Thursday, March 20, 2014

QAWAID FIQH DAN USUL FIQH

Perbezaan Di Antara Usul Fiqh Dan Qawaid Fiqh

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh

سْمِ اللهِ الرَّحْمنِ الرَّحِيْم



Segala puji bagi Allah, Tuhan sekelian alam. Selawat serta salam buat junjungan mulia Nabi Muhammad SAW keluarga serta para sahabat dan pengikut yang istiqamah menuruti baginda hingga ke hari kiamat.

Sahabat yang dirahmati Allah,
Seorang mukmin akan cuba mempertingkatkan ilmu agama samaada perkara-perkara yang melibatkan persoalan akidah, ibadah, hukum-hakam yang menjelaskan secara lengkap perkara halal/ haram dan termasuk kaedah-kaedah syarak yang menyentuh perkara Usul Fiqh dan Qawaid Fiqh.

Apakah perbezaan di antara Usul Fiqh dan Qawaid Fiqh?

1. Usul Fiqh merupakan ilmu tentang kaedah mengeluarkan hukum syarak daripada dalil-dalinya seperti al-Quran, al-sunah, ijma, qiyas, istislah, istihsan dan sebagainya.

Qawaid Fiqh pula membincangkan hukum fiqh itu sendiri berdasarkan kepada kaedah yang dikumpulkan daripada hukum-hukumn yang mempunyai persamaan dari sudut yang tertentu. Seperti kaedah tentang niat, syak, mudarat, adat, rukhsah dan sebagainya.

2. Dari segi punca dan tempat ambilan, Usul Fiqh berpunca dari perbahasan lafaz-lafaz dalam Arab, nahu, saraf, balaghah. Kaedah ini diperolehi secra istiqrak atau induktif terhadap teks-teks Arab, syaor dan khutbah. Sedangkan Qawaid Fiqh diperolehi daripada hukum syara yang lima (wajib, haram, sunat, makruh dan harus) , fatwa-fatwa dan masalah-masalah fiqh.

3. Kaedah-kaedah dalam Usul Fiqh lebih khusus kepada ahli ijtihad dan ahli fatwa dalam usahanya untuk menyimpulkan hukum syarak dari dalil-dalinya, begitu juga dalam menyelesaikan hukum masalah yang tidak disebutkan hukumnya dalam dalil-dali muktabar dan permasalahan baru (nawazil).

Qawaid Fiqh pula lebih khusus dengan ahli fiqh atau pelajar yang menjadikannya rujukan untuk mengetahui hukum-hukum furuk sebagai alternative kepada merujuk bab-bab yang berselerakan.

Sifat kaedah Usul Fiqh adalah umum dan menyeluruh manakala Qawaid Fiqh mempunyai juga pengecualian oleh sebab itu ia disebutkan juga sebagai kaedah aghlabiyyah yakni kaedah kebanyakan bukan umum kulli.

Sahabat yang dimulaiakan,
Di bawah ini dijelaskan beberapa kaedah dalam Qawaid Fiqhiyyah untuk makluman dan pengetahun kita semua.

1.0. Keyakinan Tidak Hilang Dengan Keraguan.

ليقين لا يزال بالشك

Maksudnya : "Sesuatu perkara yang tidak diyakini berlaku ataupun tidak, maka keraguan yang datang selepasnya tidak diambil kira."

(Seseorang yang telah meyakini sesuatu perkara yang telah ditetapkan hukum terhadapnya, kemudian berlaku syak atau keraguan maka keyakian yang asal itu dipakai dan keraguan yang datang selepas itu tidak diambil kira.)

Pecahan Kaedah :

1.1. Kekal sesuatu itu mengikut apa yang sebelumnya atau asalnya.

* Seseorang yang yakin berwuduk dan selepas itu datang syak samada berhadas atau tidak maka ia dikira masih suci.

* Berbuka puasa tanpa berijtihad, lalu syak samada matahari terbenam atau belum, maka batal puasanya kerana asalnya matahari itu belum tenggelam.

1. 2. Asal sesuatu itu tidak ada.

* Menggunakan harta orang lain yang dikatakan telah diizinkan kepadanya, tetapi tuan punya barang menafikan dakwaan itu.Maka pengakuan pemilik barang yang diterima kerana asal harta itu tidak diizinkan.

" Seseorang mendakwa ia tidak melakukan persetubuhan, maka pendakwaan itu diterima kerana asalnya tidak ada hubungan seks.

1. 3. Asal seseorang itu bebas dari tanggung jawab.

*Barang yang rosak dalam penjagaan penyimpan minta diganti oleh tuan punyanya, lalu penyimpan menafikannya. Penafian tersebut diterima kerana pada asalnya penyimpan itu bebas dari tanggung jawab.

1. 4. Asal sesuatu perkataan itu dikira maksudnya yang hakiki.

* Seseorang mewakafkan hartanya kepada anak (walad) maka cucunya tidak boleh menerima harta tersebut kerana maksud perkataan sebenar ialah anak(walad). Maka tidak termasuk cucu (Walad al-Walad)

*Sesorang bersumpah tidak akan membeli selepas itu dia mewakilkan kepada orang lain untuk membeli, maka tidak dikenakan kaffarah.

1. 5. Syak adakah telah dilakukan atau belum maka dikira belum melakukan.

* Syak adakah ia melakukan atau belum sesuatu rukun sewaktu solat, maka hendaklah mengulanginya semula sebab dikira belum melakukannya. (contoh ketika solat terlupa 3 atau 4 rekaat, maka dianggap 3 rekaat dan tambah satu rekaat)

*Syak bewuduk atau belum maka hendaklah berwuduk semula.

