Dengan Iman Nafsu Dapat di Tundukkan
Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh
بِسْمِ ٱللَّهِ ٱلرَّحْمَـٰنِ ٱلرَّحِيم
Segala puji bagi Allah, Tuhan sekelian alam. Selawat serta salam buat junjungan mulia Nabi Muhammad SAW keluarga serta para sahabat dan pengikut yang istiqamah menuruti baginda hingga ke hari kiamat.
Sahabat yang dirahmati Allah,
Salam sejahtera, semoga sahabat semua berada didalam sihat sejahtera. Puji dan syukur kepada Allah SWT. yang telah melimpahkan nikmat dan rahmat-Nya dan sehingga kini dipanjangkan umur dan masih dalam keadaan beriman kepada-Nya.
Seandainya kalian ingin terselamat daripada segala mara bahaya sentiasalah menimba ilmu dan beribadah secara benar. Ibadah yang dilakukan tanpa ilmu adalah sia-sia. Segala urusan dalam hidup ini saling berkaitan antara ilmu dan ibadah.
Dari itu hendaklah kalian memusatkan perhatian pada ibadah dan ilmu. Nanti kalian akan mengecapi keseimbangan antara kejayaan hidup di dunia dan di akhirat. Jadikanlah kata-kata hikmat Imam al-Hasan Basri sebagai pedoman hidupmu, "Tuntutlah ilmu tanpa melalaikan ibadah. Dan beribadahlah dengan tidak lupa menuntut ilmu."
Sahabat yang dimuliakan,
Kalian mestilah memelihara keseimbangan dalam menempuh jalan Islam yang lurus. Tidak leka dengan kemewahan material dan tidak panjang angan-angan. Sedarlah akan hak Rabb, hak diri, hak keluarga dan hak masyarakat. Tunaikanlah setiap amanah dengan baik sesuai dengan haknya. Tidak berat sebelah dan tidak pilih kasih sehingga merugikan orang lain.
Permudahkan sesuatu urusan dan bukan mempersulitkan. Sentiasalah menyebarkan berita gembira, bukan menjauhkan orang lain. Jangan mudah melontarkan kecaman kepada orang lain apalagi menuduh atau memfitnah. Jauhkan sifat fanatik. Bertahan kuatlah dengan pendirian kalian dan pertahankanlah Islam walau dalam keadaan apa sekalipun.Imbangilah antara dunia dan akhirat. Tidak melarikan diri dari hakikat hidup di dunia, tetapi usah rakus dengan kemewahan dunia.
Rasulullah SAW sentiasa berdoa : "Ya Allah! Perbaikilah agamaku yang merupakan pelindung masaalahku. Perbaikilah duniaku yang menjadi penegak kehidupanku dan perbaikilah akhiratku yang merupakan tempat penentuanku." (Hadis Riwayat Muslim)
Sahabat yang dihormati,
Jadikanlah diri kalian "generasi awwabun taibun" iaitu generasi yang sangat takut dirinya bermaksiat kepada Allah. Rasa takut ini lebih besar dari takut terhadap musuh Allah dan musuh dirinya yang paling ganas. Mereka lebih takut pada maksiat kalbu kerana ia lebih berbahaya daripada maksiat fizikal. Maksiat kalbu yang di maksudkan seumpama 'ujub, sombong, riyak, angkuh, suka menonjol diri, su'udzan (berprasangka buruk)'. Sifat-sifat sedemikian boleh menggugurkan kebaikan yang telah dikerjakan seperti api membakar kayu.
Kekuatan iman bukan sahaja mampu menepis godaan syaitan, malahan berperanan mengimbangi antara ilmu dan ibadah. Apabila kekuatan iman diabaikan, dengan pantas dorongan nafsu menguasai akal dan perilaku. Awaslah nafsu kalian! Nafsu akan bertindak lebih pantas dari bisikan syaitan jika iman tidak diperkukuhkan.
Mari sama-sama meninjau bagaimana tabiat dan karenah hawa nafsu supaya nanti dapat kalian usahakan cara mematahkan pengaruhnya :
1. Nafsu sentiasa mendorong kepada kejahatan.
Setiap orang mempunyai potensi menjadi baik, tapi nafsu sangat bencikan kebaikan. Sebaliknya apa saja sifat buruk serta perbuatan jahat cukup serasi dengan nafsu.Oleh itu, usaha membina sikap yang baik sering memerlukan kesungguhan yang kental. Contohnya, sangat payah menahan marah dan bersifat sabar, memaafkan kesalahan orang lain, bersangka baik, tidak berdendam dan tidak iri hati. Ia sukar kerana ada saja bisikan berlawanan yang datang dari nafsu.
