Psikologi Kanak-kanak Perlu Kepada Enam Aspek
Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh
بِسْمِ ٱللَّهِ ٱلرَّحْمَـٰنِ ٱلرَّحِيم
Segala puji bagi Allah, Tuhan sekelian alam. Selawat serta salam buat junjungan mulia Nabi Muhammad SAW keluarga serta para sahabat dan pengikut yang istiqamah menuruti baginda hingga ke hari kiamat.
Sahabat yang dirahmati Allah,
Perkembangan merupakan satu proses yang berterusan dari peringkat lahir hingga peringkat kematangan. Mengikut ahli psikologi perkembangan manusia dari aspek perubahan kerohanian, jasmani, kognitif, emosi, sosial dan kepimpinan. Perkembangan kanak-kanak adalah dipengaruhi oleh dua faktor yang utama iaitu faktor baka dan faktor persekitaran.
Perkembangan juga boleh disifatkan sebagai pengaliran yang saling berkait antara perubahan kuantitatif dan perubahan kualitatif yang menuju ke arah tertentu. Menurut Atan Long (1980), perkembangan ialah perubahan kualitatif. Ia tidak dapat diukur secara kuantitatif tetapi jelas dilihat perubahan telah berlaku kerana sifat baru berlainan daripada peringkat yang lebih awal.
Gesell (1949) menyatakan, walaupun tidak ada dua individu yang benar-benar serupa, secara global semua kanak-kanak yang normal cenderung mengikut susunan pertumbuhan yang biasa dilalui oleh kanak-kanak. Kesimpulannya perkembangan dapat ditakrifkan sebagai satu perubahan kualitatif yang sistematik meliputi aspek biologi, kognitif dan sosioemosi. Perubahan tersebut adalah berterusan dalam mematangkan dan mendewasakan suatu benda hidup hingga ke akhir hayatnya.
Pertama : Aspek Kerohanian.
Dalam konteks pendidikan Islam, pengajaran berkait rapat dengan konsep fitrah. Kanak-kanak yang lahir adalah mempunyai fitrah yang suci dan baik. Unsur-unsur luar sama ada yang baik atau buruklah yang akan mempengaruhi fitrah kanak-kanak. Jadi adalah amat perlu kanak-kanak diajar dengan unsur-unsur yang dapat mengekalkan fitrah mereka sebagaimana yang dibekalkan kepada mereka sejak lahir.
Cara untuk mengekalkan kejadian fitrah tersebut adalah dengan memperkembangkan potensi semula jadi mereka berlandaskan ajaran Islam dan membersihkan hati atau rohani mereka yang juga disebut sebagai spiritual. Ini kerana menurut pandangan Islam, kebersihan rohani adalah ciri terpenting yang perlu ada pada setiap umatnya. Jadi, aspek kerohanian juga perlu dimasukkan dalam kurikulum pendidikan Islam.
Aspek ini akan menjamin kebersihan rohani dan menyucikan jiwa anak-anak Islam daripada sifat-sifat yang boleh meruntuhkan akhlak mereka seterusnya dapat menjamin bahawa asosiasi yang bakal dilahirkan nanti menjadi insan yang soleh.
Bagi memastikan aspek kerohanian dapat diperkembangkan melalui Kurkulum Pendidikan Islam, pengetahuan seperti tauhid, akidah, pengetahuan tentang perkara-perkara yang halal dan haram, hukum-hukum syariah Islam, pengetahuan tentang aspek kerohanian dan kehidupan serta pengetahuan tentang realiti alam ini mestilah diajarkan kepada mereka. Doa-doa asas kehidupan dan membaca al-Quran perlulah diajarkan. Aspek ini akan dapat memandu anak-anak Islam untuk memahami tentang kejadian alam ini, penciptanya, memahami diri mereka serta melaksanakan amanah dan tanggungjawab yang perlu mereka pikul. Anak-anak yang bukan Islam juga boleh diajarkan aspek akhlak yang baik.
Kedua : Aspek Jasmani.
Ahli falsafah barat ada mengatakan “Don’t judge a book by it’s cover”. Falsafah ini menerangkan bahawa kita tidak boleh menilai seseorang itu hanya dari segi luaran sahaja, tetapi perlu melihat dari dalam, barulah membuat kesimpulan.
Namun dalam konteks ajaran Islam, faktor luaran dan dalaman mempunyai hubungan di antara satu sama lain. Islam bukan sahaja menilai dari segi ilmu pengetahuan yang dimiliki seseorang tetapi juga mementingkan kebersihan diri dan kesihatan fizikal, iaitu aspek luaran. Aspek jasmani perlu seiring dengan ilmu yang dimiliki kerana ia akan mencerminkan keperibadian seseorang. Oleh itu amat perlu agar anak-anak Islam turut diajar tentang cara untuk menjaga kesihatan fizikal atau jasmani.
