Wanita Muslim Wajib Menutup Aurat dan Tidak Bersalaman Dengan Bukan Mahram
Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh
سْمِ اللهِ الرَّحْمنِ الرَّحِيْم
Segala puji bagi Allah, Tuhan sekelian alam. Selawat serta salam buat junjungan mulia Nabi Muhammad SAW keluarga serta para sahabat dan pengikut yang istiqamah menuruti baginda hingga ke hari kiamat.
Sahabat yang dirahmati Allah,
Aurat merupakan istilah Islam yang melambangkan sesuatu bahagian dari anggota badan, samada lelaki ataupun perempuan, yang haram dibuka atau dipamerkan. Dalam erti kata lain sesuatu anggota badan yang wajib ditutup dan disembunyikan dan haram orang bukan mahram melihatnya. Menutup aurat adalah wajib ke atas setiap muslim, tidak kira lelaki atau perempuan. Kewajipan menutup aurat ini berdasarkan kepada dalil-dalil daripada Al-Quran dan Hadis.
Firman Allah SWT maksudnya : "Wahai anak-anak Adam! Sesungguhnya Kami telah menurunkan kepada kamu (bahan-bahan untuk) pakaian menutup aurat kamu dan pakaian perhiasan dan pakaian yang berupa takwa itulah yang sebaik-baiknya. Yang demikian itu adalah dari tanda-tanda (limpah kurnia) Allah (dan rahmatNya kepada hamba-hambaNya) supaya mereka mengenangnya (dan bersyukur). (Surah al-A’raaf ayat 26)
Batas aurat untuk wanita muslim adalah seluruh tubuh kecuali muka dan kedua tapak tangannya. Firman Allah SWT dalam surah an-Nur ayat 31 yang bermaksud :
"Dan katakanlah kepada perempuan-perempuan yang beriman supaya menyekat pandangan mereka (daripada memandang yang haram) dan memelihara kehormatan mereka dan janganlah mereka memperlihatkan perhiasan tubuh mereka kecuali yang zahir daripadanya; dan hendaklah mereka menutup belahan leher bajunya dengan tudung kepala mereka ( 'dan hendaklah mereka menutup dada mereka dengan penutup'); dan janganlah mereka memperlihatkan perhiasan tubuh mereka melainkan kepada:
* suami mereka atau
* bapa mereka atau
* bapa mertua mereka atau
* anak-anak mereka, atau
* anak-anak tiri mereka atau
* saudara-saudara mereka atau
* anak bagi saudara-saudara mereka yang lelaki atau
* anak bagi saudara-saudara mereka yang perempuan, atau
* perempuan-perempuan Islam atau hamba-hamba mereka atau
* orang gaji dari orang-orang lelaki yang telah tua dan tidak berkeinginan kepada perempuan
* kanak-kanak yang belum mengerti lagi tentang aurat perempuan
dan janganlah mereka menghentakkan kaki untuk diketahui orang akan apa yang tersembunyi dari perhiasan mereka dan bertaubatlah kamu sekalian kepada Allah, wahai orang-orang yang beriman, supaya kamu berjaya." (Surah an-Nur ayat 31)
Berdasar ayat diatas wanita muslim hanya boleh membuka aurat kepada 11 golongan sahaja sedangkan golongan dibawah tidak boleh dibuka auratnya (walaupun terdiri daripada saudara maranya)
1. Suami kepada ibu saudara.
2. Sepupu lelaki.
3. Abang ipar (suami kepada kakaknya)
4. Adik ipar (suami kepada adiknya)
5. Semua lelaki yang bukan mahramnya.
Wanita muslim perlu juga mengambil perhatian mereka tidak boleh bersalaman dengan 5 golongan tersebut di atas kerana mereka bukan mahramnya. Hanya dengan mahram sahaja boleh bersalaman. Kebanyakkan wanita muslim tidak menjaga aurat mereka dirumah kepada kaum keluarga yang bukan mahram dan suka bersalaman dengan mereka dengan tujuan menjaga hati mereka sedangkan bersalaman dengan bukan mahram haram hukumnya.
Bilakah bermulanya wanita muslim diwajibkan menutup aurat?
Wanita muslim diwajibkan menutup aurat adalah ketika mencapai usia akil baligh.
