Saturday, February 15, 2014

BERDAKWAH TUGAS MULIA

TanggUNGjawab Setiap Muslim Perlu Kepada Kerja-kerja Dakwah dan Tarbiah

السَّلاَمُ عَلَيْكُم
سْمِ اللهِ الرَّحْمنِ الرَّحِيْم

Segala puji bagi Allah, Tuhan sekelian alam. Selawat serta salam buat junjungan mulia Nabi Muhammad  SAW keluarga serta para sahabat dan pengikut yang istiqamah menuruti baginda hingga ke hari kiamat. 

Sahabat yang dirahmati Allah,
Diriwayatkan daripada Abu Said al-Khudri r.a : “Rasulullah SAW bersabda yang maksudnya: “Apabila seseorang memeluk agama Islam dengan ikhlas, Allah akan mengampunkan semua dosa-dosanya di masa lalu. Kemudian setelah itu mulai diadakan perhitungan, pahala untuk setiap perbuatan baik yang dilakukannya dilipat gandakan sepuluh sampai tujuh ratus kali ganda sedangkan setiap dosa yang dilakukannya akan dicatat sebanyak dosa yang dilakukannya kecuali apabila Allah mengampunkannya.”
(Hadis Riwayat Bukahri)

Berdasarkan hadis di atas jelaslah bahawa apabila seseorang yang bukan Islam telah memeluk agama Islam dengan ikhlas maka dosa-dosanya yang lalu akan diampunkan oleh Allah SWT. Malahan pahala atau kebaikan yang pernah dilakukan dahulu akan dikira sebagai amal kebaikan dan diberikan-Nya pahala. Kemudian selepas dia masuk Islam maka pahalanya akan dilipat gandakan daripada sepuluh hingga ke tujuh ratus. Begitulah sifat Allah SWT yang Maha Pemurah dan Maha Penyayang kepada para hamba-Nya yang telah kembali beriman dan mengucapkan dua kalimah syahadah. Dirinya telah bersih seperti bayi yang baru dilahirkan.

Bagaimana pula balasan pahala di sisi Allah SWT terhadap  muslim yang mengajak orang bukan Islam untuk memasuki Islam? 

Di sisi Allah SWT pahala yang akan diterima cukup besar . Oleh kerana di atas usaha-usahanya hingga menyebabkan seseorang masuk Islam (dengan izin Allah) maka segala kebaikan orang yang baru masuk Islam itu hinggakan keturunannya yang akan datang hingga ke hari kiamat akan diperolehi oleh orang yang berusaha tadi.

Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Barang siapa yang menyeru kepada petunjuk maka dia akan mendapat pahala seperti orang yang mengerjakannya, Allah tidak mengurangkan sedikit pun pahala daripadanya. Dan barang siapa yang menyeru kepada kesesatan maka dia akan berdosa seperti mana dosa orang yang melakukannya, Allah tidak akan mengurangkan sedikit pun dosa itu daripadanya.” (Hadis riwayat Muslim) 

Dalam hadis yang lain Nabi SAW bersabda maksudnya : “Sungguh jika Allah memberi petunjuk kepada seseorang melalui kalian (dakwah kalian) maka itu lebih baik bagimu daripada kalian memiliki unta merah.” (Hadis Riwayat Muslim)

Persoalan unta merah di dalam hadis ini yang menggambarkan sesuatu perkara yang sangat-sangat mahal dan sukar dimiliki seseorang. Begitulah gambaran pahala besar yang akan dikurniakan oleh Allah SWT kerana usaha dan dakwah mengIslamkan orang yang bukan Islam. Ganjaran besar ini amat mudah bagi Allah SWT untuk diberikan kepada sesiapa sahaja yang Dia kehendaki.

Sahabat yang dimuliakan,
Menyampaikan seruan kepada perkara yang makruf dan menjauhi perkara mungkar itulah yang dinamakan dakwah kepada Allah. Dengan adanya umat Islam yang berdakwah, agama akan terus hidup dan berkembang di atas muka bumi Allah ini. Berdakwah perlu jalan serentak iaitu kepada orang Islam yang lemah imannya dan kepada orang bukan Islam.

Perlu ditegaskan, kewajipan berdakwah terpikul pada bahu setiap muslim dari pelbagai lapisan dan kedudukan berdasarkan kemampuan masing-masing dalam menegakkan kebenaran serta menghapuskan kebatilan.

