Artikel ini dipetik daripada kertas kerja yang bertajuk "Memahami Erti Berakidah Dengan Sebenar", yang telah dikarang oleh IBNU FADZIL sendiri. Kertas kerja ini pernaH DIbentangkan di Dewan Perwakilan Mahasiswa Zagazig, Mesir, sempena program Ijtima' Thaqafah Zagazig di sana. Kertas kerja ini juga hasil rumusan dan ringkasan daripada beberapa kitab penting, antaranya Usul 20, Imam Hassan al Banna.
Di dalam menjelaskan tentang kefahaman tentang akidah yang sebenar, kita perlulah melihat dan memahami perkara-perkara yang disentuh oleh Islam, iaitu :
- Kesempurnaan Islam
- Sumber asas hukum-hakam Islam
- Hakikat iman
- Siasah Syar’iyyah
- Masalah khilafiah
- Perkara-perkara bid’ah
- Martabat orang soleh dan alim ulama’
- Berinteraksi dengan al Quran dan Sunnah
- Asas amal
- Memartabat ilmu dan fungsi akal
- Isu kafir mengkafir
Justeru, daripada 11 perkara ini, terbentuklah 20 kefahaman tentang akidah yang sebenar. 20 perkara ini perlu difahami dan diamalkan setetelah kita mengetahui bahawa kita sudah beriman dengan keimanan yang sebenar. 20 perkara yang perlu difahami dan dilakukan tersebut ialah :
1. MEMAHAMI PENGERTIAN ISLAM YANG SEBENAR
Saya hendaklah memahami bahawa Islam adalah sistem lengkap yang merangkumi keseluruhan aspek kehidupan. Iaitu :
- Islam adalah negara dan tanah air, atau kerajaan dan ummah.
- Akhlak dan kekuatan atau rahmat dan keadilan.
- Kebudayaan undang-undang atau ilmu dan kehakiman.
- Material dan harta atau usaha dan kekayaan.
- Jihad dan dakwah atau tentera dan fikrah.
- akidah yang benar dan ibadah shahih.
Islam bukan hanya bersolat, atau membayar zakat sahaja. Islam juga bukan hanya menuntut ilmu semata-mata sambil membiarkan kerosakan berleluasa. Maka, saya tidak dibenarkan memecahkan Islam itu kepada beberapa pecahan kecil.
2. MEMAHAMI BAHAWA AL QURAN DAN HADIS ADALAH SUMBER UTAMA
Saya hendaklah memahami bahawa Al Quran dan hadis adalah sumber rujukan untuk mengetahui hukum hakam Islam,
- Al Quran difahami menurut kaedah-kaedah Bahasa Arab dengan tidak memberatkan mahupun meringankan. Maka, ia hanya boleh ditafsirkan oleh mereka yang berkelayakan sahaja. Bukan semua orang bebas menafsirkan al Quran sesuka hati.
- Hadis pula difahami melalui penjelasan ahli-ahli hadis yang dipercayai. Hadis juga tidak boleh ditafsirkan oleh mereka yang tidak berkelayakan, dengan sesuka hati mereka.
Maka, saya perlulah menjadikan al Quran dan hadis itu sebagai sumber utama saya.
3. MEMAHAMI ANTARA HIDAYAH ALLAH DAN KESESATAN SYAITAN
Saya hendaklah memahami bahawa, Iman yang sebenar, ibadat yang sahih dan kesungguhan (mujahadah) adalah cahaya dan kemanisan yang dilimpahkan oleh Allah ke dalam hati sesiapa yang dikehendakinya dari kalangan hambaNya. Inilah yang dinamakan sebagai hidayah daripada Allah.
Manakalah ilham, lintasan hati, kasyaf dan mimpi bukanlah menjadi dalil kepada hukum-hukum syariat. Ia hanya diterima apabila perkara tersebut tidak bertentangan dengan hukum syariat dan dalil-dalilnya. Sekiranya bertentangan, maka segeralah menolaknya.
Maka, saya perlulah mendapatkan hidayah Allah SWT ini, dan berhati-hati daripada bisikan syaitan yang berusaha memperdayakan saya.
