Thursday, March 20, 2014

KHUTBAH JUMAAT ~ PEMIMPIN BERWIBAWA NEGARA SEJAHTERA

KJ : Hadith: Pemimpin Berwibawa Negara Sejahtera

اَللَّهُمَّ صَلِّ عَلَى مُحَمَّد وَعَلَى آلِ مُحَمَّدٍ

1 Khutbah Jumaat SQ-shafiqolbu.
Khutbah Jumaat: “Pemimpin Berwibawa Negara Sejahtera”

.
اَلْحَمْدُ لِلَّهِ الْقاَئِل:
يَا دَاوُودُ إِنَّا جَعَلْنَاكَ خَلِيفَةً فِي الْأَرْضِ فَاحْكُم بَيْنَ النَّاسِ بِالْحَقِّ وَلَا تَتَّبِعِ الْهَوَىٰ فَيُضِلَّكَ عَن سَبِيلِ اللَّـهِ ۚ إِنَّ الَّذِينَ يَضِلُّونَ عَن سَبِيلِ اللَّـهِ لَهُمْ عَذَابٌ شَدِيدٌ بِمَا نَسُوا يَوْمَ الْحِسَابِ
أَشْهَدُ أَن لآ إِلَهَ إِلاَّ اللَّهُ وَحدَهُ لاَ شَرِيكَ لَهُ، وَأَشْهَدُ أَنَّ مُحَمَّدًا عَبْدُهُ وَرَسُولُهُ. اَللَّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ عَلَى سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلى ءَالــِهِ وَصَحْبِهِ أَجْمَعِيْنَ.أَمَّا بَعْدُ، فَيَا عِبَادَ اللَّهِ، إِتَّقُواْ اللَّهِ، أُوْصِيْكُمْ وَ إِيَّايَ بِتَقْوَى اللَّهِ، فَقَدْ فَازَ الْمُتَّقُوْنَ.
.
.

Sidang Jumaat Yang Dirahmati Allah,

Saya berpesan kepada diri saya dan menyeru kepada sidang Jumaat yang dikasihi sekalian, marilah sama-sama kita bertaqwa kepada Allah SWT dengan sebenar-benar taqwa serta melaksanakan segala perintah-Nya dan menjauhi segala larangan-Nya. Mudah-mudahan kehidupan kita diberkati di dunia dan di akhirat. Pada hari ini mimbar akan membincangkan khutbah bertajuk: “PEMIMPIN BERWIBAWA NEGARA SEJAHTERA”.
.
.
Sidang Jumaat Yang Dirahmati Allah,

Allah SWT telah mengurniakan kepada kita agama Islam yang diakui sebagai agama yang diredhai di sisi-Nya. Agama yang lengkap (syumul) dan relevan sepanjang masa dan zaman ini telah disusun begitu sempurna termasuk tatacara mengenai urusan hidup manusia dalam konteks bermasyarakat dan bernegara. Begitu juga dalam membina sesebuah negara, maka Islam telah menyebutnya dengan jelas tentang konsep yang merangkumi pemilihan ketua negara, undang-undang, ketaatan, umat dan sebagainya.
Menurut Imam al-Mawardi di dalam kitab Nizam al-Hukm fi al-Islam bahawa: “Ketua negara digelar sebagai Khalifah dalam urusan agama dan urusan dunia, pemilihan orang yang menjalankan tugas ini adalah wajib mengikut ijmak”.

Allah SWT telah memberi gambaran yang jelas mengenai sesebuah negara yang sejahtera sewajarnya dipimpin tokoh yang hebat dan dinamik serta kepimpinannya menjadi teladan dalam semua aspek kehidupan sebagaimana yang dicontohi oleh Rasulullah SAW.

Allah SWT berfirman dalam surah at-Taubat ayat 128:

لَقَدْ جَاءَكُمْ رَسُولٌ مِّنْ أَنفُسِكُمْ عَزِيزٌ عَلَيْهِ مَا عَنِتُّمْ حَرِيصٌ عَلَيْكُم بِالْمُؤْمِنِينَ رَءُوفٌ رَّحِيمٌ ﴿١٢٨﴾

Maksudnya: “Sesungguhnya telah datang kepada kamu seorang Rasul dari golongan kamu sendiri, yang menjadi sangat berat kepadanya sebarang kesusahanmu, yang sangat inginkan kebaikan bagimu, (dan) amat belas lagi penyayang kepada orang yang beriman.”

