Tuesday, February 25, 2014

HATI DAN JIWA

Nilai Bahagia Terletak Pada Hati dan Jiwa

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh

سْمِ اللهِ الرَّحْمنِ الرَّحِيْم

Segala puji bagi Allah, Tuhan sekelian alam. Selawat serta salam buat junjungan mulia Nabi Muhammad SAW keluarga serta para sahabat dan pengikut yang istiqamah menuruti baginda hingga ke hari kiamat.

Sahabat yang dirahmati Allah,
Memang sudah menjadi ketentuan Allah, fitrah hidup manusia inginkan bahagia. Insan yang beroleh kebahagian lazimnya mendakwa mereka merasa tenteram dan merasa kepuasan dalam keindahan hidup yang dinikmatinya.

Namun kebahagian itu sebenarnya bukanlah terletak diatas dasar kekayaan dan kemewahan yang dapat dilihat dengan mata kasar semata-mata ,kerana di antara mereka yang kaya raya kebanyakannya sering dilanda resah gelisah serta tidak pernah merasa puas, tenang dan aman.

Dengan sedaya upaya manusia mencurahkan tenaga berhabis-habisan demi mengejar pangkat, mencari nama, kemasyhuran, wang dan harta kekayaan kerana manusia itu menyangka disinilah letaknya ketenangan dan kebahagiaan yang diburu selama ini.Sesungguhnya jika bahagia itu diusahakan atas dasar kebendaan semata-mata, manusia itu akan gagal mencapai nikmat kebahagiaan yang diburunya.

Mereka dari golongan ini sebenarnya adalah manusia yang tertipu dengan kemewahan hidup yang memerangkap dirinya sendiri bersama kekecewaan dan penderitaan hidup sepanjang masa kerana tertipu dengan pelbagai godaan syaitan dan iblis.

Kebahagian hidup ini sebenarnya ialah ketenangan dan kesyukuran seorang hamba kepada Penciptanya. Ketenangan itu sesungguhnya merupakan suatu anugrah Allah yang tidak ternilai kepada hamba-Nya yang beriman dan bertakwa.

Insan yang mendapat ketenangan hati dalam kehidupan dialam maya ini, laksana beroleh kehidupan di syurga yang disegerakan (Al-Jannatul Ajilah) sebelum mendapat Syurga yang kekal abadi dialam akhirat.

Sahabat yang dimuliakan,
Justeru setiap apa yang dilakukan diatas muka bumi milik Allah ini, bukanlah untuk mengejar bahagia yang disaluti dengan kemewahan dan kebendaan semata-mata tetapi yang utamanya ialah ketenangan hati dan jiwa yang tenteram.

Ketenangan itu pula tidak akan dapat dinikmati melalui kata-kata indah tetapi ianya harus disertai dengan ubudiah iaitu pengabdian dan penyerahan diri kepada Allah dan kerana Allah semata-mata.Yang paling utama dalam kehidupan seorang mukmin yang berjiwa tenang dan tenteram itu ialah mematuhi ajaran Allah dan menjauhi larangan-Nya demi mendapatkan keredhaan-Nya.

Bagi mereka yang tenang tidak kira dimana dan dalam situasi apa dia berada pasti ketenangan dapat dinikmati. Jika berseorangan pun dia merasa bahagia, apatah lagi ketika ditengah sahabat dan keluarga. Ketika diuji oleh Allah dengan susah dan derita pula mereka tetap rasa bahagia, apalagi ketika senang dan gembira, keredaan Allah sungguh besar maknanya buat mereka.

Islam adalah cara hidup insan yang sentiasa mencari keredaan Allah. Ada diantara mereka diuji dengan kehilangan ayah, suami, anak, isteri dan kekasih, namun mereka masih dapat merasa tenang dan tabah. Bahkan mereka merasakan ujian-ujian itu adalah untuk menguji kekuatan iman mereka. Mereka sentiasa berbaik sangka dengan Allah SWT dan meyakini bahawa terdapat hikmah di atas qadak dan qadar dan segala kesusahan yang di berikan oleh Allah SWT.

Jika kita rajin menyingkap sirah di zaman sebelum kelahiran Rasulullah SAW  dan awal keagongan Islam tentunya kita dapat mengambil ikhtibar dan contoh teladan yang ditunjukkan oleh tokoh-tokoh Islam di zaman silam itu. Asiah isteri Firaun misalnya rela diseksa oleh suaminya lantaran mempertahankan iman yang tidak ternilai harganya. Demikian juga Nasibah yang melepaskan suami dan anak-anaknya yang masih remaja kemedan jihad fisabilillah. Sumayyah sangup menghadapi seksaan hingga mendapat syahid semata-mata mempertahankan akidah dan iman dan cinta kepada Allah SWT dan Rasul-Nya.

Kerana cinta dan keredaan Allah itu adalah segala-galanya bagi mukmin yang beriman dan bertakwa. Demikianlah nilai kebahagiaan itu akan muncul dalam diri kita bilamana ianya dapat dirasakan, segala yang datang itu hakikatnya dari Allah SWT. jua.

Sahabat yang dihormati,
Terdapat beberapa amalan yang yang diambil daripada al-Quran dan As-Sunnah dan ulama-ulama muktabar untuk melahirkan hati yang bersih dan berbahagia. Amalan-amalan tersebut adalah seperti berikut :

1. Tafakur dan muhasabah .

Kita hendaklah sentiasa merenung kehidupan kita, bermuhasabah tentang hubungan hati kita dengan Allah s.w.t. Fikirkan betapa banyaknya dosa-dosa yang telah kita lakukan, tugas dan amanah yang telah kita tinggalkan dan betapa kurangnya amal soleh kita dan rasa tidak mampu nak berhadapan dengan Allah SWT. di hari akhirat nanti. Sayyidina Umar setiap malam bertafakur dan bermuhasabah dan mengenangkan akan dosa-dosanya.

