Tuesday, February 25, 2014

HAKIKAT INSAN

Menghayati dan Memahami Hakikat Insan



Sahabat yang dirahmati Allah ,
Marilah sama-sama kita meningkatkan ketakwaan kepada Allah S.W.T.  dengan melaksanakan segala perintah-Nya dan meninggalkan larangan-Nya. Mudah-mudahan kita tergolong dikalangan hamba-Nya yang mendapat keberkatan dan kebahagiaan hidup di dunia dan di akhirat.

Bersyukur kita kehadrat Allah S.W.T. kerana masih memberi rezeki dan nikmat yang tidak terhingga kepada kita semua. Ini merupakan sifat Allah yang Maha Pengasih lagi Maha Penyayang kepada hamba-hamba-Nya. Dan yang paling istimewa Allah S.W.T.  telah menciptakan manusia dengan sebaik-baik rupa dan kejadian. Begitu juga, Allah S.W.T. telah memuliakan manusia berbanding makhluk-makhluk-Nya yang lain. 

Sebagaimana firman Allah S.W.T. dalam surah at-Tin ayat 4 :

Maksudnya : “ Sesungguhnya kami telah menciptakan manusia dalam bentuk yang sebaik-baiknya (dan berkelengkapan sesuai dengan keadaannya) ”.

Berdasarkan ayat tersebut, para ulama sepakat mengatakan bahawa kemuliaan manusia berbanding makhluk-makhluk Allah yang lain adalah disebabkan kemampuan manusia menguasai kebijaksanaan dengan akal fikiran. Dimana akal fikiran manusia mampu membezakan antara yang baik dan yang buruk atau diantara yang hak dengan yang batil.

Namun begitu kemuliaan dan keagongan tersebut tidak datang begitu sahaja, sebaliknya ia perlu dipenuhi dengan syarat-syaratnya, iaitu manusia perlu beriman kepada Allah S.W.T. dengan sebenar-benarnya serta mengerjakan amal soleh. Sebaliknya jika manusia tidak beriman dan tidak berpegang dengan apa yang diperintahkan oleh Allah, maka ia akan dicampakkan ke tempat yang serendah-rendahnya iaitu azab api neraka. Malahan manusia tidak berhak untuk menerima gelaran kemuliaan tersebut. 

Firman Allah S.W.T maksudnya : “ Kemudian ( jika ia panjang umur sehingga tua atau menyalahgunakan kelengkapan itu ), kami kembalikan dia keserendah-rendah peringkat orang-orang yang rendah. Kecuali orang-orang yang beriman dan beramal soleh, maka mereka beroleh pahala yang tidak putus-putus ”. (Surah at-Tin ayat 5-6)

Sahabat yang dimuliakan,
Menyedari hakikat kemuliaan dan keistimewaan yang diberikan oleh Allah S.W.T. kepada manusia begitu tinggi, maka seharusnya kita bersyukur dan sentiasa berusaha menjaga kemuliaan tersebut, terutamanya menjaga nikmat akal dan nikmat tubuh badan, kerana itu sebagai tanda syukur dan berterima kasih, kita perlu menggunakan kedua-dua nikmat tersebut dengan betul dan sebaik-baiknya. Disamping mensyukuri, kita juga dituntut untuk memahami tanggungjawab terhadap diri sendiri dan tanggungjawab terhadap Allah S.W.T.

Dengan memahami tanggungjawab terhadap diri sendiri atau dengan menjaga amanah diri, iaitu mengetahui serta sedar bahawa segala anggota badan seperti mata, telinga, tangan, kaki dan anggota-anggota yang lain merupakan amanah Allah S.W.T. Begitu juga, menjaga akal, menjaga kebersihan diri, menjaga kesihatan, menutup aurat dan sebagainya merupakan sebahagian daripada amanah yang telah ditetapkan oleh Islam.

Justeru, memelihara setiap anggota dan pancaindera dari digunakan untuk perkara-perkara yang dilarang oleh Allah S.W.T. menjadi tanggungjawab dan tuntutan yang terkandung dalam pengertian amanah yang perlu dijaga dan dipelihara bagi tujuan kebaikan serta mendapat keredaan dari Allah S.W.T. sepanjang masa.

Kerana itu, bagi mereka yang tidak menjaga akal dan tubuh badan dengan sempurna dan ditambah lagi dengan menggunakan bahan-bahan terlarang seperti meminun arak, menyalahgunakan dadah, terlibat dengan pil axtacy, pil kuda, ubat batuk dan sebagainya. Bukan sahaja boleh merosakan akal fikiran malahan boleh memudaratkan tubuh badan serta mengundang kemurkaan Allah S.W.T. Islam juga melarang menghisab rokok kerana bahan kimia yang terdapat dalam rokok telah disahkan oleh pakar perubatan bahawa ianya boleh mendatangkan mudarat dan menjejaskan kesihatan.

Firman Allah S.W.T maksudnya : "Dan belanjakanlah (harta bendamu) di jalan Allah, dan janganlah kamu menjatuhkan dirimu sendiri ke dalam kebinasaan, dan berbuat baiklah, karena sesungguhnya Allah menyukai orang-orang yang berbuat baik.”(Surah al-Baqarah ayat 195)

Apabila manusia tidak menggunakan akal fikiran atau terlibat dengan bahan-bahan yang boleh merosakan akal fikiran seperti penyalahgunaan dadah dan pil khayal, maka ketika itu manusia tidak layak lagi menjadi makhluk Allah yang paling mulia. 