Ayat ini memberi penjelasan kepada kita bahawa pemimpin yang bersikap belas kasihan, penyayang, prihatin terhadap kebajikan rakyat adalah sebagai bukti ketinggian imannya. Dalam hal ini, Nabi Muhammad SAW adalah contoh seorang pemimpin berwibawa yang paling berjaya di dunia. Renungkanlah, Baginda berupaya menukar gaya hidup masyarakat jahiliah daripada kufur kepada beriman, permusuhan kepada persaudaraan, kekejaman kepada kasih sayang, pemalas kepada bangsa yang rajin dan sebagainya.
.
.
Sidang Jumaat Yang Dirahmati Allah,



Berdasarkan kepada pengamatan mimbar yang mulia ini, bagi mencapai hasrat membina sebuah Negara sejahtera ianya sangat berkait rapat dengan kepimpinan berwibawa, yang mempunyai al-Quwwah (القوة).
Persoalan besar timbul disini apakah yang dimaksudkan dengan al-Quwwah (القوة). Secara ringkasnya mimbar ingin menyatakan bahawa al-Quwwah (القوة) itu ialah mereka yang mempunyai kekuatan, samada dari segi jasmani, spiritual, emosi dan mental.
Percayalah bahawa skop menanggung kerja seorang pemimpin itu lebih luas dan amanahnya sangat besar yang memerlukan kekuatan dari segenap sudut dan segala bidang kehidupan.

Firman Allah SWT di dalam surah al-Qasas ayat 26:

 قَالَتْ إِحْدَاهُمَا يَا أَبَتِ اسْتَأْجِرْهُ ۖ إِنَّ خَيْرَ مَنِ اسْتَأْجَرْتَ الْقَوِيُّ الْأَمِينُ ﴿٢٦﴾

Maksudnya: “Salah seorang dari keduanya berkata: Wahai ayah, ambillah dia sebagai pekerja, sesungguhnya sebaik-baik pekerja ialah yang kuat, lagi amanah.”

Dan Rasulullah SAW yang diriwayatkan oleh Baihaqi:

اِنَّ اللهَ عَزَّ وَجَلَّ يُحِبُّ إِذَا عَمِلَ أَحَدُكُمْ عَمَلاً أَنْ يُتْقِنَهِ

Mafhumnya: “Sesungguhnya Allah azza wajalla sangat suka (bahkan cinta) jika seseorang daripada kamu, apabila melakukan kerja, maka dia bekerja dengan tekun.” (Riwayat Al-Baihaqi)

Mimbar yang mulia ini ingin menyatakan bahawa pemimpin sebenarnya adalah seorang pekerja kepada rakyatnya, maka berdasarkan kepada tanggungjawab ini ianya memerlukan kekuatan pada dirinya dan tanpa kekuatan, maka akan pincanglah masyarakat dan seterusnya akan memudaratkan.

Bayangkanlah, apakah kesannya pada umat Islam jika dipimpin oleh mereka yang lemah, tidak mempunyai prinsip.berintergriti, hilang maruah, maka sudah tentu umat Islam akan dihina dan diporak perandakan akibat daripada kelemahan kepimpinan itu sendiri.

Sesungguhnya pemimpin yang baik ialah pemimpin yang berilmu, mempunyai visi dan pandangan jauh untuk membina bangsa dan negara dan senantiasa menjaga kemakmuran serta kepentingan rakyat.

Sebagai seorang pemimpin, maka ianya mestilah adil dalam tindakannya dan tidak melakukan kezaliman atau diskriminasi kepada mereka yang di bawah pimpinannya. Sifat-sifat ini mesti dimiliki oleh mana-mana pemimpin dan menjadikan ia sebagai prinsip asas pentadbiran untuk menjamin kepimpinannya.

Pepatah arab pernah berkata:  “Barang siapa yang bermuamalah dengan seorang lain dan tidak berlaku aniaya. Jika berbicara tidak mengatakan yang dusta dan jika berjanji tidak menyalahi maka jelaslah orang itu memiliki keperwiraan sempurna, nyata pula keadilannya dan haruslah dipereratkan persaudaraan dengannya.”

