Berpolitik Cara Islam Satu Tuntutan Agama
Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh
سْمِ اللهِ الرَّحْمنِ الرَّحِيْم
Segala puji bagi Allah, Tuhan sekelian alam. Selawat serta salam buat junjungan mulia Nabi Muhammad SAW keluarga serta para sahabat dan pengikut yang istiqamah menuruti baginda hingga ke hari kiamat.
Sahabat yang dirahmati Allah,
Menjadi pemimpin dalam sebuah parti atau masyarakat adalah satu bidang kerjaya yang sangat dikejar dan dicari oleh manusia sekarang ini tidak kira samaada dia seorang muslim atau pun bukan muslim.
Jika terpilih menjadi pemimpin ianya boleh menjanjikan banyak keistimewaan seperti pengaruh, kekayaan , dihormati dan dipuji oleh masyarakat. Jika sekirannya mendapat sesuatu jawatan dengan cara yang betul dan tidak lobi melobi cara mungkar tidaklah menjadi satu kesalahan tetapi jika mengejar jawatan dengan menggunakan cara fitnah, mengadu domba dan menjatuhkan saingannya maka itu yang haram dan berdosa.
Dalam satu riwayat seorang sahabat berkata : "Aku dan dua orang lelaki dari kaumku telah masuk kepada Nabi . Salah seorang daripada dua lelaki berkenaan berkata: Lantiklah kami menjadi ketua wahai Rasulullah! Seorang lagi juga berkata demikian. Lalu baginda bersabda: Sesungguhnya kami tidak melantik dalam urusan ini sesiapa yang memintanya atau bercita-cita untuk mendapatkannya (Hadis Riwayat Bukhari dan Muslim).
Huraiannya :
Ketika mengucapkan hadis ini, Nabi SAW adalah pemimpin dalam politik. Dalam menentukan pemilihan calon kepimpinan, baginda memaklumkan bahawa dasar baginda adalah tidak memilih individu yang mempunyai ‘keinginan politik’. Ini kerana mereka yang mengharap akan jawatan itu kurang atau tidak ada keinsafan terhadap amanah kepimpinan. Dasar seperti ini wajar diberikan perhatian oleh kepimpinan setiap negeri dan negara. Dalam hadis yang lain baginda menyebut: Kamu semua begitu bercita-cita terhadap jawatan kepimpinan, ia akan menjadi penyesalan pada hari kiamat. Ia sesuatu yang nikmat pada permulaannya tapi keburukan pada akhirnya (Hadis Riwayat Bukhari).
Orang yang terlalu berkeinginan untuk memegang jawatan biasanya dia adalah jenis individu yang tipis ingatan terhadap akhirat, maka rengganglah hubungannya dengan Allah SWT. Oleh itu dalam hadis yang lain, yang diriwayatkan oleh Bukhari dan Muslim, baginda Nabi SAW menasihati sahabatnya Abd. ar-Rahman bin Samurah: "Wahai ‘Abd ar-Rahman! Jangan engkau meminta jawatan pemimpin. Sesungguhnya jika engkau diberikannya dengan permintaan maka engkau ditinggalkan (tidak ditolong). Sekiranya engkau diberikannya tanpa permintaan maka engkau dibantu."
Banyak lagi nas Islam menunjukkan seorang yang terlalu mengejar jawatan dan ingin mendapatkan kuasa politik tidak layak untuk diberikan kepadanya jawatan. Hal ini mesti disedari oleh kepimpinan Islam dan rakyat jelata.
Buktinya jika ditolak permohonannya bertanding untuk sesuatu jawatan maka dia akan menjadi marah dan mula membuat fitnah dan menyalahkan semua orang kerana yang betul adalah dia seorang. Dia sanggup berdusta atau mengaibkan orang lain.
Berpolitik itu bukanlah sesuatu yang buruk atau dikeji oleh syariah. Ia termasuk dalam tanggungjawab Islam juga. Ia adalah fardu kifayah. Rasulullah SAW dan para sahabat pun berpolitik demi amanah Islam. Apa yang dikeji ialah berpolitik cara Mechiavelli (matlamat menghalalkan cara) atau tamakkan jawatan sehingga melupai dasar- dasar agama.
