Tuesday, February 25, 2014

HARI KIAMAT

Percaya Pada Hari Kiamat

GAMBAR HIASAN

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh

بِسْمِ ٱللَّهِ ٱلرَّحْمَـٰنِ ٱلرَّحِيم

Segala puji bagi Allah, Tuhan sekelian alam. Selawat serta salam buat junjungan mulia Nabi Muhammad SAW keluarga serta para sahabat dan pengikut yang istiqamah menuruti baginda hingga ke hari kiamat.

Sahabat yang dirahmati Allah, 
Orang-orang yang beriman dan bertakwa dan mengerjakan amal soleh ketika di dunia akan dikurniakan syurga oleh Allah SWT. Sebaliknya orang-orang yang melakukan perbuatan dan amal kejahatan dan maksiat akan diberi hukuman dan balasan oleh Allah SWT. dengan neraka. Setiap manusia akan dimasukkan salah satu tempat ini samaada syurga atau neraka bergantung kepada amalan masing-masing, semasa hidup didunia dan mereka boleh membuat pilihan tanpa ada paksaan.

Selagi di dunia belum berlakunya hari kiamat maka pintu taubat masih terbuka luas untuk manusia yang melakukan kesalahan dan dosa untuk bertubat dan memohon ampun kepada Allah SWT. Tetapi apabila saat kematiannya sudah hampir tiba sekiranya nyawanya sudah sampai kehalkum ketika nazak, maka pintu taubat sudah tertutup, tidak berguna lagi penyesalannya ketika itu. Allah SWT memberi ruang masa yang cukup banyak di dunia ini kepada manusia untuk ia sentiasa beristighfar, bertaubat dan memohon ampun kepada Allah SWT .sebelum saat kematian.

Salah satu Rukun Iman adalah percaya kepada hari kiamat. Masa datangnya hari kiamat tidak ada seorang manusia pun di dunia ini yang tahu bilakah berlakunya, hanya Allah SWT sahaja Yang Maha Mengetahui bilakah saatnya akan berlaku.

Apabila sampai saatnya nanti Allah SWT. akan memerintahkan Malaikat Israfil untuk meniup sangkala maka pada waktu itu seluruh alam semesta, manusia dan makhluk yang lain akan hancur binasa dan suasana ketika itu berlaku dengan amat dasyat sekali.

Firman Allah SWT yang bermaksud : “Dan (ingatlah) hari (ketika) ditiup sangkala, maka terkejutlah segala yang ada dilangit dan segala yang dibumi, kecuali siapa yang dikehendaki Allah. Dan semua mereka datang menghadapi-Nya dengan merendahkan diri.”
(Surah an-Naml ayat 87).

Sesudah sangkala ditiup, semua manusia berada dalam kadaan huru hara dan sangat terkejut, setiap orang membawa diri masing-masing untuk menyelamatkan diri sendiri.

Firman Allah SWT. yang bermaksud : “Dan apabila datang suara yang memekakkan (tiupan sangkala yang kedua) pada hari ketika manusia lari dari saudaranya, dan dari ibu bapanya, dan dari isteri dan anak-anaknya. Setiap orang dari mereka pada hari itu mempunyai urusan yang cukup menyibukkannya.” (Surah ‘Abasa ayat 33 – 37)

Firman-Nya lagi yang bermaksud : “Hai manusia bertakwalah kepada Tuhanmu, sesungguhnya kegoncangan hari kiamat itu adalah suatu kejadiaan yang sangat besar (dahsyat). (Ingatlah) pada hari (ketika) kamu melihat kegoncangan itu lalailah wanita yang menyusui anaknya dari anak yang disusuinya dan gugurlah kandongan segala wanita yang hamil, dan kamu lihat manusia dalam keadaan mabuk, padahal sebenarnya mereka tidak mabuk, akan tetapi azab Allah itu sangat keras.” (Surah Al-Hajj ayat 1 -2).

