Tuesday, February 25, 2014

GOLONGAN YANG DIREDHAI ALLAH

Sahabat yang dirahmati Allah,

Hidup di dunia ini penuh dengan dugaan dan cabaran. Manusia akan diuji oleh Allah s.w.t samaada ia ingin patuh dan tunduk atas kehendak-Nya atau ia melakukan kesalahan dan kemungkaran yang menyebabkan kemurkaan-Nya. Manusia yang termasuk di dalam kategori orang beriman dan bertakwa akan sentiasa tunduk dan patuh tanpa banyak soalan dan sentiasa akan mensyukuri nikmat Allah, tetapi sebaliknya bagi manusia yang mementingkan hawa nafsunya akan melakukan sesuatu yang membawa kepada kemurkaan Allah s.w.t dan mengkufuri nikmat Allah.

Rasulullah s.a.w. pernah menjelaskan kepada kita bahawa manusia dalam menghayati nikmat Allah itu terbahagi kepada empat kumpulan .

Sabda baginda yang bermaksud:
"Dunia ini dimiliki oleh empat kumpulan manusia,
Pertama: 
Hamba yang telah dianugerah harta dan ilmu lalu ia bertaqwa kepada Tuhannya dengan menjaga hubungan silaturahim dan mengenali tanggungjawabnya kepada Allah. Orang ini adalah yang terbaik.

Kedua: 
Hamba yang dianugerahkan ilmu tanpa harta tetapi ia mempunyai niat yang baik, di mana katanya: 'Jika aku mempunyai harta nescaya aku akan lakukan (kebaikan) sepertimana dilakukan oleh sifulan itu'. Maka dengan niatnya itu, ia akan diberi pahala sama seperti orang yang berharta.

Ketiga: 
Seorang hamba yang dianugerahkan harta tanpa ilmu maka ia akan menyalahgunakan hartanya, tidak bertaqwa kepada Tuhannya, tidak memelihara hubungan silaturahim dan tidak mengira hak-hak Allah kepadanya. Ini adalah kumpulan yang paling buruk."

Keempat: 
Seorang hamba yang tidak dianugerahkan harta ataupun ilmu dan ia sentiasa berniat buruk kerana katanya, 'Jika aku mempunyai harta nescaya aku lakukan (keburukan) sepertimana yang telah dilakukan sifulan'. Maka dengan niatnya itu ia turut menanggung dosa sepertimana sifulan itu juga"
Sahabat yang dimuliakan,
Dalam hadis yang ringkas tetapi begitu bermakna sekali, Rasulullah s.a.w. telah membahagikan manusia kepada empat kumpulan; dua kumpulan mendapat keuntungan manakala dua kumpulan lagi mendapat kerugian.

Dua kumpulan yang berjaya ialah hamba yang dianugerahkan harta bersama ilmu dan hamba yang dianugerahkan ilmu tanpa harta. 
Dan dua kumpulan yang kerugian pula ialah hamba yang dianugerahkan harta tanpa ilmu dan yang tidak dianugerahkan kedua-duanya sekali.

Pertama : 
Kumpulan hamba yang dianugerahhan harta bersama ilmu :
Kumpulan ini adalah kumpulan terbaik kerana dengan memiliki harta kekayaan dan ilmu pengetahuan yang bermanfaat menjadikan ia bertaqwa kepada Allah s.w.t , menyambungkan silaturahim dan sentiasa melaksanakan tugas dan tanggungjawab kepada Allah s.w.t.

Firman Allah s.w.t yang bermaksud : " Sesungguhnya orang yang paling mulia di antara kamu di sisi Allah ialah orang yang paling bertaqwa. Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui lagi Maha Mengenal.” (Surah al-Hujurat ayat 13)

Firman Allah maksudnya : ”Kamu sekali-kali tidak sampai kepada kebajikan (yang sempurna), sebelum kamu menafkahkan sebagian harta yang kamu cintai. Dan apa saja yang kamu nafkahkan, maka sesungguhnya Allah mengetahuinya.” (Surah.Al-Imran ayat 92)

Firman Allah s.w.t. maksudnya :
“Sesungguhnya yang takut kepada Allah di antara hamba-hamba-Nya, hanyalah ulama (berilmu). Sesungguhnya Allah Maha Perkasa lagi Maha Pengampun.” (Surah Fathir : 28)

Nabi s.a.w bersabda yang bermaksud:
“Sesiapa yang memberi contoh kebaikan, maka ia mendapat pahala dan pahala orang-orang yang meniru perbuatannya hingga hari kiamat; dan sesiapa yang memberi contoh kejahatan, maka ia mendapat dosa dan dosa orang-orang yang meniru perbuatannya hingga hari kiamat.”


