Saturday, February 15, 2014

BAKHIL

Jauhi Sifat Bakhil (Kikir) Kerana Sifat Ini Adalah Sifat Ahli Neraka

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.

بِسْمِ ٱللَّهِ ٱلرَّحْمَـٰنِ ٱلرَّحِيم

Segala puji bagi Allah, Tuhan sekelian alam. Selawat serta salam buat junjungan mulia Nabi Muhammad SAW keluarga serta para sahabat dan pengikut yang istiqamah menuruti baginda hingga ke hari kiamat.

Sahabat yang dirahmati Allah,
Sesuatu yang sangat penting untuk diketahui setiap muslim ialah bahawa harta yang dimiliki dalam bentuk apapun yang ada di sekitarnya adalah milik Allah Subhanahu Wa Ta’ala. 
Tidaklah seseorang itu boleh mendakwa bahawa harta yang dimiliki adalah haknya secara mutlak kerana apa yang dia miliki adalah dengan izin Allah, manusia tidaklah berkuasa sepenuhnya pada harta tersebut. Status harta itu hanya amanah atau pinjaman dari Allah 
Subhanahu Wa Ta’ala sahaja. Sebagaimana dalam hadis daripada Nabi SAW :

يَا عِبَادِيْ كُلُّكُمْ جَائِعٌ إِلَّا مَنْ أَطْعَمْتُهُ فَاسْتَطْعِمُوْنِيْ أُطْعِمْكُمْ يَا عِبَادِيْ كُلُّكُمْ عَارٍ إِلَّا مَنْ كَسَوْتُهُ فَاسْتَكْسُوْنِيْ أَكْسُكُمْ

Maksudnya : “Wahai para hamba-Ku, kalian semua pada asalnya lapar kecuali orang yang Aku beri makan, maka mohonlah makanan pada-Ku. Wahai para hamba-Ku, sesungguhnya kalian pada asalnya telanjang, kecuali orang yang Kuberi pakaian, maka mohonlah kepada-Ku pakaian.” (Hadis Riwayat Muslim)

Gambaran hadis di atas menguatkan bahawa manusia tidaklah memiliki apa-apa semua keperluan hidupnya dicukupkan oleh Allah Subhanahu Wa Ta’ala. Dan perlu diingat, manakala lahir di dunia manusia tidaklah membawa apapun walau sehelai benang, lalu Allah 
Subhanahu Wa Ta’ala berikan rezeki kepadanya berupa makanan, pakaian dengan berbagai aneka ragam jenis dan jumlahnya.

Lalu dengan hikmah-Nya yang mulia, Allah Subhanahu Wa Ta'al telah memerintahkan kepada kita selaku penerima nikmat untuk menunaikan hak harta tersebut dengan zakat, infaq dan sedekah sehingga kita menjadi orang yang dermawan kerana kedermawanan adalah salah satu jalan menuju syurga. Dan Allah Subhanahu Wa Ta'ala melarang dari sifat bakhil (kikir atau kedekut) yang merupakan lawan dari sifat dermawan.

Bakhil adalah sifat yang tercela kerana sifat ini terlahir dari godaan syaitan. Bakhil dijadikan oleh syaitan sebagai jalan untuk menuju jalan ke neraka. Definisi bakhil adalah perbuatan seorang hamba untuk menahan harta yang ada padanya tanpa menunaikan hak dan kewajiban yang patut dilaksanakan dengan harta tersebut. 

Dalil yang melarang dari perbuatan bakhil di antaranya adalah:

عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ، أَنَّ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ: «اجْتَنِبُوا السَّبْعَ الْمُوبِقَاتِ» قِيلَ: يَا رَسُولَ اللَّهِ، مَا هِيَ؟ قَالَ: «الشِّرْكُ بِاللَّهِ، وَالشُّحُّ، وَقَتْلُ النَّفْسِ الَّتِي حَرَّمَ اللَّهُ إِلَّا بِالْحَقِّ، وَأَكْلُ الرِّبَا، وَأَكْلُ مَالِ الْيَتِيمِ، وَالتَّوَلِّي يَوْمَ الزَّحْفِ، وَقَذْفُ الْمُحْصَنَاتِ الْغَافِلَاتِ الْمُؤْمِنَاتِ»

Dari sahabat Abu Hurairah radiyallahu ‘anhu beliau berkata, Rasullullah Sallallahu ‘Alaihi Wa sallam telah bersabda : "Jauhillah tujuh kehancuran yang dapat menimpa kalian." Lalu (sahabat) bertanya, "Apakah itu wahai Rasulullah?" Lalu baginda menjawab, "Menyekutukan Allah, bakhil (kikir), membunuh jiwa yang diharamkan Allah, memakan riba, memakan harta anak yatim, lari dari peperangan, menuduh zina wanita mukminat yang suci.” 
(Hadis Riwayat an-Nasai)

Banyak contoh tentang kehancuran orang-orang yang bakhil. Salah satunya adalah Qarun sebagai raja kebakhilan yang pernah muncul di muka bumi ini. Di mana Allah SWT akhirnya menenggelamkannya beserta gedung dan harta kekayaannya. Kisah tersebut boleh  dibaca dalam Al-Quran pada surah Al-Qashash. Perkara ini perlu dijadikan sebagai pelajaran bahawa bakhil dapat membawa kepada kehancuran di dunia dan akhirat.

