Tarbiyyah Hati Untuk Kesejahteraan Hidup
Sahabat yang di rahmati Allah,
Di dalam kehidupan kita mencari keredhaan Allah s.w.t., kita perlulah memperhambakan diri kepada-Nya dengan melaksanakan segala perintah-Nya dan menjauhi larangan-Nya. Perhambaan ini perlu berlaku dengan amalan zahir dan amalan batin (hati). Amalan batin (pembersihan hati dan jiwa) amat penting sekali daripada amalan zahir kerana apabila dalaman seseorang telah bersih maka ia akan melahirkan amalan luaran yang bersih pula. Tetapi apabila amalan zahir nampak hebat dan banyak sedangkan batinnya kotor dengan perasaan ujub dan riak maka amalan zahirnya tidak ada nilai disisi Allah s.w.t.
Sahabat yang dimuliakan,
Apabila tubuh badan memerlukan latihan supaya segar dan sihat, maka hati kita juga perlu dilatih dan dididik supaya ia menjadi sihat dan khusyu'. Hati yang khusyu' amat diperlukan dalam ibadah dan seterusnya dalam kehidupan. Hati yang hidup dan sihat adalah hati yang apabila disebut nama Allah s.w.t. terasa gementar dan apabila dibacakan al-Qur'an bertambah Imannya. Hati seperti ini akan bersih dari keduniaan dan akan lahirkan keikhlasan kepada Allah s.w.t. dalam setiap tindak-tanduk perbuatannya. Manusia melihat zahir kita sedangkan Allah melihat hati kita. Untuk memiliki hati yang khusyu' ia perlu dilembutkan dahulu dan disinilah lahirnya pelbagai cara dalam melahirkan jiwa yang khusyu'.
Sahabat yang dihormati,
Terdapat beberapa amalan yang yang diambil daripada al-Qur'an dan As-Sunnah dan ulama-ulama muktabar untuk melahirkan hati yang bersih dan khusyu' adalah seperti berikut :
1. Tafakur dan muhasabah ;
Kita hendaklah sentiasa merenung kehidupan kita, bermuhasabah tentang hubungan hati kita dengan Allah s.w.t. Fikirkan betapa banyaknya dosa-dosa yang telah kita lakukan, tugas dan amanah yang telah kita tinggalkan dan betapa kurangnya amal soleh kita dan rasa tidak mampu nak berhadapan dengan Allah s.w.t. di hari Akhirat nanti. Sayyidina Umar setiap malam bertafakur dan bermuhasabah dan mengenangkan akan dosa-dosanya.
2.Beristighfar ;
Rasulullah s.a.w beristighfar sebanyak 70 kali sehari semalam. Walaupun baginda bersifat maksum dan telah diampunkan dosanya oleh Allah s.w.t yang kemudian dan yang akan datang, baginda tetap memohon ampun kepada Allah s.w.t. tanda bersyukur baginda kepada-Nya.
Firman Allah s.w.t. yang bermaksud : "Tiadalah Tuhan akan menyiksa mereka, sedangkan engkau berada diantara mereka, dan tiadalah Tuhan hendak menyiksa mereka selama mereka beristigfar."
(Surah al-Anfal ayat 33)
Firman Allah s.w.t. yang bermaksud : "Dan mohonlah keampunan kepada Tuhan kamu dan kembalilah kepada-Nya nescaya Dia akan mengurniakan pemberian yang baik kepada kamu hingga ke waktu yang ditentukan."
(Surah Hud ayat 3)
3.Berselawat kepada Nabi s.a.w ;
Sesiapa yang banyak berselawat keatas junjungan Nabi s.a.w akan mendapat syafaat dihari Akhirat nanti ketika itu tiada siapa yang dapat membantunya. Berselawat juga dapat melahirkan kecintaan kepada baginda dan ahli keluarganya.
Nabi s.a.w. bersabda yang bermaksud : "Barangsiapa yang berselawat kepadaku sekali, nescaya Allah akan membalasnya dengan selawat keatasnya sepuluh kali."
Firman Allah s.w.t yang bermaksud : "Sesungguhnya Allah dan para malaikat-Nya berselawat kepada Nabi, wahai orang-orang yang beriman, berselawatlah ke atasnya dan mengucap salamlah kepadanya dengan sepenuh salam (kehormatan).
