Tuesday, February 25, 2014

HATI MUQARABAH DAN KHUSYUK

Hati Yang Khusyuk Dengan Allah

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh

بِسْمِ ٱللَّهِ ٱلرَّحْمَـٰنِ ٱلرَّحِيم

Segala puji bagi Allah, Tuhan sekelian alam. Selawat serta salam buat junjungan mulia Nabi Muhammad SAW keluarga serta para sahabat dan pengikut yang istiqamah menuruti baginda hingga ke hari kiamat.

Sahabat yang dirahmati Allah,
Ada tiga perkara yang wajib diperhatikan oleh setiap mukmin iaitu melaksanakan segala perintah Allah SWT, menjauhi diri dari segala yang haram dan reda dengan hukum-hukum atau ketentuan Allah SWT. Ketiga perkara ini jangan sampai tidak ada pada diri kalian, dan kalian harus memikirkan perkara ini dan pastikan ianya terlaksana dalam kehidupan.

Ikutilah dengan ikhlas jalan dakwah dan tarbiah yang dilalui oleh Nabi Muhammad SAW. dan jangan merubah jalan itu. Patuhlah kepada Allah dan Rasul-Nya, jangan sekali-kali buat derhaka. BerTauhidlah kepada Allah SWT dan jangan menyekutukan-Nya. Allah SWT itu Maha Suci dan tidak mempunyai sifat-sifat tercela atau kekurangan. Jangan ragu-ragu terhadap kebenaran Allah SWT. Bersabarlah dan berpegang teguhlah kepada-Nya. Berdoalah kepada-Nya dan tunggulah dengan sabar hasil dari doa kamu itu. Bersatu-padulah di dalam mentaati Allah SWT dan jangan berpecah-belah. Saling mencintailah di antara sesama muslim dan jangan saling mendengki. Hindarilah diri kalian dari noda dan dosa.

Hiasilah diri kalian dengan ketaatan kepada Allah SWT. Janganlah menjauhkan diri dari Allah dan jangan lupa kepada-Nya. Jangan lalai untuk bertaubat kepada-Nya dan kembali kepada-Nya. Jangan jemu untuk memohon ampun kepada Allah SWT siang dan malam hari. Mudah-mudahan kalian diberi rahmat dan dilindungi oleh-Nya dari merbahaya dan azab neraka, diberi kehidupan yang berbahagia didalam syurga. Orang-orang mukmin yang beriman dan bertakwa dan mengerjakan amal soleh akan menikmati kebahagiaan dan kesentosaan yang abadi di syurga beserta para Nabi, orang-orang shiddiq, para syuhada dan orang-orang soleh dan mereka kekal di dalamnya.

Sahabat yang dimuliakan,
Orang-orang mukmin perlu bersabar di atas ujian dari Allah SWT. Ujian Allah SWT datang didalam berbagai bentuk. Ada ujian berbentuk kekurangan harta, pengangguran, kegagalan dalam perniagaan, kemiskinan atau kefakiran. Ada ujian berbentuk penyakit yang dihadapi, telah berusaha untuk mencari penawarnya tetapi belum bertemu lagi. Ada ujian berbentuk kekayaan, memiliki harta yang melimpah ruah tetapi tidak bahagia di dalam keluarga dan perkahwinan. Ada ujian tidak bertemu jodoh walaupun telah meningkat usia, sentiasa gagal dalam mencari pasangan yang sesuai.

Semua ujian dan dugaan tersebut perlu dihadapi dengan hati yang sabar dan sentiasa bertawkal kepada Allah SWT. Mohonlah pertolongan Allah SWT melalui solat hajat, berdoa, bermunajat dan menyerahkan diri dengan penuh harapan dan kecemasan terhadap Allah SWT. Semoga Allah SWT kabulkan segala permintaan dan doa kalian.

Serahkanlah diri kalian kepada Allah SWT seperti seorang bayi yang berada dipangkuan ibunya, ia tidak ada daya upaya melainkan mengharapkan kasih sayang dan bantuan ibunya. Begitu juga kita dengan Allah SWT, yakinilah kepada Allah SWT dan sentiasa baik sangka dengan Allah SWT, sesungguhnya sesuatu yang berlaku ada hikmahnya yang tersembunyi yang tidak dapat diketahui oleh manusia. Tanamlah dalam hati tentang Tauhid (ke-Esaan Allah), segala peristiwa yang berlaku, di lautan dan di daratan semuanya di dalam penyusunan dan ilmu Allah SWT.