Sangat hebat dan kacaubilau akan terjadi kelak di hari kiamat, dan itu hanyalah baru sebagai permulaan percubaan bagi manusia, dan melihat kepada amal masing-masingnya selama di dunia ini.Oleh itu ambillah iktibar dan menjadi keinsafan dan peringatan bagi kita apa yang dinyatakan Allah didalam al-Quran.

Setelah habis masa kiamat itu dan entah berapa lama masa huruhara, sehingga tidak ada satupun dari makhluk yang tinggal di dunia, hanya Zat Allah yang Wahidul Qahhar. Kemudian Tuhan mengadakan pula hari Mahsyar, iaitu hari Kebangkitan.

Malaikat Israfil dihidupkan kembali lantas meniup sangkakala kedua dan demikian maka terjadilah Padang Mahsyar. Semua makhluk dihidupkan dan berdiri kembali dari kubur masing-masing. Dan bagaiman hebat dan dahsyat penanggungan serta huru hara dihari itu, ketika ini semua makhluk sejak Nabi Adam dilahirkan sehingga kepada manusia yang terakhir diadakan. Semua ini akan dihimpunkan di PadangMahsyar itu, sesak dan padat makhluk di Padang Mahsyar itu sedang matahari dihampirkan diumbun-umbun, yang menyebabkan mengeluarkan peluh masing-masing sampai ada yang menengelamkan sebahagian mereka di hari Mahsyar itu.

Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud : “Berpancaran peluh manusia di hari kiamat (di Padang Mahsyar) nanti kerana sangat huru hara yang mereka alami dan rasai, sehingga mereka tenggelam didalam peluh mereka yang telah mengalir.”

Sehari di Padang Mahsyar sama dengan 1000 tahun lamanya menurut perhitungan sekarang. Segala peristiwa dan kesengsaraan yang dialami ketika di Padang Mashyar amat dahsyat sekali yang akan dialami oleh orang-orang kafir dan mereka yang melakukan maksiat dan dosa ketika di dunia dan tidak sempat bertaubat kepada Allah SWT.

Perlulah setiap diri mempersiapkan dirinya untuk kesenangan hidup di hari kemudian, tanpa melupakan bahagiannya didunia. Hari kiamat besar adalah merujuk kepada hancurnya dunia ini, tetapi hari kiamat kecil adalah hari kematian seseorang didunia ini. Apabila meninggal dunia seorang manusia maka terputuslah semua amalannya kecuali tiga iaitu sedekah jariah, ilmu yang bermanfaat dan anak yang soleh yang mendoakannya.

Oleh itu kita hendaklah menjadikan ayat-ayat Allah dan hadis Nabi SAW di atas yang menceritakan tentang kisah hari kiamat dan perhimpunan di Padang Mahsyar sebagai pengajaran untuk menginsafkan diri kita supaya sentiasa taat dan patuh kepada suruhan Allah SWT dan menjauhi larangan-Nya.

Allah Tolak Alasan 4 Golongan Manusia di Hari Kiamat

AL FAKEH ABUL LAITHS BERKATA: "Kelak pada hari kiamat, ada empat golongan manusia yg datang, lalu masiong-masing mengemukakan ALASAN MENGAPA TIDAK BERIBADAH  DAN MENGABDIKAN DIRI KEPADA ALLAH S.W.T...TETAPI ALASAN MEREKA TIDAK DITERIMA...

PERTAMA, ORANGKAYA...dia mengemukakan alasan: Sesungguhnya aku adalah orang kaya, aku sibuk menguruskan harta-harta ku, sehingga aku tidak sempat mengabdikan diri kepadaMu..Maka ALLAH berfirman: Sesungguhnya NABI SULAIMAN a.s. adalah raja di seluruh timur dan barat, namun dia tidak derhaka kepada Tuhannya..alasanmu tidak diterima..Mereka pun dicampakkan ke dalam Neraka...