4.Mengingati mati ;
Sabda Rasulullah s.a.w yang bermaksud : "Perbanyakkan mengingati mati, kerana yang demikian itu akan mengurangkan seseorang itu melakukan dosa dan zuhud pada dunia."
Imam al-Ghazali mengatakan, "Dengan meningati mati, hati kamu menjadi lembut."
5.Berzikir dalam hati ;
Sabda Rasulullah s.a.w. yang bermaksud : "Sebaik-baik zikir ialah yang dirahsiakan (dalam hati) dan sebaik-baik rezeki ialah yang mencukupi."
Dalam hadis yang lain baginda bersabda yang bermaksud, "Bagi segala sesuatu ada penggosok untuk membersihkan dan menghilangkan kekotorannya. Maka begitulah penggosok (pembersih) hati ialah zikrullah."
Firman Allah s.w.t. yang bermaksud : "Berzikirlah kepada Tuhanmu dalam hatimu dengan rendah hati dan perasaan takut."
Sebahagian ulama tasauf mengatakan zikir yang dimaksudkan di dalam hadis di atas ialah zikir qalbi (zikir dalam hati) bukan zikir lisan. Dengan mengerjakan zikir qalbi itu seseorang manusia terhubung dengan Allah s.w.t. selama-lamanya. Oleh kerana hati adalah 'raja' kepada anggota-anggota badan yang lain, dalam melakukan ibadah, jika hati sentiasa berhubung dengan Allah, maka anggota-anggota lainnya dengan sendirinya akan berhubung dengannya. Contohnya dalam keadaan kita berseorangan atau dalam kenderaan daripada fikiran kita berhayal dengan perkara-perkara yang tidak berfaedah eloklah kita zikir dalam hati dengan menyebut Allah, Allah... berulang-ulang.
6.Zikir secara jihar (lisan) ;
Sayyidina Umar al-Khattab pernah ditanya mengapa beliau cenderung untuk berzikir jihar, beliau menjawab ; "Aku melakukan demikian untuk menyedarkan orang-orang yang lalai dan supaya syaitan-syaitan akan menjauhkan diri daripada sisiku."
Imam al-Ghazali amat menekan zikir jihar beramai-ramai kerana ia mempercepatkan keasyikan hati dan berlakunya tolong menolong antara satu sama lain dalam meningati Allah s.w.t.
7.Berdo'a kepada Allah s.w.t. :
Firman Allah s.w.t. yang bermaksud :
"Dan Tuhan kamu berfirman : 'Mohonlah kepada-Ku nescaya Aku akan memperkenankan permohonan kamu."
(Surah al-Mukminin ayat 180)
Perbanyakkanlah berdo'a kepada Allah s.w.t. setiap masa. Selepas solat fardu, selepas membaca al-Qur'an, selepas solat tahajud di tengah malam dan ditempat-tempat yang afdhal do'a, kerana dengan banyaknya do'a hati akan menjadi bersih, lembut dan sejahtera.
Akhirkata, teruskanlah tarbiyyah hati supaya hati yang bersih dan sejahtera akan membawa kepada hubungan yang akrab dengan Allah s.w.t. dan juga membawa kepada kesejahteraan hidup di dunia dan di hari Akhirat.
Hati Yang Sejahtera
Sahabat yang dikasihi kerana Allah,
Dalam kehidupan di dunia ini, Allah s.w.t. yang bersifat Maha Bijaksana telah mensyaratkan supaya manusia berusaha untuk memiliki hati yang sejahtera., untuk layak diterima sebagai hamba-Nya di akhirat kelak.
Para hukama ada menyebut. "Hendaklah anda membenarkan ucapan dengan amalan. Membenarkan amalan dengan niat yang ikhlas. Membenarkan niat dan ikhlas dengan membersihkan batin dan meluruskan hati, kerana hati itu adalah asal dan punca segala perkara."