Kedua : 
Kumpulan yang dianugerahkan ilmu tanpa harta tetapi ia mempunyai niat yang baik, di mana katanya: 'Jika aku mempunyai harta nescaya aku akan lakukan (kebaikan) sepertimana dilakukan oleh sifulan itu'. Maka dengan niatnya itu, ia akan diberi pahala sama seperti orang yang berharta.

Kumpulan ini adalah kumpulan berilmu tetapi tidak berharta. Niat hatinya cukup mulia disisi Allah s.w.t. Walaupun tidak berharta tetapi keazamannya yang tinggi untuk berbakti kepada Allah s.w.t untuk menolong orang miskin dan berjihad dijalan-Nya.Allah s.w.t akan pandang apa yang ada didalam hati hamba-hamba-Nya dan dibalas dengan ganjaran pahala yang besar.

Rasulullah s.a.w.bersabda maksudnya : "Bahawa sesungguhnya setiap amalan itu bergantung kepada niat, dan bahawa sesungguhnya bagi setiap orang apa yang dia niatkan.."(Hadis Riwayat Bukhari dan Muslim)

Di dalam Syurga terdapat ramai orang miskin yang menjadi penghuni Syurga. Ini adalah kerana hati dan jiwanya sungguh murni sentiasa menjalinkan hubungan silaturahim dan ukhwah Islamiyah dan berhajat sangat untuk infak dijalan Allah, menolong anak-anak yatim , orang fakir miskin dan mereka yang memerlukan bantuan. Allah beri ganjaran yang sama seperti orang kaya yang telah infakkan hartanya dijalan Allah s.w.t walaupun ia hanya berniat sahaja.

Sabda Nabi s.a.w. yang bermaksud, "Seorang hamba yang dikurniakan Allah ilmu dan niat yang ikhlas, ia berkata, 'Seandainya aku memiliki harta, nescaya aku akan beramal sebagaimana yang diperbuat oleh si polan (golongan yang diberikah harta dan ilmu).' Dengan niatnya tersebut, maka pahala kedua-dua hamba ini sama."(Hadis Riwayat Tirmizi).
Ketiga : 
Kumpualan yang dianugerahkan harta tanpa ilmu maka ia akan menyalahgunakan hartanya, tidak bertaqwa kepada Tuhannya, tidak memelihara hubungan silaturahim dan tidak mengira hak-hak Allah kepadanya. Ini adalah kumpulan yang paling buruk.

Kumpulan ketiga ini amat malang sekali walaupun mempunyai harta tetapi cukup kedekut tidak mahu infak dijalan Allah dan dipergunakan hartanya untuk memecahbelahkan umat Islam, untuk melakukan maksiat, tidak suka menyambungkan silaturahim, bersifat riak, sombong, bongkak dan takbur. Kumpulan ini tak suka menuntut ilmu ia berada didalam keadaan jahil. Pepatah ada mengatakan orang seperti ini 'bodoh sombong', dan Nabi s.a.w mengelar kumpulan ini kumpulan yang paling buruk.

Wasiat Nabi s.a.w. kepada Sayyidina Ali k.w.
"Wahai Ali ! Orang yang pemurah itu dekat dengan Allah, dekat dengan rahmat-Nya serta jauh dari seksa-Nya, sedangkan orang bakhil (kedekut) itu jauh dari Allah, jauh dari rahmat-Nya serta dekat dengan seksa-Nya.
Wahai Ali ! Saya melihat tulisan pada pintu Syurga yang berbunyi "Syurga itu diharamkan bagi setiap orang yang bakhil (kedekut), orang yang derhaka kepada kedua orang tuanya, dan bagi orang yang suka mengadu domba (mengasut)."
Keempat : 
Kumpulan yang tidak dianugerahkan harta atau pun ilmu dan ia sentiasa berniat buruk kerana katanya, 'Jika aku mempunyai harta nescaya aku lakukan (keburukan) sepertimana yang telah dilakukan sifulan'. Maka dengan niatnya itu ia turut menanggung dosa sepertimana sifulan itu juga.