KEDUA, ORANG MELARAT: Dia memberi alasan dengan kemiskinannya, kerana itu dia tidak dapat mengabdikan diri kepada Allah s.w.t... tetapi ALLAH S.W.T. membandingkannya dengan Nabi Isa a.s.yg melarat, namun tidak lalai mengabdikan diri kepada Tuhannya..

KETIGA, HAMBA SAHAYA: Dia memberi alasan kerana sibuk melayan tuannya, dan tidak sempat mengabdikan diri kepada Tuhannya..tetapi ALLAH S.W.T. membandingkannya dengan Nabi Yusof a.s. yang di dera dan dicampak kedalam perigi oleh saudara2nya sendiri, dijual sebagai hamba, dipenjara oleh Raja, namun Yusof a.s. tetap mengabdikan diri kepada Allah s.w.t. ...

KEEMPAT, ORANG SAKIT: Dia memberi alasan dengan penyakitnya, maka dia tidak dapat mengabdikan diri kepada ALLAH S.W.T. ...tetapi ALLAH S.W.T. membandingkannya dengan Nabi Ayub a.s. yang menderita sakit, sehingga yg tinggal hanyalah lidahnya dan hatinya utk dia terus ingat kepada ALLAH s.w.t.

Empat Soalan Yang Akan di Tanya di Akhirat Nanti

Segala puji bagi Allah, Tuhan sekelian alam. Selawat serta salam buat junjungan mulia Nabi Muhammad SAW keluarga serta para sahabat dan pengikut yang istiqamah menuruti baginda hingga ke hari kiamat.

Sahabat yang dirahmati Allah, 
Sabda Rasulullah SAW. yang bermaksud : "Setiap hamba pada hari kiamat tidak akan mengorak langkah menuju ke mana-mana selagi dia belum selesai disoal-siasat tentang empat perkara :

Pertama : Tentang umurnya di manakah dihabiskan sewaktu di dunia dahula?

Kedua : Masa remajanya, bagaimana dia menghadapi ujian di waktu itu?

Ketiga : Tentang harta, dari mana dia perolehi dan bagaimana dia membelanjakannya?

Keempat : Tentang ilmunya, apakah dia telah beramal dengan ilmu itu?"

(Hadis Riwayat Muaz bin Jabal r.a.)

Ketika di hari kiamat nanti soal siasat yang pertama diajukan adalah umur yang dihabiskan di dunia. Adakah umur ketika di dunia banyak dihabiskan untuk mengerjakan amal soleh atau mengerjakan maksiat atau masa berjalan dan habis begitu sahaja tanpa di isi dengan kerja-kerja yang berfaedah.

Ingatlah masa itu adalah kehidupan, tidak berlalu masa itu melainkan habis kehidupan kita, dan ianya tidak boleh digantikan lagi selama-lamanya.

Oleh itu apa yang boleh kita lakukan adalah kita merancang dengan penuh hati-hati dan bertanggungjawab untuk masa sekarang dan akan datang agar masa dan umur kita dapat dimanfaatkan tanpa mengalami kerugian. Pergunakanlah sepenuh masa dan tenaga yang ada untuk melaksanakan amal ibadah dan amal soleh untuk mencari keredaan Allah SWT.

Remaja Muslim yang sepenuh masa menuntut ilmu semestinya berhati-hati menguruskan masa. Tidak boleh membiarkan masa berlalu dengan sia-sia atau yang dimurkai Allah. Alangkah ruginya kita jika tidak dapat menyelamatkan diri bila berhadapan dengan Allah nanti.

Ujian semasa muda juga agak berat kerana ketika inilah darah muda sedang membara dan naluri semula jadi remaja ingin mencari pasangan hidup yang serasi atau ingin berpoya-poya dahulu sebelum memasuki alam perkahwinan. Amat malang apabila mereka ingin mencuba sesuatu perbuatan maksiat yang membawa kepada dosa besar. Ketika inilah ramai para remaja tewas, tidak dapat mencari nilai kebahagiaan sebenarnya. Kenapakah hadis Nabi SAW mengkhususkan masa remaja dan ujian diwaktu itu ?

