Asas Pendidikan Luqman di Dalam al-Qur'an.
Sahabat yang dimuliakan,
Di dalam al-Qur'an terdapat satu surah yang bernama Surah Luqman. Surah ini memaparkan satu kisah mengenai Luqman yang dikurniakan hikmah kebijaksanaan dan rahsia mengenal Allah s.w.t., membanteras syrik, mendorong supaya berakhlak mulia dan menjauhi daripada akhlak tercela yang merupakan tujuan utama mengapa al- Qur'an diturunkan.
Dalam Surah Luqman didapati lapan ayat berturut-turut secara khusus memperkatakan kisah Luqman, dimana tajuk ayat tersebut merupakan isi pengajaran Luqman kepada anaknya. Dari ayat-ayat tersebut dapat diklasifikasi kepada tiga asas utama iaitu Asas Aqidah, Asas Ibadah dan Asas Akhlak.
Sahabat yang dirahmati Allah,
Untuk mencapai kejayaan di dalam mempelajari pendidikan Islam berdasarkan sistem pendidikan Luqman, ketiga-tiga asaas tersebut perlulah difahami dan menghayat ketiga-tiga asas pendidikan tersebut :
Pertama : Asas Aqidah,
Persoalan aqidah merupakan isu terpenting dalam kehidupan Muslim . Ini disebabkan aqidah menurut Islam adalah asas bagi binaan Islam pada keseluruhannya. Daripada aspek yang lain ia juga dapat disifatkan sebagai benteng yang paling teguh bagi menjaga dan mengawasi segala bentuk penyelewengan.
Dewasa ini didapati beberapa bentuk penyelewengan berlaku sama ada dari segi pemikiran, percakapan lebih-lebih lagi tingkah laku yang semuanya berpunca daripada ketidakfahaman mereka terhadap asas aqidah Islam secara mendalam, sedangkan kefahaman tentang aqidah itu merupakan satu tuntutan untuk melahirkan keyakinan dan penghayatan Islam secara menyeluruh.
Asas aqidah yang ditekankan di sini adalah mentauhidkan Allah s.w.t. Firman Allah s.w.t. yang bermaksud : "Wahai anak kesayanganku! Janganlah engkau mempersekutukan Allah (dengan satu yang lain),sesungguhnya perbuatan syirik itu adalah satu kezaliman yang besar."
(Surah Luqman ayat 13)
Dalam ayat di atas jelas menunjukkan bahawa Luqman memulai nasihat kepada anaknya supaya menjauhkan diri daripada syirik kepada Allah, kerana jiwa yang suci harus bersih daripada sebarang kerosakan dan kesesatan. Di antara punca kerosakan aqidah adalah syirik. Oleh itu ia hendaklah dijaga daripada syirik agar aqidah sentiasa berada dalam keadaan baik. Kerana kesucian dan kemurniaan aqidah itulah punca segala amalan yang baik.
Syirik adalah sebesar-besar dosa yang dilakukan oleh seseorang kepada Allah s.w.t. Firman Allah s.w.t. yang bermaksud : "Sesungguhnya Allah tidak akan mengampunkan dosa (syirik) mempersekutukan-Nya (dengan sesuatu apa jua) dan akan mengampunkan dosa yang lain daripada itu bagi sesiapa yang dikehendaki-Nya. Dan sesiapa yang mempersekutukan Allah maka sesungguhnya ia telah melakukan dosa yang besar."
Sesungguhnya Rasulullah s.a.w pernah ditanya, yang manakah dosa yang paling besar? Baginda menjawab : "Bahawa engkau jadikan bagi Allah penyerupaan, saingan atau persamaan sedangkan Dia menjadikan engkau."
Kedua : Asas Ibadah,
Konsep ibadah dalam Islam bukan hanya terbatas kepada soal-soal ta'abbudi yang dikenali seperti solat, puasa, zakat, haji dan sebagainya. Malah ibadah mempunyai erti yang sangat luas dan mendalam. Ibadah merupakan pengabdian sepenuhnya dan berfungsi menjalinkan hubungan yang berterusan antara hamba dengan Allah. Hubungan ini sebenarnya yang menjadi asas utama pendidikan Islam pada keseluruhannya.
Ibadah dalam Islam merangkumi keseluruhan kehidupan manusia iaitu hubungan manusia dengan Allah s.w.t, hubungan manusia sesama manusia dan hubungan manusia dengan alam dan makhluk Allah yang lain. Setiap perkara yang kita lakukan dan tinggalkan semata-mata kerana Allah dan mencari keredhaan-Nya akan dikira sebagai beribadah kepada Allah s.w.t.
Solat adalah saluran utama hubungan manusia dengan Allah s.w.t. Ia merupakan pancaran yang menghidupkan dan menyuburkan keimanan dalam hati, kerana dengan bersolat seorang akan mengingati Allah melalui segala bacaan yang dibaca sepanjang solat. Dalam solat seseorang akan mengingati hari akhirat, ingat kepada Rasul, Malaikat, seterusnya kepada kitab yang diturunkan kepada Rasul iaitu al-Qur'an. Solat juga dapat mencegah seseorang daripada mengerjakan perbuatan keji dan mungkar. Dengan ini jelaslah kepada kita bahawa solat adalah manisfetasi daripada keimanan kepada perkara-perkara ghaib.