Maka bukan semua hasrat dan keinginan mendapatkan kerusi politik itu buruk di sisi Islam. Jika niat seseorang menyertai politik itu untuk menyelamatkan keadaan seperti mengelakkan kezaliman, penyelewengan atau demi keselamatan umat Islam seperti keadaan sesetengah negara, maka hasrat politik seperti itu patut dipuji. Contoh Mesir, Libya, Tunisia, Syria dan lain-lain lagi.
Nabi Yusuf a.s, pun pernah meminta jawatan dalam negara Mesir. Firman Allah dalam surah Yusuf ayat 55-56: (maksudnya): "Yusuf berkata: Jadikanlah aku mentadbir perbendaharaan hasil bumi (Mesir); sesungguhnya aku sedia menjaganya dengan sebaik-baiknya, lagi mengetahui cara mentadbirkannya.Dan demikianlah caranya, Kami tetapkan kedudukan Yusuf memegang kuasa di bumi Mesir; dia bebas tinggal di negeri itu di mana sahaja yang disukainya. Kami limpahkan rahmat Kami kepada sesiapa sahaja yang Kami kehendaki, dan Kami tidak menghilangkan balasan baik orang-orang yang berbuat kebaikan."
Jelas, Nabi Yusuf meminta jawatan, bahkan menyatakan ciri-ciri kelayakan yang dimiliki olehnya demi membolehkan dia mendapatkan jawatan tersebut. Tindakan ini tidak dianggap salah kerana tuntutan keadaan atau keperluan semasa zamannya.
Kata al-Imam al-Qurtubi (meninggal 671H): “Sesungguhnya Nabi Yusuf a.s.hanya meminta kuasa setelah dia mengetahui bahawa tiada sesiapa yang setanding dengannya, yang dapat melaksanakan keadilan, pembaikan dan menyampaikan hak-hak fakir miskin. Dia melihat yang demikian itu adalah fardu ain bagi dirinya, kerana tiada siapa lagi selain dia. Demikian juga hukumnya pada hari ini. Sekiranya seseorang insan tahu mengenai dirinya, bahawa dia dapat menegakkan kebenaran (keadilan dan dapat memulihkan ekonomi dari berlakunya ketirisan) dan dapat menegakkan kehakiman dan hisbah, sementara tiada seseorang pun yang sesuai dan setanding dengannya maka jawatan itu fardu ain ke atas dirinya. Wajib dia mengendali dan memintanya. Dia juga hendaklah memberitahu sifat-sifat yang melayakkannya iaitu ilmunya, kemampuannya dan lain-lain.” (Tafsir al-Qurtubi, 9/21, Beirut: Dar al-Fikr).
Syeikh al-Islam Ibn Taimiyyah (meninggal 728H) juga menyebut bahawa meminta jawatan atas tujuan kemaslahatan agama bukanlah sesuatu yang dilarang oleh syarak (lihat: Ibn Taimiyyah, Majmu’ah al-Fatawa, 8/68, Riyadh: Maktabah al-Abikan).
Bahkan seseorang itu mendapat pahala jika dia inginkan jawatan itu kerana sedar akan kelayakan dirinya yang mampu memberikan khidmat terbaik untuk umat dan menyelamatkan mereka dari kerosakan atau kezaliman, atau bimbang jawatan tersebut akan dikuasai oleh seseorang yang tidak layak atau zalim.
Sahabat yang dimuliakan,
Sebagai seorang muslim niat adalah perkara terpenting. Adakah kita bekerja untuk mendapatkan kepimpinan negara untuk kepentingan peribadi atau kepentingan umat? Bahaya bagi setiap jemaah (kumpulan) yang pemikiran mereka dibentuk atas cinta untuk mendapatkan kerajaan (kuasa) dan bekerja untuk itu semata-mata tanpa memikirkan dakwah dan tarbiah.
Kerana ia akan menyebabkan mereka meninggalkan jihad di jalan dakwah atau boleh terpaling dan terseleweng tujuan mereka. Sebabnya, uslub (cara) untuk mendapatkan kerajaan berbeza dengan uslub dakwah. Wajib kepada kita membersihkan akal dan jiwa kita, semata-mata untuk dakwah. Hanya dakwah, khidmat, pengorbanan, mengutamakan saudara muslim dan memberi keadilan semua manusia (termasuk yang bukan Islam) mengeluarkan manusia – dengan izin Allah – dari segala kegelapan kepada cahaya (Islam), dari jahiliah kepada Islam, dari kesempitan dunia kepada keluasan akhirat. Dari pemerentahan atau pemimpin yang tidak adil kepada sistem keadilan Islam .
