Tuesday, February 25, 2014

HARTA WAKAF SAIDINA USMAN

Harta Wakaf Saidina Usman Bin Affan Masih Kekal Di Madinah

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh

سْمِ اللهِ الرَّحْمنِ الرَّحِيْم

Segala puji bagi Allah, Tuhan sekelian alam. Selawat serta salam buat junjungan mulia Nabi Muhammad SAW keluarga serta para sahabat dan pengikut yang istiqamah menuruti baginda hingga ke hari kiamat.

Sahabat yang dirahmati Allah,
Harta wakaf berupa sedekah jariah yang dilakukan oleh seorang mukmin akan berkekalan jika harta atau sedekah tersebut berterusan dimanfaatkan oleh orang ramai yang menggunakannya dari zaman kezaman. Alangkan beruntungnya ada dikalangan sahabat Rasulullah SAW  sehingga kini harta wakafnya dimanfaatkan oleh umat Islam sehingga ke hari ini.
Khalifah Usman bin Affan salah seorang sahabat nabi yang menjalankan perniagaan, kaya raya, murah hati dan dermawan. Usman bin Affan juga mempunyai akaun di salah sebuah bank di Saudi? Nama akaun dan bil elektrik juga masih atas nama beliau.

Bagaimana beliau memiliki hotel atas namanya di berhampiran Masjid Nabawi itu?

Diriwayatkan pada zaman Nabi Sallallahu ' Alaihi Wasallam, kota Madinah pernah mengalami kelaparan dan juga sukar untuk mendapatkan air bersih. Mereka (kaum muhajirin ) sudah terbiasa minum dari air zam-zam di Mekah. Satu-satunya sumber air yang tinggal adalah sebuah perigi milik seorang Yahudi, perigi Raumah namanya. Rasanya seperti dengan perigi zamzam. Kaum muslimin dan penduduk Madinah terpaksa beratur dan membeli air bersih dari Yahudi tersebut.

Atas keprihatinan keadaan umatnya, Rasulullah Sallallahu 'Alaihi Wasallam kemudian bersabda: " Wahai sahabatku, siapa saja diantara kalian yang menyumbangkan hartanya untuk dapat membebaskan perigi itu, lalu menyumbangkannya untuk umat, maka akan mendapat surga-Nya Allah Ta'ala" ( Hadis Riwayat Muslim) .

Usman bin Affan radhiyallahu ' anhu yang kemudian segera bertindak untuk membebaskan perigi Raumah itu. Usman segera mendatangi Yahudi pemilik perigi dan menawar untuk membeli perigi Raumah dengan harga yang tinggi. Walaupun sudah diberi tawaran yang tinggi, si Yahudi pemilik perigi tersebut tetap menolak menjualnya, "Seandainya perigi ini saya jual kepadamu wahai Usman, maka aku tidak mempunyai pendapatan yang boleh aku peroleh setiap hari " demikian Yahudi tersebut menjelaskan alasan penolakannya .

Usman bin Affan radhiyallahu ' anhu yang ingin sekali mendapatkan balasan pahala berupa syurga Allah Ta'ala, tidak berputus asa untuk mengatasi penolakan Yahudi ini .

"Bagaimana kalau aku beli setengahnya saja dari perigi" Usman meneruskan rundingan.

" Maksudmu? " tanya Yahudi kehairanan.

"Begini, jika engkau setuju maka kita akan mempunyai perigi ini bergantian. Satu hari perigi ini milikku, esoknya kembali menjadi milikmu kemudian lusa menjadi milikku lagi demikian selanjutnya berganti satu ke satu hari yang lain. Bagaimana? " jelas Usman.

Yahudi itupun berfikir, " ... saya mendapat wang banyak dari Usman tanpa perlu kehilangan perigi milikku ". Akhirnya si Yahudi bersetuju menerima tawaran Usman tadi dan bersepakat mulai hari itu perigi Raumah adalah milik Usman bin Affan radhiyallahu ' anhu.

Usman pun segera mengumumkan kepada penduduk Madinah yang mahu mengambil air di perigi Raumah, sila mengambil air untuk keperluan mereka secara percuma kerana hari ini perigi  Raumah adalah miliknya. Dia juga mengingatkan agar penduduk Madinah mengambil air dalam jumlah yang cukup untuk 2 hari kerana pada keesokan harinya perigi itu bukan lagi milik Usman.