2.Nafsu hanya mahu kesenangan dan kelazatan.
Nafsu suka kepada kesenangan, kemewahan, bermalas-malas dan bersedap-sedap. Dengan itu nafsu tidak memujuk hati menempuh untuk jalan ke syurga kerana jalannya penuh dengan susah payah. Kerana jalan ke neraka penuh dengan hal-hal yang bersenangan dan keseronokan.
3.Nafsu tidak takut pada neraka.
Nafsu tidak akan berjaya ditundukkan sekadar dengan ancaman seksa neraka. Ia mesti juga sentiasa diperingatkan bertalu-talu tentang kebenaran janji syurga dan kenikmatan yang akan dikecapi di hari akhirat nanti.
4.Nafsu tidak pernah puas.
Sudah menjadi tabiat nafsu, kehendaknya tidak akan habis. Dapat sejengkal hendak sehasta. Dapat sehasta hendak sedepa. Bila kehendak nafsu dituruti, kita akan diperhambakannya. Kecuali kita menyedari hakikat yang berlaku dan berani mengatakan 'tidak' kepada desakan nafsu.
Sahabat yang diredai Allah,
Begitulah ragam hawa nafsu yang sentiasa menanti peluang dari kelemahan iman. Justeru itu, apabila berlaku kecuaian dalam beribadat, kembalilah kepada Allah SWT dengan bertaubat dan beristighfar. Ingatlah Allah SWT tidak akan membiarkan kalian tenggelam dalam perdayaan hawa nafsu selagi kalian benar-benar mengharap rahmat-Nya.
Firman Allah SWT yang bermaksud : "Ya Tuhan kami, kami telah menganiaya diri kami sendiri, dan jika Engkau tidak mengampuni kami dan memberi rahmat kepada kami, niscaya kami termasuk orang-orang yang merugi." (Surah al-A'raf ayat 23)
Sentiasalah merasakan dihati bahawa kurnia Allah SWT tidak terhingga, sedang bakti yang kalian curahkan sangat sedikit. Sesungguhnya Allah SWT tidak memerlukan bakti kalian kerana Dia Maha Kaya. Kalianlah yang sangat memerlukan rahmat dan rahim-Nya. Selalulah berdoa dengan doa para Ulul Albab :
"Ya Rabb! Ampunilah bagi kami dosa-dosa kami dan hapuskanlah dari kami kesalahan-kesalahan kami beserta orang-orang yang banyak berbuat bakti." (Surah Ali Imran ayat 193)
Allah SWT. memberi berita gembira kepada orang-orang yang beriman, firman-Nya yang bermaksud : "Janganlah kamu bersikap lemah, dan janganlah (pula) kamu bersedih hati, padahal kamulah orang-orang yang paling tinggi (darjatnya) jika kamu orang-orang yang beriman." (Surah Ali Imran ayat 139)
Akhirkata, usahlah lupa diri dengan hanya hidup bersenang-senang. Tinggalkanlah sikap 'wahan' iaitu penyakit takut mati dan cinta dunia. Tanpa 'wahan' kalian semua akan berjaya meraih keuntungan di dunia dan di akhirat.
Segala puji bagi Allah, Tuhan sekelian alam. Selawat serta salam buat junjungan mulia Nabi Muhammad SAW keluarga serta para sahabat dan pengikut yang istiqamah menuruti baginda hingga ke hari kiamat.
Sahabat yang dirahmati Allah,
Salah satu faktor terpenting untuk menang dalam pergolakan melawan hawanafsu ialah, hendaklah kamu sentiasa menghidupkan kalbumu agar ianya terang, tulus, teguh dan cerah berdasarkan bimbingan Rasulullah SAW.
Sabda Nabi SAW yang bermaksud : "Sesungguhnya Allah SWT. memiliki suatu wadah dibumi-Nya, iaitu kalbu-kalbu. Yang paling dicintai-Nya ialah yang paling lunak, tulus dan paling teguh dalam agama, paling tulus dalam keyakinan dan paling lunak dalam persaudaraan".