4. MEMAHAMI AMALAN YANG BERCANGGAH DENGAN DALIL DAN MENOLAKNYA
Saya hendaklah memahami bahawa jampi, mentera, tangkal, dakwaan mengetahui perkara-perkara ghaib, dan sesiapa yang tergolong dalam kemungkaran ini, wajib diperangi, kecuali ianya adalah ayat-ayat al Quran dan sesuatu yang diterima oleh Rasulullah SWT.
Contohnya menggunakan jampi dengan ayat-ayat al Quran yang dibaca dengan betul. Ini kerana sihir boleh dibuat dengan menterbalikkan ayat al Quran, dan ia bercanggah dengan Islam dan wajib diperangi. Bahkan terdapat beberapa doa yang diajar oleh Nabi SAW sebagai panduan kita. Maka, perangilah mereka yang bercanggah dengan al Quran dan Hadis dengan amalan tangkal, jampi dan sebagainya.
Maka, saya perlulah mengamalkan amalan yang dibenarkan oleh syara’ sahaja. Saya juga perlu menghindarkan diri daripada melakukan sesuatu yang bercanggah dengannya.
5. MEMAHAMI ETIKA BERPOLITIK YANG SEBENAR
Saya hendaklah memahami bahawa pandangan ketua dan timbalannya dalam perkara yang tiada dalil tentangnya, perkara yang boleh diertikan dengan pelbagai pengertian, dan perkara yang berkaitan dengan keperluan umum, semuanya boleh diterima selagi mana ia tidak bertentangan dengan kaedah syara’.
Pandangan ketua dan timbalannya berada dalam tiga bentuk ini, iaitu :
- Berdasarkan dalil al Quran atau Hadis yang dijadikan sebagai sistem
- Pandangan ulama’ yang terdapat perbezaan. Maka, ketua akan memilih salah satu daripada beberapa pandangan tersebut untuk dijadikan sebagai sistem.
- Berdasarkan keperluan, iaitu dengan mendapatkan kebaikan, dan menolak kerosakan.
Contohnya etika musyrif yang tiada dalil yang ulama’ berselisih pandangan tentang mewajibkannya. Maka, PMRAM memilih pandangan yang mewajibkannya kerana ia adalah satu keperluan untuk mengelak kerosakan.
Asalkan tidak bercanggah dengan al Quran dan Hadis. Maka, selagi mana pandangan atau arahannya tidak bercanggah dengan kedua-duanya, saya wajib mematuhinya.
6. MEMAHAMI ERTI PANDANGAN YANG DITERIMA DAN PERBEZAAN PANDANGAN
Saya hendaklah memahami bahawa kata-kata seseorang boleh diterima atau ditolak, melainkan kata-kata Rasulullah SAW yang terpelihara daripada dosa. Manakala kata-kata ulama’ salaf mesti diterima jika bersesuaian dengan al Quran dan Hadis. Jika tidak, maka al Quran dan hadislah yang perlu dijadikan ikutan yang utama.
Kita juga dilarang daripada mengecam atau mencela mana-mana individu berkenaan dalam masalah “khilafiah”. Kita serahkan mereka berdasarkan niat mereka yang telah menyuarakan sesuatu dengan apa yang mereka telah kemukakan. Sekiranya mereka berniat baik, maka mereka diberi ganjaran yang sepatutnya. Sekiranya tidak, maka Allah SWT lebih mengetahui.
Maka, saya perlulah menerima pandangan sesiapa sahaja yang selari dengan Rasulullah SAW. Sekiranya bercanggah, maka saya perlu menolaknya. Saya juga perlu memahami bahawa pandangan yang tidak bercanggah dengan Rasulullah SAW itu, kadangkala terdapat perbezaan. Maka, selagi mana ia tidak bercanggah dengan Rasulullah SAW, saya perlu menghormati pandangan tersebut.
7. MEMAHAMI ERTI BERMAZHAB DAN BERIJTIHAD
Saya hendaklah memahami bahawa seseorang muslim yang ilmunya belum mencapai tahap mampu mengeluarkan hukum daripada dalil-dalil dalam hukum-hukum yang bersifat cabang, sewajarnya ia mengikut mana-mana Imam Mazhab. Bahkan dia sepatutnya berusaha untuk mengetahui dalil-dalil imam mazhab yang digunakannya.