Untuk wanita usia akil baligh adalah wanita yang berakal dan cukup umur dan telah datang haid. Proses haid bermula daripada umur 12 atau 13 tahun tetapi kadang kala seawal umur 10 tahun dan selewat-lewatnya 16 tahun dan sudah wajib menunaikan perintah Allah SWT. Permulaan haid banyak bergantung kepada beberapa faktor seperti kaum, genetik, suhu persekitaran dan pemakanan.
Apakah jenis-jenis pakaian wanita yang dikira tidak menutup aurat seperti kehendak agama?
1. Pakaian yang dipakai terlalu nipis hingga menampakkan bayangan warna kulit.
2. Tudung yang dipakai terlalu nipis dan tidak menutup dada-dada mereka.
3. Baju dan seluar yang dipakai terlalu ketat hingga menampakkan bentuk badan dan peha mereka.
4. Tudung yang dipakai hanya membelit leher mereka dan tidak dilabukkan ke dada mereka.
5. Sebahagiannya memakai tudung tetapi memakai baju kemeja T, hingga menampakkan lengan tangan mereka dan memakai seluar yang ketat.
Wanita boleh berfesyen dan bercorak untuk tudung dan baju kurung , baju maxi atau jubah tetapi biarlah labuh dan menutup keseluruhan tubuh dan jangan menampakkan bentuk badan dan menutup sebahagian besar dada-dada mereka kerana disitulah terletak perhiasan wanita. Jika bercadang nak memakai seluar biarlah seluar yang labuh bukan seluar jeans atau slack.
Firman Allah SWT maksudnya : ”Wahai Nabi! katakanlah kepada isteri-isterimu, anak perempuan mu dan isteri-isteri orang mukmin, 'hendaklah mereka menutupkan jilbabnya keseluruh tubuh mereka (memakai baju yang labuh dan longgar)'. Yang demikian itu agar mereka lebih mudah untuk dikenali, sehingga mereka tidak diganggu. Dan Allah Maha Pengampun, Maha Penyayang." (Surah al-Ahzab ayat 59).
Asbabun Nuzul ayat 59.
Aisyah r.ha. menceritakan bahawa peristiwa ini terjadi setelah turunnya ayat hijab. Suatu saat Saudah r.ha, salah satu isteri Rasulullah , keluar rumah untuk suatu urusan. Umar bin al-Khattab r.a melihat Saudah r.ha dan bertanya, 'Mengapa kau keluar rumah?' Saudah r.ha bergegas pulang ia menemui Rasul dan berkata, 'Rasulullah , aku keluar rumah untuk suatu urusan. Namun Umar menegurku'. Atas hal itu, turun ayat ini.Lalu Rasul bersabda, "Sesungguhnya Allah telah mengizinkan kamu keluar rumah untuk sesuatu urusan." (Hadis Riwayat Bukhari)
Sahabat yang dimuliakan,
Jika semua wanita muslim yang telah sampai usia akhil baligh menutup auratnya, menjaga pergaulan dengan lelaki yang bukan mahram, tidak mendekati zina dan sentiasa menjaga adab-adab dan akhlak Islam maka masyarakat akan mempunyai suasan yang baik dan tidak mungkin berlaku gejala sosial dan melahirkan ramai anak-anak tidak sah taraf. Islam amat tegas dalam menjaga aurat dan kehormatan kaum wanita kerana wanita adalah aset penting untuk melahirkan keluarga muslim dan masyarakat Islam yang mampu mendaulatkan hukum-hukum Allah SWT. Tanpa ada wanita sebagai ibu dan isteri solehah tidak mungkin keluarga muslim, masyarakat Islam dan daulah Islamiah dapat dilahirkan dalam negara kita.
Oleh itu wahai lelaki mukmin kalian bertanggungjawab untuk memastikan bahawa kaum wanita yang berada didalam tanggungan kalian (isteri-isteri, anak-anak perempuan, adik dan kakak dan ibu) sentiasa menutup auratnya dan berakhlak dengan akhlak Islam. Gunakan cara hikmah dan perkataan yang baik untuk menasihati mereka supaya mereka sentiasa berada di dalam rahmat dan kasih sayang Allah SWT.
No comments:
Post a Comment