Sewajarnya kurikulum di sekolah, mengandungi pendidikan khas untuk memelihara kesihatan fizikal atau jasmani murid-murid. Aspek ini bukan sahaja boleh disampaikan melalui mata pelajaran Pendidikan Jasmani dan Pendidikan Kesihatan tetapi juga melalui Pendidikan Agama Islam. Penjagaan kesihatan perlu ditekankan dalam pendidikan Islam agar anak-anak Islam berpeluang mempelajari dan mengamalkan pengetahuan yang boleh memperkembangkan lagi potensi mereka dari pelbagai sudut. Sekiranya anak-anak Islam mempunyai ilmu pengetahuan yang tinggi, bersih dari segi fizikal dan spiritualnya, maka barulah dikatakan dia telah dilengkapi dengan sifat-sifat insan yang soleh dan berkembang secara seimbang serta harmonis dalam pelbagai aspek sebagaimana yang telah digariskan dalam Falsafah Pendidikan Negara.
Ketiga : Aspek Kognitif :
Pada peringkat ini, perkembangan motor kanak-kanak adalah lebih baik dan menunjukkan koordinasi yang lebih baik. Kemahiran motor yang telah dikuasai pada peringkat awal kanak-kanak seperti berlari, memanjat, melompat, dan sebagainya sudah mencapai tahap yang lebih mantap di samping beberapa jenis kemahiran yang baru telahpun dikuasai.
Kemahiran-kemahiran ini adalah seperti lompat tali atau skipping, berenang ,menunggang basikal dan meluncur (skating). Misalnya,kanak-kanak yang berusia 6 tahun sudah boleh melakukan aktiviti seperti mengetuk, mengikat tali kasut, memakai pakaian, melukis dengan menggunakan pensel untuk menggantikan krayon, dan tulisan mereka menjadi semakin kecil. Kanak-kanak antara 8 hingga 10 tahun pula boleh menggergaji, mengendalikan alatan untuk berkebun dan menjahit. Bagi mereka yang sudah berusia antara 10 hingga 12 tahun, tulisan mereka semakin kecil dan kemas, dan mereka telahpun menunjukkan kemahiran manipulatif yang hampir sama dengan orang dewasa.
Ibu bapa dapat mempengaruhi perkembangan kognitif kanak-kanak dengan memindahkan pengetahuan berkenaan maklumat dan budaya dalam menunjuk ajar mereka melalui tingkah laku ibu bapa itu sendiri.
Keempat : Aspek Emosi.
Emosi berkait rapat dengan mental dan kebolehan seseorang mengawal perasaan dalam semua tindak-tanduknya. Seseorang yang mampu mengawal emosinya akan juga dapat menjaga tingkah-lakunya. Manakala akal pula menjalankan tugasnya sebagai pengawal kepada emosinya. Sekiranya seseorang mampu menjaga akalnya, maka dia juga akan mampu mengawal emosinya.
Akal merupakan salah satu punca pengetahuan selain daripada deria dan intuisi. Sekiranya asosiasi yang hendak dididik itu mempunyai tahap kewarasan akal yang baik, maka mereka akan mampu mencapai tahap ilmu pengetahuan yang tertinggi serta dapat menggunakan pengetahuan tersebut dengan sebaik mungkin.
Mengikut ahli-ahli falsafah Islam, selain mempunyai fungsi tersendiri, akal juga mempunyai beberapa kelebihan. Di antara kelebihan akal ialah, akal diibaratkan sebagai cahaya yang menerangi manusia di dalam gelap gelita yang menunjuknya pada kebenaran. Akallah yang mengajar manusia mengambil kesimpulan yang benar berdasarkan pengalaman yang lampau, yang memungkinkan manusia menilai pemikiran sendiri dan membezakan antara ilmu yang betul dengan khayalan kosong.
Huraian di atas menunjukkan betapa pentingnya manusia mengawal emosi dengan menggunakan akal yang waras. Hanya dengan memiliki emosi yang baik sahaja seseorang itu dapat memimpin diri dan seterusnya memanfaatkan ilmu yang diperolehinya untuk kesejahteraan masyarakat dan negara.
Oleh itu, untuk menjamin anak-anak Islam berkembang dengan sifat-sifat yang sempurna, pendidikan yang menjurus kepada cara untuk memelihara emosi yang baik perlu ada dalam kurikulum yang diajarkan. Sebagai contoh mengajar mereka membentuk jati diri melalui penerapan nilai-nilai murni yang boleh diajarkan sama ada secara formal atau informal. Penekanan terhadap nilai-nilai murni dalam pendidikan di sekolah mampu melahirkan seorang individu yang mempunyai mental yang sihat.
Kelima : Aspek Sosial.
Perkembangan sosial kanak-kanak merupakan satu proses perkembangan yang membolehkan kanak-kanak berinteraksi dengan orang lain mengikut cara yang boleh diterima oleh sesuatu masyarakat serta budaya. Pendek kata perkembangan sosial melibatkan proses sosialisasi yang membolehkan kanak-kanak mempelajari tingkah laku sosial atau melakukan penyesuaian sosial dalam sesuatu persekitaran atau lingkungan sosial.
Perkembangan sosial kanak-kanak dapat dikaji melalui beberapa aspek sosialisasi yang penting seperti proses peniruan dan identifikasi, aktiviti bermain, perkembangan kongnisi sosial, persahabatan dan perhubungan dengan rakan sebaya.