Jika pada satu peringkat dakwah, atau pada satu masa – setelah prinsip-prinsip dakwah dan akidah kukuh dalam jiwa pendakwah – tujuan dakwah tidak dapat dicapai melainkan dengan mendapatkan kerajaan, kita akan berusaha untuk mendapatkannya. Demi kemaslahatan dakwah. Dengan jiwa yang luhur dan bersih, benar dan amanat, khusyuk dan tulus, seperti kita bersungguh dalam tanggungjawab untuk melaksanakan rukun Islam, juga ibadah-ibadah yang lain.
Prof Yusuf Qarsawi berkata : "Tiada beza bagi seorang mukmin antara kerajaan dan ibadah yang lain, jika telah ikhlas dan betul niatnya. Kesemua itu dalam reda Allah, kesemuanya pada jalan Allah. Kesemuanya ibadah yang mendekatkan diri kepada Allah.” (rujukan: al-Qaradawi, al- Syeikh Abu al-Hasan al-Nadwi kama ‘araftu, m.s. 122-125, Damsyik: Dar al-Qalam).
Justeru itu, apabila kita berkempin mestilah mengikut nilai-nilai dan akhlak Islam bukannya membuat fitnah, menuduh tanpa bukti yang sahih, sumpah seranah atau maki hamun.
Islam melarang sama sekali kita dedahkan aib seseorang dengan mengedit gambar-gambar lama seseorang tokoh politik sedangkan ketika itu dia tidak terlibat langsung dalam politik (zaman mudanya) , Allah SWT melarang jika kita dedahkan aib seseorang sedangkan Allah SWT telah menutupnya (aib yang lama). Kita dilarang melanggar batasan syarak, memutuskan silaturahim, bermusuhan sesama muslim, mengkhianati agama dan negara, pulau-memulau bahkan ke peringkat menumpah maruah dan darah hanya semata kerana ingin mendapatkan kerusi politik. Boleh berkempen tetapi ikutlah cara-cara yang Islam benarkan.
Jika amalan ini tidak dikawal ia akan menjadi sesuatu yang negatif yang akhirnya membawa kepada masyarakat disibukkan dengan desus-desas yang berbagai-bagai, umpat- mengumpat, tuduh-menuduh, surat dan e-mel layang (palsu) bertebaran dan berbagai-bagai sensasi akan menggugat ketenteraman masyarakat. Ketika orang lain sibuk membina kekuatan ekonomi dan pendidikan mereka, umat Islam pula tidak habis-habis menyibukkan diri dengan gosip dan keresahan politik.
Dalam usaha membina modal insan yang cemerlang dan negara yang bahagia, kepimpinan Islam dan rakyat hendak bergerak menghapuskan yang boleh membawa kepada keruntuhan nilai-nilai akhlak yang amat di tekankan Islam . Kembali kepada firman Allah SWT maksudnya : "Sesungguhnya Allah menyuruh kamu memberikan amanah kepada yang berhak menerimanya dan apabila kamu berhukum di kalangan manusia maka hendaklah kamu berhukum dengan adil. Sesungguhnya Allah memberikan pengajaran yang sebaik-baiknya kepadamu. (Surah an-Nisa’ayat 58).
Sahabat yang dikasihi,
Dari segi teorinya, demikianlah. Namun apabila kita sampai ke pelaksanaan hari ini, hampir semua akan mendakwa niat dan tujuannya adalah untuk berkhidmat kepada rakyat, mengelakkan kezaliman atau memastikan orang yang tidak layak tidak mendudukinya. Namun niat hakiki mereka hanya Allah Yang Maha Mengetahui. Walau bagaimana pun umat Islam perlulah memberikan kepercayaan dalam mengundi mereka yang jelas matlamat Islam yang ingin di bawa dan menolak kepimpinan yang terang-terang mempromosi banyak jalan-jalan yang tidak syarak dan bertentangan dengan ajaran Islam.
