Thursday, March 20, 2014

RAHSIA MENJADI ISTERI SOLEHAH

Sahabat yang dimuliakan,
Isteri yang  baik secara total akan mudah membentuk rumahtangga bahagia tetapi sebaliknya isteri yang tidak memahami akan tanggungjawabnya sudah pasti akan melahirkan rumahtangga yang kucar-kacir. Kita sedar dan faham rumahtangga yang bahagia lahir dari isteri yang soleh, tetangga yang baik dan kenderaan yang sempurna.
Dan wanita adalah penentu buruk baik sebuah masyarakat. Sedangkan masyarakat yang baik lahir dari rumahtangga dan keluarga yang bahagia. Wanita dengan sifat kehalusan yang dianugerahi oleh Allah s.w.t. sesuai sekali sebagai pengasuh, pendidik anak-anak, pembimbing dan juga penghibur hati suami. Dari sifat asal dengan kehalusan ini jika dididik dan diasuh serta dihalusi hatinya sejak awal-awal agar kematangan berfikir dan tingkah laku yang mulia sebagai persiapan seorang isteri yang soleh, sudah pasti berhasil.




1. Taat dan kasih kepada Allah dan Rasul
Ketaatan kepada Allah akan jelas dilihat dari segala perintah dan larangan yang telah ditetapkan dipatuhi dengan sesungguhnya. Perintah dan larangan ini tergambar dengan jelas sebagaimana yang dibawakan oleh Rasulullah s.w.a. Ketaatan yang tidak terbelah-bahagi dengan sendirinya akan melahirkan disanubari perasaan kasih kepadanya.

Firman Allah maksudnya :     
"Katakan: Kalau bapa-bapamu, anak-anakmu, saudara-saudaramu, isteri-isterimu, kaum keluargamu, kekayaan yang kamu peroleh,perniagaan yang kamu khuatiri akan rugi dan tempat tinggal yang kamu sukai; kalau semua itu kamu cintai lebih dari Allah dan Rasulnya dan dari berjuang di jalan Allah, tunggulah sampai Allah mendatangkan perintah-Nya. Dan Allah tidak memberikan petunjuk kepada kaum yang fasik." (Surah At-Taubah ayat 24)

Jelaslah pada kita bahwa ketaatan kepada Allah s.w.t.akan melahirkan kasih dan cinta yang tidak ternilai di sisi manusia. Ketaatan dan cinta kepada Allah ini bukanlah mudah diperoleh sekiranya persiapan kearah itu disambil lalukan.
Pendidikan jiwa supaya beriman sesungguhnya kepada Allah dan Rasul-Nya, perlulah dididik sejak awal. Didikan ini akan menjadi benteng dan memahami akan batas-batas yang dilarang dan dibolehkan dalam agama.

Keimanan yang kukuh, perbuatan yang soleh dan mengikuti ketetapan yang ditentukan dengan sendirinya secara mudah akan dapat melawan hawa nafsu lahiriah dan bathiniah.

Firman Allah s.w.t maksudnya :
" Dan kalau kamu hitung nikmat Allah, niscaya tidak dapat kamu menghitungnya.,"
(Surah An Nahl ayat 18).

Dari rasa kenikmatan yang diberikan oleh-Nya yang tidak terkira akan memahami betapa hamba sangat-sangat memerlukan pada Khaliqnya. Sifat ihsan dengan sendiri mengungkung diri insan; kerana sifat wanita biasanya tidak akan puas dengan hiasan duniawi.

2. Akhlak mulia dan sempurna sebelum kecantikan
Kita fahami bahwa Allah tidak memandang paras rupa (kecantikan) seseorang tetapi akhlak yang mulia menjadi nilaian yang kukuh disisiNya. Akhlak mulia dan sempurna menjadi pakaian yang kekal manakala kecantikan akan luntur dimakan atau dimamah usia. 
Untuk melahirkan wanita yang berakhlak baik perlulah dididik dan diasuh dengan nilai-nilai yang begitu rupa agar meninggikan taraf kemanusian dan sekaligus membezakannya dengan sifat kehaiwanan.

Isteri yang berakhlak mulia dengan mudah dapat memahami akan bentuk-bentuk pakaian yang harus dikenakan pada tubuhnya dalam keadaan tertentu; dapat mengawal perkataan-perkataan yang maaruf ketika berbicara dan mengetahui akan batas-batas bergaul sesama rakan, suami, keluarga dan juga saudara-mara yang lainnya.