Berusahalah kalian untuk mendidik hati supaya sentiasa memiliki hati yang sejahtera. Hati yang sejahtera adalah hati yang bebas daripada syirik kepada Allah s.w.t. Hati yang tunduk dan patuh kepada Allah s.w.t. dan hati yang sentiasa bersikap positif terhadap semua perkara dan hati yang ghairah dengan perkara-perkara kebaikan dan kebajikan, dan membenci kejahatan walaupun sekecil mana sekalipun.
Sahabat yang dimuliakan,
Jauhkanlah diri kalian daripada perkara dosa dan maksiat kerana sesungguhnya perkara yang mungkar ini boleh melemahkan dan mematikan hati. Satu dosa yang dilakukan maka akan jadilah satu titik hitam, dan kalau terlalu banyak titik-titik hitam maka akan jadilah keseluruhan hati itu hitam legam maka ketika ini hati akan menjadi sakit dan sukar untuk menerima kebenaran.
Oleh itu, apabila berlaku sahaja titik-titik hitam ini maka cepat-cepatlah sucikan balik hati itu dengan istighfar dan memohon ampun kepada Allah s.w.t. Hati yang bersih ini akan kenal mana yang baik dan mana yang tidak baik, hati yang begini mampu membuat pilihan yang tepat dalam kehidupan dan mampu pula mengerakkan dirinya untuk mengambil tindakan dengan keputusan yang baik.
Sahabatku,
Jika hati kalian telah menjadi hati yang sejahtera maka kalian akan merasai dekat dengan Allah dan menjadikan kehidupanmu berpaksikan keredhaan Allah, bebas dari pengaruh nafsu amarah, syahwat dan syaitan.
Kalian akan dipandu oleh nilai-nilai murni, dan dapat memandu kepada kebaikan orang lain. Hati yang sejahtera juga sentiasa akan melahirkan sifat tawaduk dan merendahkan diri dan tidak berskap sombong dan bangga diri.
Di dalam proses tarbiyyah Imaniah yang dijalankan oleh Rasulullah s.a.w, baginda menekankan aspek pembersihan hati dan jiwa daripada syirik dan karat-karat jahiliah. Tidak mungkin manusia mampu melaksanakan amanah dan tugasnya kalau hatinya masih kotor dengan hawa nafsu dan kotoran jahiliah.
Oleh itu marilah sama-sama kita berusaha untuk memperbaiki akhlak dan keperibadiaan kita, tingkatkan hubungan hati dengan Allah s.w.t. dan berusaha untuk menjadikan hati kita sentiasa percaya dan yakin dengan perkara-perkara ghaib dan berupaya menjadikan diri ini lebih berharga, menjadikan ia lebih banyak menyumbang kepada kebaikan yang banyak di duni ini. Lebih banyak seseorang memberi sumbangan kebaikan kepada manusia lain, lebih berjayalah hidupnya di dunia dan di hari akhirat.
Nabi s.a.w ada barsabda yang bermaksud, "Sebaik-baik manusia, manusia yang paling banyak dapat memberi manfaat kepada orang lain."
Nilai Bahagia Terletak Pada Hati Dan Jiwa
Segala puji bagi Allah, Tuhan sekelian alam. Selawat serta salam buat junjungan mulia Nabi Muhammad SAW keluarga serta para sahabat dan pengikut yang istiqamah menuruti baginda hingga ke hari kiamat.
Sahabat yang dirahmati Allah,
Memang sudah menjadi ketentuan Allah, fitrah hidup manusia inginkan bahagia. Insan yang beroleh kebahagian lazimnya mendakwa mereka merasa tenteram dan merasa kepuasan dalam keindahan hidup yang dinikmatinya.
Namun kebahagian itu sebenarnya bukanlah terletak diatas dasar kekayaan dan kemewahan yang dapat dilihat dengan mata kasar ,kerana di antara mereka kebanyakannya sering dilanda resah gelisah serta tidak pernah merasa puas, tenang dan aman.
Dengan sedaya upaya manusia mencurahkan tenaga berhabis-habisan demi mengejar pangkat, mencari nama, kemasyhuran, wang dan harta kekayaan kerana manusia itu menyangka disinilah letaknya ketenangan dan kebahagiaan yang diburu selama ini.Sesungguhnya jika bahagia itu diusahakan atas dasar kebendaan semata-mata, manusia itu akan gagal mencapai nikmat kebahagiaan yang diburunya.