Kalau kita perhatikan gejala sosial dan keruntuhan akhlak yang banyak berlaku dikalangan muda mudi Islam sebagai contoh penagihan dadah, kes buang anak, bohsia, bohjan, mat rempit, kes ragut, perzinahan, gengsterism dan minum arak dan berbagai-bagai lagi, adalah disebabkan para remaja tidak di tarbiyyah dengan asas agama yang kuat, dan mudah terpedaya dengan nafsu muda dan hasutan syaitan.

Sepatutnya ketika usia remaja, mereka melengkapkan diri dengan ilmu pengetahuan yang berguna, ilmu agama, kemahiran dan menghiasi diri dengan akhlak yang mulia dan amal-amal soleh kerana persiapan yang sempurna nanti sebagi pengganti generasi yang terdahulu sebagai pemimpin dan pendidik yang berfikiran jauh. Sesungguhnya kejayaan dan kejatuhan sesuatu umat bergantung kepada kekuatan pemuda dan pemudinya, bila baik dan kuat dari segi akhlak, keimanan dan pengetahuan maka akan baik dan majulah sesuatu umat itu. Sebaliknya apabila runtuh akhlak dan keperibadian mereka maka umat itu akan runtuh dan amat sukar untuk dibangunkan semula.

Sahabat yang dimuliakan,
Harta kekayaan yang kita miliki akan ditanya di hari akhirat nanti, dari mana diperolehi dan kemana dan bagaimana ianya di belanjakannya.Oleh itu kita perlu berhati-hati mencari sumber rezeki pastikan ianya didapati bukan dari sumber yang haram. Sumber rezeki yang termasuk didalam kategori haram adalah seperti berikut :

1. Bekerja dengan syarikat penerbangan, kilang arak, pasaraya, restoran yang menjual, memproses dan menghidangkan arak.

2. Bekerja dengan syarikat insuran, perbankan, kewangan, money lender dan 'along' mengandungi unsur-unsur riba.

3. Mengambil rasuah.

4. Bekerja dikelab-kelab malam sebagi penari, teman sosial, penyanyi, pemuzik yang jelas suasana kerja disitu pergaulan bebas lelaki dan wanita, terdapat minuman keras dan suasana kerja yang meruntukkan akhlak seorang muslim.

5. Memakan harta anak yatim (sekiranya pembahagian faraid tidak disempurnakan dan pembahagian harta dibuat secara adil).

6. Mendapat keuntungan dalam perniagaan secara menipu atau mengurangkan spesifikasi yang ditetapkan pelangan.

7. Menjual barang-barang haram seperti dadah. daging babi dan arak dan lain-lain lagi.

Sahabat yang dihormati,
Bagaimana hidup kita hendak mendapat keredaan Allah, dan Allah menerima doa kita kalau sumber rezeki kita diperolehi dari sumber yang haram dan makanan yang masuk dalam perut kita juga haram! Betapa ramainya umat Islam yang bekerja ditempat-tempat yang dinyatakan diatas. Semua ini akan ditanya oleh Allah SWT. dihari akhirat nanti, kerana sedekah dan zakat dari sumber yang haram tidak akan diterima oleh Allah SWT.

Sekiranya sumber harta kita dari sumber yang halal, kita akan ditanya kemana harta kita digunakan dan dibelanjakan, andaikata kita gunakan untuk menyara keluarga, menuntut ilmu, sedekah pada fakir miskin dan anak-anak yatim, kerja-kerja dakwah,amal jariah,pembangunan masjid dan surau, membantu sekolah agama dan tahfiz, kerja-kerja kebajikan dan menegakkan syiar Islam, maka alhamdulillah, kesemua ini adalah merupakan amalan soleh yang akan mendapat balasan pahala disisi Allah s.w.t. Tetapi sekiranya kita gunakan harta yang dimiliki membantu kerja-kerja maksiat, menjalankan kerja-kerja yang di haramkan Allah s.w.t. dan tidak mahu berzakat dan bersedekah maka kita akan mendapat balasan siksa yang berat di hari kiamat nanti.