Politik Islam Perlu Di Fahami Dan Di Hayati Dalam Kehidupan Seorang Muslim
Sahabat yang dirahmati Allah,
Sebagai seorang indivudu muslim mukmin apabila kita membicarakan mengenai politik , adakah ianya boleh dipisahkan dengan Islam dan ajarannya?
Jawapannya pasti tidak boleh di pisahkan kerana setiap masa dan ketika kita tidak boleh lari daripada ajaran Islam samaada ketika kita bekerja, beribadah, berriadah, bermuamalah, bersosial dan berinteraksi sesama masyarakat dan berpersatuan dan berorganisasi.
Semua peraturan hidup manusia samaada dari perkara yang besar hingga perkara yang kecil terdapat di dalam ajaran Islam. Sebagai contoh dalam Islam terdapat hukum dan peraturan cara-cara untuk membina dan menguruskan kerajaan atau negara hinggakan perkara kecil untuk ketandas ada adab-adab dan doa yang perlu diucapkan.
Oleh itu dalam urusan politik iaitu organisasi yang bertanggungjawab urusan mentadbir negara (adalah perkara besar) seperti pemilihan pucuk pemimpin negara, gerak kerja berkempen dan terlibat dalam pilihan raya dan hak-hak untuk mengundi, apakah kita boleh lari daripada akhlak Islam atau ajaran Islam.?Jawapannya pasti tidak boleh. Kerana dalam Islam matlamat tidak boleh menghalalkan cara, jika matlamat kita bersih maka cara-cara yang perlu kita gunakan juga perlu bersih dan tidak bertentangan dengan syarak.
Sahabat yang dimuliakan,
Apabila kita membicarakan mengenai politik Islam kita bukanlah bermaksud 'parti politik' atau ' organisasi yang berdaftar sebagai parti politik'
Politik Islam (bahasa Arab: سياسي إسلامي) adalah Politik di dalam bahasa Arab dikenal dengan istilah siyasah. Secara ringkas maksud Politik Islam adalah pengurusan atas segala urusan seluruh umat Islam.
Rasulullah SAW sendiri menggunakan kata politik (siyasah) dalam sabdanya :
"Adalah Bani Israil, mereka diurusi (siyasah) urusannya oleh para nabi (tasusuhumul anbiya). Ketika seorang nabi wafat, nabi yang lain datang menggantinya. Tidak ada nabi setelahku, namun akan ada banyak para khalifah." (Hadis Riwayat Bukhari dan Muslim) ”
Jelaslah bahawa politik atau siyasah itu bermakna adalah mengurusi urusan masyarakat.
Rasulullah SAW. bersabda : "Siapa saja yang bangun di pagi hari dan dia hanya memperhatikan urusan dunianya, maka orang tersebut tidak berguna apa-apa di sisi Allah; dan barang siapa yang tidak memperhatikan urusan kaum muslimin, maka dia tidak termasuk golongan mereka (iaitu kaum muslim). (Hadis Riwayat Thabrani).
Wajib setiap muslim mukmin bangun dipagi hari untuk membantu dan menguruskan keperluan kaum muslimin. Untuk melaksanakan kewajipan tersebut perlulah kepada perancangan dan pengurusan yang cekap dan berterusan maka untuk melaksanakan tugas tersebut maka perlulah ada satu badan atau organisasi. Maka pengurusan seperti ini termasuk dalam urusan politik (siyasah) Islam. Jika urusan kebajikan ini di kira wajib maka lebih-lebih lagi untuk pengurusan pentadbiran negara perlu kepada politik Islam.
Dalam Islam semua aktiviti umat Islam untuk menguruskan kehidupan umat Islam sendiri dan masyarakat samaada melalui pertubuhan, organisasi, persatuan, parti-parti politik, kelab dan jemaah Islam semuanya tidak boleh terpisah dengan politik Islam. Islam memiliki adab-adab, etika, peraturan, sistem yang lengkap dan sempurna dalam apa sahaja aktiviti kehidupan.
Asas politik Islam adalah Al Quran dan As Sunnah yang dijadikan sebagai undang-undang dan peraturan dan ijtihad ulama-ulama muktabar yang memahami realiti semasa yang memerlukan fatwa dan ijtihad.