1. 6. Asal sesuatu yang berlaku dikira masa yang paling hampir.

* Sembahyang dengan berwuduk dari sebuah perigi selama beberapa hari, hari berikutnya didapati ada bangkai maka tidak wajib mengganti solatnya kecuali solat yang diyakini dari wuduk dari air yang bernajis.

* Melihat ada mani pada kain sedangkan ia tidak ingat bilakah ia bermimpi, maka wajiblah ia mandi dan mengganti solat selepas tidurnya yang terakhir.

1. 7.Asal sesuatu itu dikira harus sehingga ada dalil yang mengharamkannya.

*Binatang yang tidak jelas tentang haramnya, maka hukumnya halal dimakan.

* Buah-buahan yang tidak jelas haramnya, halal dimakan. 

1. 8. Asalnya kemaluan perempuan itu adalah haram.

*Berkahwin dengan perempuan yang tidak yakin samada mahramnya atau ajnabi maka hukumnya adalah haram kerana berdasarkan pengharaman asalnya.
2.0. Kesukaran itu membawa kemudahan

المشقة تجلب التيسير

Kaedah ini bermaksud sesuatu kesusahan atau kesulitan dalam melaksanakan perintah Allah itu maka perintah itu diringankan.

Berdasarkan Dalil :-

يريد الله بكم اليسر ول يريد بكم العسر

Firman Allah SWT maksudnya : " Allah menghendaki kamu beroleh kemudahan dan Ia tidak menghendaki kamu menanggung kesukaran." (Surah al-Baqarah ayat 185)

* Islam membawa konsep kemudahan dan keringanan.

*Tuntutan taklif (tanggungjawab) tidak dikira musyaqqah (kesukaran) kerana mengikut adat tidak menjadi bebanan malah satu keperluan.

*Tidak semua perkara diberi rukshah hanya perkara tertentu sahaja.

*Sekiranya semua perkara diberi rukshah sudah tentu hidup tidak akan sempurna.

Sebab-Sebab Rukshah :

* Musafir. Boleh qasar dan jamak solat.

* Sakit. Boleh bertayammum atau meninggalkan puasa.

* Terpaksa. Kelaparan yang boleh mengancam nyawa diharuskan memakan perkara yang diharamkan.

* Terlupa. Makan kerana terlupa pada bulan puasa dimaafkan.

* Kejahilan. Kejahilan dimaafkan.(bukan jahil berterusan- ada usaha untuk menuntut ilmu)

* Umum al-Balwa. (Tidak dapat di elakkan) Air jalan raya yang terpercik pada kain pada hari hujan dimaafkan.

* Kekurangan. Kanak-kanak dan perempuan tidak wajib solat Jumaat atas dasar kekurangan sifat-sifat tertentu.

Pecahan Kaedah :

2.1. Kesulitan harus dihapuskan menurut syarak.

*Mencari arah kiblat tidak perlu yakin ( 100%) tetapi cukup dengan zhan (70%)

2. 2. Apabila sesuatu urusan itu sempit maka lapangkanlah.

*Saksi wanita boleh diterima apabila lelaki tidak mengetahuinya seperti melihat kecacatan pada wanita.

3.0. Adat dijadikan sebagai hakim

العادة محكمة

Bermaksud : "Adat dijadikan sebagai hakim dalam menentukan sesuatu hukum. "

Berdasarkan hadis :

Sabda Rasulullah SAW :

ما راه المسلمون حسنا فهو عند الله حسن ,و ما راه المسلمون قبيحا فهو عند الله قبيح

Maksudnya : "Apa yang dinilai oleh orang kaum muslimin itu baik maka ia adalah baik disisi Allah dan apa yang dinilai oleh kaum muslimin itu buruk maka ia adalah buruk disisi Allah."
(Hadis Riwayat Bukhari dari Ibn Mas'ud r.a)

Adat :

* Bahasa ialah perkara yang menjadi biasa pada orang ramai atau masyarakat.

*Istilah ialah perkataan atau perbuatan yang diulang-ulang tanpa ada kaitan disegi akal.

*Uruf Perkataan seperti Makanan digelarkan kepada benda-benda yang boleh dimakan.

*Uruf Perbuatan ialah perkara yang sering dilakukan oleh orang ramai seperti mas kahwin dibayar kepada perempuan sebelum disetubuhi atau mata wang di Malaysia digunakan RM atau ringgit.

* Uruf Am ialah perkara yang dikenali di seluruh negara Islam seperti perkataan Nazar wajib ditunaikan sekiranya yang dinazar itu harus atau sunat.

* Uruf Khas ialah perkara yang dikenali di sebahagian negara Islam sahaja seperti di Malaysia menanggal kasut sewaktu masuk rumah.

Kehujahan :

"Syarak memandang uruf dan adat sebagai dalil untuk membentuk perundangan Islam. Atau menjadikan adat itu sebagai hakim dalam pembentukan undang-undang."

Sahabat yang dikasihi,
Semoga dengan huraian di atas secara ringkas kita dapat memahami bagaimana ulama-ulama feqah telah mengambil beberapa kaedah umum itu dijadikan sebagai sumber/ asas untuk menetapkan sesuatu hukum dalam perkara-perkara yang perlu ijtihad berdasarkan kaedah umum. Dengan kefahaman ini dapat menambahkan ilmu kita untuk melakukan ketaatan kepada perintah-perintah Allah SWT.

Wallahualam.


No comments:

Powered By Blogger | Template Created By Lord HTML