Pergunakanlah akalmu untuk faham, sedar dan peka mengumpul semua ilmu yang dapat menambah dekat dengan Allah s.w.t. Orang mukmin yang mempunyai akal sihat, padanya terdapat penglihatan yang sihat, yang mampu membezakan yang baik dan yang jahat, yang hak dan yang batil, yang bersih dan yang kotor, yang makruf dan yang mungkar, kerana ia melihat dengan nur Allah (cahaya Allah).
Barangsiapa yang tiada diberi Allah cahaya, maka tidak adalah cahaya baginya. Dan tidak ada yang dapat memadamkan cahaya itu, kecuali kemaksiatan dan engan bertaubat.
Rasulullah SAW. bersabda yang bermaksud : "Siapa yang melakukan perbuatan dosa, ia akan ditinggalkan pergi oleh akalnya untuk selama-lamanya."
Sahabat yang dimuliakan,
Jihad melawan hawa nafsumu adalah sebesar-besar jihad, kerana nafsu inilah yang akan menjadi penghalang untuk kamu berjihad melawan orang-orang kafir apabila sampai masa dan saatnya panggilan jihad berkumandang. Apabila kamu berjaya menundukkannya, itulah kemenangan yang paling utama dan luhur, yang memungkinkan kepadamu untuk melanjutkan perjalanan, meneruskan dakwah dan memenangkan perjuangan hidup.
Kejayaan ini hanya akan lahir dari keimanan, keikhlasan, kejujuran, kesabaran dan keberanian dalam mengucapkan perkataan yang benar dan yakin terhadap janji Allah, "Itulah kurnia Allah SWT, diberikan-Nya kepada sesiapa yang dikehendaki-Nya."
Apabilan nafsu sudah ditundukkan maka jiwa akan menjadi bersih dan bersedia memikul tugas dan tanggung jawab. Jiwa akan mampu melawan segala kesulitan, mampu menghadapi tentangan dan pukulan. Jiwa yang ikhlas ini akan sanggup untuk mengorbankan segala yang dipunyai dalam perjuangan agama Allah. Sentiasa memperkuatkan janji kepada Allah s.w.t. iaitu melaksanakan apa sahaja yang ditaklifkan (diamanahkan) kepadanya. Patuh dan faham dengan semua perintah dan larangan-Nya baik yang zahir maupun yang batin.
Asma binti Abu Bakar barkata, "Sesungguhnya kebahagiaanku dalam imanku, dan sesungguhnya imanku dalam hatiku, dan sesungguhnya hatiku tidak dikuasai oleh sesiapapun selain Allah."
Sahabat yang dihormati,
Jiwa orang-orang mukmin yang telah melalui proses tarbiah adalah bersikap lemah lembut, memaafkan kesalahan orang lain, menghulurkan bantuan kepada sesiapa yang memerlukan bantuan dan sentiasa menjalin perhubungan silaturahim. Peribadi seperti ini akan menaikkan darjatnya disisi Allah SWT.
Sabda Nabi SAW yang bermaksud : "Tidakkah kamu ingin kuberitahu dengan perkara yang Allah muliakan sesuatu binaan dan perkara yang Allah meninggikan darjat?"
Mereka berkata, "Bahkan ya Rasulullah."
Maka Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud, "Kamu bersikap lemah lembut dengan orang yang bersikap kasar terhadapmu, maafkan orang yang menzalimimu, memberi kepada orang yang tidak memberi padamu dan menghubungkan silaturahim dengan orang yang memutuskan silaturahim denganmu." (Hadis Riwayat At-Tabarani dan Al-Bazzar)
Sahabat yang dikasihi,
Apakah ciri-ciri seseorang itu mendapat keredaan Allah SWT dan ciri-ciri ia mendapat kemurkaan Allah?
Nabi Musa a.s. pernah bertanya kepada Allah SWT. yang bermaksud :
"Ya Rabbi, bagaimanakah saya akan mengetahui samaada seseorang itu Kamu cintai dan reda ataupun kamu benci dan murka?".
Jawab Allah SWT. yang bermaksud : "Bila sahaja Aku cinta dan reda kepada seseorang maka Aku permudahkan baginya untuk berzikir kepada-Ku dan Aku pelihara dirinya daripada melakukan perkara-perkara yang haram, sebaliknya bila Aku benci dan murka kepada seseorang maka akan Ku lalaikan ia daripada memperingati-Ku dan Aku biarkan ia dikuasai oleh hawa nafsunya supaya terjerumus melakukan perkara-perkara yang haram sehinggalah ia layak menerima seksaan dan balasan-Ku".