Sistem politik Islam mempunyai kelainan berbanding sistem politik yang lain. Dengan adanya beberapa keistimewaan yang unik dan beberapa ciri penting, ini membolehkannya memimpin manusia keseluruhannya tanpa mengira bangsa dan budaya. Ciri-ciri tersebut juga telah menjadikannya relevan untuk dilaksanakan dan dipraktikkan di mana-mana dan pada bila-bila masa saja.
Terdapat enam ciri sistem politik Islam, ciri-ciri tersebut adalah seperti berikut :-
Pertama : Sistem Rabbani
Apa yang menjadikan sistem politik Islam itu sangat istimewa berbanding dengan sistem-sistem politik yang lain ialah sistem politik Islam itu adalah sistem Rabbani yang mana asas-asas, peraturan-peraturan dan hukum-hukumnya bukanlah ciptaan manusia yang dibelenggu oleh kelemahan dan kekurangan selain ia dipengaruhi oleh hawa nafsu dan naluri.
Akan tetapi yang mengatur segala peraturan dalam sistem Rabbani ini ialah Tuhan dan Pencipta kepada sekalian manusia. Dialah yang Maha Mengetahui akan apa yang memberi kebaikan da keburukan kepada manusia, sepertimana firman-Nya yang bermaksud :
"Tidakkah Allah yang menciptakan sekalian mahluk itu mengetahui (segala-galanya) sedang Ia Maha Halus urusan pentadbiran-Nya, lagi Maha Mendalam Pengetahuan-Nya” (Surah al-Mulk ayat 14)
Firman-Nya yang bermaksud :”Sesudah itu, patutkah mereka berkehendak lagi kepada hukum-hukum jahiliah? Padahal tidak ada sesiapa yang boleh membuat hukum yang lebih baik daripada Allah” (Surah al-Ma’idah ayat 50)
Sistem-sistem politik yang lain merupakan ciptaan manusia. Merekalah yang mencipta dan mereka sistem tersebut dengan rekaan mereka sendiri. Tiada bezanya antara Negara-negara demokrasi, komunis mahupu diktator. Hak perundangan adalah terletak pada Allah sahaja dan tidak boleh dimiliki oleh orang lain selain daripada-Nya.
Firman Allah SWT yang bermaksud :"Patutkah mereka mempunyai sekutu-sekutu yang menentukan daripada agama mereka sebarang undang-undang yang tidak diizinkan oleh Allah” (Surah al-Syura ayat 21)
Hukum Allah bersifat adil sepenuhnya. Ia juga mempunyai berbagai ketinggian hikmah dan hidayah. Tidak terdapat padanya sebarang pertentangan mahupun kecondongan kearah kepentingan golongan tertentu terhadapt golongan yang lain. Hukum Allah juga tidak membebankan dan memberatkan. Yang lain dari hukum Allah adalah zalim dan batil. Manusia tidak dikehendaki mengambil dan menerima hukuman yang lain selain daripada hukum Allah.
Kedua : Sistem Akhlak
Sistem politik Islam tertegak diatas kemurnian akhlak serta menghormati hak-hak asasi manusia. Sistem ini menyeru kepada pemeliharaan dan kesetiaan terhadap perjanjian dan piagam serta memelihara hak-hak asasi manusia dan melindunginya daripada sebarang fitnah dan keterlaluan. Sebagai contohnya ia telah berurusan dengan tawanan dengan cara yang baik dan penuh belas kasihan, sehinggalah mereka itu dibebaskan melalui bayaran denda atau ganti rugi.
Sehubungan dengan itu Allah SWT telah berfirman maksudnya : ”Setelah selesai pertempuran itu maka terserahlah kepada kamu sama ada hendak memberi kebebasan (kepada orang tawanan itu dengan tiada sebarang penebusan) atau membebaskan mereka dengan mengambil penebusnya” (Surah Muhammad ayat 4)
Firman Allah SWT lagi maksudnya :”Mereka juga memberi makan makanan yang dihajati dan disukainya, kepada orang miskin dan anak yatim serta orang tawanan”
(Surah al-Insan ayat 8)
Peperangan dalam Islam bukanlah cara untuk menunjuk kekuatan dan melakukan kemusnahan. Dengan demikian Islam tidak mengharuskan membunuh mereka yang tidak berperang seperti wanita-wanita,kanak-kanak,oarng tua,orang tidak berupaya dan orang awam. Sehubungan dengan ini Ibn Umar telah berkata “Wanita didapati terbunuh dalam beberapa peperangan, maka Rasulullah telah melarang daripada membunuh wanita dan juga kanak-kanak”.