Satu perkara lagi yang ingin dinyatakan oleh mimbar yang mulia ini, bahawa seseorang pemimpin itu hendaklah berakhlak, baik budi pekertinya dan menjadi teladan yang baik dalam semua tindak tanduknya. Fikirkanlah, bagaimana mungkin seseorang itu mampu menjadi pemimpin jika karakternya, sikapnya dan tutur katanya penuh dengan kepalsuan?, tidak melaksanakan dan menunaikan janji-janjinya kepada orang bawahannya.

Percayalah bahawa karekter seseorang pemimpin merupakan bukti kesempurnaan kepimpinannya. Seorang pemimpin tidak mungkin akan menyalahi janjinya dan mustahil pula mengkhianati amanah kerana perbuatan itu menyebabkan kurangnya dihargai, malah sukar untuk dipercayai. 
Hayatilah kisah Luqmanul Hakim yang pernah ditanya: “Apakah sebab sehingga kamu dapat mencapai kedudukanmu itu? Beliau menjawab: “Dengan benar dalam berkata-kata, dan menunaikan amanah dan meninggalkan apa bukan kepentinganku.”
.
.
Sidang Jumaat Yang Dirahmati Allah,

Mimbar ingin menjelaskan bahawa dalam usaha kita untuk membina negara sejahtera, maka persoalan memilih seseorang pemimpin itu tidak boleh dilakukan secara sebarangan ataupun sambil lewa atau hanya mengikut emosi dan prasangka semata-mata. Sehubungan dengan itu, seseorang pemimpin yang dilantik mestilah berkemampuan lagi adil dalam melaksanakan amanah kepada rakyat.
Sehubungan dengan itu Imam al-Qurtubi menjelaskan dalam kitab ‘al-Jamik li Ahkamil Quran’ bahawa, “Bagi umat Islam dalam memilih pemimpin mestilah dari golongan yang adil, ihsan dan mulia. Adapun yang fasik dan zalim mereka tidak layak menjadi pemimpin. Ingatlah kita akan dipertanggungjawabkan di akhirat nanti sekiranya kita tersilap memilih pemimpin yang tidak berakhlak dan hanya mementingkan pembangunan duniawi berbanding dengan kehidupan di hari akhirat.”

Dalam menentukan keadilan ini, mimbar ingin menyatakan beberapa syarat perlulah dilaksanakan antaranya:

Pertama: Hendaklah tegas dan berani dalam membuat keputusan yang memberi manfaat kepada rakyat.
Kedua: Bersedia menerima pandangan dan kritikan yang membina.
Ketiga: Membuat perubahan terhadap sebarang rancangan yang didapati merugikan rakyat dan negara,
Keempat:Mengutamakan kebajikan dan keperluan rakyat melebihi daripada keperluan peribadi.
Kelima: Mengurus masa dengan berkesan.
Keenam: Bersama rakyat berusaha dalam mencapai keperluan negara dan
Ketujuh: Melaksanakan rancangan pembangunan negara mengikut keutamaan.
.
.
Sidang Jumaat Yang Dirahmati Allah,

Mimbar yang mulia ini ingin mengingatkan sidang jemaah sekalian, bahawa dalam membina negara yang sejahtera, maka ianya berkait rapat dengan kewibawaan dan kekuatan kepimpinan. Maka inilah masanya untuk kita sedar dan bertindak dengan penuh kebijaksanaan. Kebijaksanaan yang berpaksikan pada keimanan dan kebenaran bukannya hanya pada persepsi dan mainan perasaan.

Yakinlah bahawa soal kepimpinan mempunyai kaitan besar dengan dosa dan pahala dan ianya adalah sebahagian tindakan dan perbuatan yang tidak terlepas dari penghakiman Allah SWT terhadap kita pada hari akhirat kelak. Justeru, selari dengan perkembangan semasa ini, maka mimbar menyeru seluruh umat Islam agar berlaku adil dalam menentukan kepimpinan dengan mengambil kira ciri-ciri yang telah disebutkan tadi.

