Perbuatan kepada orang lain.
Nabi Muhammad sallAllahu `alaihi wa sallam sangat tawadhu` orangnya, yakni suka merendahkan dirinya terhadap orang lain. Sifat mulia ini sangat asing ada pada ramai manusia, apatah untuk dijumpai sifat ini pada seorang ketua, pemimpin atau seumpamanya.
Namun sifat ini sangat subur terpancar dari jiwa Baginda sallAllahu `alaihi wa sallam yang bukan sahaja merupakan Pesuruh ALLAH, juga merupakan seorang pemimpin negara yang sangat berwibawa. Membuatkan manusia yang menemuinya pasti berasa terhormat dan jatuh cinta.
Apabila berjalan, pandangan mata Baginda akan selalu memandang menunduk ke tanah.
Apabila berjalan dengan sahabat-sahabatnya, Baginda selalu memilih untuk berjalan di belakang. Bukan di depan seperti sebahagian raja atau pemimpin yang berjalan dengan megah di hadapan pengikut-pengikutnya.
Apabila makan, Baginda selalu akan berkongsi makanan dengan orang lain dan makan bersama-sama mereka di dalam bekas yang sama.
Baginda tidak membazirkan makanan. Makanan yang dihidangkan padanya dihabiskan sehingga licin bukan sahaja pada bekasnya bahkan juga di jari-jarinya juga Baginda sisip sehingga licin. Betapa Baginda menghargai rezeki yang dikurniakan buatnya.
Apabila bertemu dengan orang di jalanan, sentiasa Baginda memulakan ucapan salam terlebih dahulu kepada orang lain, hatta kepada kanak-kanak sekali pun.
Apabila Baginda bercakap dengan orang lain, Baginda akan mengadapkan tubuh dan dadanya tepat kepada orang yang bercakap dengannya, tidak sekadar memaling muka. Baginda cukup hormat dan mesra dengan orang lain. Perbuatan Baginda ini membuatkan semuan yang bercakap dengannya rasa dihormati, diberikan perhatian dan dihargai.
Baginda tidak mengecewakan permintaan orang lain samada permintaan itu berbentuk pertolongan atau permintaan harta benda.
Baginda selalu senyum dan berwajah manis apabila menemui orang.
Baginda juga selalu bergurau senda dengan ahli keluarga dan sahabat-sahabatnya.
Baginda memakai pakaian yang sangat sederhana. Tidak memakai pakaian yang mempunyai ciri kemegahan atau kebesaran.
Baginda sentiasa menjaga air muka yakni perasaan orang yang berada di sekelilingnya.
Apabila membuat keputusan untuk masyarakatnya, Baginda tidak bersifat diktator dengan kuasanya, bahkan selalu meminta pandangan orang lain untuk dipertimbangkan.
Apabila para sahabat ingin bangun memberikan penghormatan kepada Baginda ketika Baginda masuk menemui mereka, Baginda akan menegah mereka kerana Baginda tidak mahu dirinya diberikan penghormatan seperti raja-raja di istana.
Dengan Tuhannya, Baginda sentiasa memohon ampun dan rahmat ALLAH sepanjang masa. Beribadah dengan penuh kerendahan dan kesungguhan mengharap agar Baginda diangkat menjadi hamba ALLAH yang paling dekat dan dikasihi olehNYA, Tuhan Sekalian Alam.
Banyak lagi contoh sifat tawadhu` Nabi Muhammad sallAllahu `alaihi wa sallam yang digambarkan para sahabat radhiAllahu `anhum ajma`in. Yang tersenarai di atas cuma sebahagian ringkasan daripadanya sahaja.
Sifat tawadhu` Baginda sudah cukup untuk membuatkan Baginda sallAllahu `alaihi wa sallam disayangi oleh ahli keluarga, para sahabat dan semua yang mengikutinya. Bahkan disegani oleh orang-orang yang membenci ajarannya. Penduduk bumi dan langit semua mengasihinya.
Itu cuma sebahagian sifat tawadhu` Baginda yang sempat disenaraikan, belum lagi kita bicarakan sifat-sifat mulianya yang lain. Mudah-mudahan menjadi contoh buat kita semua, in shaa’ ALLAH.
أللهم صل على محمد و على آل محمد
No comments:
Post a Comment