Perbuatan memotong atau mencincang mayat musuh setelah mereka dibunuh juga dilarang. Tidak dibenarkan dikudungkan telinga mereka, dipotong hidung mereka atau ditebuk perut mereka, melainkan sekiranya perkara-perkara yang sama seperti itu diperlakukan terlebih dahulu terhadap orang Islam. Ketika itu boleh orang Islam memperlakukan sepertimana yang mereka lakukan itu, tetapi adalah lebih afdal tidak melakukannya sebagaimana firman Allah SWT yang bermaksud :
"Dan jika kamu membalas kejahatan (pihak lawan), maka hendaklah kamu membalas dengan kejahatan yang sama seperti yag telah ditimpakan kepada kamu dan jika kamu bersabar, (maka) sesungguhnya yang demikian itu adalah lebih baik bagi orang yang sabar”
(Surah al-Nahl:126)
Ketiga : Sistem Akidah.
Sesungguhnya sistem Islam ini tegak berasaskan akidah. Akidahlah yang merupakan sumber kearah penglihatan dunia dan kehidupan ini. Sistem politik Islam tidak dapat menerima bila sesuatu negara itu tertegak berdasarkan bangsa tertentu, warna kulit mahupun kedudukan geografi, kerana penerimaan terhadap pengelasan yang sedemikian itu bertentangan dengan konsep global dan keluasan serta kesyumulan risalah Islam itu sendiri.
Ikatan yang dapat mengumpul kesemua anak watan dan penduduk sesuatu negara adalah akidah tanpa memandang kepada asal keturunan dan etnik, bangsa dan warna kulit. Hubungan melalui ikatan inilah yang seumpama inilah yang perlu diperkukuhkan berbanding dengan ikatan-ikatan lain seperti ikatan keturunan dan kekeluargaan.
Firman Allah SWT yang bermaksud : "Engkau tidak akan dapati sesatu kaum yang beriman kepada Allah dan hari akhirat, tergamak berkasih mesra dengan orang yang menentang (perintah) Allah dan Rasul-Nya, sekalipun orang yang menentang itu ialah bapa-bapa mereka, atau anak-anak mereka atau saudara-saudara mereka ataupun keluarga mereka” (Surah al-Mujadalah ayat 22)
Keempat : Sistem yang Lengkap dan Menyeluruh.
Sistem pemerintahan Islam mempunyai keistimewaan dengan kesempurnaan serta syumul atau lengkap. Ini adalah seperti firman Allah SWT yang bermaksud : "Pada hari ini, Aku telah sempurnakan bagi kamu agama kamu dan Aku telah cukupkan nikmat-Ku kepada kamu dan Aku telah reda Islam itu menjadi agama untuk kamu” (Surah al-Ma’idah ayat 3)
Kesempurnaan ini disertai oleh kesyumulan yang bermaksud meliputi segala segi dan aspek. Ini menunjukkan kepada kesempurnaan syariah dengan segala yang diperlukan oleh manusia. Sesuatu peristiwa dan kejadian tidak akan terpisah daripada syariah, tidak kira dimana dan bagaimanakah ia berlaku dan terjadi.
Syariah Allah merupakan syariah yang syumul kepada individu, peraturan kekeluargaan dan peraturan serta keperluan masyarakat sama ada dalam hubungan sivil dan juga perdagangan. Ia juga meliputi segala apa yang berkaitan dengan jenayah serta hukuman-hukuman keatasnya yang telah ditentukan oleh syariah terlebih dahulu, seperti hukum hudud dan hukum qisas. Manakala ada pula hukum yang tidak ditetapkan oleh syariah terlebih dahulu, seperti takzir yang mana penentuannya dibuat oleh mereka yang pakar dalam bidang yang berkaitan.
Kelima : Sistem Keadilan dan Persamaan.
