Menjaga Dan Memuliakan Rambut Mengikut Pandangan Islam
Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh
سْمِ اللهِ الرَّحْمنِ الرَّحِيْم
Segala puji bagi Allah, Tuhan sekelian alam. Selawat serta salam buat junjungan mulia Nabi Muhammad SAW keluarga serta para sahabat dan pengikut yang istiqamah menuruti baginda hingga ke hari kiamat.
Sahabat yang dirahmati Allah,
Nabi SAW bersabda maksudnya : "Sesiapa yang memiliki rambut hendaklah dia muliakannya (menjaga kebersihan rambutnya)." (Hadis Riwayat Abu Daud - Hadis Hasan sahih)
Berdasarkan hadis di atas jelaslah bahawa Rasulullah SAW menyuruh umatnya menjaga dan memuliakan rambut sebagai sebahagian daripada ciptaan Allah kepada manusia.Hadis ini umum baik bagi golongan lelaki mahupun bagi golongan perempuan. Saidatina Aisyah pula pernah berkata yang bermaksud: “Perhiasan bagi lelaki adalah pada janggutnya, dan perhiasan bagi wanita pula adalah pada rambutnya.”
Rambut adalah bulu yang tumbuh di kepala atau sesuatu yang seperti rambut. (Kamus Dewan: 1094). Dalam Islam, terdapat pelbagai hukum yang terkait dengan rambut iaitu :
Pertama : Mencukur rambut .
Kedua : Mengqaza‘ rambut.
Ketiga : Menyambung rambut (pakai rambut palsu)
Keempat : Mewarnainya rambut.
Kelima : Rebonding rambut.
Keenam : Memanjangkan rambut.
Huraiannya :
Pertama : Mencukur rambut. (botakkan kepala)
1. Untuk anak yang baru lahir.
Sunat dicukur keseluruhan rambut anak yang baru lahir pada hari ketujuh selepas kelahirannya, sama ada anak itu lelaki ataupun perempuan. Menurut pendapat yang ashah, sunat mencukur rambut anak itu selepas menyembelih binatang aqiqah. (Al-Majmu‘: 8/324-325) Sebagaimana sabda Rasulullah Sallallahu ‘Alaihi Wasallam yang maksudnya :
"Anak-anak tergadai (terikat) dengan aqiqahnya, disembelih (aqiqah) untuknya pada hari ketujuh (kelahirannya) dan diberi namanya serta dicukur rambutnya."(Hadis riwayat at-Tirmidzi)
Demikian juga, sunat disedekahkan emas atau perak setelah ditimbang berat rambut yang dicukur itu kepada fakir miskin, jika berkemampuan. Jika tidak mampu, maka tidaklah diberatkan ke atas ibu bapa anak yang baru lahir tersebut melainkan sekadar yang terupaya, umpamanya digantikan dengan nilaian wang atau sebagainya mengikut kemampuan.
Nabi SAW bersabda yang maksudnya : “Allah tidak menyukai kederhakaan, seolah-olah Baginda tidak suka menyebut nama itu (aqiqah). Baginda bersabda: “Barang siapa yang dikurniakan baginya anak, lalu dia ingin menyembelihkan untuk anaknya maka sembelihlah untuk anak lelaki dua ekor kambing yang sama keadaannya dan bagi anak perempuan seekor kambing.”(Hadis Riwayat Abu Daud)
2. Mencukur rambut (botak) untuk orang dewasa.
Apabila botak itu kerana melaksanakan haji, umrah, atau untuk keperluan seperti berubat, maka hal ini sudah konsisten dan disyariatkan, berdasarkan Al-Kitab (Al-Quran) dan Sunnah, bahkan tidak ada keraguan dalam pembolehannya.
Menurut pendapat dikalangan Abu Hanifah dan Syafii membotakkan kepala adalah harus selain daripada mengerjakan haji dan umrah. Terdaat juga riwayat dari Imam Ahmad.