Dia juga hendaklah menerima pandangan mereka yang layak mengeluarkan dalil, ketika mana dia benar-benar yakin dengan keahlian orang tersebut dalam mengeluarkan dalil. Sekiranya tidak yakin dengan kelayakan seseorang mengeluarkan dalil, maka pandangan orang tersebut tidak wajar diterima. Tetapi, keyakinan tersebut hendaklah berdasarkan ilmu, bukan nafsu semata-mata.
Selain itu, dia juga hendaklah berusaha melengkapkan ilmunya sehingga mencapai tahap mampu mengeluarkan dalil, sekiranya dia adalah seorang yang mampu untuk menuntut ilmu. Maka, saya perlu berpegang dengan mazhab fiqh sekiranya saya belum mampu untuk berijtihad, dan saya perlu berusaha untuk menjadi seorang yang berilmu.
8. MEMAHAMI ERTI KHILAF DAN JANGAN DIJADIKANNYA SEBAB PERPECAHAN
Saya hendaklah memahami bahawa khilaf dalam masalah cabang hukum fiqh, tidak menjadi sebab perpecahan dalam agama dan tidak mendorong perbalahan dan permusuhan, kerana setiap orang yang berijtihad mendapat pahala.
Tiada sebarang halangan untuk melakukan kajian ilmiah (sekadar kajian), dalam masalah khilafiah, selagi mana ia berada dalam keadaan kasih sayang kerana Allah SWT dan bekerjasama menuju kepada kebenaran dan tanpa sebarang unsur pergaduhan yang tercela dan taksub.
Janganlah membuat kajian ilmiah tentang perbezaan pandangan ulama’ untuk memecahbelahkan, atau menghina ulama’. Ini kerana mereka mempunyai ijtihad mereka sendiri. Betul atau salah adalah di sisi Allah SWT. Kita tiada kelayakan untuk mengukur atau membandingkannya.
Maka, saya perlu memahami erti khilaf dan mengelakkan sebarang perpecahan yang timbul. Bahkan, saya juga perlu menghentikan perpecahan tersebut, kerana ia adalah satu keluasan yang diberi oleh Rasulullah SAW.
9. MEMAHAMI PERKARA-PERKARA YANG MENYUSAHKAN DAN PERLU DIABAIKAN
Saya hendaklah memahami bahawa setiap perbincangan masalah yang tidak menghasilkan sebarang amalan, adalah termasuk dalam perkara yang menyusahkan, sedangkan syara’ melarang kita berbuat demikian.
Contohnya,
- Membincangkan hukum-hakam yang tidak realiti
- Membincangkan penafsiran ayat-ayat suci al Quran yang tidak mampu dicapai oleh ilmu
- Membincangkan perbandingan keistimewaan di kalangan para sahabat RA, dan pandangan-pandangan mereka, sedangkan mereka mempunyai kelebihan masing-masing. Bahkan mereka dibalas menurut niat mereka.
Permasalahan tentang ta’wilan adalah satu perkara yang luas. Maka, jangan sempitkan keluasan yang diberi oleh Allah SWT ini. Maka, saya perlulah mempelajari ilmu untuk diamalkan, dan saya perlu meninggalkan perkara-perkara yang mengelirukan dan menyusahkan saya untuk mengamalkannya.
10. MEMAHAMI TENTANG TAUHID DAN MENYUCIKAN ALLAH SWT
Saya hendaklah memahami bahawa mengenal Allah SWT, mentauhidkanNya dan menyucikanNya dari sebarang kekurangan adalah akidah pegangan Islam yang paling tinggi. Ayat-ayat al Quran dan hadis yang menyebut tentang sifat-sifat Allah SWT, dan beberapa perkara yang samar-samar, hendaklah kita beriman dengannya sebagaimana yang disebut di dalam al Quran, tanpa sebarang ta’wilan yang salah dan merosakkan tafsirannya. Contohnya mengatakan Allah SWT itu berjisim dan sebagainya.
Kita juga tidak dibenarkan melibatkan diri dalam perselisihan di kalangan ulama’ dalam masalah ini. Kita hendaklah berasa selesa dengan apa yang diluaskan oleh Rasulullah SAW dan para sahabat Baginda SAW.
Maksudnya :“Dan orang yang mendalam ilmunya berkata : Kami berima dengan ayat-ayat yang mutasyabihat, bahkan semuanya itu dari sisi Allah SWT (Surah Ali Imran : 7)
Maka, saya perlu mempelajari ilmu Tauhid dan menyucikan Allah SWT daripada unsur-unsur yang tidak layak bagiNya. Bahkan, saya juga dilarang daripada menimbulkan perpecahan dalam masalah perselisihan pandangan di kalangan ulama’ dan saya perlu menghormati mereka.