Firman Allah SWT berfirman maksudnya : "Sesungguhnya Allah menyuruh kamu supaya menyerahkan segala jenis amanah kepada ahlinya (yang berhak menerimanya) dan apabila kamu menjalankan hukum antara manusia,(Allah menyuruh) kamu menghukum dengan adil” (Surah al-Nisaa ayat 58)
Ayat ini menyuruh manusia berlaku adil tidak kira dengan bangsa mana sekalipun, dengan etnik mana sekalipun dan tidak kira apa warna kulit sekalipun. Allah SWT telah memerintahkan Rasul-Nya dengan jelas dan terang supaya berlaku adil dan menegakkan keadilan, seperti firman-Nya yang bermaksud : "Dan aku perintahkan supaya berlaku adil antara kamu” (Surah al-Syura ayat 15)
Keenam : Sistem Global.
Ciri-ciri politik Islam serta daasr-dasarnya telah menjadikan sistem politik Islam itu sebagai satu sistem global. Segala undang-undang dan peraturannya sesuai bagi setiap masa dan tempat. Ini adalah kerana undang-undang Islam itu meliputi segala kepentingan dan keperluan serta memberi faedah dan manfaat kepada semua manusia. Ini adalah kerana undang-undang dan peraturan itu kesemuanya datang daripada Allah Yang Maha Bijaksana lagi Maha Mengetahui bagi segala-gala yang telah, sedang dan yang akan berlaku.
Seperti firman Allah SWT yang bermaksud : "Ia (al-Quran) itu tidak lain hanyalah peringatan bagi umat manusia seluruhnya” (Surah al-Qalam ayat 52)
Kesemuanya ini telah menjadi kenyataan dalam sejarah Islam di mana Negara Islam telah dapat menguasai kawasan-kawasan yang amat luas diatas muka Bumi ini, serta telah memerintah pelbagai kaum dan bangsa, bahkan mereka (bangsa-bangsa lain) juga turut sama dalam pemerintahan Islam. Ramai daripada kalangan bangsa lain (atas dasar mereka sebagai seorang Islam) telah menjawat jawatan yang terpenting dalam Negara Islam. Pemerintahan mereka turut ditaati oleh orang Arab sendiri.
Sahabat,
Berdasarkan huraian di atas setiap muslim yang beriman kepada Allah SWT dan Rasul-Nya dan rukun-rukun Iman yang lain wajib menerima politik Islam sebenar dengan hati yang yakin dan terbuka. Maka semua pertubuhan , persatuan, organisasi, parti-parti politik, kelab dan jemaah Islam tidak boleh lari daripada garis panduan yang Islam benarkan.
Oleh itu perkara pertama yang perlu difahami dan dihayati matlamat pertubuhan sesuatu pertubuhan, persatuan, organisasi , parti-parti politik, kelab dan jemaah Islam mesti untuk mendaulatkan Islam, berusaha kearah merealisasikan hukum-hukum Allah SWT bukan bermatlamat menegakkan semangat asabiyah yang sempit dan bukan untuk kepentingan duniawi semata-mata. Bukankah hidup kita di dunia ini untuk mengabdikan diri kita kepada Allah SWT dan untuk menjadi khalifah Allah di muka bumi? Maka peraturan-peraturan Islam wajib dipatuhi dan diamalkan.
Perkara kedua yang perlu diambil perhatian adalah pemilihan pemimpin untuk setiap organisasi tersebut di atas perlulah dipilih di kalangan mereka yang beriman, bertakwa, jujur dan amanah dan tidak boleh dipilih dikalangan mereka yang fasik dan tidak amanah (rasuah) yang sering melakukan dosa besar dan kemugkaran. Ahli-ahlinya juga perlulah terdiri dikalangan mereka yang memiliki akhlak Islam, amanah dan mampu menegur pemimpin jika mereka melakukan penyelewengan. Bukannya ahli-ahli yang mengikut dengan membuta tuli dan hanya untuk pangkat dan wang semata-mata.
Jika mereka semua (pemimpin dan ahli-ahlinya) memiliki akhlak Islam dan beramal dengan ajaran Islam tidak akan timbul beberapa perbuatan yang melaggar batas dan adab Islam yang boleh mendatangkan kemurkaan Allah SWT.
