Berjaga-jaga Tipudaya Syaitan dan Nafsu
Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh
بِسْمِ ٱللَّهِ ٱلرَّحْمَـٰنِ ٱلرَّحِيم
Segala puji bagi Allah, Tuhan sekelian alam. Selawat serta salam buat junjungan mulia Nabi Muhammad SAW keluarga serta para sahabat dan pengikut yang istiqamah menuruti baginda hingga ke hari kiamat.
Sahabat yang dirahmati Allah,
Beruntunglah kerana kamu terpilih berada dijalan ini, iaitu jalan kebaikan dan hidayah, jalan untuk mendekatkan diri kepada Allah dan mendapat keredaan-Nya.
Allah SWT. telah menjanjikan ganjaran yang besar buatmu.
Sabda Nabi SAW. yang bermaksud : "Nescaya menyebabkan seorang lelaki mendapat petunjuk daripada Allah adalah lebih baik bagimu daripada dunia ini."
(Hadis Riwayat Bukhari dan Muslim).
Dakwah yang kamu lakukan kerana Allah SWT adalah satu ibadah yang agong, yang kerananya Allah SWT akan mengurnia rahmat dan keredaan-Nya serta memasukkan dirimu kedalam golongan orang-orang yang beruntung. Jika dakwah itu didorong oleh iman yang benar dari dilakukan mengikut adab-adabnya, maka dia telah mendapat dua jaminan :
Pertama, dia tidak akan terpengaruh dengan hasutan nafsu dan kepentingan dunia. Sekiranya hal ini datang untuk memperdayakannya, maka dengan mudah ia akan dapat mengalahkannya.
Kedua, dia akan beroleh ketenangan jiwa, kedamaian hati dan merasa senang melaksanakan tugas-tugas dakwah yang diwajibkan keatasnya, juga ia dapat pemeliharaan Allah SWT daripada segala tipudaya.
Jalan dakwah adalah jalan membawa manusia kepada Allah SWT, sudah tentu syaitan akan menghalangnya dengan pelbagai helah dan tipa daya yang halus. Oleh itu, selalulah menilik dan memerahatikan perjalanan hatimu, adakah kebaikan yang kamu lakukan itu ikhlas kerana Allah SWT atau ada sebab-sebab yang lain.
Berhati-hatilah, sesungguhnya syaitan sangat memberi perhatian kepadamu, ia dan nafsu akan memerangimu dari segala penjuru sehingga kamu tersungkur dari jalan kebaikan ini atau kamu terus tertipu dengan kebaikan yang kamu lakukan.
Berkata ahli Sufi : "Dalam ibadah ada maksiat dalam maksiat ada ibadah."
Sahabat yang dimuliakan,
Carilah ilmu yang dapat menyuluh penyakit-penyakit rohaniahmu kerana pada hatimu itulah, jatuhnya pandangan Allah. Kalau dakwah kamu masih dipenuhi dengan ujub, riyak, takabur dan mazmumah yang lain, nescaya penat lelahmu di atas dunia ini akan menjadi sia-sia.
Ilmu lebih utama dari amal. Imam Al-Ghazali ada menyebut dalam kitab 'Minhajul Abidin', permulaan jalan menuju kepada Allah adalah dengan ilmu. Tetapi mengapa kamu hanya menumpukan kepada ilmu-ilmu syariat dan fikrah sahaja, dan kamu meremehkan ilmu tasauf, sedang ilmu itulah yang akan membawamu mengenal diri dan Tuhanmu, yang mengenalkan kamu kepada kejahatan nafsu dan syaitan serta menjadi cahaya penyuluh kepada kerohanianmu? Dengan kata lain, mengapa kamu tidak bersungguh-sungguh dengan jalan pembersihan jiwa dan penyucian nafsu sehingga kamu terus tertipu dengan kebaikan yang di dalamnya, penuh dengan maksiat kepada Allah SWT?