Sahabat yang dikasihi,
Bagi hati mukmin yang telah terpaut dengan Allah SWT, sentiasa membaca Al-Quran kerana dengan membaca Al-Quran dia merasai seolah-olah dia sedang berkomunikasi dengan Allah SWT dan dia sedang menerima arahan Allah SWT. Dia perbanyakkan solat tahajud kerana dengan solat dia juga merasai seolah-olah dia melihat dan berkata-kata dengan Allah SWT dan mencurahkan segala rasa hatinya, dari sinilah dia akan melahirkan khusyuk dalam solatnya.

Kebaikan orang mukmin ada dua, pertama, apabila mendapat kebaikan dan rezeki dia bersyukur dan kedua apabila ditimpa musibah dia bersabar dan meyakini bahawa Allah SWT hendak meningkatkan ketakwaan kepada-Nya.

Hati Orang Mukmin Sentiasa Muraqabah Kepada Allah SWT

Segala puji bagi Allah, Tuhan sekelian alam. Selawat serta salam buat junjungan mulia Nabi Muhammad SAW keluarga serta para sahabat dan pengikut yang istiqamah menuruti baginda hingga ke hari kiamat.

Sahabat yang dikasihi kerana Allah,
Muraqabah bermaksud mendekatkan diri kepada Allah SWT dan merasai Allah SWT sentasa mengawasi kehidupannya. . Hati orang mukmin akan sentiasa muraqabah kepada Allah SWT. Untuk menjadi mukmin sejati, perlu kepada pengorbanan dan usaha-usaha yang berterusan, iaitu berkorban dan berusha untuk mendekatkan diri kepada Allah SWT. Muraqabah terhadap Allah SWT adalah sifat jiwa seorang mukmin.Dia sentiasa merasai dan yakin sepenuh hati bahawa Allah SWT mengawasi segala perjalanan hidupnya, perasaannya, bisikan hatinya samaada dia berseorangan atau bersama orang lain.

Mukmin sejati yakin peristiwa di Padang Mahsyar tempat di hisap dengan seadil-adilnya segala amalan dan perbuatannya ketika di dunia ini. Perasaan takut, malu dan gementar untuk berhadapan di Mahkamah Allah SWT nanti membuatkan hati dan jiwanya sentiasa muraqabah terhadap Allah SWT

Ingatlah ketika di sini nanti (hari akhirat)  lidah menjadi kelu, giliran anggota lain yang akan berkata-kata mengeluarkan pengakuan dan saksi bagi semua perbuatan si tuan badan. Mata, telinga, tangan dan kaki serta lainnya akan mengaku perbuatan itu dan ini. Ketika itu manusia akan terperangkap dengan perbuatan dosa kerana anggota badan sendiri tidak menyebelahinya. Terbongkarlah rahsianya!

Di tambah pula akan di tayangkan 'video clip' semua perbuatannya semasa di dunia.Ia tidak boleh berbohong dan berdalih. Semua ini akan menyingkap kekejiannya. Memalukan dan membawa segunung penyesalan kepadanya.

Sahabat yang dihormati,
Orang yang muraqabah berperibadi tenang walau pun mendapat nikmat, pujian, atau menghadapi kesusahan, tohmahan dan seumpamanya. Dia merasa bimbang sekiranya kehilangan reda dan pertolongan dari Allah SWT.

Nabi SAW pernah berpesan yang bermaksud "Seorang mukmin itu tidak akan mencuri, ketika mana melakukan perbuatan itu dia adalam mukmin." Maknanya , ketika dalam hati sesaorang itu ada iman atau hatinya hadir, maka dia tidak akan melakukan kesalahan. Orang beriman tidak akan mencuri jika dia merasai pengawasan Allah SWT. Ini kerana, hati yang di miliki itu adalah hati yang sedar dan mampu merasai Allah SWT melihat serta mengawasi segala amalannya. Itulah hakikat muraqabah.

Hati orang mukmin dan hati yang dapat muraqabah bersedia menerima tarbiah dan peringatan, kerana segala peringatan akan memandu seluruh anggata kita melakukan ketaatan. Firman Allah SWT yang bermaksud "Oleh sebab itu berikanlah peringatan kerana peringatan itu bermenfaat." (Surah al-A'laa, ayat 9).