Mereka dari golongan ini sebenarnya adalah manusia yang tertipu dengan kemewahan hidup yang memerangkap dirinya sendiri bersama kekecewaan dan penderitaan hidup sepanjang masa kerana tertipu dengan pelbagai godaan syaitan dan iblis.
Kebahagian hidup ini sebenarnya ialah ketenangan dan kesyukuran seorang hamba kepada Penciptanya. Ketenangan itu sesungguhnya merupakan suatu anugrah Allah yang tidak ternilai kepada hamba-Nya yang beriman dan bertakwa.
Insan yang mendapat ketenangan hati dalam kehidupan dialam maya ini, laksana beroleh kehidupan di syurga yang disegerakan (Al-Jannatul Ajilah) sebelum mendapat syurga yang kekal abadi dialam akhirat.
Justeru setiap apa yang dilakukan diatas muka bumi milik Allah ini, bukanlah untuk mengejar bahagia yang disaluti dengan kemewahan dan kebendaan semata-mata tetapi yang utamanya ialah ketenangan hati dan jiwa yang tenteram.
Sahabat yang dimuliakan,
Ketenangan itu pula tidak akan dapat dinikmati melalui kata-kata indah tetapi ianya harus disertai dengan ubudiah iaitu pengabdian dan penyerahan diri kepada Allah dan kerana Allah semata-mata.Yang paling utama dalam kehidupan seorang mukmin yang berjiwa tenang dan tenteram itu ialah mematuhi ajaran Allah dan menjauhi larangan-Nya demi mendapatkan keredaan-Nya.
Bagi mereka yang tenang tidak kira dimana dan dalam situasi apa dia berada pasti ketenangan dapat dinikmati. Jika berseorangan pun dia merasa bahagia, apatah lagi ketika ditengah sahabat dan keluarga. Ketika diuji oleh Allah dengan susah dan derita pula mereka tetap rasa bahagia, apalagi ketika senang dan gembira, keredhaan Allah sungguh besar maknanya buat mereka.
Islam adalah cara hidup insan yang sentiasa mencari keredhaan Allah. Ada diantara mereka diuji dengan kehilangan ayah, suami, anak, isteri dan kekasih, namun mereka masih dapat merasa tenang dan tabah. Bahkan mereka merasakan ujian-ujian itu adalah untuk menguji kekuatan iman mereka.
Jika kita rajin menyingkap seerah di zaman sebelum kelahiran Rasulullah s.a.w dan awal keagongan Islam tentunya kita dapat mengambil ikhtibar dan contoh teladan yang ditunjukkan oleh tokoh-tokoh Islam di zaman silam itu. Asiah isteri Firaun misalnya rela diseksa oleh suaminya lantaran mempertahankan iman yang tidak ternilai harganya. Demikian juga Nasibah yang melepaskan suami dan anak-anaknya yang masih remaja kemedan jihad fisabilillah.
Kerana cinta dan keredaan Allah itu adalah segala-galanya bagi mukmin yang beriman dan bertakwa. Demikianlah nilai kebahagiaan itu akan muncul dalam diri kita bilamana ianya dapat dirasakan, segala yang datang itu hakikatnya dari Allah SWT. jua.
Abdullah Inthaki menyatakan ada lima perkara untuk mengubati penyakit hati :
1.Berkumpul (bersahabat) dengan orang-orang soleh.
2.Membaca kitab suci Al-Quran.
3.Bersihkan perut dari memakan makanan yang haram.
4.Solat malam (solat tahajjud).
5.Berzikir dan berdoa ketika subuh.
Sahabat yang dikasihi,
Nilai bahagia bukanlah terletak dengan kemewahan harta benda tetapi kebahagiaan sebenar adalah hati dan jiwa yang sentiasa merasai kebesaran Allah SWT , bersyukur dan bersabar di atas dugaan hidup.
Tanda-tanda Hati Yang Hidup
Segala puji bagi Allah, Tuhan sekelian alam. Selawat serta salam buat junjungan mulia Nabi Muhammad SAW keluarga serta para sahabat dan pengikut yang istiqamah menuruti baginda hingga ke hari kiamat.