Dalam konteks dakwah, Allah SWT menggariskan etika berdakwah yang baik iaitu bersikap lemah lembut dalam tindak tanduk kerana orang bukan Islam tidak tertarik dan juga tidak dapat melihat keindahan Islam jika yang digambarkan adalah kekasaran.

Bersifat lemah lembut bukan bererti tidak tegas atau menyerah kalah menurut kehendak orang bukan Islam. Bukankah Rasulullah SAW pada era permulaan dakwah Islam pernah diberikan tawaran harta benda, pangkat kedudukan dan wanita oleh musyrikin Makkah supaya meninggalkan dakwahnya?.

Namun, Rasulullah SAW tetap istiqamah dan tegas dengan dakwahnya menyeru kepada keadilan dan keindahan Islam. Oleh itu, setiap muslim perlu insaf, menyedari peranan dan tanggung jawab masing-masing memikul amanah dakwah Islam.

Kenapa kerja-kerja dakwah dan tarbiah ini satu kewajipan dan perlu dijalankan?

Pertama : Nabi SAW bersabda maksudnya : “Sampaikan daripadaku walaupun satu ayat” (Hadis Riwayat Bukhari).

Kebenaran Islam ini wajib disampaikan oleh setiap muslim kepada sesama muslim atau kepada orang bukan muslim. 

Kedua : Allah SWT memerentahkan orang beriman supaya mengadakan jemaah yang akan memikul dan melaksanakan tugas-tugas dakwah. Seperti firman Allah SWT maksudnya : "Dan hendaklah ada di antara kamu segolongan umat yang menyeru kepada kebajikan, menyuruh kepada yang makruf dan mencegah dari yang munkar; merekalah orang-orang yang beruntung."(Surah Ali Imran ayat 104) 

Tafsirannya : 

"Untuk mencapai maksud ayat diatas perlu adanya segolongan umat Islam yang bergerak dalam bidang dakwah yang selalu memberi peringatan, bilamana nampak gejala-gejala perpecahan dan penyelewengan. Kerana itu pada ayat ini diperintahkan agar supaya di antara umat Islam ada segolongan umat yang terlatih di bidang dakwah yang dengan tegas menyerukan kepada kebaikan, menyuruh kepada yang makruf (baik) dan mencegah dari yang mungkar (keji).

Menganjurkan berbuat kebaikan saja tidaklah cukup tetapi harus di cegah dengan menghilangkan sifat-sifat yang buruk. Siapa saja yang ingin mencapai kemenangan. maka ia terlebih dahulu harus mengetahui persyaratan dan taktik perjuangan untuk mencapainya, iaitu:

'Kemenangan tidak akan tercapai melainkan dengan kekuatan, dan kekuatan tidak akan terwujud melainkan dengan jemaah Islam. Jemaah yang kokoh dan kuat tidak akan tercapai kecuali dengan sifat-sifat keutamaan. Tidak terpelihara keutamaan itu melainkan dengan terpeliharanya agama dan akhirnya tidak mungkin agama terpelihara melainkan dengan adanya dakwah. Maka kewajiban pertama umat Islam itu ialah menggiatkan dakwah agar agama dapat berkembang baik dan sempurna sehingga ramai pemeluk-pemeluknya. 
Dengan dorongan agama akan tercapailah bermacam-macam kebaikan sehingga terwujud jemaah yang kokoh dan kuat. Dari jemaah yang kokoh tersebut akan timbullah kemampuan yang besar untuk mencapai kemenangan dalam setiap perjuangan. Mereka yang memenuhi syarat-syarat perjuangan itulah orang-orang yang berjaya dan beruntung."

Sahabat yang dikasihi, 
Marilah sama-sama kita bekerja di jalan Allah SWT melaksanakan segala perintah-Nya dan menjauhi segala larangan-Nya. Memperbaiki diri kita dan keluarga seterusnya mengajak jiran-tetangga, sahabat handai, saudara-mara dan masyarakat kita semuanya kepada ajaran Islam yang sebenarnya. Pahala dan ganjaran yang akan kita terima dihari akhirat nanti apabila  melaksanakan tugas yang mulia ini cukup besar iaitu balasan syurga seluas langit dan bumi dan disediakan oleh Allah SWT untuk orang-orang bertakwa.


No comments:

Powered By Blogger | Template Created By Lord HTML