Kumpulan keempat ini sama saja dengan kumpulan ketiga hanya kumpulan ini miskin (tak berharta) dan ia juga jahil (tak berilmu). Kumpulan ini bukan saja sesat tetapi menyesatkan orang lain. Jiwa dan hatinya kotor dengan sifat mazmumah. tidak ada langsung bersikap positif kepada kebaikan, dan sentiasa mencari peluang untuk membuat kerosakkan di muka bumi ini. Kumpulan ini juga dilaknat oleh Allah s.w.t.
Sahabat yang dihormati,
Jadilah diri kita termasuk kedalam kumpulan pertama dan kedua, di dunia ini kita akan mendapat pertolongan Allah s.w.t dan diberinya kebahagiaan.
Dan di hari akhirat nanti akan diberi-Nya rahmat dan perlindungan-Nya dan berjaya memasuki Syurga Allah s.w.t. 
Jauhilah diri kita untuk menjadi kumpulan ketiga dan keempat karena kumpulan ini mendapat kutukan Allah di dunia ini dan di hari akhirat akan dihumbankan ke dalam Neraka Jahannam, nauzubillah.


Empat Golongan Yang di Redhai AllaH

Sahabat yang dikasihi Allah,
Dari Abu Bakrah ra., Dari Nabi s.a.w ,  sabdanya yang bermaksud :"Jadikanlah dirimu orang alim atau orang yang menuntut ilmu atau orang yang selalu mendengar pelajaran agama, atau pun orang yang mencintai (tiga golongan yang tersebut); dan janganlah engkau menjadi (dari) golongan yang kelima, yang dengan sebabnya engkau akan binasa."
(Al-Bazzar)

Berdasarkan hadis di atas terdapat lima golongan manusia yang berkaitan dengan ilmu pengetahuan. Emapt golongan akan mendapat keredhaan Allah dan golongan kelima akan mendapat kemurkaan Allah dan akan mendapat kebinasaan.

Pertama : Jadikan dirimu orang alim (berilmu) 

Menjadi orang alim (berilmu) adalah amat mulia disisi Allah s.w.t. kerana dengan ilmu yang dimiliki , beramal pula dengan ilmu tersebut dan menyampaikan kepada orang lain adalah menjadi pewaris para Nabi dan Rasul. Kedudukannya disisi Allah dihari akhirat nanti adalah bersama para Nabi dan Rasul dan para syuhada'.


Orang alim yang berilmu dan menyampaikan ilmu tersebut apabila ia meninggal dunia dan berada dialam barzakh maka pahala ilmu yang bermanfaat yang diajarkan ketika di dunia pahalanya akan terus mengalir masuk ke alam barzakh. Sabda Nabi s.a.w yang bermaksud "Apabila seorang anak Adam itu meninggal dunia, maka terputuslah amalannya kecuali tiga perkara iaitu sedekah jariah, ilmu yang bermanafaat dan do'a anak soleh yang mendoakannya"
(Hadith Riwayat Muslim).

Seorang yang alim akan menyampaikan ilmu yang ia miliki bukan sahaja melalui ceramah atau kuliah tetapi ianya boleh disampaikan melalui tulisan di majalah, di internet dan mengarang buku sebagai sumber ilmu untuk rujukan orang ramai.

Ilmu merupakan salah satu nilai luhur yang dibawa oleh ajaran Islam dan yang tegak di atasnya kehidupan manusia, baik secara moral maupun material, duniawi mahupun ukhrawi. Islam menjadikannya sebagai jalan menuju keimanan dan untuk di amalkan.

Nikmat ilmulah yang menyebabkan manusia diberikan amanah oleh Allah sebagai 'khalifah' di atas mukabumi ini. Sesungguhnya Islam adalah agama ilmu dan al-Quran adalah kitab ilmu. Ayat al-Quran yang pertama sekali turun kepada Rasulullah s.a.w. adalah "Bacalah dengan nama Tuhanmu yang telah menciptakanmu"
(Surah al-'Alaq ayat 1)

Sayyidina Ali k.w. berkata :  "Tiga tanda orang berilmu :Ilmu, sabar dan diam"
(Ibid, Jilid:2,ms:59)

Sayyidina Ali k.w. berkata: "Tiadalah kebanggaan yang sebenar melainkan bagi orang-orang yang berilmu kerana mereka sentiasa berada di atas jalan hidayah, mereka menunjukkan jalan hidayah kepada orang-orang yang memintanya. Memadailah ukuran bagi setiap seseorang itu kebaikan yang dilakukan sedangkan orang yang jahil sentiasa memusuhi orang-orang berilmu. Maka rebutlah kesempatan menuntut ilmu supaya kita dapat hidup selamanya kerana pada hakikatnya, manusia itu semuanya mati sedangkan orang-orang yang berilmu akan terus hidup."