Keesokan hari Yahudi mendapati perigi miliknya sepi tanpa pembeli kerana penduduk Madinah masih mempunyai persedian air di rumah. Yahudi itupun mendatangi Usman dan berkata "Wahai Usman belilah setengah lagi perigi ini dengan harga sama seperti engkau membeli setengahnya semalam " . Usman setuju, lalu Usman membelinya dengan harga 20000 dirham, maka perigi Raumah pun menjadi milik Usman secara sepenuhnya.

Kemudian Usman bin Affan radhiyallahu 'anhu mewakafkan perigi Raumah dan sejak itu perigi Raumah dapat dimanfaatkan oleh sesiapa saja, termasuk Yahudi pemilik lamanya.

Setelah perigi itu diwakafkan untuk kaum muslimin dan setelah beberapa waktu kemudian, tumbuhlah di sekitar perigi itu beberapa pohon kurma dan terus bertambah. Lalu Daulah Utsmaniyah memeliharanya hingga semakin berkembang lalu disusuli penjagaan tersebut oleh Kerajaan Saudi sehingga berjumlah 1550 pokok.

Jabatan Pertanian Saudi telah menjual hasil kebun kurma ini ke pasaran dan separuh daripada keuntungan itu disalurkan untuk anak-anak yatim dan fakir miskin. Sebahagianya disimpan dalam bentuk akaun khas milik beliau di salah sebuah bank atas nama Usman bin Affan di bawah pengawasan jabatan Pertanian.


Begitulah seterusnya sehingga wang yang ada di bank itu cukup untuk membeli sebidang tanah dan membina hotel yang cukup besar di salah sebuah tempat yang strategik berhampiran Masjid Nabawi.

Bangunan hotel itu sudah hampir siap dan akan disewakan sebagai hotel 5 bintang. Dianggarkan mendapat keuntungan sekitar RS 50 juta setahun. Setengahnya untuk anak-anak yatim dan fakir miskin dan setengahnya lagi tetap disimpan dan ditabung di bank atas nama Usman bin Affan radhiyallahu anhu.

Subhanallah, ... Jelas peniagaan dengan Allah selalu menguntungkan dan tidak akan rugi.

Ini adalah salah satu bentuk sedekah jariyah yang pahalanya akan terus mengalir walaupun orangnya sudah lama meninggal dunia.

Disebutkan di dalam hadis sahih dari Abi Hurairah radhiyallahu 'anhu bahawasanya Nabi Sallallahu' Alaihi Wasallam bersabda:

إذا مات الإنسان انقطع عنه عمله إلا من ثلاثة إلا من صدقة جارية أو علم ينتفع به أو ولد صالح يدعو له

"Apabila manusia meninggal dunia , terputuslah segala amalannya , kecuali dari tiga perkara: sedekah jariyah , ilmu yang bermanfaat atau anak soleh yang mendoakannya". [Hadis Riwayat Muslim , Abu Dawud dan Nasa'i ]

Dan disebutkan pada hadis yang lain riwayat Ibnu Majah dan Baihaqi dari Abi Hurairah radhiyallahu ' anhu, dia berkata: Rasulullah Sallallahu' Alaihi Wasallam bersabda .

إن مما يلحق المؤمن من عمله وحسناته بعد موته علما علمه ونشره وولدا صالحا تركه ومصحفا ورثه أو مسجدا بناه أو بيتا لابن السبيل بناه أو نهرا أجراه أو صدقة أخرجها من ماله في صحته وحياته يلحقه من بعد موته

Maksudnya : "Sesungguhnya di antara amalan dan kebaikan seorang mukmin yang akan menemuinya selepas kematiannya adalah : ilmu bermanfaat yang diajarkan dan disebarkannya, anak soleh yang ditinggalkannya, mushhaf yang diwariskannya, masjid yang dibangunnya, rumah untuk ibnu sabil yang dibangunnya, sungai (air) yang dialirkannya untuk umum, atau sedekah yang dikeluarkannya dari hartanya diwaktu sihat dan semasa hidupnya, semua ini akan menemuinya setelah dia meninggal dunia ".

*Diterjemahkan oleh Detik Islam dari sumber zilzaal.blogspot.com


No comments:

Powered By Blogger | Template Created By Lord HTML