Hal ini sebagaimana yang digambarkan oleh Allah dalam surah al-A’raf ayat 179 maksudnya : "Dan Sesungguhnya kami jadikan untuk Neraka Jahannam banyak dari jin dan manusia yang mempunyai hati (tetapi) tidak mahu memahami dengannya (ayat-ayat Allah) dan yang mempunyai mata (tetapi) tidak mahu melihat dengannya (bukti-bukti kekuasaan Allah), dan yang mempunyai telinga (tetapi) tidak mahu mendengar dengannya (ajaran dan nasihat) ; mereka itu seperti binatang ternak, bahkan mereka lebih sesat lagi. mereka Itulah orang-orang yang lalai."

Dari ayat tersebut, jelaslah bahawa apabila manusia mengabaikan akal fikiran serta tidak digunakan mengikut fitrah ia diciptakan oleh Allah, maka manusia pada ketika itu tidak layak lagi dimuliakan bahkan martabatnya menjadi lebih rendah dari binatang ternak.

Sahabat yang dikasihi Allah,
Penyakit Aids amat menakutkan kita semua kerana sehingga kini masih tidak ada kaedah perubatan atau penawar berkesan yang boleh mengubatinya.

Cuba kita renung perangkaan 2005 yang dikeluarkan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia menunjukkan 70,559 orang pesakit HIV di seluruh Malaysia dimana 61,715 pesakit yang masih hidup. Bagi tahun 2005 sahaja sebanyak 6,120 kes baru dilaporkan iaitu kira-kira 17 kes sehari pesakit dijangkiti HIV. Perangkaan ini cukup menakutkan kita kerana dari keseluruhan pesakit HIV majoriti kaum Melayu atau umat Islam yang paling ramai dijangkti HIV.

Berdasarkan kepada kajian yang dilakukan oleh pakar-pakar perubatan terdapat 3 faktor utama yang menyebabkan berlakunya AIDS atau dijangkit HIV positif diantaranya :

1. Disebabkan oleh hubungan seks sejenis atau Homoseksual diantara lelaki dengan lelaki.
2. Disebabkan oleh seks bebas iaitu bertukar-tukar pasangan.
3. Disebabkan oleh penyalahgunaan dadah dengan cara bertukar atau berkongsi jarum suntikan.

Oleh itu janganlah kita benarkan diri dan akal fikiran kita terjebak dengan unsur-unsur maksiat atau dirosakkan oleh bahan-bahan perosak seperti arak dan  dadah dan sebagainya yang akan menghentikan sama sekali fungsi akal dan menjatuhkan martabat diri dan keluarga dalam kehinaan.

Asas kekuatan iman dan akidah yang mantap perlu ditaman didalam diri setiap muslim, kerana kekuatan ini sahajalah cara yang boleh menyelamat kita samaada agama, akal, nyawa, keturunan, maruah dan harta benda. Tanpa keimanan yang kukuh kita akan gagal menikmati kesejahteraan dan keselamatan hidup yang hakiki, kerana itu, marilah sama-sama kita mengambil berat terhadap mereka-mereka yang dibawah jagaan kita agar tidak terlibat serta bebas dari perkara-perkara negetif yang boleh merosakkan hidup dan masa depan mereka.

Sahabat,
Akhirkata marilah  sama-sama berusaha menjadikan diri dan keluarga serta masyarakat kita sentiasa berada dalam rahmat dan pertolongan Allah S.W.T. sepanjang masa. Mudah-mudah hidup kita selamat di dunia dan di akhirat. Terdapat lima perkara perlu kita hayati untuk tingkatkan hubungan hati kita dengan Allah S.W.T. di antaranya adalah seperti berikut :

1. Sentiasa mendekatkan diri dengan Allah S.W.T. dengan melakukan ibadah wajib dan ibadah sunat serta menjauhi segala larangan-Nya.

2. Berusaha membina keimanan yang mantap serta jiwa yang kental, kerana melalui keimanan kepada Allah S.W.T. sahajalah yang dapat mengawal dan mencegah kemungkaran.

3. Bertanggungjawab mendidik anak-anak dan mereka yang dibawah jagaan kita terutamanya memastikan setiap makanan yang diberikan dari sumber yang halal, bersih dan berzat serta menjauhi dari sumber yang subhah, apatah lagi dari sumber yang haram seperti rasuah, riba’, penipuan dan sebagainya.

4. Peranan masyarakat juga penting terutama mengambil tahu hal-hal yang berlaku disekeliling. Disamping membantu perkara-perkara yang baik serta berusaha mencari jalan yang terbaik untuk menyelesaikan masalah dan bukannya menimbulkan masalah dalam masyarakat.

5. Hidupkan budaya amar makruf nahi mungkar dalam kehidupan seperti sentiasa menjaga batasan dalam pergaulan, menjaga aurat, menjauhi perkara-perkara tidak berfaedah serta menjaga akhlak dengan merasa malu dan takut untuk melakukan perkara-perkara mungkar termasuk penyalahgunaan dadah.

Firman Allah S.W.T. maksudnya : "Wahai orang-orang yang beriman ! Janganlah kamu mengkhianati (amanah) Allah dan RasulNya, dan (janganlah) kamu mengkhianati amanah-amanah kamu, sedang kamu mengetahui (salahnya).
( Surah al-Anfal ayat 27 )

No comments:

Powered By Blogger | Template Created By Lord HTML