Dalil mereka adalah, apa yang diriwayatkan oleh Ahmad, Abu Daud dan Nasai, dengan sanad yang sahih sebagaimana yang dikatakan oleh pengarang kitab Al- Muntaqo dari Ibnu Umar, sesungguhnya Nabi Sallallahu Alaihi Wasallam melihat seorang anak ( bayi ) sebagian kapalanya sudah dibotak dan sebagian yang lain ditanggalkan ( tidak dibotak ), maka dia melarang dari perbuatan tersebut, lantas bersabda “Cukurlah keseluruhannya ( botak merata ) atau biarkan keseluruhannya ( tidak dicukur sama sekali )”. Dan ( juga ) dihadapkan kepada baginda Sallallahu Alaihi Wasallam anak-anak yang kecil setelah tiga ( hari dari kelahirannya ) lalu membotakkan kepala mereka.Dan kerana Nabi Sallallahu Alaihi Wasallam melarang dari qaza. Qaza itu adalah membotak sebagian ( kepala ). Maka hal ini menunjukkan bolehnya membotak secara keseluruhan.
Kedua : Mengqaza‘ rambut.
Terdapat bentuk cukuran yang dilarang oleh Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam iaitu apa yang disebut dalam bahasa Arab sebagai qaza‘ (قزع).Qaza‘ ialah mencukur sebahagian rambut dan meninggalkan sebahagian yang lain. Sama ada mencukur di tengah kepala dan meninggalkan yang tepi, mencukur di tepi meninggalkan rambut di tengah atau mencukur rambut depan meninggalkan rambut belakang atau sebaliknya. Hukum melakukanqaza‘ ini adalah makruh. (Al-Majmu‘, kitab ath-thaharah bab as-siwak: 1/363-364)
Larangan melakukan qaza‘ ini telah disebut dengan jelas di dalam hadis daripada ‘Abdullah bin ‘Umar Radhiallahu ‘anhuma katanya yang bermaksud :
"Sesungguhnya Rasulullah Sallallahu ‘Alaihi Wasallam menegah daripada melakukan qaza‘ (mencukur sebahagian daripada rambut kepala)." (Hadis riwayat al-Bukhari dan Muslim)
Dalam hadis yang lain daripada ‘Abdullah bin ‘Umar radhiallahu ‘anhuma yang bermaksud :
"Sesungguhnya Nabi Sallallahu ‘Alaihi Wasallam telah melihat seorang kanak-kanak yang dicukur sebahagian rambutnya dan ditinggalkan sebahagian yang lain, lalu Nabi melarang mereka berbuat demikian dan Baginda bersabda: "Kamu cukur (rambut itu) kesemuanya atau kamu tinggalkan kesemuanya (tidak mencukurnya)." (Hadis riwayat Abu Daud)
Ketiga : Menyambung Rambut (Memakai rambut palsu)
Haram menyambung rambut dengan rambut ke atas lelaki dan perempuan. (Al-Majmu‘, kitab ath-thaharah bab as-siwak: 1/364) Malahan Nabi Sallallahu ‘Alaihi Wasallam melaknat orang-orang yang melakukan perbuatan demikian. Sebagaimana disebutkan oleh beberapa hadis di antaranya daripada Ibnu ‘Umar Radhiallahu ‘anhuma berkata:
Maksudnya: "Nabi Sallallahu ‘Alaihi Wasallam melaknat perempuan yang menyambung rambut dengan rambut yang lain, orang yang meminta sambungkan rambut dan orang yang bertatu." (Hadis riwayat Al-Bukhari dan Muslim)
Hadis di atas jelas menerangkan bahawa menyambung rambut perempuan dengan rambut orang lain atau meminta orang lain menyambungkan rambutnya dengan rambut orang lain adalah haram.
Dalam hal menyambung rambut ini para ashab (‘ulama-‘ulama Asy-Syafi‘e) telah menghuraikannya dengan lebih jelas, iaitu tiada perbezaan pendapat ‘ulama mengenai hukum haram menyambung rambut dengan rambut manusia, sama ada rambut lelaki atau perempuan ataupun rambut suami atau mahram. Ini kerana menggunakan atau memanfaatkan rambut manusia adalah haram disebabkan kemuliaannya.