Sahabat yang dikasihi,
Ilmu yang kita miliki mestilah diamalkan. Kita diwajibkan menuntut ilmu sejak dalam buayan hinggalah keliang lahat. Setelah ilmu difahami maka perlulah berusaha untuk merelisasikannya dalam kehidupan. Apakah umat Islam yang melakukan maksiat dan dosa mereka tidak berilmu? 

Mengikut kajian sebahagian besar daripada mereka mengetahui hukum hakam tetapi tetap juga melakukan perkara yang dilarang Allah SWT kerana dorongan nafsu dan hasutan syaitan. Sebahagian pula memang jahil tentang hukum hakam agama. Orang jahil akan ditanya pula kenapa mereka tidak mahu belajar dan menuntut ilmu, mereka tetap mendapat balasan diatas kejahilan mereka.

Untuk melaksanakan ilmu yang dimiliki perlu kepada suasana yang baik, perlu mendekati alim ulama' dan bersahabat dengan orang-orang yang baik akhlaknya dan mengikuti program usrah dan halakat. Dari sinilah kita mempunyai kekuatan untuk melaksanakan kebaikan dan amal soleh, kerana proses nasihat-menasihat dan tegur menegur akan berjalan.

Oleh itu setiap kita perlulah mengambil perhatian tentang empat perkara seperti hadis diatas, apabila kita melaksanakan dengan baik keempat-empat perkara tersebut maka kita akan lulus ujian lisan yang akan ditanya kepada kita kelak. Bila ujian lisan lulus alhamdulillah ianya akan memudahkan kita untuk lulus ujian-ujian lain pula.

Matlamat Hidup Yang Sebenar di Dunia adalah Persiapan Untuk Hari Akhirat

Sahabat yang dirahmati Allah, 
Allah SWT telah menciptakan manusia beberapa fasa masa yang melibatkan manusia. Alam roh atau alam azali adalah alam pra kehidupan di dunia. Alam rahim adalah peringkat kandungan ibu. Alam dunia adalah sementara. Alam barzakh adalah alam perantaraan. Akhir sekali alam akhirat, iaitu alam yang berpanjangan selama-lamanya tidak ada penghujungnya.

Alam akhirat pula merentasi:

1. Hari-hari kebangkitan (yaumul ba'ath).

2. Hari-hari dihalau untuk berhimpun (yaumul mahsyar).

3. Hari-hari pengadilan (yaumul 'adl).

4. Hari-hari pertimbangan (yaumul mizan).

5. Hari-hari penitian (yaumul sirat).

6. Hari-hari kesudahan (yaumul akhirat). - balasan syurga atau neraka

Tiap peringkat hari-hari itu adalah ribuan tahun.

Dengan itu ternyata nanti kehidupan dunia dirasai hanya beberapa jam sahaja berbanding satu hari di akhirat bersamaan 1000 tahun di dunia, samaada diratapi dengan penyesalan atau disyukuri kerana beroleh keuntungan.

Firman Allah SWT. yang bermaksud : "Seolah-olah hari mahsyar kelak mereka baru dapat rasakan hidup di dunia hanya antara semalam dan hari ini atau sehari semalam."
(Surah An-Naziat ayat 46)

Semasa ajal Nabi Nuh a.s. tiba, malaikat bertanya, "Wahai Nabi yang terlalu panjang usia, bagaimana kamu rasa umurmu yang panjang?"

Jawab Nabi Nuh a.s., "Seumpama sebuah rumah, saya masuk ke dalamnya dari pintu depan, dan keluar melalui pintu belakang!"