Sifat bakhil terbena akibatkan kecintaan yang berlebihan terhadap dunia, tidak adanya keyakinan tentang kemuliaan yang ada di sisi Allah SWT, sifat tamak dan kagum kepada diri sendiri serta sebab-sebab lainnya.

Sudah semestinya bagi hamba-hamba yang taat kepada Allah dan Rasul-Nya untuk menjauhi sifat yang tercela ini, agar tidak menyesal kelak di kemudian hari.

Syeikhul Islam Ibnu Taimiyyah rahimahullah berkata : “Seorang muslim yang terpuji adalah muslim yang mempunyai sifat berani dan dermawan. Sebaliknya, seorang muslim yang tercela adalah muslim yang mempunyai sifat bakhil dan pengecut.”

Setengah pihak beranggapan bahawa bakhil ada sebahagian sifat jimat cermat atau mengjauhi pembaziran (membuangkan harta dengan sia-sia). Sebenarnya terdapat perbezaan yang jelas diantara dua sifat ini iaitu bakhil dan berjimat cermat (membazir) .

Membazir adalah perbuatan yang menggunakan harta dengan sia-sia dan tidak berguna seperti makanan berlebihan yang akhirnya sisanya dibuang atau membeli barang yang tidak diperlukan.

Hal ini memang dilarang dalam agama, sebagaimana firman Allah Subhanahu Wa Ta’ala yang maksudnya : " … janganlah kamu menghambur-hamburkan (hartamu) secara boros. Sesungguhnya pemboros-pemboros itu adalah saudara-saudara syaitan dan syaitan itu adalah sangat ingkar kepada Rabb-nya.” (Surah al-Isra ayat 26-27)

Al-Imam as-Sa’dy rahimahullah dalam tafsirnya berkata, “Kerana sesungguhnya syaitan tidak mengajak kecuali kepada perangai yang tercela. Maka dia mengajak manusia kepada perbuatan bakhil dan menahan harta. Apabila manusia tidak mengikutinya, maka syaitan mengajaknya untuk berbuat boros (membazir) dan membuangkan harta.” (Lihat Taisir al-Karim ar-Rahman)

Adapun bakhil ialah menahan harta yang sepatutnya dia keluarkan. Sebagai contoh, dia mempunyai kemampuan untuk membayar zakat tapi dia enggan dan ingkar (tidak menunaikannya), atau dia seorang yang memiliki banyak harta tapi manakala datang fakir miskin untuk meminta haknya lalu tidak dia berikan hak itu kepada mereka. Dia enggan bersedekah untuk pembinaan maahad tahfiz, sekolah agama dan tidak suka infak di jalan Allah Subhanahu Wa Ta'ala.

Sahabat yang dimuliakan,
Apapun keadaan dan kedudukan kita, janganlah menjadi insan bakhil. Sekiranya kita menjadi suami janganlah bakhil pada isteri dan anak-anak untuk memberi nafkah dan pendidikan agama yang terbaik. Jika kita sebagai anak janganlah bakhil untuk membantu ibu bapa dikampung, sekirannya mereka belum mengerjakan haji usahakanlah peruntukan untuk mereka berdua. Sekiranya kita melihat saudara-saudara kita di Palestin, Syiria, Myanmar memerlukan bantuan kerana di tindas oleh pemerentah zalim maka berilah sumbangan tanda kasih sayang sesama saudara muslim.

Sebagaimana disebutkan dalam sebuah hadis:

وَعَنْ أَبِيْ عَبْدِ اللهِ، وَيُقَالُ لَهُ : أَبُوْ عَبْدِ الرَّحْمَنِ ثَوْبَانَ، قَالَ: قَالَ رَسُوْلُ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ: «أَفْضَلُ دِيْنَارٍ يُنْفِقُهُ الرَّجُلُ، دِيْنَارٌ يُنْفِقُهُ عَلَى عِيَالِهِ، وَدِيْنَارٌ يُنْفِقُهُ الرَّجُلُ عَلَى دَابَّتِهِ فِيْ سَبِيْلِ اللهِ، وَدِيْنَارٌ يُنْفِقُهُ عَلَى أَصْحَابِهِ فِيْ سَبِيْلِ اللهِ»

“Dari sahabat Abu Abdillah atau terkadang dipanggil Abu Abdirrahman Tsauban berkata, Rasulullah Sallallahu ‘Alaihi Wa sallam bersabda (maksudnya), “Sebaik-baik dinar yang diinfakkan seseorang adalah dinar yang dia infakkan kepada keluarganya dan dinar yang diinfakkan untuk membeli kendaraan perang di jalan Allah, serta dinar yang diinfakkan untuk saudaranya untuk perang di jalan Allah.” (Hadis Riwayat Muslim)