11. MEMAHAMI ERTI BID’AH YANG SESAT
Saya hendaklah memahami bahawa semua bid’ah yang direka dalam perkara yang berkait dengan Agama Allah SWT, tanpa sebarang dalilnya, walaupun ia dianggap baik oleh manusia, adalah sesuatu yang wajib diperangi. Ia berlaku samada berbentuk pengurangan terhadap syariat, atau penambahan. Contohnya memuja kubur yang tiada dalil yang membenarkannya, bahkan terdapat dalil yang mengharamkannya.
Manakala pelaksanaannya hendaklah dikendalikan dengan cara yang terbaik supaya tidak mencetus keadaan yang lebih parah daripada bid’ah itu sendiri. Contohnya mengharamkan ziarah kubur kerana dibimbangi berlaku pemujaan kubur, adalah tindakan yang boleh mencetuskan parah yang lebih besar.
Maka, saya perlulah meninggalkan bid’ah yang sesat ini. Bahkan saya disuruh untuk melarang sesiapa sahaja yang mengamalkan bid’ah yang sesat ini.
12. MEMAHAMI ERTI BID’AH YANG DIBENARKAN
Saya hendaklah memahami bahawa bid’ah yang dilakukan samada sebagai nilai tambah, pengurangan atau melazimi ibadah tertentu adalah khilaf fiqh sahaja. Setiap individu mempunyai pendapat yang tersendiri, maka tiada halangan untuk ia mencari pengertian melalui dalil dan bukti.
Bid’ah yang dilakukan sebagai nilai tambah seperti berzikir beramai-ramai selepas solat. Manaka bentuk pengurangan pula seperti tidak berkahwin kerana terlalu sibuk menuntut ilmu. Melazimi ibadah tertentu pula seperti bacaan Yasin pada setiap malam Jumaat.
Maka, saya perlulah menghormati amalan-amalan tertentu selagi mana ia adalah bid’ah yang tidak sesat. Bahkan mereka yang mengamalkan amalan-amalan tertentu mendapat pahala dan ganjaran di sisi Allah SWT.
13. MEMAHAMI ERTI WALI ALLAH DAN KERAMAT
Saya hendaklah memahami bahawa mengasihi orang-orang soleh, menghormati dan memuji mereka berasaskan sumbangan yang telah mereka lakukan adalah salah satu bentuk penghampiran kita kepada Allah SWT. Ini kerana Allah SWT sendiri menyuruh kita memberi sumbangan kepada Islam dan mewakafkan diri untuk jalan Allah SWT.
Para Wali Allah SWT ialah mereka yang disebut oleh Allah SWT :
Maksudnya : Orang-orang yang beriman dan mereka itu bertaqwa (Surah Yunus : 63)
Keramat berlaku pada mereka dengan syarat ia bertepatan dengan syariat. Sekiranya keramat itu bercanggah dengan syariat, seperti keramat membentuk kaabah yang baru dengan sekelip mata untuk menjadi arah kiblat baru selain masjidil haram. Maka, ia jelas bercanggah dengan syariat.
Kita juga perlu berpegang bahawa Wali Allah tidak mampu memberi manfaat, mahupun mudharat terhadap diri mereka mahupun orang lain, samada ketika mereka hidup, ataupun sudah mati. Yang berkuasa hanyalah Allah SWT semata-mata.
Maka, saya perlulah menghormati wali-wali Allah SWT dari kalangan ulmaa’-ulama’nya. Saya juga dilarang daripada menganggap mereka mempunyai kuasa untuk memberi manfaat atau mudharat.
14. MEMAHAMI AMALAN SESAT HARI INI DAN MENOLAK ALASAN MEMBENARKANNYA
Saya hendaklah memahami bahawa menziarahi kubur adalah sunnah yang disyariatkan dengan kaedah yang diterima oleh Rasulullah SAW. Akan tetapi, meminta tolong dengan ahli kubur adalah bid’ah, bahkan dosa besar yang wajib diperangi. Contohnya seperti menyeru roh ahli kubur, bernazar kepada mereka, membuat binaan yang seolah-olah memuja mereka, mengelambuinya, meneranginya dengan lampu, memperluaskannya, bersumpah dengan nama-nama mereka dan sebagainya.