Jika rambut itu bukan berasal daripada manusia dan ianya najis seperti bulu daripada bangkai binatang atau bulu binatang yang tidak boleh dimakan adalah haram disambung dengannya. Sementara rambut bukan kepunyaan manusia yang suci, jika perempuan itu tidak bersuami maka haram dia menyambungnya, melainkan bagi perempuan yang bersuami dan diizinkan oleh suaminya. (Shahih Muslim Bisyarh An-Nawawi: 7/359-360)
Keempat : Mewarnai Rambut
Para Fuqaha telah sepakat mencela perbuatan mewarnai rambut atau janggut dengan warna hitam. Adapun pendapat yang sahih mengatakan bahawa ianya haram melainkan ke atas orang-orang yang berjihad. (Al-Majmu‘, kitab ath-thaharah bab as-siwak: 1/360-361) Dalil haram mewarnai rambut atau janggut dengan warna hitam itu adalah berdasarkan riwayat daripada Jabir radhiallahu ‘anhu katanya yang bermaksud :
"Pada hari penaklukan Mekkah dibawa Abu Quhafah ke hadapan Rasulullah Sallallahu ‘Alaihi Wasallam dengan rambut dan janggutnya memutih seperti tsaqhamah (sejenis tumbuhan yang bunga dan buahnya berwarna putih). Maka Baginda bersabda: "Tukarlah ini dengan sesuatu, tetapi jauhilah warna hitam." (Hadis riwayat Muslim)
Sementara hadis daripada Ibnu ‘Abbas Radhiallahu ‘anhuma katanya:
Maksudnya: "Rasulullah Sallallahu ‘Alaihi Wasallam bersabda: "Di akhir zaman akan banyak kaum yang mewarnai rambut dengan warna hitam, seperti dada burung merpati. Mereka tidak dapat menikmati harumnya bau syurga." (Hadis riwayat Abu Daud)
Menurut mazhab as-Syafi‘e, bahawa tidak ada perbezaan di antara lelaki dan perempuan dalam larangan mewarnai rambut dengan warna hitam itu. Akan tetapi menurut Ishaq bin Rahawiyah, hal ini diberi kelonggaran ke atas perempuan bagi tujuan berhias untuk suami. (Al-Majmu‘, kitab ath-thaharah bab as-siwak: 1/360-362) Demikian juga menurut As-Syihab Ar-Ramli, harus bagi perempuan yang bersuami mewarnai rambutnya dengan warna hitam jika dengan izin suami. (Bughyah Al-Musytarsyidin, bab Aqiqah: 78)
Sunat mewarnai rambut atau janggut yang beruban dengan warna kekuningan atau kemerahan, sebagaimana yang telah disepakati oleh para ashab. (Al-Majmu‘, kitab ath-thaharah bab as-siwak: 1/360-362) Hadis daripada Abu Hurairah Radhiallahu ‘anhu katanya yang bermaksud :
"Sesungguhnya Rasulullah Sallallahu ‘Alaihi Wasallam bersabda: "Bahawasanya orang-orang Yahudi dan Nashrani tidak mewarnai (rambut atau janggut mereka), kerana itu buatlah kelainan daripada mereka." (Hadis riwayat al-Bukhari dan Muslim)
Oleh kerana rambut itu ada ketikanya mempunyai hubungan dengan ibadat, maka adalah wajar diketahui hukumnya, kerana adakalanya tanpa menggunting atau mencukur rambut seseorang itu akan dikenakan fidyah (dam) sebagaimana perkara ini dihuraikan dalam ibadat haji.
Ulama telah bersepakat mengharuskan mencelup warna rambut dari warna hitam ke warna lain seperti merah dan lain-lain, samada dengan inai dan apa jua pewarna yang dibenarkan syarak. Mereka semua berdalilkan dengan hadith-hadith riwayat An-Nasaie, At-Tirmidzi, Ahmad, dan Muslim. Hampir kesemuanya mempunyai sanad hasan dan shohih dengan perawi yang thiqah. Bagaimanapun ia diikat dengan syarat berikut :-
1- Pewarna tersebut bukannya jenis yang kekal, jika tidak ia dikira mengubah ciptaan Allah SWT yang diharamkan.