Ketahuilah, musuhmu yang batin terlebih bahaya dariapada musuhmu yang zahir. Allah tidak akan memandang kepada kehebatan fikrah dan kepetahanmu didepan manusia, tetapi Dia melihat kepada hatimu. Bagaimana kamu mengajak manusia kepada Allah, kalau kamu sendiri sama saja dengan mereka, cuma zahirnya berbeza, sedang pada hakikatnya, hati kalian berada diatas nafsu ammarah, nafsu yang dipenuhi penyakit-penyakit batiniah, cinta dunia dan takut mati.
Sahabat yang dikasihi,
Akhirkata, wahai sahabatku, aku ingatkan diriku dan dirimu, sebutlah nama Allah SWT dengan hakikat yang sebenarnya, dan kembalikanlah dirimu kepada Allah SWT dengan sebenar-benarnya sebelum mengajak manusia lain kembali kepada Allah SWT. Insya Allah, Dia akan kurniakan natijah yang baik bagi setiap amal soleh yang dilakukan.
Ketenangan Hati Ada Pada Orang Beriman
Segala puji bagi Allah, Tuhan sekelian alam. Selawat serta salam buat junjungan mulia Nabi Muhammad SAW keluarga serta para sahabat dan pengikut yang istiqamah menuruti baginda hingga ke hari kiamat.
Sahabat yang dirahmati Allah,
Banyak orang diberikan Allah kepintaran, kemasyhuran, kesihatan yang baik dan harta yang banyak, namun hatinya dilamun resah dan hidupnya dirasakan hambar. Mahligai yang besar dirasakan umpama sangkar atau penjara. Makanan yan sedap dirasakan tawar dan tidak menyelerakan. Anak pinak dan sahabat handai yang ramai dirasakan membosankan. Hidup seperti tiada erti dan hanya bertujuan menghabiskan saki baki umur sementara menunggu hari kematian.
Banyak pula orang hidupnya kelihatan susah, tiada kemasyhuran, rumah kecil dan makanannya sederhana, namun pada hakikatnya dia sangat bahagia dan gembira. Dia menikmati hidup riang kerana hatinya tenang, walaupun berdepan dengan kemelut hidup yang mencabar.
Tiada ketenangan hati jika tiada iman. Tiada diragu lagi bahawa ketenangan hati adalah sebab utama untuk hidup bahagia.Tetapi ketenangan hati tidak dapat dihasilkan oleh kekayaan, kemasyhuran, dan kekuatan fizikal. Ketenangan hati hanya akan diperolehi dengan satu sumber iaitu iman kepada Allah dan hari akhirat.
Ketenangan hati adalah nikmat Allah SWT yang dianugerahkan kepada hamba-hamba pilihan-Nya sahaja, supaya mereka berhati teguh dikala orang lain goyah, yakin dikala orang lain ragu, sabar ketika orang lain keluh-kesah dan berlapang dada semasa orang penik.
Firman Allah SWT. yang bermaksud : “Dialah (Allah) yang menurunkan ketenangan ke dalam hati orang yang beriman, supaya keimanan mereka makin bertambah dan keimanan mereka yang telah ada. Kepunyaan Allah tentera langit dan bumi. Allah itu Maha Mengetahui dan Maha Bijaksana.” (Surah Al-Fath ayat 4)
Firman Allah lagi yang bermaksud : “Dan siapa yang hendak dibiarkan sesat oleh Allah, dijadikan Allah dadanya sesak dan sempit, seperti orang yang naik ke tempat yang tinggi.”
(Surah Al- An’am ayat 125)
Sahabat yang dihormati,
Orang beriman memperolehi ketenangan hati kerana orang beriman menyahut panggilan fitrah, mereka menempuh hidup yang sesuai dengan fitrahnya. Fitrah manusia tidak boleh dipenuhi dengan ilmu, peradaban dan falsafah tetapi ia hanya dapat dipenuhi dengan keimanan kepada Allah.Fitrah manusia yang sentiasa lapar dan dahaga hanya akan dapat dipuaskan dengan mengenali Allah dan menghadapkan hidup kepada-Nya. Apabila fitrah telah dipenuhi dengan keimanan dan rasa puas maka manusia akan hidup gembira riang dan aman daripada ketakutan. Orang yang tidak mahu belajar mengenali Allah dan lupa diri sendiri maka Allah akan membiarkan hidup menderita.