Sepanjang proses sosialisasi, kanak-kanak mempelajari tradisi, kepercayaan, nilai, dan adat yang dianuti oleh kumpulan sosial mereka. Mereka juga mempelajari peraturan -peraturan sosial yang diamalkan oleh sesuatu kumpulan sosial. Misalnya, mereka mempelajari cara pemaparan emosi yang sesuai,dan cara mentafsir tingkah laku dan pernyataan emosi orang lain dengan tepat. Proses sosialisasi ini pula ditentukan pula oleh konteks budaya. Tingkah laku sosial yang sesuai bagi sesuatu budaya mungkin dianggap tidak sesuai bagi budaya lain. Namun demikian, terdapat banyak tingkah laku sosial yang bersifat universal dan merentasi pelbagai kumpulan etnik dan budaya
Keenam : Aspek Kepimpinan.
Selain daripada usaha untuk memperkembangkan potensi murid-murid dari aspek (rohani, jasmani, kognitif, emosi, dan sosial), ciri-ciri kepimpinan juga amat perlu diajar kepada mereka. Aspek ini akan mengukuhkan lagi potensi dan perkembangan mereka dari segi yang disebutkan di atas. Anak-anak di peringkat awal usia perlu didedahkan kepimpinan dalam Islam walaupun dengan hanya menceritakan kisah-kisah Nabi SAW dan sahabat-sahabat baginda.
Kandungan kurikulum perlu memasukkan elemen-elemen sejarah yang dapat menjelaskan tentang sifat-sifat kepimpinan yang dimiliki oleh pemimpin-pemimpin agung Islam pada masa dahulu. Berdasarkan pembelajaran tersebut anak-anak Islam yang hendak kita bentuk ini akan lahir sebagai seorang yang mempunyai kemahiran memimpin dan mewarisi sifat-sifat kepimpinan. Dengan itu juga mereka pastinya dapat menjalankan tanggungjawab mereka dengan baik.
Sahabat yang dimuliakan,
TASKA atau persekolahan merupakan sebuah institusi yang awal diwujudkan sebelum kanak-kanak itu masuk alam persekolahan, dengan tujuan melahirkan individu-individu berguna, berwibawa serta dapat mencapai apa yang dikehendaki. Dalam konteks pendidikan Islam, berguna yang dimaksudkan bukan sahaja kepada diri sendiri, malah kepada masyarakat, bangsa, agama mahupun negara pada masa akan datang. Berwibawa pula membawa pengertian seseorang itu mampu memikul tanggungjawab yang telah diamanahkan, sama ada tanggungjawab itu diberikan oleh orang lain mahupun diperintahkan oleh Allah S.W.T. Dengan adanya ciri-ciri tersebut, insya Allah anak-anak Islam akan menjadi seorang berkebolehan dari semua segi.
Berdasarkan daripada perbincangan-perbincangan yang telah dibuat sebelum ini, maka dapatlah dirumuskan bahawa pendidikan kepada anak-anak Islam perlu merangkumi aspek-aspek berikut:
1. Pendidikan akal dan persiapan fikiran. Allah menyuruh manusia merenungi kejadian langit dan bumi agar manusia beriman kepadaNya. Walaupun seawal usia 4 tahun mereka boleh diajarkan merenung keindahan ciptaan Allah SWT.
2. Mengembangkan potensi dan bakat semula jadi kanak-kanak. Islam adalah agama fitrah. Ajarannya tidak terasing daripada tabiat semulajadi manusia, bahkan ia sesuai dengan fitrah kejadian manusia; tidak ada kerumitan atau perkara luar biasa.
3. Memberi kekuatan dan potensi generasi muda dan mendidik mereka sebaik-baiknya, sama ada lelaki ataupun perempuan.
4. Berusaha untuk menyeimbangkan segala potensi dan bakat manusia.
Justeru, untuk melahirkan insan yang soleh dan seimbang dari segi rohani, jasmani, kognitif, emosi, sosial, dan kepimpinan , maka individu-individu khususnya anak-anak Islam perlu diajar dengan kurikulum yang sesuai dan dapat memenuhi tuntutan agama kita agar mereka ini akan lahir sebagai seorang insan mukmin yang dapat memikul tanggungjawab untuk memajukan diri, keluarga masyarakat, negara dan paling penting untuk agama. Oleh demikian, adalah diharapkan agar orang muslim, khususnya murid-murid mengambil peluang yang ada untuk mempelajari ilmu yang disampaikan kerana ilmu itu adalah sunnah dan ajaran Rasulullah.
Firman Allah S.W.T. yang bermaksud: “Apa yang di bawa oleh rasul hendaklah kamu mengikutinya, sedang yang dilarang, hendaklah kamu menjauhinya”. (Surah al-Hasyr ayat 7)
Adalah diharapkan dengan adanya kandungan kurikulum pendidikan yang baik, matlamat untuk melahirkan insan mukmin yang soleh akan terlaksana.
No comments:
Post a Comment