Perbuatan buruk yang wajib dijauhi dan dihindari adalah seperti berikut :
1. Membuat berita fitnah (menuduh zina atau lewath) dengan menyebarkan vedio palsu dan gambar-gambar superimpose untuk menjatuhkan maruah seseorang pemimpin atau ahli pertubuhan tersebut.
2. Mengeluarkan kata-kata kesat dan makin hamun kepada pihak lawan di dalam blog, facebook, e-mail, twitter, hand phone, sistem pesanan ringkas (sms) dan muat turun gambar-gambar lucah dan disebarkan kepada orang ramai.
3. Memijak gambar-gambar pemimpin, atau kencing gambar tersebut atau membakarnya tanda protes . Semua perbuatan tersebut bukan dari akhlak Islam ianya lebih mirip kepada sifat kebinatangan dan kesyaitanan.
4. Membaling kasut kepada penceramah di dalam masjid (rumah Allah) perbuatan ini adalah amalan jahiliah yang akan mendatangkan kemurkaan Allah SWT kerana mengotorkan masjid dan menghina orang Islam secara terang-terangan. Perbuatan tersebut adalah perbuatan orang fasik, jika tidak bertaubat dan meminta maaf akan dilaknat oleh Allah SWT dan para malaikat-Nya kerana malaikat sentiasa berada di dalam rumah Allah.
5. Semua pemimpin , ahli-ahli dan penyokong tegar perlulah berhimah, tenang dan tidak membuat provokasi dengan menyerang pihak lawan cara makin hamun, membuat fitnah, menghina cara lisan dan juga dengan perbuatan cara kekerasan (ala samseng jalanan) untuk menakutkan pihak lawannya.
6. Islam melarang umatnya menggunakan kaedah "matlamat menghalalkan cara"
Teori ini menurut sumbernya dipopularkan oleh Niccolò Machiavelli di dalam buku tulisannya bertajuk ‘The Prince'.
Jika dirujuk kepada konsep yang digagaskan oleh Machiavelli ini, sudah tentunya Islam menolak ideanya kerana ia tidak mempunyai sebarang limitasi dan panduan. Ia terbuka, untuk apa sahaja cara, selagi mana boleh membawa sesuatu objektif yang ingin diraih dan dikira perlu. Maka lakukankanlah cara itu, ia akan berubah menjadi mulia dan diterima.
Dalam Islam semua perbuatan, amalan dan niat dan cara-caranya mesti dibenarkan syarak dan matlamatnya juga jelas tidak bertentangan dengan syarak. Kita di larang menggunakan kaedah matlamatnya baik (syarak benarkan) tetapi cara dan jalannya haram.
Salah satu cara yang dilarang dalam Islam adalah penipuan dalam daftar pemilih, menggunakakan undi hantu, memberi kewarganegara kepada mereka yang tidak berkelayakan semata-mata untuk memenangi pilihanraya. Matlamatnya baik bila berjaya dalam pilihanraya boleh meneruskan pembangunan dan membantu rakyat jelata tetapi cara-caranya jelas haram kerana hak menggudi diberikan kepada yang tidak layak.
Sahabat yang dikasihi,
Marilah sama-sama kita ubah fikiran dan cara kita bekerja dengan mengikut syariat Islam dan berfikiran positif. Tinggalkanlah cara-cara batil yang terkeluar daripada roh dan akhlak Islam. Kita dibenarkan berpolitik dan berkempen untuk memilih pemimpin yang kita sayangi tetapi janganlah kerana kecintaan kita kepada mereka boleh mengadaikan prinsip-prinsip Islam dan melakukan perbuatan yang dilarang Islam untuk mencapai maltamat yang diidamkan.
Setiap muslim yang merasakan tanggungjawab dihadapan Allah SWT akan berhati-hati ketika membuat pemilihan semasa mengundi di dalam pilihan raya. Tangan kalian semua akan ditanya di akhirat nanti kepada siapa hak tersebut telah diberikan. Adakah kalian memilih pemimpin yang jujur dan amanah ataupun pemimpin yang tidak amanah dan sentiasa melakukan kezaliman? Tepuk dada tanya iman, itulah jawapan yang sebenarnya.
No comments:
Post a Comment