Apa Ertinya Hidup Tanpa Prihatin Soal Nilai?
Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh
بِسْمِ ٱللَّهِ ٱلرَّحْمَـٰنِ ٱلرَّحِيم
Segala puji bagi Allah, Tuhan sekelian alam. Selawat serta salam buat junjungan mulia Nabi Muhammad SAW keluarga serta para sahabat dan pengikut yang istiqamah menuruti baginda hingga ke hari kiamat.
Sahabat yang dirahmati Allah,
Nilai dan matlamat hidup merupakan sesuatu yang penting untuk dikaji dan dilihat secara mendalam. Nilai hiduplah menjadikan seseorang itu menghargai kehidupannya. Tanpa nilai dan matlamat hidup, manusia sebenarnya bukan manusia. Dia ibarat haiwan yang saban hari memikirkan mengisi perut dan nafsu.
Celik sahaja mata, mula fikir nak cari wang, makanan dan keseronokan sehinggalah melelapkan mata pada waktu malamnya. Keesokannya jika masih diberikan Allah nyawa, dia akan begitu lagi. Mungkin tidak pernah dia menyoal dirinya akan matlamat dia dihidupkan, dan hidupnya berlalu begitu sahaja dengan nilai yang kosong sehinggalah keakhir hayatnya.
Mujahid Fathi Yakan di dalam bukunya bertajuk, Apa Ertinya Saya Menganut Islam, telah menyatakan bahawa di dunia terdapat tiga kategori manusia.
Kategori Pertama : Golongan yang hidup hanya untuk dunia semata-mata.
Mereka dinamakan sebagai golongan ad-Dahriyyun. Golongan ini ingin hidup dan puas di dunia yang sementara ini. Sikap mereka jelas seperti yang dinyatakan di dalam al-Quran.
Firman Allah SWT. yang bermaksud : "Dan tentu akan mereka katakan : 'Hidup hanyalah kehidupan kita di dunia sahaja dan kita sekali-kali tidak dibangkitkan."
(Surah al-An'am ayat 29).
Didalam ayat yang lain Allah SWT. berfirman yang bermaksud : "Dan mereka berkata : 'Kehidupan tidak lain hanyalah kehidupan dunia sahaja, kita mati dan kita hidup dan tidak ada yang membinasakan kita selain masa.' Dan mereka sekali-kali tidak mempunyai pengetahuan tentang itu, mereka tidak lain hanyalah menduda-duga sahaja."
(Surah al- Jatsiyah ayat 24).
Kategori Kedua : Golongan yang hilang pedoman , terumbang ambing, aqidah bersimpang siur.
Golongan ini melakukan kesesatan dan menyimpang daripada jalan Allah SWT. dalam kehidupan duniawi. Namun mereka masih menyangka mereka membuat kebaikan. Meskipun mereka mempunyai kepercayaan kepada Allah SWT. dan hari kiamat tetapi akidah mereka lemah. Akidah yang tidak dapat memandu aktiviti harian.
Mereka berfahaman kebendaan (materialis) walaupun kadangkala mereka melakukan kerja-kerja berbentuk kerohanian. Golongan seperti ini tidak memahami tuntutan Islam sebenar dan akhirnya menjadi tertipu dengan amalan mereka. Dalam Islam baik sahaja tidak mencukupi, tetapi mesti mengikut landasan syariat dan niat mestilah kerana Allah SWT sahaja. Barulah ia jadi ibadat yang ada nilai pelaburan akhirat.
Ramai yang pergi haji tiap-tiap tahun tetapi beli rumah menerusi sistem kewangan riba, ramai yang menderma kebajikan tetapi bercampur matlamat antara riak dan ibadat, ramai yang kuat sembahyang tetapi isterinya masih membuka aurat dan memakai solek di khalayak ramai.
Kategori Ketiga : Golongan yang menganggap bahawa dunia ini sebagai ladang tanaman untuk mendapat atau memungut hasilnya di akhirat kelak.
Golongan ini benar-benar beriman dengan Allah SWT. Mereka mengetahui hakikat hidup serta memahami nilai dunia berbanding dengan hari akhirat. Orang seperti ini jasadnya sahaja di dunia tetapi hatinya di akhirat. Segala kerjanya di atas dunia di salurkan kepada kepentingan akhirat. Orang begini dekat dengan Allah SWT dan sentiasa menjaga agar amalannya atau pelaburan akhiratnya tidak rosak.
Allah SWT membandingkan mereka seperti dalan firman-Nya yang bermaksud : "Dan tidaklah kehidupan dunia ini selain daripada bermain-main dan bersenda gurau belaka. Dan sesungguhnya kampung akhirat itu lebih baik bagi orang-orang yang bertakwa. Maka tidaklah kamu memahaminya." (Surah al-An'am ayat 32)
Mereka yang benar-benar beriman menganggap dunia sebagai medan perlumbaan untuk mentaati Allah SWT. dan mencari keredaan-Nya. Seluruh bidang hidupnya (ilmu, perniagaan, kekayaan, rumah, masa dan fikiran) diarahkan ke jalan Allah SWT Untuk kita menjadi seperti ini (dan memang kita dituntut menjadi seperti ini), kita mesti memahami beberapa kewajipan atau syarat-syarat yang ditetapkan.
Sahabat yang dikasihi,
Jadilah kalian golongan katagori ketiga, kerana golongan ini adalah orang-orang mukmin yang bertakwa kepada Allah SWT. Mereka sentiasa beriman dan mengerjakan amalan-amalan soleh, dan tetap istiqamah di dalam menjalankan kewajipan menegakkan Kalimah Allah dimuka bumi, menegakkan yang makruf dan mencegah kemungkaraan. Golongan ini sahaja akan mendapat kebahagiaan di dunia dan kebahagiaan di hari akhirat.
No comments:
Post a Comment