Tiada ruang bagi kita, beralasan dalam amalan-amalan sesat seperti ini demi menutup pintu kemungkaran. Apa yang dibenarkan oleh Nabi SAW ialah ziarah dan mengagungkannya kerana jasa baktinya kepada Islam dan menegakkan agama Allah SWT sahaja, tidak lebih dari itu. Bertawassul dibenarkan, tetapi meminta kepada ahli kubur adalah dilarang.
Maka, saya perlulah menghindarkan diri daripada melakukan amalan sesat yang berlaku hari ini. Saya juga ditegah daripada beralasan untuk membolehkannya. Bahkan saya sepatutnya mencegah sesiapa sahaja yang melakukannya.
15. MEMAHAMI PERBEZAAN ANTARA AMALAN DAN PERBUATAN SYIRIK
Saya hendaklah memahami bahawa doa yang dipohon kepada Allah SWT dengan cara bertawassul melalui makhlukNya adalah termasuk dalam masalah khilafiah, dari segi kaifiat doa tersebut. Bahkan ia tidak termasuk dalam masalah aqidah.
Bertawassul adalah doa yang dipohon kepada Allah SWT melalui orang-orang soleh atau amalan-amalan mereka. Maka ia jelas berbeza dengan doa yang dipohon (meminta) kepada ahli kubur, kerana perbuatan ini adalah syirik.
Maka, saya perlu beramal sepertimana kaedah yang diajar oleh Baginda SAW sahaja, dan kaedah tersebut pelbagai. Saya juga perlu mengelakkan diri daripada menyamakan amalan tersebut dengan perbuatan syirik.
16. MEMAHAMI PERKARA YANG DIHARAMKAN WALAUPUN IA MENJADI KEBIASAAN
Saya hendaklah memahami bahawa perkara yang sudah menjadi kebiasaan sedangkan ia adalah salah, tidak akan merubah lafaz-lafaz syariat yang mengharamkannya. Bahkan ia wajib dipastikan maknanya yang sebenar dan maksud daripada lafaz tersebut. Contohnya membuka aurat yang sudah dianggap perkara biasa, sedangkan ia tetap diharamkan oleh Allah SWT.
Kita juga sepatutnya berpegang dengan maknanya yang sebenar dan maksud daripada Firman Allah SWT yang mengharamkan pendedahan aurat. Begitu juga riba yang sudah dianggap biasa, sedangkan ia kekal haram. Tidak dibenarkan mengubah makna ayat al Quran, semata-mata untuk membenarkan sesuatu yang diharamkan oleh Allah SWT.
Kita juga hendaklah berwaspada daripada tertipu dengan slogan-slogan dalam semua bidang, dunia dan agama. Contohnya perjuangan kebebasan bersuara yang mengkritik Islam, faminisme yang memperjuangkan hak kebebasan wanita dan sebagainya.
Maka, saya perlu menghindarkan diri daripada perkara haram yang menjadi kebiasaan manusia melakukannya. Bahkan saya perlu tegas mengatakannya haram walaupun sudah menjadi kebiasaan.
17. MEMAHAMI HAKIKAT AMALAN DAN MENYEMPURNAKANNYA
Saya hendaklah memahami bahawa akidah adalah asas sesuatu amalan. Amalan pula terbahagi kepada dua, iaitu amalan hati dan amalan anggota. Amalan hati adalah lebih mulia daripada amalan anggota. Contoh amalan hati ialah sabar, redha dan sebagainya yang bertujuan membersihkan hati. Amalan anggota pula ialah solat, zakat dan sebagainya.
Kedua-dua amalan ini dituntut. Dilarang bagi seseorang bersabar daripada mendirikan solat. Ini kerana ia melakukan amalan hati, dan meninggalkan amalan anggota. Kita tetap wajib bersolat walaupun kita khuatir riya’. Tetapi mendirikan solat kerana riya’ adalah syirik. Maka, amalan hati menghilangkan riya’ tersebut.
Oleh itu, kita hendaklah menyempurnakan kedua-dua amalan ini sekalipun ia berbeza martabat tuntutannya. Dan Akidah adalah asas kedua-dua amalan ini. Maka, saya perlulah melengkapkan diri dengan kedua-dua amalan ini seiringan, tanpa meninggalkan salah satu daripadanya, atau mengutamakan salah satu yang lain.