Dengan saling memberi peringatan ini juga akan melahirkan perasaan takut untuk melakukan kesalahan terhadap Allah SWT seperti firmanNya yang bermaksud "Orang yang takut kepada Allah akan mendapat pelajaran." (Surah al- A'laa, ayat 10).

Latihan paling utama ke arah mendidik hati yang hadir ialah menerusi ibadat solat. Apabila di dalam solat sesaorang itu merasai Allah SWT mengawasinya, maka ketika di luar solat atau di mana jua berada hatinya akan tetap muraqabah.

Nabi SAW di waktu malam banyak menghabiskan masa untuk bersolat tahajud, bermunajat, berdoa dan memohon ampun kehadrat Allah SWT. Contoh peribadi mulia ini semestinya menjadi pedoman dan amalan setiap para duat untuk merapatkan hubungan dengan Allah SWT, mencari tenaga baru untuk meneruskan kerja-kerja dakwah dan tarbiah.


Sayydina Omar al- Khattab berkata "Hisablah dirimu sebelum di hisab pada hari kiamat"

Setiap mukmin perlu sentiasa muhasabah diri demi kebahagiaan masa hadapan. Firman Allah SAW yang bermaksud "Hai orang-orang yang beriman, takutlah kepada Allah dan hendaklah (tiap-tiap) orang memperhatikan apa yang di usahakannya untuk hari esok (hari kiamat), dan takutlah kepada Allah. Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui apa-apa yang kamu kerjakan" (Surah ai- Hasyr ayat 18).

Kecemerlangan hidup manusia sebagai hamba Allah  adalah terletak kepada ketaatan pada perintahNya dan meninggalkan segala laranganNya, mematuhi tanpa soal Kitab Allah dan sunnah Nabi-Nya.

Nabi SAW bersabda maksudnya "Orang yang pandai adalah yang menghisab dirinya serta beramal untuk kehidupan sesudah kematiannya, sedangkan orang yang lemah adalah yang dirinya mengikut hawa nafsunya serta berangan-angan terhadap Allah SWT"
(Hadis riwayat Turmudzi)

Imam Mubarakfuri berkata "Orang yang lemah adalah bersambong dengan lemahnya ketaatan kepada Allah SWT dan selalu ikut hawa nafsunya tidak pernah minta ampun kepada Allah SWT bahkan selalu berangan-angan bahawa Allah SWT mengampunkan doas-dosanya"

Panjang angan-angan atau berangan-angan adalah satu sifat peribadi yang tidak di sukai oleh Nabi SAW, mereka-mereka yang memiliki sifat ini sebenarnya malas berusha, mengikut hawa nafsu dan terpengaruh dengan pujukan syaitan laknatullah.

Setiap barang yang berharga perlu di bayar dengan harga yang mahal, kejayaan untuk mendapat sekeping ijazah perlu di sertakan dengan usaha yang gigih dan berterusan, begitu juga SYURGA ALLAH SWT, untuk memilikinya perlu pengorbanan, jihad yang berterusan, mujahadah,muraqabah dan muhasabah.Di dalam syurga yang penuh nikmat dan rahmat hanya layak di duduki oleh mereka-mereka yang memiliki hati yang salim, hati yang bersih, hati yang ikhlas dan hati yang bebas daripada syrik kepada Allah SWT.

Rasulullah s.a.w mengajar kita untuk sentiasa berdoa kepada Allah SWT maksudnya " Ya Allah, sesungguhnya kami memohon perlindungan-Mu daripada kelemahan, kemalasan, sifat pengecut, kedekut, nyanyuk dan azab kubur. Ya Allah berikanlah ketakwaan kepadaku dan sucikanlah ia, kerana Engkaulah sebaik-baik Tuhan yang menyucikan, Engkau pelindung dan memeliharanya. Ya Allah, aku memohon perlindungan-Mu daripada ilmu yang tidak bermanfaat, hati yang tidak khusyuk, nafsu yang tidak puas dan doa yang tidak di kabulkan"
(Hadis Riwayat Muslim)

Sahabat yang dirahmati Allah,

Marilah sama-sama kita kembali muraqabah kepada Allah SWT, kita kembali mentauhidkan-Nya dan berusaha melaksanakan semua suruhan-Nya dan meninggalkan semua larangan-Nya. Hanya insan terpilih saja layak memasuki syurga-Nya yang penuh kenikmatan seluas langit dan bumi.

No comments:

Powered By Blogger | Template Created By Lord HTML