Saturday, February 15, 2014

BERBAIK SANGKA DENGAN ALLAH

Berbaik Sangka Dengan Allah

Sahabat yang dirahmati Allah,
Hidup kita di dunia ini adalah umpama putaran roda kenderaan. Ada masa sedih, ada masa gembira, ada masa senang dan ada masa susah. Hati kita juga berubah-rubah, ada masa tenang dan ada masa gundah gulana.  Ada masa seronok dan yakin dengan ketentuan Allah tetapi ada masa resah gelisah, kecewa, forbiah, truma dan kadangkala terdetik kenapa berlaku ke atasku? Apa kesalahanku?

Kesemua peristiwa berlaku di dunia ini, termasuk ke atas diri kita adalah sesuatu ketentuaan Allah s.w.t. yang diciptakan sebagai ujian dan dugaan, untuk Allah s.w.t menguji hamba-hamba-Nya samaada ia ingin bersabar atau tidak. Samaada ia hendak redha atau pun tidak. Samaada ia berbaik sangka kepada Allah s.w.t atau pun tidak.

Allah berfirman maksudnya  : "Apakah kamu belum tahu bahwa Allah mengetahui apa yang ada di langit dan bumi, sesungguhnya hal itu telah ada dalam Kitab, sesungguhnya itu bagi Allah sangat mudah" 
(Surah Al-Hajj ayat 70)

Firman Allah lagi maksudnya : "Tiada suatu bencana pun yang menimpa di bumi dan (tidak pula) pada dirimu sendiri melainkan telah tertulis dalam kitab (loh mahfuz) sebelum Kami menciptakannya. Sesungguhnya yang demikian itu adalah mudah bagi Allah ".
(Surah  Al-Hadid ayat 22) 

Allah berfirman maksudnya : "Tidak luput darpada pengetahuan Tuhanmu biarpun sebesar zarah di bumi atau pun di langit. Tidak ada yang lebih kecil dan tidak (pula) yang lebih besar daripada itu melainkan (semuanya tercatat) dalam kitab yang nyata (loh mahfuz). " 
(Surah Yunus ayat 61)

Walaupun sesuatu peristiwa itu yang berlaku di atas ketentuaan Allah tetap Allah s.w.t memberi pilihan manusia untuk berubah, berusaha, berikhtiar dan berdo'a.

Firman Allah dalam surah Ar-Ra’du ayat 11 maksudnya :
Sesungguhnya Allah tidak mengubah apa yang ada pada sesuatu kaum sehingga mereka mengubah apa yang ada pada diri mereka sendiri. Dan apabila Allah menghendaki untuk menimpakan kepada sesuatu kaum bala bencana (disebabkan kesalahan mereka sendiri), maka tiada sesiapapun yang dapat menolak atau menahan apa yang ditetapkanNya itu, dan tidak ada sesiapapun yang dapat menolong dan melindungi mereka selain daripadaNya.

Rasulullah bersabda maksudnya :: “Tiada suatu yang boleh menolak(mengubah)qadha' melainkan doa” 

Abu Hurairah r.a meriwayatkan bahawa Rasulullah s.a.w bersabda yang bermaksud : "Allah s.w.t berfirman maksudnya :  'Aku sesuai dengan prasangka hamba-Ku kepada diri-Ku'."
(Hadis RiwayatAl-Bukhari)

Berdasrkan hadis di atas hanya do'alah satu-satu cara yang boleh di buat untuk merubah apa yang telah ditentukan oleh Allah s.w.t. Ulamak mencadangkan bahawa bila kita berdo'a perlu berulang-ulang kali jangan jemu-jemu dan berserah bulat kepada Allah s.w.t.

Maksud hadis qudsi "Aku sesuai dengan prasangka hamba-Ku kepada diri-Ku"

Bahawa bila kita yakin Allah  akan beri kebahagiaan untuk membina  rumah tangga Muslim dan dikurniakan anak-anak yang soleh dan solehah, maka keyakinan itu akan ditunaikan oleh Allah s.w.t.

Bila kita yakin Allah akan mengampunkan dosa-dosa kita dan dimasukkan dikalangan hamba-hamba-Nya yang berjaya di dunia dan akhirat maka keyakinan ini akan ditunaikan oleh Allah s.w.t.

Bila kita yakin bahawa Allah mencintai dan mengasihi kita dan di jauhi dari musibah yang pernah kita alami dengan kekecewaan dan truma sebelum ini, maka keyakinan ini akan ditunaikan oleh Allah s.w.t.

Bila kita yakin kita akan diberi rahmat oleh Allah s.w.t. dan terpelihara iman dan akidah kita dan mendapat kematian yang baik (mati dalam mengucap kalimah syahadah), maka keyakinan ini akan ditunaikan ole Allah s.w.t.

Sahabat yang dikasihi,
Hidup kita di dunia yang sementara ini adalah untuk mengabdikan diri kepada Allah s.w.t. Anggaplah pengalaman lama sebagai iktibar dan kita harus bersyukur kerana kita masih hidup dalam keadaan beriman. Kita diberikan Allah kesihatan tubuh badan dan memiliki rezeki yang tidak putus-putus. Masih mampu berfikir dan masih mampu melaksanakan kewajipan kita kepada Allah s.w.t.  Maka tanda kita bersyukur dan meredhai Allah s.w.t maka kita perlulah baik sangka dengan Allah dan menganggap Qadha' dan Qadar yang telah berlaku itu yang paling baik Allah tetapkan untuk kita. Dengan keyakinan ini akan hilang perasaan kecewa, putus asa, forbia, truma, takut, bimbang, risau, gelisah dan ragu-ragu.

Hati orang Mukmin tidak pernah takut apa yang akan ditetapkan Allah s.w.t. untuk masa depannya. Kekasih kita yang Maha Berkuasa akan beri dan pilih sesuatu yang baik dan Dia akan menambahkan lagi rezeki dan akan sentiasa menjaga kita dari bala dan bencana dan sentiasa mendorong kita melakukan kebaikan dan amal-amal soleh.

Alangkan mulianya hati orang Mukmin hidupnya sentiasa memberi kebaikan kepada orang lain dan sentiasa berdakwah dan menyelamatkan manusia daripada kesesatan dan kejahatan. Allah s.w.t akan memberi sakinah (ketenangan) dan kebahagiaan di dunia dan di  akhirat dan akan di tempatkan kita oleh Allah s.w.t di Syurga Firdaus yang paling tinggi tanda kecintaan Allah s.w.t kepada hamba-hamba-Nya.

No comments:

Powered By Blogger | Template Created By Lord HTML