Di samping itu segala tindakannya mempunyai perbezaan dengan wanita yang tidak soleh. Ia tidak gemar membeli tanpa izin suaminya, apatah lagi penjualan dengan cara berhutang sebagaimana kaedah sistem jualbeli yang berleluasa sekarang. Ia lebih mirip pada kemaksiatan daripada yang maaruf.

Juga tidak bertindak menggunakan harta dan wang suami tanpa izinnya. Sekiranya tidak mencukupi maka ambillah secara yang maaruf sebagaimana yang dilakukan oleh isteri Abu Sufian; Rasulullah menasihatkan agar mengambil dengan maaruf dan yang dibutuhkan saja. Isteri yang soleh juga akan mudah mengawal / jaga harta benda suami ketika ketiadaannya.

3. Memperdulikan kewajipan rumahtangga dan berusaha memperbaikinya.
Wanita yang telah dididik sejak awal dengan akhlak yang mulia secara matang mengetahui akan persiapan berumahtangga dan memahami kewajipannya memperbaikinya dari masa ke masa dengan patuh dari petunjuk-ajar suaminya.

Sabda Rasulullah s.a.w. dari Ibnu Abbas r.a maksudnya : "Maukah aku berikan kepadamu sebaik-baik benda yang disimpan? Iaitu  wanita yang soleh. Apabila suaminya melihat kepadanya, gembiralah dia; apabila suaminya perintah akan dia, taatlah ia padanya dan apabila suaminya meninggalkannya, ia akan memelihara nama baik suaminya."
(Hadis Riwayat Abu Daud)

Dari hadis di atas jelaslah kepada kita ukuran seorang isteri yang baik. Ia mampu melayani suami sebaik mungkin dalam segala bidang; ketaatan yang tidak berbelah-bahagi asalkan yang diredai Allah s.w.t dan boleh mengawal harta benda dan nama baik suaminya ketika tidak ada di rumah.

Ketaatan dan kepatuhan ini akan memudahkan penerimaan hidayah Allah s.w.t dan ketenangan hati suami dalam menjalani hidup berumahtangga.

Dan sekaligus seolah-olah menjadi suatu simpanan yang sangat berharga bagi seorang lelaki berumahtangga apabila memiliki isteri yang baik budi pekerti atau perangainya dan mampu mengendalikan rumahtangga dengan baik.

Walaupun di dalam Islam tanggungjawab di dalam rumahtangga seperti menjaga anak-anak dan memasak serta lain-lain tidak diwajibkan sepenuhnya kepada isteri tetapi isteri yang soleh merasakan tanggungjawab ini biarlah ia yang menanggungnya. Kerana ia tidak mau tangan orang lain menggendong anaknya ketika hendak tidur; tidak mau tangan lain memasakkan makanan suaminya atau sebagainya dan memahami tugasnya adalah melayani suaminya semata-mata.

Isteri yang soleh sungguh cekap dan teratur melayani suaminya menjaga dan mendidik anak-anak, menyediakan makan minum keluarga, mengemas tempat tinggal dengan rapi dan lainnya. Sedaya upaya berusaha memperbaiki kewajipan yang telah diamanahkan oleh suaminya.

Isteri yang begini akan melahirkan rumahtangga yang tenteram, riang gembira dan menjadi rumahtangga contoh dalam masyarakat. Begitulah yang dikehendaki dalam Islam.

4. Malu dan taat
Sifat malu memang lumrah bagi seorang wanita.
Malu seorang isteri adalah hormat dan taat yang sebenarnya kepada suaminya, selagi suaminya taat kepada Allah dan Rasul-Nya.

Isteri akan diam saat suami berbicara, membenarkan kata-katanya dan menghormati segala pesanannya. Bermuzakarah boleh juga diadakan tetapi  perlu dikawal oleh akal kerana wanita itu berakal pendek walaupun mempunyai rambut yang panjang. Perbincangan yang mengikuti nafsu syaitan dan sikap memberontak, menangan dan menghentak-hentak kaki yang akhirnya akan memporak-porandakan rumahtangga.