Sahabat yang dirahmati Allah,
Hidupkanlah hati ini dengan sentiasa mengingati Allah SWT, bersihkan hati dengan zikirullah, muraqabah setiap saat dan ketika dan ketika di malam yang gelap gelita munajatlah kepada yang Maha Esa, mohonlah keampunan di atas dosa-dosa yang di lakukan, insya Allah hati akan menjadi lembut dan terbina kekuatan yang luar biasa, iaitu kekuatan perhubungan dengan Allah SWT.
Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud : "Sesungguhnya dalam diri manusia itu ada seketul daging. Jika daging itu baik, maka baiklah seluruh anggota badannya tetapi seandainya daging itu rosak dan kotor, maka kotor dan rosaklah seluruh anggota badannya. Daging yang dimaksudkan ini adalah hati."
(Hadis Riwayat Bukhari dan Muslim daripada Nu'man bin Basyir)
Hati perlu di bentuk supaya sihat dan mulia dengan Islam.Hati yang rabbani adalah hati yang setiap ketika dan saatnya berhubung dengan Allah SWT dan mematuhi segala titah perintahNya.
Di antara tanda-tanda hati yang hidup :
1.Sentiasa mengingati dan berzikir kepada Allah SWT.
2.Kuat berpegang pada ajaran Islam.
3.Menjauhi larangan Allah SWT dan meninggalkan perkara yang sia-sia.
4.Bersih dari hasad dengki, cepat marah dan menipu.
5.Reda dengan sistem hidup Islam.
Fauzan bin 'Ayat(ahli sufi) pernah berkata "Apabila iblis berjaya mencapai salah satu dari tiga perkara berikut dari anak Adam maka iblis tidak akan tuntut lain-lain perkara dari anak Adam .
Tiga perkara tersebut adalah seperti berikut :
1.Terpedaya dengan diri sendiri.
2.Merasai amalan-amalannya melebihi kerja-kerja orang lain.
3.Terlupa dengan dosa-dosa sendiri"
Al- Sauri pernah menasihati anak muridnya "Sekiranya kamu tidak mahu sifat ujub berada pada dirimu maka janganlah kamu suka pada pujian orang. Jika kamu mahu pada pujian-pujian mereka dan ingin orang memandang kerja-kerjamu dengan martabat yang tinggi, maka itu adalah ujub"
Al-Fadhil bin Iyadz berkata "Meninggalkan sesuatu amalan kerana manusia, riak namanya. Dan membuat sesuatu amalan kerana manusia, syirik hukumnya. Dan dinamakan ikhlas itu ialah Allah SWT menyelamatkan engkau dari kedua-duanya."
Nabi Isa a.s pernah berkata maksudnya " Berapa banyak api lampu-lampu yang dipadamkan oleh angin ribut, tetapi berapa banyak lagi ibadat yang telah dipadamkan oleh angin ujub. Segala amalan soleh mendapat cahaya (nur) daripada Allah SWT tetapi ia akan menjadi gelap sekiranya ribut ujub melanda api itu, walaupun dengan satu tiupan"
Sahabat ya ng dimuliakan,
Memohon keteguhan iman adalah antara doa yang paling banyak di panjatkan Nabi SAW dalam munajat-munajat baginda. Iman kita ada kalanya naik dan ada kalanya turun. Adalah amat malang jika permulaan hidup berada dalam takwa, tetapi di akhirnya mati dalam "su' ul khatimah", maka nerakalah tempat kembalinya.
Maksud hadis sahih riwayat al-Bukhari, Nabi SAW bersabda maksudnya "Sesungguhnya amalan kamu di nilai pada bahagian akhirnya" mafhum dari hadis ini bermaksud jika diakhirnya baik, maka syurgalah tempatnya, demikian sebaliknya jika buruk, nerakalah tempatnya.
Oleh itu Nabi SAW mengajar kita sentiasa berdoa : "Ya Allah, sesungguhnya aku memohon kepada Mu iman yang tidak akan lepas (murtad), nikmat yang tak akan habis dan menyertai Nabi Muhammad SAW di syurga yang paling tinggi selama-lamanya" (Hadis riwayat Ibn Hibban)
No comments:
Post a Comment