Membaca adalah kunci untuk memahami ilmu dan al-Quran merupakan. Firman Allah s.w.t. yang bermaksud : "Kitab yang dijelaskan ayat-ayatnya, yakni bacaan dalam bahasa Arab, untuk kaum yang berilmu."
(Surah al-Fushshilat ayat 3)

Al-Quran telah menjadikan ilmu sebagai asas dan kayu ukur kemuliaan di kalangan manusia.
Allah s.w.t. berfirman maksudnya : "Apakah sama orang-orang yang berilmu dan orang-orang yang tidak berilmu?."
(Surah az-Zumar ayat 9)

Sebagaimana juga al-Quran telah menjadikan 'ahlul ilmi'(ahli ilmu) sebagai syuhada' (orang-orang yang bersaksi) terhadap keesaan Allah bersama para Malaikat.

Firman Allah s.w.t. maksudnya : "Allah telah bersaksi bahawasanya tidak ada Tuhan (yang berhak disembah) melainkan Dia, (demikian pula) para Malaikat dan orang-orang yang berilmu, yang menegakkan keadilan. Tidak ada Tuhan (yang berhak disembah) melainkan Dia, Yang Maha Perkasa lagi Maha Bijaksana."
(Surah Ali 'Imran ayat 18)

Demikian juga orang alim (berilmu)  adalah orang-orang yang paling takut kepada Allah s.w.t. dan bertaqwa kepadaNya. FirmanNya yang bermaksud : "Sesunggungnya yang takut kepada Allah di antara hamba-hambaNya hanyalah orang-orang yang berilmu ('ulama)."
(Surah Fathir ayat 28)

Kedua : Orang yang menuntut ilmu.

Jika kita tidak mampu menjadi orang alim maka jadilah golongan kedua iaitu menjadi orang yang menuntut ilmu. Sungguh besar pahala orang yang menuntut ilmu kerana Allah, setiap langkah yang ia lakukan untuk keluar menuntut ilmu akan diberi ganjaran pahala oleh Allah s.w.t. semua makhluk termasuk ikan dilaut memohon keampunan kepada pencari ilmu.

Termasuk golongan orang yang menuntut ilmu apabila ia membaca buku-buku Islam, mentelaah bahan-bahan tarbiyah, membaca risalah dan nota-nota tazkirah yang terdapat di internet atau di masjid-masjid dan cuba memahami dan menghayatinya.

Nabi s.a.w. bersabda maksudnya : "Mereka yang melangkah di jalan pencarian ilmu, Allah akan membawanya terus ke jalan Syurga. Sesungguhnya, para Malaikat merasa gembira menebarkan sayap mereka untuk menaungi para pencari ilmu, bahkan seluruh makhluk termasuk ikan di laut memohon keampunan buat para pencari ilmu. Kedudukan orang yang alim ke atas orang yang 'abid(ahli ibadah) adalah seperti kelebihan bulan purnama ke atas bintang-bintang pada malam bulan purnama. Para ulama' adalah pewaris para Anbiya' kerana para Anbiya tidak meninggalkan kekayaan tetapi ilmu pengetahuan. Maka beruntunglah mereka yang menelusuri di jalan ini."

Sayyidina Ali k.w berkata : "Janganlah mencari ilmu kerana 4 sebab berikut:
1. Untuk membangga diri di hadapan orang yang alim,
2. Untuk berdebat dengan orang yang jahil,
3. Untuk mempamerkan diri kepada manusia,
4. Untuk menarik perhatian manusia demi menjamin kedudukan.


Ketiga : Orang yang selalu mendengar pelajaran agama.

Menjadi golongan ketiga iaitu selalu dan suka mendengar ceramah dimasjid atau internet (you tube), mengikuti kursus motivasi, mendengar  kuliah agama di kaset , radio atau TV adalah masih termasuk golongan yang diredhai Allah. Semoga dengan minat mendengar ini akan mendapat pahala dan akan menjadikan hatinya cinta pada ilmu dan berusaha untuk di amalkan pula.

Nabi s.a.w. pernah ditanya: "Apakah ilmu?," baginda s.a.w. menjawab, "Diam," baginda s.a.w. ditanya lagi, "Kemudian?," baginda s.a.w. menjawab, "Mendengar dengan penuh perhatian," baginda s.a.w. ditanya lagi, "Lalu?," baginda s.a.w. menjawab, "Mengamalkan apa yang dipelajari," baginda s.a.w.ditanya lagi, "Setelah itu?," baginda (saw) menjawab, "Menyebarkannya."