Sahabat yang dikasihi,
Orang beriman mengetahui rahsia penciptaan alam dan dirinya sendiri. Orang beriman hatinya tenang dan puas kerana persoalan ini dijawab oleh Allah SAW. Hatinya yakin dan tidak ragu-ragu.
Firman Allah SWT. yang bermaksud : “Allahlah yang menciptakan tujuh langit dan seperti itu pula bumi.Perintah Allah berlaku padanya, agar kamu mengetahui bahawa Allah Maha Kuasa atas segala sesuatu, dan sesungguhnya Allah ilmu-Nya benar-benar meliputi segala sesuatu.”
(Surah Ath-Thalaq ayat 12)
Firman Allah SWT. yang bermaksud : “Dan Aku tidak menciptakan jin dan manusia melainkan supaya mereka menyembah pada-Ku.” (Surah Az-Zariyaat ayat 56)
Dunia ini adalah kerajaan Allah. Manusia adalah khalifah Allah, diciptakan untuk memuja dan mentaati-Nya. Orang beriman memahami semua ini lalu melaksanakannya. Orang beriman jelas matlamat hidup yang hendak ditujunya, sedangkan orang yang tidak beriman tidak tahu ke mana kesudahannya, hidup meraba-raba dalam kegelapan dan berjalan tanpa haluan.
Orang beriman bebas dari semua kebimbangan kerana hidupnya terus ditujukan kepada matlamat mencapai keredaan Allah. Dia tidak peduli samaada orang lain suka atau tidak terhadap dirinya, asalkan dia mendapat keredaan Allah.
Orang beriman merasakan perjalanan mencapai matlamat hidupnya tidak ada yang sukar. Segala yang pahit menjadi manis, segenap pengorbanan dirasakan ringan, bahkan dihadapinya dengan tenang dan gembira. Tidak berasa takut dan cemas, tidak gentar dan ngeri terhadap sesuatu demi memperolehi keredaan Allah SWT.
Firman Allah SWT. yang bermaksud : “Dialah (Allah) yang menurunkan ketenangan ke dalam hati orang-orang yang beriman.” (Surah Al-Fath ayat 4)
Sahabat,
Orang-orang yang beriman berasa dirinya dekat dengan Allah, dia merasakan hidupnya tidak bersendirian atau kesepian. Dia merasakan sangat dekat dan erat dengan Allah SWT.
Firman Allah SWT yang bermaksud : “Dan kepunyaan Allahlah timur dan barat, maka kemana pun kamu menghadap di situlah wajah Allah.” (Surah Al-Baqarah ayat 115)
Firman Allah lagi yang bermaksud : “Dia (Allah) ada bersama kamu di mana saja kamu berada, dan Allah melihat apa yang kamu kerjakan.” (Surah Al-Hadid ayat 4)
Orang beriman tidak akan merasa hidup terpencil, walaupun dia bersendirian semasa dia bekerja atau berada dirumahnya. Allah sentiasa menyertainya. Bahkan orang yang beriman merasakan hidup bersahabat dengan Nabi-nabi dan orang-orang soleh dari segenap umat dan zaman seperti firman Allah SWT. yang bermaksud : “Dan barangsiapa yang mentaati Allah dan Rasul, mereka itu adalah bersama orang-orang dianugerahkan nikmat oleh Allah, iaitu Nabi-nabi, orang-orang yang benar, orang-orang yang syahid dan orang-orang soleh. Mereka itulah teman yang sebaik-baiknya.”
Orang beriman juga selalu berbisik dan berdoa kepada Allah dalam solat dan ibadahnya. Oleh itu dia berasa tenang dan gembira kerana tidak keseorangan.
Allah SWT. panggil dengan pangilan yang lembut pada orang-orang yang beriman yang bermaksud : “Hai jiwa yang tenang, kembalilah kepada Tuhanmu dengan hati yang puas lagi diredhai-Nya. Masuklah kedalam jemaah-Ku dan masuklah ke dalam Syurga-Ku.”
(Surah Al-Fajr ayat 27-30)
No comments:
Post a Comment