Maksud jawapan Nabi Nuh itu menunjukkan masa hidup sembilan ratus lima puluh tahun itu terlalu singkat berbanding hidup dihari akhirat.

Rasulullah SAW. bersabda yang bermaksud :
"Dua nikmat yang sering disia-siakan manusia, iaitu nikmat sihat dan masa lapang."

Didalam hadis yang lain Nabi SAW. bersabda yang bermaksud :

"Rebutlah lima sebelum datang lima :

1.Masa kamu hidup sebelum kamu mati.
2.Masa kamu sihat sebelum kamu sakit.
3.Masa kamu lapang sebelum kamu sibuk.
4.Masa kamu muda sebelum kamu tua.
5.Masa kamu senang sebelum kamu susah."

Ini bermakna ada lima masa penyesalan, setelah mati, sakit, tua, sibuk dan mati. Setiap penyesalan itu ada harapan tipis kecuali mati. Bila sudah mati dan masuk di alam barzakh tidak berguna penyesalan, hanya amalan-amalan yang baik yang ditinggalkan didunia akan dapat membantu iaitu sedekah jariah, ilmu yang bermanfaat dan anak-anak yang soleh yang mendoakan ibu bapanya.

Lazimnya ada tiga kecenderungan manusia memenuhi usianya berdasarkan hadis Nabi SAW. yang bermaksud, "Tiga perkara mukmin mudah cenderung, berbekal untuk akhirat atau lengkapkan peralatan rumahnya atau bersedap-sedap dengan makanan yang tidak haram."

Hadis ini mengisyaratkan bahawa dalam keadaan seorang itu mukmin pun masih kerehatan rumah dan terlalu mengutamakan makanan boleh mengalihkan tumpuan kepada memburu akhirat.

Nabi SAW bersabda yang bermaksud :
"Orang yang cerdik ialah yang pandai menilai diri dan bekerja untuk selepas mati. Yang lemah ialah yang menurut hawa nafsu dan berangan-angan (mendapat sesuatu) dari Allah."

Berangan-angan mendapat tempat istimewa di sisi Allah, sambil menganggap Allah akan mengampuninya, membuat setengah di kalangan kita meringan-ringankan usaha merebut akhirat.

Dengan kekuatan iman serta memiliki ilmu Islam yang luas seorang muslim boleh manfaat sepenuhnya kehidupan yang singkat ini. Apa sahaja yang dilakukan membawa kebaikan akhirat.

Rasulullah SAW. bersabda yang bermaksud :
"Sungguh menghairankan hal mukmin, semua urusannya membawa kebaikan.Kebaikan seumpama itu tidak diperolehi kecuali mukmin. Jika dia diberi kesenangan dia bersyukur, maka menjadi kebaikan. Jika ditimpa musibah dia bersabar, juga kebaikan buat dirinya."

Dengan kekuatan iman dan ilmu juga kita dapat mengelak dari tipu daya dunia.
Firman Allah SAW. yang bermaksud :
"Pemuda yang tidak dilalaikan oleh perniagaan dan jual beli dari mengingati Allah, dan dari mendirikan solat, mengeluarkan zakat. Mereka takut kepada suatu hari yang hati dan pengelihatan akan goncang." (Surah An-Nur ayat 37)

Sahabat yang dikasihi,
Oleh itu perlulah kita sedar dan insaf bahawa hidup kita di dunia hanyalah sementara, di akhiratlah kehidupan yang sempurna dan kekal abadi. Disinilah (hari akhirat) merupakan matlamat hidup yang sebenarnya dan segala amalan soleh di dunia adalah saham yang akan dapat kita nikmati hasilnya ketika kita berada di hari akhirat nanti.

Menangis Kerana Takutkan Allah

Sahabat yang dirahmati Allah, 
Rasulullah SWT bersabda yang bermaksud :
"Bahawa tidak akan masuk neraka orang yang menangis kerana takut kepada Allah sehingga ada air susu kembali ke tempat asalnya."