2- Menggunakan pewarna yang suci dan halal.
3- Tidak mengakibatkan mudarat terhadap kesihatan individu. Seperti Kanser, kekeringan rambut dan merapuhkannya, atau alergik ataupun mudarat terhadap janin akibat bahan kimia pewarna tadi.
4- Memutihkan rambut iaitu dengan mengikis warna hitamnya dengan tujuan utk menghasilkan warna baru rambut yang lebih cantik, adalah makruh. kerana ia menukar ciptaan asal Allah.
Kelima : Rebonding rambut.
Rebonding termasuk dalam perbuatan mengubah ciptaan Allah ( taghyir khalqillah ), kerana rebonding telah mengubah struktur protein dalam rambut secara kekal sehingga mengubah sifat atau bentuk rambut asli menjadi sifat atau bentuk rambut yang lain. Dengan demikian,hukum rebonding adalah haram.
Selain dalil di atas, keharaman rebonding juga didasarkan pada dalil Qiyas. Dalam hadis Nabi SAW, diriwayatkan oleh Ibnu Mas’ud r.a, baginda bersabda: “Allah melaknat wanita yang mentatu dan yang minta ditatu, yang mencabut bulu kening dan yang minta dicabutkan bulu keningnya, mereka telah mengubah ciptaan Allah.” (Hadis Riwayat Bukhari)
Hadis ini telah mengharamkan beberapa perbuatan yang disebut di dalam nash, iaitu mentatu, minta ditatu, mencabut atau minta dicabutkan bulu kening. Keharaman perbuatan-perbuatan itu sesungguhnya didasarkan pada suatu illat (alasan penetapan hukum), iaitu untuk tujuan kecantikan dengan mengubah ciptaan Allah (thalabul husni bi taghyir khalqillah).
Sebelum permasalahan hukum rebonding ini dikupas, adalah wajar untuk kita mendalami realiti dan fakta proses rebonding itu sendiri . Rebonding adalah satu proses yang dilakukan untuk meluruskan rambut agar rambut menjadi lebih lurus dan lebih indah. Proses rebonding mempunyai dua peringkat iaitu:
1. Rambut disapu dengan krim tahap pertama untuk membuka ikatan protein rambut. Kemudian rambut dikepit seperti diseterika dengan alat pelurus rambut bersuhu tinggi.
2. Rambut disapukan dengan krim tahap kedua untuk mengekalkan kelurusan rambut. Proses rebonding melibatkan proses kimia yang mengubah struktur protein dalam rambut.
Protein pembentuk rambut manusia dinamakan keratin, yang terdiri dari unsur cystine iaitu sebatian asid amino yang memiliki unsur sulfida. Ikatan disulfida -S-S- dari cystine inilah yang paling penting dalam menentukan bentuk rambut kita. Rambut berbentuk lurus atau kerinting disebabkan keratin mengandungi ikatan disulfida yang membuat molekul mengekalkan bentuk-bentuk tertentu.
Dalam proses rebonding, sejenis krim khas disapu ke atas rambut bertujuan untuk membuka/memutuskan ikatan disulfida itu, sehingga bentuk rambut yang kerinting menjadi lurus. Proses rebonding menghasilkan perubahan yang kekal pada rambut. Namun rambut baru yang tumbuh dari akar rambut akan tetap mempunyai bentuk rambut yang asli. Jadi, rebonding bukan pelurusan rambut biasa yang hanya menggunakan rawatan fizikal , tetapi juga menggunakan rawatan kimia yang mengubah struktur protein dalam rambut secara kekal.
Apakah Hukumnya Menurut Syarak?
Menurut kajian kami, melakukan proses rebonding hukumnya adalah haram kerana dua sebab iaitu mengubah ciptaan Allah dan menipu. Hukum rebonding adalah haram kerana ia termasuk dalam proses mengubah ciptaan Allah (taghyir khalqillah ) yang telah diharamkan oleh nash-nash syara’. Dalil keharamannya adalah keumuman firman
Allah yang bermaksud: “ Dan aku (syaitan) akan menyuruh mereka (mengubah ciptaan Allah), lalu mereka benar-benar mengubahnya" (Surah an-Nisaa` (4) ayat 119)
Ayat ini menunjukkan haramnya mengubah ciptaan Allah, kerana syaitan tidak menyuruh manusia kecuali kepada perbuatan dosa.
