allah, lupa asal usulnya. Kalau mereka yang kufur itu, ia tidaklah menghairankan sangat tetapi mereka yang diutuskan Rasul dan Kitab terus menerus berada didalam keadaan menderhakai Allah. Malah ada yang cuba berlagak menjadi Tuhan, melawan sistem dan peraturan Tuhan. Maka jadilah kehidupan manusia itu sentiasa berada di dalam kemurkaan Allah.

Sahabat yang dimuliakan,
Manusia seperti ini, termasuk diri kita sendiri perlu disedarkan kembali tentang asal usul kita, siapa kita yang sebenarnya? Dari mana asal kita?
Ingatlah! Kita sebenarnya berasal dari alam roh dan diturunkan ke dunia untuk menjadi hamba Allah, mengabdikan diri kepada-Nya.

Apabila membicarakan persoalan mengenai hakikat diri manusia, ia tidak boleh lari dari perbincangan mengenai hati atau roh. Ini kerana dalam Al-Qur'an dan hadis Nabi s.a.w., kemuncak pembicaraan mengenai manusia ialah mengenai kalbu (hati). Kadangkala ia disebut jiwa atau roh.

Manusia akan dapat hidup dan bernafas apabila roh berada di dalam jasad manusia, tetapi apabila roh keluar dan berpisah dengan jasad manusia, maka jadilah jasad manusia seperti tunggul kayu yang menunggu hancur dan reput.

Apabila manusia dilahirkan didunia, roh yang berada pada jasad manusia masih bersih dan berada di dalam keadaan fitrah. Apabila manusia membesar sedikit demi sedikit, persekitarannya samaada ibu bapanya, keluarganya, rakan-rakannya, masyarakatnya dan teknologi di dunia yang ada akan mempengaruhi hidupnya. Apabila suasana iman dan Islam mempengaruhi hidupnya maka jadilah ia insan kamil yang baik akhlak dan beriman. Tetapi apabila susana jahiliah dan maksiat yang mempengaruhi sebahagian besar hidupnya maka jadilah ia manusia yang kufur dan derhaka dan akan mengotori rohnya sendiri.

Roh datang dari alam ghaib (alam al-amr) ke alam nyata (di dunia) dan akan kembali ke alam ghaib pula (alam akhirat). Ia ditumpangkan ke alam dunia ini tempat sementara kerana ada tujuannya iaitu sebagai ujian. Ia datang dari alam kejadian Tuhan yang aneh (alam ruhaniah) yang tidak menerima binasa dan fana selama-lamanya. Ia akan menanggung rasa bahagia atau celaka di akhirat. Ia sudah mengenali Tuhan di alam arwah sebelum benda-benda ini dijadikan. Ia sudah hidup, melihat, mendengar, bercakap dan seterusnya bersifat dengan sifat ma'ani sebelum ia bercantum dengan tubuh badan kasar manusia.

Sahabatku,
Roh ini yang digelar fitrah Allah (tabiat semulajadi untuk menerima agama dan rasa berTuhan) yang sudah mengenali dan mengetahui agama-Nya dengan tidak payah atau mentelaah kitab di alam arwah, yaini ia sudah mengenali segala-galanya sebelum ia dihantar atau dicantum dengan alam kasar ini. Malah ia pernah mengaku dan menyaksikan di alam arwah bahawa Tuhan Yang Maha Esa itu ialah Allah.

Firman Allah s.w.t. yang bermaksud, "Tidakkah Aku ini Tuhan kamu? Mereka menjawab; Bahkan kami menyaksikan!"
(Surah Al-'Araf ayat 172)

Ialah juga dijadikan sebab diutusnya para Rasul ke alam dunia ini untuk mengawasi dan mengingatkan kembali mengenai perkara-perkara agama yang manusia telah mengetahuinya ketiaka di alam arwah dahulu, mudah-mudahan supaya manusia tidak mengotorkan fitrahnya, malah hendaklah sentiasa bersih dari awal hingga akhir.

Firman Allah s.w.t. yang bermaksud, " Dialah fitrah yang Allah jadikan sesuai pada manusia, tidak dapat diubah-ubah lagi pada kejadian Allah, itulah agama Allah yang betul"

Adapun orang-orang yang tidak menerima agama Allah yang disampaikan para Rasul di dunia ini, maka itulah tandanya mereka sudah mengotori fitrah bersih mereka yang sebenar dan ia sudah tercemar. Dengan itu mereka berhak medapat gelaran kufur di sisi Allah dan sewajarnya mereka akan kekal di dalam Neraka. Na'udzubillahimindzalik.

Firman Allah s.w.t. yang bermaksud, "Dan Aku tidak jadikan jin dan manusia melainkan untuk mengabdikan diri kepada-Ku."
(Surah Adz-Dzariyat ayat 56).

Oleh itu marilah kita sama-sama kembali mengaku dengan sedar hakikat sebenar diri kita sebagai manusia yang diciptakan oleh Allah s.w.t. Bersihkanlah hati dan jiwa kita dari segala bentuk kotoran sifat-sifat mazmumah dan suburkan ia dengan sifat-sifat mahmudah, sekiranya ia berlaku insya Allah akan bersihlah roh kita, dan kita akan kembali kepada fitrah yang asal dan ketika itu tidak akan ada hijab kita dengan Allah s.w.t. Jiwa kita dapat merasai keagongan Allah s.w.t. dan lahir rasa cinta dan kasih kepada-Nya.

No comments:

Powered By Blogger | Template Created By Lord HTML