Tuesday, February 25, 2014

HADIAH BUAH LIMAU

Hadiah Buah Limau Kepada Nabi S.A.W.



Bismillahirrahmanirrahim.
Segala puji bagi Allah, Tuhan sekelian alam. Selawat serta salam buat junjungan mulia Nabi Muhammad S.A.W. keluarga serta para sahabat dan pengikut yang istiqamah menuruti baginda hingga ke hari kiamat.

Sahabat yang dirahmati Allah, 
Suatu hari Rasulullah SAW didatangi oleh seorang wanita kafir. Ketika itu baginda bersama beberapa orang sahabat. Wanita itu membawa beberapa biji buah limau sebagai hadiah untuk baginda. Cantik sungguh buahnya. Siapa terlihat pasti terliur. Baginda menerimanya dengan senyuman gembira. Hadiah itu dimakan oleh baginda Rasulullah S.A.W seulas demi seulas dengan senyuman. 
  
Biasanya Rasulullah S.A.W akan makan bersama para sahabat, namun kali ini tidak. Tidak seulas pun limau itu diberikan kepada mereka. Rasulullah S.A.W terus makan. Setiap kali dengan senyuman, hinggalah habis semua limau itu. Kemudian wanita itu meminta diri untuk pulang, diiringi ucapan terima kasih dari baginda. Sahabat-sahabat agak hairan dengan sikap Rasulullah S.A.W itu. Lalu mereka bertanya. 
  
Dengan senyuman Rasulullah menjelaskan : "Tahukah kamu, sebenarnya buah limau itu terlalu masam semasa saya merasainya kali pertama. Kiranya kalian turut makan bersama, saya bimbang ada di antara kalian akan mengenyitkan mata atau memarahi wanita tersebut. Saya bimbang hatinya akan tersinggung. Sebab itu saya habiskan semuanya". Begitulah akhlak Rasullullah S.A.W. 
  
Baginda tidak akan memperkecil- kecilkan pemberian seseorang biar pun benda yang tidak baik, Dan dari orang yang bukan Islam pula.

Sayidina Ali berkata : "Selemah- lemah manusia ialah orang yg tidak boleh mencari sahabat . Dan orang yang lebih lemah dari itu ialah orang yg mensia-siakan sahabat yang telah dicari dan berburuk sangka pula kepadanya".

(Di petik daripada tulisan di blog Pondok Lestari)

No comments:

Powered By Blogger | Template Created By Lord HTML