Mengubah ciptaan Allah (taghyir khalqillah) didefinisikan sebagai proses mengubah sifat sesuatu sehingga seakan-akan ia menjadi sesuatu yang lain (tahawwul al-syai` ‘an shifatihi hatta yakuna ka`annahu syaiun akhar ), atau bermakna menghilangkan sesuatuyang asal itu sendiri (al-izalah). (Hani bin Abdullah al-Jubair, Al-Dhawabit al-Syar’iyah li al-‘Amaliyat al-Tajmiliyyah, halaman 9).
Keenam : Memanjangkan rambut.
Lelaki ingin menyimpan rambut panjang; tidaklah dilarang agama kerana rambut Nabi -Sallallahu ‘Alaihi Wasallam sendiri adakalanya beliau membiarkan panjang hingga ke bahu. Dalam Sahih al-Bukhari, terdapat hadis dari Anas yang menceritakan; “Rambut Rasulullah mencecah dua bahunnya” (Hadis Sahih Riwayat al-Bukhari, kitab al-Libas, bab al-Ja’di, hadis no. 5452).
Walau bagaimanapun, hendaklah dipastikan gaya rambut tidak menyerupai orang kafir atau orang-orang fasik kerana Nabi bersabda; “Sesiapa menyerupai suatu kaum, ia dari kalangan mereka” (HR Imam Abu Daud dari Ibnu ‘Umar. Lihat; Sunan Abi Daud, kitab al-Libas, bab Fi Lubsi as-Syuhrah, hadis no. 3512).
Di larang rambut d ikat dengan getah kerana perbuatan tersebut menyerupai wanita. Walau pun rambut Nabi SAW panjang hingga kebahu tetapi dengan pemakaian seban nampak wajah baginda kacak dan tampan. Bukan rambut panjang tapi tidak terurus dengan rapi.
Sesungguhnya sudah datang hadis-hadis sahih yang menerangkan akan sifat (model) rambut Rasulullah Di dalam kitab (Al-Mughni), dikatakan; Dan rambut manusia itu disukai seperti model rambut Nabi Salallahu Alaihi Wasallam, apabila panjang sampai ke bahu, dan apabila pendek sampai ke cuping telinganya.
Sesungguhnya memanjangkan rambut itu mesti mempunyai beberapa hal yang harus diperhatikan, di antaranya :
1.Ikhlas karena Allah Taala, dan mengikuti petunjuk Rasul, supaya mendapatkan balasan dan pahala.
2.Dalam memanjangkan rambut tersebut, hendaknya tidak menyerupai wanita, sehingga dia melakukan apa yang dilakukan wanita terhadap rambutnya, dari jenis dandanan yang khusus bagi wanita. Rambut lelaki yang panjang(hingga ke bahu) tidak diikat dengan getah.
3.Dia tidak bermaksud untuk menyerupai ahli kitab ( Kristian dan Yahudi), atau penyembah berhala, atau orang-orang yang bermaksiat dari kalangan muslimin seperti seniman-seniman dan artis (panyanyi dan pelakon filem), atau orang-orang yang mengikuti langkah mereka, seperti bintang sukan, dalam model potongan rambut mereka serta dandanannya.
Bukanlah rambut panjang hingga melebihi bahu, maka ianya menyerupai wanita bukan Islam.
4.Membersihkan rambut dan menyisirnya (sikat). Dianjurkan memakai minyak dan wangi-wangian serta membelahnya dari pertengahan kepala.
Sahabat yang dikasihi,
Marilah sama-sama kita menjaga rambut kita kerana rambut adalah satu kurniaan Allah SWT kepada hanba-hamba-Nya. Nabi SAW dan para sahabatnya sentiasa menjaga dan menyisirnya supaya nampak kemas dan melambangkan orang mukmin yang sentiasa menjaga kebersihan dan kecantikan. Wallahu a'lam.
No comments:
Post a Comment