Sabda Nabi s.a.w. maksudnya : "Ketahuilah dan hendaklah kamu berpesan-pesan kepada kaum wanita dengan baik-baik, kerana sesungguhnya mereka itu tawanan bagi kamu, tidak ada kekuasaan sedikitpun bagimu dari mereka itu selain yang demikian itu, kecuali jika mereka itu mendatangi/mengerjakan sesuatu kedurhakaan yang nyata."
(Hadis Riwayat Termizi dan Ibnu Majah)

Firman Allah s.w.t maksudnya : "Maka jika mereka berlaku curang, berbuat durhaka, hendaklah kamu tinggalkan tempat tidurnya dan berilah pukulan yang tidak menyakitkan. Kemudian bila mereka taat dan patuh kepadamu, janganlah kamu cari jalan yang bukan-bukan untuk berbuat tidak senonoh kepada mereka.  Ketahuilah, sesungguhnya bagi kamu ada suatu kewajipan atas isteri-isterimu, dan isteri-isterimu ada kewajipan ke atas kamu pula. Adapun kewajipanmu (suami) atas isteri-isterimu ialah bahwa mereka itu janganlah menginjakkan tempat tidurmu dengan orang yang tidak kamu sukai, dan mereka janganlah memperkenankan orang-orang yang kamu tidak sukai masuk ke rumahmu; dan kewajipan mereka (isteri) atas kamu ialah bahwa kamu hendaklah berbuat baik atas mereka itu dalam urusan pakaian dan makanan mereka."

Dengan ini jelas membuktikan bahawa sifat malu dan taat kepada suami masing-masing adalah perkara penting di dalam pergaulan berumahtangga. Ia perlu dijaga, diawasi dan dikawal agar jangan sampai terjadi yang tidak sesuai dengan kewanitaannya dan dilarang oleh agama.

Jadi perlulah isteri itu sedaya upaya mentaati dan menghormati suaminya kerana taat kepada suami bermakna taat kepda Allah s.w.t jua; dan murka suami bererti murkalah Allah kepadanya.

5. Mulia dan menghormati  suami dan kerabatnya
Bermula selepas ijab dan qabul, tugas dan tanggungjawab ibu bapa selama ini berpindah secara automatik ke bahu suami sepenuhnya. Dan sebagai seorang isteri, suamilah tempat ia bergantung kasih sayang. kerana itu tidak syak lagi seorang isteri itu menghormati (adik-kakak) suami, saudara-saudara dan kerabatnya menurut batas yang tertentu. Dan hubungan dan pertaliannya mempunyai had dan batas yang dibolehkan di dalam Islam.

Kedatangan mereka terutama ibu bapanya perlulah disanjung dan hubungan ini perlu dititik-beratkan. Ada di kalangan keluarga Islam, perhubungan antara suami dan ibu bapanya renggang disebabkan oleh sikap isteri yang tidak menyenangkan orang tua suami.
Kadangkala isteri itu meminta barang-barang keperluan yang tidak dimampui oleh si suami hingga menyebabkan keluarganya akan juga menjadi punca perpecahan antara suami isteri dan kaum keluarganya.
   
Memuliakan dan menghormati suami dan kaum kerabatnya merupakan satu tanggungjawab isteri yang baik. Dengan ini jelas membuktikan bahawa sifat malu dan taat kepada suami masing-masing adalah perkara penting di dalam pergaulan berumahtangga. Ia perlu dijaga, diawasi dan dikawal agar jangan sampai berlaku yang tidak sesuai denga kewanitaannyadan dilarang oleh agama.

Jadi perlulah isteri itu sedaya upaya mentaati dan menghormati suaminya kerana taat kepada suami bermakna taat kepda Allah s.w.t jua; dan murka suami berarti murkalah Allah kepadannya.

Sahabat yang dirahmati Allah,
Begitulah lima ciri-ciri isteri solehah yang perlu ada pada diri seorang Muslimah. Tanpa ciri-ciri ini seorang Muslimah belum boleh dikatakan telah menjadi isteri solehah. Walaupun belum sempurna dengan ciri-ciri tersebut seorang Muslimah perlulah berusaha bersungguh-sungguh untuk memenuhi kriteria ini dengan berdo'a dan berazam untuk mencapai tahap solehah yang akan meletakkan nya menjadi perhiasan terbaik di dunia seperti  hadis Nabi s.a.w. yang menyatakan sebaik-baik perhiasan adalah wanita solehah.