Atau jika kita menjadi ketua jabatan janganlah kita bakhil pada orang-orang dibawah. Bila menjadi seorang ahli perniagaan janganlah bakhil untuk memberi sumbangan untuk kerja-kerja dakwah dan tarbiah. Rasulullah Sallallahu ‘Alaihi Wa sallam memberi peringatan dalam sabdanya :

لَا يَسْأَلُ رَجُلٌ مَوْلَاهُ مِنْ فَضْلٍ هُوَ عِنْدَهُ، فَيَمْنَعُهُ إِيَّاهُ، إِلَّا دُعِيَ لَهُ يَوْمَ الْقِيَامَةِ فَضْلُهُ الَّذِيْ مَنَعَهُ شُجَاعًا أَقْرَعَ

“Tidaklah seseorang meminta kelebihan harta yang dimiliki tuannya lalu dia tidak memberinya kecuali akan didatangkan ketika hari kiamat kelebihan harta itu berupa ular botak.”(Hadis Riwayat Abu Dawud)

Untuk dijauhi daripada sifat bakhil ini  para ulama telah memberikan jalan penyelesaiannya. Di antaranya dengan banyakkan bersedekah dan berinfak, memikirkan tentang kehinaan dan kerendahan harta di sisi Allah Subhanahu Wa Ta'ala, memikirkan balasan yang azab akan diterima di hari akhirat nanti , memahami hakikat harta adalah pinjaman dan tidak kekal,banyakkan bergaul dengan orang-orang soleh dan menjauhi orang-orang yang mempunyai sifat bakhil.


Islam menggalakkan kita bersedekah sebagiaman firman Allah Subhanahu Wa Ta’ala yang bermaksud : “Jika kamu menampakkan sedekah(mu), maka itu adalah baik sekali. Dan jika kamu menyembunyikannya dan kamu berikan kepada orang-orang fakir, maka menyembunyikan itu lebih baik bagimu. Dan Allah akan menghapuskan dari kamu sebagian kesalahan-kesalahanmu; dan Allah mengetahui apa yang kamu kerjakan.” 
(Surah al-Baqarah ayat 271)

Asy-Syaikh Muhammad bin Shalih al-’Utsaimin rahimahullah ketika menafsirkan ayat ini beliau menyebutkan beberapa pelajaran yang boleh diambil. Di antaranya:

1. Anjuran dan dorongan untuk bersedekah, baik dengan menampakkannya atau dengan menyembunyikannya.

2. Bahawasanya menyembunyikan sedekah itu lebih baik daripada menampakkannya kerana lebih mendekati keikhlasan dan menyembunyikan orang yang menerima sedekah tersebut.

Rasulullah Sallallahu ‘Alaihi Wa sallam bersabda:

اتَّقُوا النَّارَ وَلَوْ بِشِقِّ تَمْرَةٍ

“Bentengilah diri kalian dari seksa api neraka meskipun dengan separuh buah kurma.” (Hadis Riwayat Muttafaqun ‘alaih)

Hadis ini mengandungi galakan untuk bersedekah kerana bersedekah dapat menghalangi (menjadi benting) diri orang yang bersedekah dari api neraka.


Sahabat yang dikasihi,
Marilah sama-sama kita bersedekah jariah dan infakkan harta kita dijalan Allah SWT. Yakinlah setiap ringgit sumbangan kita merupakan saham yang besar di akhirat nanti. Jika kita gunakan untuk makan ianya akan habis tetapi jika kita sedekahkan ianya tidak habis atau hilang begitu sahaja.

Rasulullah Sallallahu ‘Alaihi Wa sallam juga menyatakan bahawa harta tidak akan berkurang kerana disedekahkan. Sebagaimana sabda dalam baginda Sallallahu ‘Alaihi Wa sallam:

مَا نَقَصَتْ صَدَقَةٌ مِنْ مَالٍ

“Sedekah itu tidak akan mengurangi harta sedikit pun.” (Hadis Riwayat Muslim dan at-Tirmidzi)

Tentang hadis ini, al-Imam an-Nawawi rahimahullah menjelaskan bahawa tidak berkurangnya harta dengan sedekah ditinjau dari dua sisi:

1. Hartanya akan diberkahi dan berbagai mudharat (bahaya) akan tercegah dari pelakunya. Maka tertutuplah berkurangnya harta itu dengan berkah yang tersembunyi. Hal ini boleh diketahui dalam kehidupan harian dan kebiasaan.

2. Walaupun harta tersebut nampaknya berkurang, akan tetapi tertutupi dengan pahala yang dipersiapkan untuknya, bahkan berlipat ganda.

Allah SWT akan kurniakan rezeki yang tidak disangka-sangka dan akan melebihi daripada sedekah yang telah kita berikan, itulah kelebihan sedekah.


No comments:

Powered By Blogger | Template Created By Lord HTML