Orang yang mendengar bacaan Al-Quran dan berkunjung di tempat-tempat pengajian  (majlis ilmu) untuk mendengar bahan-bahan tarbiyah yang disampaikan oleh ulama' atau orang alim akan dilapangkan dadanya dan ditenteramkan hatinya daripada masalah-masalah dunia,
Allah akan sentiasa bersamanya dan orang tersebut akan lebih khusyuk beribadah kepada Allah dan ia akan dapat mendidik nafsunya kejalan kebaikan yang diredhai Allah.

Keempat : Mencintai  tiga golongan iaitu orang alim, orang yang menuntut ilmu dan orang yang mendengar ilmu agama.

Mencintai dan memberi sokongan moral dan material kepada tiga golongan tersebut di atas juga akan mendapat pahala seperti mana mereka yang melakukannya. Orang yang mencintai orang alim, orang yang menuntut ilmu dan orang yang mendengar ilmu yang di ajarkan adalah orang yang mulia hatinya dan niatnya baik kerana Allah. Mungkin dia tak berkesempatan untuk menjadi golongan pertama, kedua dan ketiga kerana kesibukan tugas tetapi hatinya tetap bersama mereka.

Rasulullah s.a.w. bersabda yang maksudnya:
“Sesungguhnya sah atau tidak sesuatu amalan itu, bergantung pada niat. Dan setiap sesuatu pekerjaan itu apa yang diniatkan. 
(Hadis Riwayar Bukhari dan Muslim)

Kelima : Janganlah engkau menjadi (dari) golongan yang kelima, yang dengan sebabnya engkau akan binasa.


Golongan kelima adalah golongan yang membenci atau meremehkan golongan ulama' (sering menuduh dan memfitnah ulama'), tidak berminat menuntut ilmu (lebih suka menghabiskan masa berhibur dan bersuka ria, dan membuang masa yang sia-sia), tidak berminat untuk menjadi pendengar majlis ilmu (tak suka hadir dimasjid atau surau, tak suka dengar ceramah agama diradio , TV atau di kaset-kaset) dan golongan kelima ini tidak mencintai orang-orang yang termasuk golongan pertama, kedua, ketiga dan keempat.

Maka amat malanglah sesiapa yang termasuk di dalam golongan kelima, hidup penuh dengan pura-pura, dan mengejar dunia yang menipu dan menghabiskan sisi umurnya untuk menjauhkan diri dengan agama dan orang seperti ini hidupnya tak akan bahagia di dunia ini dan dihari akhirat akan mendapat azab yang pedih.

Golongan yang kelima juga  adalah golongan yang binasa, kerana mereka tidak ada pimpinan yang dengannya mereka dapat membezakan di antara yang benar dengan yang salah.


Sahabat yang dimuliakan,
Tiap-tiap seorang dikehendaki menentukan sikapnya terhadap ilmu pengetahuan agama dengan salah satu dari empat cara, iaitu menjadikan dirinya orang alim yang mengajar atau orang yang belajar atau orang yang mendengar syarahan-syarahan agama atau pun orang yang mencintai dan menghargai salah satu dari tiga golongan yang tersebut dengan menurut jejak langkahnya.

Dengan sikap yang demikian, seseorang itu terjamin untuk mendapat keselamatan dan kebahagiaan, sama ada dalam perkara jasmaninya mahu pun rohaninya, kerana ia sentiasa dalam jagaan ilmu pengetahuan yang memimpinnya ke jalan yang benar dan memberinya kesedaran untuk memilih yang baik dari yang buruk dan yang hak dari yang batil.

Imam Mawardi menyatakan: Bahawa orang yang menganggap ilmu syarak itu tidak ada faedahnya dipelajari dan lebih baik sahaja ditinggalkan, sebenarnya orang itu tenggelam dalam kesesatan dan jauh dan mendapat hidayat pertunjuk, serta ia termasuk dalam golongan yang kelima yang binasa.

Oleh itu marilah sama-sama kita meletakkan diri kita menjadi golongan yang diredhai Allah s.w.t. iaitu golongan pertama, kedua, ketiga atau keempat dan jauhilah diri kita menjadi golongan kelima yang akan binasa samaada binasa di dunia dan juga binasa dihari akhirat, nauzubillah.

No comments:

Powered By Blogger | Template Created By Lord HTML