Sebelum ini kita telah memahami bahawa mengucap Dua Kalimah Syahadah itu menuntut kita melakukan sesuatu. Maka di dalam tajuk ini akan diperincikan tentang tuntutan-tuntutan yang mesti dilakukan bagi sesiapa yang mengucap Dua Kalimah Syahadah. Sekiranya seseorang tersebut tidak melakukan tuntutan tersebut, dia dianggap berdosa, tetapi tidak dikatakan kafir, selagi dia tidak menentang perkara tersebut.
1. Beriman dengan Perkara Ghaib
Beriman dengan Perkara Ghaib adalah tunjang yang sangat penting bagi seseorang individu. Perkara Ghaib yang mesti diimani ialah keenam-enam Rukun Iman tersebut. Iaitu percaya kepada Allah, Malaikat, Kitab, Rasul, Hari Kiamat, dan Qada’ dan Qadar. Maka sesiapa yang tidak mengimaninya walaupun dia mengucapkan dua Kalimah Syahadah, kita tidak boleh melabelkannya sebagai kafir, kerana kita tidak tahu isi hatinya. Maka keimanannya di sisi Allah, dan kita menghukumkan dengan zahir sahaja.
Allah SWT berfirman maksudnya
Wahai orang-orang yang beriman! Tetapkanlah iman kamu kepada Allah dan RasulNya, dan kepada al Quran, yang telah diturunkan kepada RasulNya, dan juga kepada Kitab-kitab Suci yang telah diturunkan dahulu daripada itu. Dan sesiapa yang kufur ingkar kepada Allah, dan Malaikat-malaikatNya dan Kitab-kitabNya, dan Rasul-rasulNya dan juga Hari Akhirat, maka sesungguhnya ia telah sesat dengan kesesatan yang sejauh-jauhnya (Surah an Nisa : 136)
2. Melaksanakan Rukun Islam
Melaksanakan Rukun Islam ini sepertimana yang kita ketahui ialah mendirikan solat fardhu, berpuasa, membayar zakat dan mengerjakan haji bagi yang mampu. Sekiranya seseorang tersebut tidak mendirikan sembahyang kerana malas, maka dia tidak dilabelkan sebagai kafir sepertimana yang telah dijelaskan.
Hadis Nabi Muhammad SAW maksudnya
Islam itu ialah mengucap dua kalimah syahadah, mendirikan solat, membayar zakat, berpuasa di Bulan Ramadhan, dan menunaikan haji sekiranya kamu mampu (Shahih Muslim)
3. Menyuruh kepada kebaikan dan melarang kemungkaran
Selain itu, sesiapa yang telah mengucap Dua Kalimah Syahadah juga dituntut supaya menyuruh kepada kebaikan dan melarang sebarang kemungkaran. Hakikat ini sering dipejamkan mata oleh kebanyakan manusia yang telah mengucap. Mereka menganggap perkara ini tidak wajib sedangkan ia adalah satu tuntutan. Mereka yang membiarkan kemungkaran, dianggap berdosa.
Allah SWT berfimran maksudnya
Dan hendaklah ada di antara kamu, satu puak yang menyeru kepada kebaikan, dan menyuruh berbuat segala perkara yang baik, serta melarang daripada segala yang salah (buruk dan keji) (Surah Ali Imran : 104)
4. Melaksanakan undang-undang Islam
Melaksanakan undang-undang Islam ialah melaksanakan hukum-hukum Allah. Contohnya seperti melaksanakan sebat atau rejam bagi orang yang berzina. Perkara ini adalah wajib, dan pemerintah yang tidak melaksanakannya akan berdosa. Hukum melaksanakan hudud adalah wajib kepada pemerintah, dan rakyat wajib melantik pemerintah yang melaksanakan hudud. Sekiranya tidak, rakyat juga akan menanggung dosa tersebut.
Allah SWT berfirman maksudnya
Dan sesiapa yang tidak menghukum dengan apa yang telah diturunkan oleh Allah (kerana mengingkarinya), maka mereka itulah orang-orang yang kafir (Surah al Maidah : 44)
5. Membentuk masyarakat Islam
Membentuk masyarakat Islam bermakna membentuk masyarakat yang yang berlandaskan tuntutan Syahadah ini. Contohnya bagi seorang yang mengucap Dua Kalimah Syahadah dia wajib menyampaikan ajaran Islam kepada sesiapa sahaja. Sekurang-kurangnya, terdapat sekumpulan manusia yang melaksanakan Islam. Sekiranya tidak terdapat, maka individu yang membiarkan masyarakat menjadi rosak, akan menanggung bebanan dosa tersebut.
Allah SWT berfirman maksudnya
Dan hendaklah ada di antara kamu, satu puak yang menyeru kepada kebaikan, dan menyuruh berbuat segala perkara yang baik, serta melarang daripada segala yang salah (buruk dan keji) (Surah Ali Imran : 104)
No comments:
Post a Comment