RaHSia Menjadi Isteri Solehah

Ada yang bertanya, bagaimana saya mahu menjadi wanita atau isteri solehah. Adakah perlu warak (kuat beribadat), mempunyai ilmu Islam yg tinggi atau pandai membaca al-Quran?

Wanita solehah ialah mereka yang pandai menghibur dan melayan suami dengan mempersembahkan segala kemesraan, kemanjaan dan cinta sepenuh hati sehingga suami sentiasa rindukan dirinya malah tidak mahu berpisah walaupun sekejap.

Bukan perkara yang susah mahu menjadi wanita solehah. Hanya dengan senyuman yang manis dan menambat hati suami, mereka boleh menduduki carta itu.

Ada yang berkata senyuman isteri yang dilakukan dengan ikhlas semata-mata untuk suami lebih baik daripada menggunakan produk alat solek jenama mahal yang berharga ratusan ringgit.

Pandangan yang mesra dan lembut ibarat celak yang paling indah menghiasai sepasang matanya. Kelembutan dan kehalusannya berbicara seperti pakaian yang paling cantik dipakainya.

Suami mana akan memandang ke belakang apabila isterinya sentiasa harum dan bersih. Malah, aroma itu pasti memikat selera suami untuk sentiasa berada di samping isteri daripada berborak bersama rakan di kedai kopi.

Berapa ramai isteri yang memberikan senyuman manis, pandangan yang mesra dan lembut serta wajah yang berseri-seri ketika mengiringi suami keluar rumah atau menyambut kepulangannya di muka pintu.

Rasululullah s.a.w pernah bersabda bahawa isteri solehah ialah yang menggembirakan suaminya apabila suami melihat kepadanya.

Bayangkan suami yang pulang dalam keadaan letih kerana beban tugas di pejabat ditambah kesesakan jalan raya, isteri yang menyambut di muka pintu menguntum senyuman, wajah yang dihiasi cantik, menolong membawa beg, membuka sarung kaki dan menyediakan minuman untuk menghilangkan dahaga.

Memang sukar mencari ciri-ciri wanita sedemikian kerana kebanyakan isteri terutama yang bekerja terlalu terbawa-bawa perangai mereka di pejabat sehingga suami tidak diberi perhatian. Akhirnya, suami jemu dan sengaja balik lewat ke rumah.

Layanan isteri kepada suami tidak perlu kepada unsur kewangan. Sebagai ketua rumah tangga, suami perlu menyediakan keperluan kepada isteri termasuk makan minum, pakaian, perhiasan dan belanja isteri.

Jika perkara ini dilaksanakan, apa alasan isteri untuk tidak memberi layanan kelas satu kepada suami.

Beruntung isteri yang tahu melayan dan menghiburkan suami kerana selain mendapat kenikmatan, mereka juga mendapat ganjaran pahala daripada Allah.

Isteri yang sengaja enggan melayan nafsu suami akan dilaknat malaikat kerana tidak menunaikan tanggungjawab sebagai suri rumah tangga.

Kajian mendapati suami yang mendapat belaian dan kasih sayang isterinya akan cemerlang di tempat kerja dan masyarakat. Mereka tidak memerlukan apa-apa lagi melainkan isteri di sisi.

Mungkin ramai yang tidak percaya bahawa semangat suami lebih tinggi jika mendapat kasih sayang isteri. Suami manusia biasa, walaupun segagah atau segarang mana mereka, jika dimanja atau dibelai, mereka ibarat harimau jinak.

Justeru, isteri perlu mempunyai teknik atau kaedah untuk memikat suami, bukan semata-mata wajah yang jelita atau harta yang banyak.

Bayangkan ketika kecil, anak mendapat perhatian dan kemanjaan ibu bapa, tentu anak membesar menjadi manusia yang baik. Tetapi jika tiada kasih sayang ibu bapa, anak pasti membesar sebagai manusia yang tidak terkawal.

Oleh itu, isteri perlu faham, walau setinggi mana pangkat, kedudukan, harta dan darjat mereka, jangan lupa memberi kasih sayang dan kemanjaan kepada suami. Senyuman, kemanjaan, pakaian dan haruman adalah senjata untuk memancing manusia bernama lelaki.

No comments:

Powered By Blogger | Template Created By Lord HTML