18. MEMAHAMI KEDUDUKAN ILMU DAN ULAMA’, DAN MEMBERI MANFAAT KEPADA ORANG LAIN
Saya hendaklah memahami bahawa Islam membebaskan akal, menggalakkan pengamatan dan pemikiran terhadap penciptaan alam sekitar. Islam juga memartabatkan kedudukan ilmu dan ulama’, serta menggalakkan amalan kebaikan yang boleh memberi manfaat kepada diri sendiri, dan orang lain.
Nabi SAW bersabda
Hikmah itu adalah suatu yang hilang daripada orang beriman. Maka, sesiapa yang menemuinya, dialah yang berhak memilikinya (Riwayat at Tirmizi)
Kadangkala, kita menemui sains daripada barat, dan janganlah kita menolaknya. Selagi mana ia tidak bercanggah dengan Islam, maka gunakanlah. Kita juga mengenali perubatan daripada barat, maka ia juga menjadi keperluan untuk kita mempelajarinya. Tetapi, ilmu agama adalah utama, dan belajarlah ilmu agama dengan orang yang beragama Islam.
Maka, saya perlu menghormati ulama, dan bersungguh-sungguh untuk menjadikan diri sebagai seorang yang berilmu. Saya juga dituntut untuk memberi manfaat kepada manusia lain samada dengan ilmu yang ada, atau dengan kelebihan-kelebihan lain yang dikurniakan kepada saya.
19. MEMAHAMI KEUTAMAAN SYARIAT DAN KESELARIANNYA DENGAN AKAL
Saya hendaklah memahami bahawa kadangkala perkara berkaitan syara’ tidak boleh diselaraskan dengan perkara yang berkaitan dengan akal. Contohnya kewujudan syurga dan neraka yang tidak mampu difikirkan oleh manusia, sedangkan ia adalah putus, walaupun belum menjadi kenyataan.
Akan tetapi, perkara yang putus dan ia telah menjadi kenyataan, maka tidak akan terdapat percanggahan di antara akal dan syara’. Contohnya keimanan kepada Allah SWT sebagai pentadbir alam yang diakui oleh syariat dan akal, dan tiada langsung pertembungan.
Pertembungan juga tidak akan berlaku antara hakikat ilmiah yang shahih dan kaedah syara’ yang sebenar, seperti peringkat pembentukan bayi, walaupun Darwinisme menolak asal usul manusia daripada tanah. Ini keran kajiannya sendiri bercanggah dengan hakikat ilmiah.
Manakala dalam perkara yang belum putus, akal dan syariat boleh diselaraskan supaya bertepatan dengan hakikat yang telah putus tadi. Sekiranya ia tidak dapat diselaraskan, maka kita perlu mengutamakan syariat berbanding akal. Maka, saya perlu mengutamakan syara’ dalam setiap perkara walaupun ia bercanggah dengan akal.
20. MEMAHAMI PERKARA-PERKARA YANG BOLEH MEMBAWA KEKAFIRAN DAN PENGKAFIRAN
Saya hendaklah memahami bahawa kita tidak boleh mengkafirkan seorang muslim yang berikrar dengan dua kalimah syahadah, melaksanakan tuntutannya dan menunaikan perkara fardhu, walaupun dia melakukan maksiat. Larangan mengkafirkan ini terkecuali daripada salah satu daripada perkara ini,
- Berikrar dengan mana-mana bentuk atau kalimah kekufuran seperti mengaku kafir dan sebagainya.
- Mengingkari sesuatu yang pasti dalam agama, seperti mengingkari kewajipan solat, mengingkari pengharam zina dan sebagainya.
- Menafikan ayat al Quran yang terang dan jelas seperti mengingkari kenabian Nabi-nabi Allah SWT, dan sebagainya.
Mentafsirkan al Quran dengan penafsiran yang tidak bertepatan bercanggah dengan makna sebenar seperti mengharamkan perkara yang halal, atau menghalalkan perkara yang haram. Maka, saya perlu menghindarkan diri daripada unsur-unsur kekafiran, dan menjauhkan diri daripada mengkafirkan orang lain sewenang-wenangnya.
No comments:
Post a Comment