Akhir kata marilah kita renungkan kata-kata nasihat Al-Fudail bin Iyadh ;
Ingatlah daripadaku lima perkara :
1. Apa sahaja yang mengenaimu, maka katakanlah itu Qadak dari Allah SWT supaya engkau tidak menyalahkan makhluk.
2. Jagalah lidahmu supaya semua makhluk selamat dari lidahmu dan engkau selamat dari seksa Allah.
3. Percaya pada janji Allah mengenai soal rezeki supaya engkau menjadi seorang yang mukmin.
4. Bersiap-siaplah untuk menghadapi mati supaya engkau tidak mati dalam keadaan leka.
5.Berzikirlah pada Allah sebanyak-banyaknya supaya engkau terpelihara daripada dosa."
Segala puji bagi Allah, Tuhan sekelian alam. Selawat serta salam buat junjungan mulia Nabi Muhammad SAW keluarga serta para sahabat dan pengikut yang istiqamah menuruti baginda hingga ke hari kiamat.
Sahabat yang dirahmati Allah,
Dari Abu Hurairah r.a, Rasulullah SAW bersabda:”Neraka dilingkari oleh hal-hal yang menarik hawa nafsu sedangkan syurga dilingkari oleh hal-hal yang tidak disenangi.”
(Hadis Riwayat al-Bukhari)
Berdasarkan hadis di atas jelaslah kepada kita bahawa jalan-jalan yang boleh menjerumuskan seseorang itu ke dalam neraka adalah perkara-perkara menarik hawa nafsu. Sebaliknya pula jalan menuju ke syurga adalah jalan yang sukar dan bertentangan dengan hawa nafsu manusia.
Ingatlah hawa nafsu sentiasa mendorong manusia kepada keseronokan dan kebahagian yang menipu, melupakan manusia bahawa seksaan dan azab sengsara menanti manusia di hari akhirat akibat maksiat dan dosa yang dilakukan ketika di dunia. Hawa nafsu dan bisikan syaitan seiringan menjadikan manusia lupa diri dan lupa bahawa hidup di dunia ini adalah sementara waktu sahaja bukannya tempat yang kekal abdi.
Sedangkan iman, takwa dan akhlak yang baik adalah ciri-ciri ahli syurga yang hanya mampu dimiliki oleh orang-orang mukmin pilihan Allah SWT .
Sahabat yang dimulikan,
Pertentangan di antara kebenaran dan kebatilan sebenarnya adalah satu sunnah di dalam kehidupan manusia. Setiap perkara yang menjurus kepada nafsu sentiasa mendorong manusia untuk melakukannya sedangkan perkara yang mengajak kepada syurga sentiasa ada halangan dan rintangannya. Itulah yang dinamakan cabaran iman.
Allah SWT memberi khabar gembira terhadap orang-orang yang sanggup mengorbankan gelora hawa nafsunya demi untuk berbakti di jalan Allah SWT bahawa mereka nanti akan diberi ganjaran syurga yang penuh dengan kemewahan dan kenikmatan.
Kekuatan iman itu akan tetap terpelihara dengan sebaik-baiknya apabila wujudnya nilai-nilai istiqamah di dalam hati dan sabar adalah kunci kekuatan tersebut. Ia menjadikan manusia dapat bertahan daripada dipengaruhi oleh sebarang hasutan yang menarik diri mereka kepada neraka atau dengan lain perkataan kesabaran itu merupakan ubat yang paling pahit tetapi paling mujarrab untuk seseorang itu sampai ke syurga.
Sahabat yang dikasihi,
Marilah sama-sama kita jaga iman , hubungan hati kita kepada Allah SWT dan akhlak Islam yang mulia, untuk menjadi contoh dan ikutan kepada orang lain. Orang mukmin tidak akan mudah dipengaruhi hawa nafsu amarah sebaliknya orang fasik dan munafik akan mudah dipengaruhi oleh hawa nafsunya sendiri di tambah pula dengan bisikan dan godaan syaitan. Oleh itu untuk kita terpilih menjadi penghuni syurga seluas langit dan bumi perlulah bersabar dengan godaan dan tarikan dunia dan sanggup bersusah payah di dunia ini semata-mata mencari reda dan rahmat Allah SWT.
No comments:
Post a Comment