2.Beristighfar .

Rasulullah SAW beristighfar sebanyak 70 kali sehari semalam. Walaupun baginda bersifat maksum dan telah diampunkan dosanya oleh Allah SWT yang kemudian dan yang akan datang, baginda tetap memohon ampun kepada Allah SWT. tanda bersyukur baginda kepada-Nya.

Firman Allah SWT yang bermaksud : "Tiadalah Tuhan akan menyiksa mereka, sedangkan engkau berada diantara mereka, dan tiadalah Tuhan hendak menyiksa mereka selama mereka beristigfar."
(Surah al-Anfal ayat 33)

Firman Allah SWT. yang bermaksud : "Dan mohonlah keampunan kepada Tuhan kamu dan kembalilah kepada-Nya nescaya Dia akan mengurniakan pemberian yang baik kepada kamu hingga ke waktu yang ditentukan."
(Surah Hud ayat 3)

3.Berselawat kepada Nabi SAW.

Sesiapa yang banyak berselawat keatas junjungan Nabi SAW akan mendapat syafaat dihari akhirat nanti ketika itu tiada siapa yang dapat membantunya. Berselawat juga dapat melahirkan kecintaan kepada baginda dan ahli keluarganya.

Nabi SAW. bersabda yang bermaksud : "Barangsiapa yang berselawat kepadaku sekali, nescaya Allah akan membalasnya dengan selawat keatasnya sepuluh kali."

Firman Allah SWT  yang bermaksud : "Sesungguhnya Allah dan para malaikat-Nya berselawat kepada Nabi, wahai orang-orang yang beriman, berselawatlah ke atasnya dan mengucap salamlah kepadanya dengan sepenuh salam (kehormatan).

4.Mengingati mati .

Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud : "Perbanyakkan mengingati mati, kerana yang demikian itu akan mengurangkan seseorang itu melakukan dosa dan zuhud pada dunia."

Imam al-Ghazali mengatakan, "Dengan meningati mati, hati kamu menjadi lembut."

5.Berzikir dalam hati .

Sabda Rasulullah SAW  yang bermaksud : "Sebaik-baik zikir ialah yang dirahsiakan (dalam hati) dan sebaik-baik rezeki ialah yang mencukupi."

Dalam hadis yang lain baginda bersabda yang bermaksud, "Bagi segala sesuatu ada penggosok untuk membersihkan dan menghilangkan kekotorannya. Maka begitulah penggosok (pembersih) hati ialah zikrullah."

Firman Allah SWT. yang bermaksud : "Berzikirlah kepada Tuhanmu dalam hatimu dengan rendah hati dan perasaan takut."

Sebahagian ulama tasauf mengatakan zikir yang dimaksudkan di dalam hadis di atas ialah zikir qalbi (zikir dalam hati) bukan zikir lisan. Dengan mengerjakan zikir qalbi itu seseorang manusia terhubung dengan Allah SWT. selama-lamanya. Oleh kerana hati adalah 'raja' kepada anggota-anggota badan yang lain, dalam melakukan ibadah, jika hati sentiasa berhubung dengan Allah, maka anggota-anggota lainnya dengan sendirinya akan berhubung dengannya. Contohnya dalam keadaan kita berseorangan atau dalam kenderaan daripada fikiran kita berhayal dengan perkara-perkara yang tidak berfaedah eloklah kita zikir dalam hati dengan menyebut Allah, Allah... berulang-ulang.

6.Zikir secara jihar (lisan) .

Sayyidina Umar al-Khattab pernah ditanya mengapa beliau cenderung untuk berzikir jihar, beliau menjawab ; "Aku melakukan demikian untuk menyedarkan orang-orang yang lalai dan supaya syaitan-syaitan akan menjauhkan diri daripada sisiku."

Imam al-Ghazali amat menekan zikir jihar beramai-ramai kerana ia mempercepatkan keasyikan hati dan berlakunya tolong menolong antara satu sama lain dalam meningati Allah SWT.

7.Berdoa kepada Allah SWT.

Firman Allah SWT yang bermaksud :
"Dan Tuhan kamu berfirman : 'Mohonlah kepada-Ku nescaya Aku akan memperkenankan permohonan kamu."
(Surah al-Mukminin ayat 180)

Perbanyakkanlah berdoa kepada Allah SWT setiap masa. Selepas solat fardu, selepas membaca al-Quran, selepas solat tahajud di tengah malam dan ditempat-tempat yang afdhal doa, kerana dengan banyaknya doa hati akan menjadi bersih, lembut dan sejahtera.

Sahabat yang dikasihi,
Marilah sama-sama kita bermuhasabah dan mendidik hati kita bahawa kebahagian sebenar di dunia ini bukanlah pada harta dan keseonokan dengan pangkat dan kekuasaan . Yang penting hidup kita diberkati dan diredai oleh Allah SWT dan mencukupi bekalan dan pahala yang akan kita bawa bila bertemu Allah SWT. Orang mukmin akan pergunakan segala harta dan pangkat kedudukan semata-mata untuk beribadah dan membuat amal soleh untuk mendapat keredaan-Nya.

No comments:

Powered By Blogger | Template Created By Lord HTML