Apa ertinya menjadi seorang hamba?
Biasanya seseorang itu dianggap rendah martabatnya apabila ditakdirkan menjadi hamba. Malah ada yang menyesal apabila dirinya dilahirkan sebagai seorang hamba. Apabila disebut istilah hamba, tersingkap difikiran golongan yang berada dikelas bawahan. Bukan mereka memilih, tetapi kerana terpaksa. Kerana ditawan dalam peperangan ataupun kerana keturunan.
Ketika zaman pemerintahan kerajaan Melayu, sistem hamba masih lagi wujud. Terdapat beberapa jenis hamba yang wujud pada zaman ini antaranya hamba istana, hamba sahaya, hamba istana, hamba abdi dan sebagainya. Istilah yang digunakan oleh orang kebiasaan yang memiliki hamba adalah “Tuan Hamba”. Ini untuk menunjukkan darjat seseorang yang lebih tinggi daripada hamba kerana menjadi tuan kepada hamba, lalu digelar Tuan Hamba. Zaman tersebut sudah berlalu. Istilah hamba dalam bentuk sistem hieraki kehidupan manusia sudah lupus sejak zaman berzaman.
Perkembangan dunia ke arah kemodenan berjaya menghapuskan sistem penghambaan. Tenaga manusia yang diperhambakan untuk melakukan kerja-kerja seharian digantikan dengan “hamba” moden yang lebih canggih. Mesin dan robot digunakan untuk memudahkan urusan kerja seharian kita. Dengan hanya menekan punat sahaja, pelbagai benda boleh dihasilkan dalam tempoh yang singkat.
Di dalam kesibukkan menguruskan “hamba-hamba” moden ini, masih ramai manusia yang lupa akan hakikat penghambaan yang sebenarnya. Sudah menjadi sunatullah sejak azali, kelahiran manusia kedunia adalah sebagai seorang hamba. Bukan hamba secara keturunan, tetapi hamba secara fitrah. Menjadi hamba kepada Allah SWT yang menciptakan kita.
Hakikat ini apabila dilupakan oleh manusia menyebabkan mereka gagal di dalam kehidupan yang sebenar ini. Tujuan manusia diciptakan adalah untuk menjadi seorang hamba dengan beribadat kepada Allah dan menjadi khalifah di atas muka bumi. Menjadi hamba untuk menyembah, menjadi khalifah untuk memerintah. Memerintah berdasarkan titah daripada pemerintah yang agung yakni Allah SWT, pemilik seluruh alam ini.
Apabila manusia dilahirkan sebagai hamba dan khalifah, kedua-dua perkara ini memainkan peranan penting dalam menentukan kejayaan kita diatas muka bumi ini. Perlu sepadu diantara sifat hamba dan khalifah.
Seorang tokoh yang berpengaruh, Imam Hassan Al-Banna pernah berkata “Jadilah kamu seorang hamba sebelum menjadi pemimpin, kerana sifat kehambaan itu akan menyampaikan kamu kepada sebaik-baik kepimpinan”
Apabila manusia menyedari bahawa dirinya adalah seorang hamba, maka segala tindak tanduknya akan berfungsi dengan baik. Inilah ketentuan fitrah yang dicampakkan oleh Allah SWT ke dalam hati manusia. Merasai hakikat seorang hamba membawa kepada kemuncak kebahagian.
Di kisahkan pada suatu hari ada seorang tentera bertemu dengan seorang lelaki tua dibawah sebatang pokok. Lalu tentera tersebut bertanya kepada lelaki tersebut.
“Adakah kamu seorang hamba?”
“Ya, saya seorang hamba”,
jawab lelaki tersebut.
“Boleh saya bertanya. Di mana tempat manusia membangunkan hasil mereka?”
“Di kuburan”,
lelaki itu menunjukkan arah kuburan kepada tentera tersebut.
Oleh kerana berasa dirinya dipermainkan, tentera tersebut membelasaha lelaki yang ditanya olehnya itu.
Ketika pulang ke kawasan kem, lelaki tersebut menceritakan peristiwa tersebut kepada teman-temannya. Lalu mereka bertanyakan ciri-ciri lelaki yang telah dibelasah tentera ini. Lalu dia menceritakan berkenaan ciri-ciri lelaki tersebut. Dalam keadaan yang terkejut, mereka memberitahunya lelaki yang dipukulnya itu adalah seorang wali Allah yang bernama Ibrahim Bin Adham.
Dalam keadaan yang bergetar ketakutan, tentera ini bergegas kembali pergi mencari Ibrahim Bin Adham.
Apabila ditemui kembali lelaki yang dipukulnya itu, tentera ini memohon maaf diatas perbuatan yang dilakukannya tadi. Kemudiannya dia bertanya kepada Ibrahim Bin Adham mengapa dia menjawab soalan yang ditanyakan kepadanya sedemikian rupa.
“Soalan pertama engkau bertanya adakah aku seorang hamba. Aku menjawab sememangnya aku seorang hamba. Aku hamba kepada Allah”,
jawab Ibrahim.
“Keduanya aku menjawab kubur. Ini kerana manusia berusaha bekerja di dunia, mereka akan membina kebahagian hasil usaha mereka dialam kuburan sana”.
Beginilah kehidupan seorang hamba. Sentiasa melihat dirinya dari kaca mata pencipta. Merasai hakikat diri sebagai sebagai seorang hamba tidak memberikan kerugian di dalam kehidupan, tetapi lebih membawa kepada keuntungan. Apabila berada dalam kesusahan, merasakan tenang jiwanya kerana masih adalah Allah yang maha kaya dalam hidupnya. Apabila berada dalam kesenangan diri sentiasa bersyukur kepada Allah atas nikmat yang diberikan.
Seperti kata-kata hukama’
“Nikmat itu ibarat binatang liar, maka tambatlah ia dengan syukur”.
Sekiranya gagal diselarikan nikmat itu dengan syukur dikhuatiri membawa kepada kufur. Sehingga digelar orang sebagai kufur nikmat. Hidup di dunia dan akhirat tidak selamat.
“Diriwayatkan bahawa satu rombongan pergi mengadap Khalifah Umar b Abd Aziz, lalu bangun seorang pemuda seraya berkata kepada Khalifah Umar r.a:
“Kami bukan rombangan yang inginkan sesuatu daripada engkau, juga kami bukan rombongan yang takut kepada engkau. Adapun kami tidak perlu sesuatu daripada engkau kerana kami telah dapat merasai kelebihan pemerintah engkau. Adapun kami tidak takut kepada engkau kerana kami telah merasa aman dengan keadilan engkau. Sebenarnya kami merupakan rombongan syukur, kami datang mengadap engkau untuk mengucap syukur dengan lisan kepada engkau”.
Sifat kehambaan yang ada pada mereka membuatkan mereka bersyukur atas segala yang berlaku dalam kehidupan mereka. Mereka datang bukan kerana Umar, tetapi mereka datang kerana syukur atas ketaatan Umar kepada Sang Pencipta dalam pemerintahannya. Syukur bukan hanya sebuah retorika, tetapi ianya adalah perkara yang perlu diamalkan dalam kehidupan kita. Jangan bersyukur kepada manusia, tetapi syukur itu hanyalah pada Allah SWT.
Kerana kita adalah hamba pencipta.
No comments:
Post a Comment