Di dalam kitab Daqa'iqul Akhbar menerangkan bahawa akan didatangkan seseorang hamba pada hari kiamat nanti, dan sangat beratlah timbangan kejahatannya dan telah diperintahkan untuk dimasukkan ke dalam neraka, maka salah satu daripada rambut-rambut matanya pun berkata :

"Wahai Tuhanku ! Rasul Engkau Nabi Muhammad SAW. pernah bersabda : 'Sesiapa yang menangis kerana takut kepada Allah , maka Allah mengharamkan matanya itu ke neraka', dan sesungguhnya aku menangis kerana amat takut kepada-Mu."

Akhirnya Allah SWT. mengampuni hamba itu dan menyelamatkannya dari api neraka, dengan berkata sehelai rambut yang pernah menangis kerana takut kepada Allah SWT Malaikat Jibrail a.s. mengumumkan : "Telah selamat Fulan bin Fulan sebab sehelai rambut. "

Dalam sebuah kitab Bidayatul- Hidayah diceritakan bahawa pada hari kiamat nanti, akan di datangkan Neraka Jahanam dengan mengeluarkan suaranya, suara nyalaan api yang sangat mengerunkan, semua umat menjadi berlutut kerana kesusahan menghadapinya.

Allah SWT berfirman yang bermaksud :
"Kamu lihat (pada hari itu) setiap umat berlutut (yakni merangkak pada lututnya). Tiap-tiap umat di seru kepada buku amalannya (di katakan padanya). Pada hari ini kamu di balas menurut apa-apa yang telah di kerjakan"
(Surah Al-Jatsiyah ayat 28)

Sebaik sahaja mereka menghampiri neraka, mereka mendengarkan kegeramannya api neraka dengan nyalaan apinya, dan di terangkan dalam kitab tersebut bahawa suara nyalaan api neraka itu dapat di dengar sejauh 500 tahun perjalanan.

Pada waktu itu akan berkata setiap orang hingga para Nabi-nabi dengan ucapan :
"Diriku, diriku" (selamatkan diriku ya Allah), hanya seorang Nabi sahaja yang akan berkata : "Umatku, umatku," beliau ialah Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW..

Pada masa itu akan keluarlah api Neraka Jahim seperti gunung-gunung, umat-umat Nabi Muhammad s.a.w berusaha menghalanginya dengan berkata :
"Wahai api ! Demi hak orang-orang yang solat. Demi hak orang-orang yang ahli bersedekah. Demi hak orang-orang yang kyusuk. Dan demi hak orang yang berpuasa, supaya engkau kembali !

Walaupun dikatakan demikian api Neraka itu tetap tidak mahu kembali, lalu Malaikat Jibrail berkata : Sesungguhnya api neraka itu menuju pada umat Muhammad SAW."

Kemudian Jibrail membawa semangkuk air dan Rasulullah SAW  meraihnya, dan berkata Jibrail a.s. "Wahai Rasulullah, ambillah air ini dan siramkanlah padanya."

Lalu baginda mengambil dan menyiramkannya pada api itu, maka padamlah api itu.

Setelah itu Rasulullah SAW  pun bertanya kepada Jibrail a.s. :

"Wahai Jibrail! air apa itu?"

Maka berkata Jibrail, "Itulah air mata-air mata orang derhaka yang terdiri dari umatmu yang menangis kerana takut kepada Allah SWT. Sekarang aku diperintahkan untuk memberikannya padamu agar engkau menyiramkan pada api itu, maka padamlah api itu dengan izin Allah SWT. "

Telah bersabda Rasulullah SAW yang bermaksud :
"Ya Allah, anugerahilah kepada kami dua buah mata yang menangis kerana takut kepada-Mu, sebelum tidak ditemukannya air mata."


No comments:

Powered By Blogger | Template Created By Lord HTML