Daripada aspek kejiwaan, solat mendidik seseorang agar mencapai ketenangan jiwa, memberi kekuatan dalaman kepada seseorang untuk menempuh penderitaan hidup di dunia ini. Daripada aspek kesihatan, solat mendidik seseorang supaya menjaga kebersihan, melatih badan supaya cergas dan aktif. Daripada aspek akhlak, solat dapat menyedarkan seseorang terhadap kesalahannya, dapat menghapuskan dosa, dapat mencegah seseorang daripada kemungkaran dan mendidik seseorang supaya berdisplin dengan waktu. Dan yang terakhir daripada aspek kemasyarakatan, solat melahirkan individu yang memiliki kemerdekaan jiwa, kemerdekaan dalam memberi teguran dan pandangan, memupuk persaudaraan dan melahirkan persamaan tanpa mengira pangkat kedudukan, harta kekayaan, mulia dan hina, tua dan muda. Semuanya sama dihadapan Allah.
Ketiga : Asas Akhlak.
Misi Islam sebenarnya ialah pengarahan manusia supaya mencapai nilai-nilai kemanusiaan yang luhur, yang sesuai dengan kemuliaan manusia. Islam sangat mementingkan budi pekerti untuk mewujudkan unsur-unsur kekuatan dan peribadi yang baik, yang akan dapat mempertingkatkan taraf kehidupan di dunia serta keredhaan Allah di sebalik kehidupan sekarang ini. Dalam pendidikan Luqman asas ini ditekankan kepada beberapa perkara pokok iaitu :
1.Berbakti kepada kedua ibu bapa :
Firman Allah s.w.t yang bermaksud, "Dan Kami wajibkan berbuat kebaikan kepada kedua ibu bapanya, ibunya mengandung dengan menanggung kelemahan demi kelemahan dan tempoh menceraikan susunya ialah dalam masa dua tahun, bersyukurlah kepada-Ku dan kepada kedua ibu bapamu, (ingatlah) kepada Akulah jua tempat kembali (untuk menerima balasan) "(Surah Luqman ayat 14)
2.Bersifat sabar :
Firaman Allah s.w.t yang bermaksud : "Dan bersabarlah atas segala bala bencana yang menimpamu, sesungguhnya yang demikian itu adalah perkara-perkara yang sangat-sangat di ambil berat untuk melakukannya." (Surah Luqman ayat 17)
3.Tidak takbur dan sombong :
Firman Allah s.w.t yang bermaksud : "Dan janganlah engkau memalingkan mukamu (kerana memandang rendah) kepada manusia dan janganlah engkau berjalan di bumi dengan berlagak sombong, Sesungguhnya Allah tidak suka kepada orang-orang sombong, takbur lagi membanggakan diri." (Surah Luqman ayat 18)
Takbur ialah sikap jiwa yang merasakan dirinya lebih baik daripada orang lain, samaada orang itu manusia atau jin. Sikap takbur inilah menyebabkan Iblis telah dilaknat oleh Allah s.w.t. dan akan dihumbankan kedalan api Neraka.
4.Kesederhanaan dalam semua perkara :
Kesederhanaan ini berlaku kepada keseluruhan sistem termasuk urusan ibadah. Seseorang Islam tidak digalakkan beribadah sehingga menyeksa diri sendiri kerana setiap diri itu ada hak yang mesti diberikan, seperti mana sabda Rasulullah s.a.w yang bermaksud : "Sesungguh bagi tubuh badan ada haknya yang mesti kamu berikan kepadanya."
Begitu juga dalam urusan membelanjakan harta, Islam tidak menggalakkan umatnya supaya berbelanja secara berlebih-lebihan atau sebaliknya (kikir).
Dalam konteks pendidikan Luqman didapati dua aspek ditekankan iaitu:
Pertama : Sederhana sewaktu berjalan, firman Allah s.w.t yang bermaksud : "Dan sederhanakanlah langkahmu sewaktu berjalan." (Surah Luqman ayat 19).
Kedua : Sederhana waktu bercakap., firman Allah s.w.t yang bermaksud : "Lunakkanlah suaramu, sesungguhnya seburuk-buruk suara itu suara keldai." (Surah Luqman ayat 19).
Sahabat yang dirahmati Allah,
Apabila dilihat daripada aspek pengajaran, didapati bahawa Luqman al-Hakim mempunyai pendekatan tertentu tentang pendidikan anaknya. Dan darisegi metodnya pendidikan Luqman mempunyai dua sifat utama iaitu pertama, pendidikan yang bersifat melengkapi dan menyeluruh dan keduanya, pendidikan yang bersifat pemeringkatan dan menurut susunannya tersendiri.
Oleh itu sebagai individu Muslim Mukmin mempunyai tanggung jawab mendidik anak-anak dan juga generasi umat Islam hari ini maka ambillah contoh dan cara-cara yang dilaksanakan oleh Luqman yang diceritakan kisah beliau dalam al-Qur'an.
No comments:
Post a Comment