Ingatlah negara yang diperintah oleh kepimpinan yang berwibawa dan konsisten akan menjamin segala dasar-dasar dilaksanakan dengan penuh tanggungjawab dan beramanah lagi adil serta saksama. Dan paling utama ialah kepimpinan yang sentiasa berusaha bagi mempertahankan kesucian agama islam dan kehamonian negara. Sebaliknya kestabilan, keselamatan dan keharmonian negara pasti akan lenyap dan tidak terjamin jika diperintah oleh golongan yang tidak selari dengan kehendak Islam.

Mimbar juga mengambil kesempatan sempena Hari Ulang Tahun Polis di Raja Malaysia (PDRM) yang ke 207 pada 25 Mac ini, menyeru sidang jumaat dan umat Islam sekalian untuk sama-sama kita saling bekerjasama dan bantu membantu untuk mengekalkan keselamatan dan kestabilan negara ini kerana ianya sebahagian daripada tuntutan agama.

Kepada anggota keselamatan, mimbar ingin berpesan agar senantiasa berusaha mempertingkatkan keimanan dan memperbanyakkan tawakal kepada Allah SWT serta berkhidmat dengan ikhlas, jujur dan amanah mengikut ajaran Islam. Insya-Allah, agama, kedaulatan, bangsa dan negara akan terpelihara serta mendapat perlindungan Allah SWT.

Mimbar juga mengambil kesempatan pada hari ini, menyeru seluruh umat Islam sekalian marilah sama-sama kita berdoa kepada Allah SWT agar misi mencari pesawat MH370 dipermudahkan oleh-Nya. Janganlah kita berputus asa kerana ilmu dan kuasa Allah SWT mengatasi segalanya, kepada-Nya kita memohon dan kepada-Nya juga kita berserah.

Mengakhiri khutbah pada minggu ini, marilah sama sama kita merenung firman Allah SWT dalam surah Ali Imran ayat 159:

فَبِمَا رَحْمَةٍ مِّنَ اللَّـهِ لِنتَ لَهُمْ ۖ وَلَوْ كُنتَ فَظًّا غَلِيظَ الْقَلْبِ لَانفَضُّوا مِنْ حَوْلِكَ ۖ فَاعْفُ عَنْهُمْ وَاسْتَغْفِرْ لَهُمْ وَشَاوِرْهُمْ فِي الْأَمْرِ ۖ فَإِذَا عَزَمْتَ فَتَوَكَّلْ عَلَى اللَّـهِ ۚ إِنَّ اللَّـهَ يُحِبُّ الْمُتَوَكِّلِينَ ﴿١٥٩﴾

Maksudnya: “Maka dengan sebab rahmat dari Allah, engkau telah bersikap lemah-lembut kepada mereka, dan kalaulah engkau bersikap kasar lagi keras hati, tentulah mereka lari dari kelilingmu. Oleh itu maafkanlah mereka, dan pohonkanlah ampun bagi mereka, dan juga bermesyuaratlah dengan mereka dalam urusan itu. Maka apabila engkau telah berazam maka bertawakallah kepada Allah, sesungguhnya Allah mengasihi orang yang bertawakal kepada-Nya.”
.
بَارَكَ اللَّهُ لِي وَلَكُمْ فِى الْقُرْءَانِ الْعَظِيمِ، وَنَفَعَنِي وَإِيَّاكُمْ بِمَا فِيهِ مِنَ الآيَاتِ وَالذِّكْرِ الْحَكِيمِ، وَتَقَبَّلَ مِنِّي وَمِنْكُم تِلاَوَتَهُ إِنَّهُ هُوَ السَّمِيعُ الْعَلِيمُ، أَقُولُ قَوْلِي هَذَا وَاسْتَغْفِرُ اللَّهَ الْعَظِيمَ لِي وَلَكُمْ، وَلِسَائِرِ الْمُسْلِمِينَ وَالْمُسْلِمَاتِ، والْمُؤْمِنِينَ وَالْمُؤْمِنَاتِ، فَاسْتَغْفِرُوهُ فَيَا فَوْزَ الْمُسْتَعْفِرِيْنَ وَيَا نَجَاةَ التَّائِبِيْنَ..
.


Jabatan Kemajuan Islam Malaysia
“Pemimpin Berwibawa Negara Sejahtera”
( 21 Mac 2014 / 19 Jamadilawwal 1435)


No comments:

Powered By Blogger | Template Created By Lord HTML