Saturday, February 15, 2014

BANTU MEMBANTU

Amalan Bantu Membantu Sesama Muslim Sungguh Mulia Di Sisi Allah SWT

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh

بِسْمِ ٱللَّهِ ٱلرَّحْمَـٰنِ ٱلرَّحِيم

Segala puji bagi Allah, Tuhan sekelian alam. Selawat serta salam buat junjungan mulia Nabi Muhammad SAW keluarga serta para sahabat dan pengikut yang istiqamah menuruti baginda hingga ke hari kiamat.

Sahabat yang dirahmati Allah,
Amalan bantu membantu sesama muslim sungguh mulia di sisi Allah SWT. Kebaikan yang akan diperolehi bukan sahaja kebaikan di dunia malahan kebaikan itu akan diperolehi semasa berada di hari akhirat. Ketika di hari akhirat hanya amal-amal soleh yang dilakukan semasa di dunia sahaja akan dapat membantu.

Daripada Abu Hurairah r.a. daripada Nabi SAW, baginda telah bersabda: "Barangsiapa yang melepaskan seorang mukmin daripada satu kesusahan daripada kesusahan-kesusahan dunia, nescaya Allah akan melepaskannya daripada satu kesusahan daripada kesusahan-kesusahan kiamat. Barangsiapa yang mempermudahkan bagi orang susah, nescaya Allah akan mempermudahkan baginya di dunia dan di akhirat. Barangsiapa yang menutup keaiban seorang muslim, nescaya Allah akan menutup keaibannya di dunia dan akhirat. Allah sentiasa bersedia menolong hambaNya selagi mana dia suka menolong saudaranya. Barangsiapa yang melalui suatu jalan untuk menuntut ilmu, nescaya Allah akan mempermudahkan baginya suatu jalan menuju ke syurga. Sesuatu kaum tidak berkumpul di salah sebuah rumah-rumah Allah (iaitu masjid) sambil mereka membaca Kitab Allah dan mengkajinya sesama mereka melainkan suasana ketenangan akan turun ke atas mereka, rahmat akan melitupi mereka dan mereka akan di kelilingi oleh para malaikat dan Allah akan menyebut (perihal) mereka kepada orang-orang yang berada di sisiNya. Barangsiapa yang terlambat amalannya, nescaya nasab keturunannya tidak mampu mempercepatkannya." (Hadis Riwayat Muslim)

Berdasarkan hadis di atas terdapat beberapa kebaikan-kebaiakan yang boleh dijadikan panduan dan iktibar. Perkara-perkara tersebut adalah seperti berikut :

1. Barangsiapa yang melepaskan seorang mukmin daripada satu kesusahan daripada kesusahan-kesusahan dunia, nescaya Allah akan melepaskannya daripada satu kesusahan daripada kesusahan-kesusahan kiamat.

2. Barangsiapa yang mempermudahkan bagi orang susah, nescaya Allah akan mempermudahkan baginya di dunia dan di akhirat

3. Barangsiapa yang menutup keaiban seorang muslim, nescaya Allah akan menutup keaibannya di dunia dan akhirat.

4. Allah sentiasa bersedia menolong hambaNya selagi mana dia suka menolong saudaranya.

5. Barangsiapa yang melalui suatu jalan untuk menuntut ilmu, nescaya Allah akan mempermudahkan baginya suatu jalan menuju ke syurga

6. Sesuatu kaum tidak berkumpul di salah sebuah rumah-rumah Allah (iaitu masjid) sambil mereka membaca Kitab Allah dan mengkajinya sesama mereka melainkan suasana ketenangan akan turun ke atas mereka, rahmat akan melitupi mereka dan mereka akan di kelilingi oleh para malaikat dan Allah akan menyebut (perihal) mereka kepada orang-orang yang berada di sisiNya.

7. Barangsiapa yang terlambat amalannya, nescaya nasab keturunannya tidak mampu mempercepatkannya

Huraiannya :

1. Barangsiapa yang melepaskan seorang mukmin daripada satu kesusahan daripada kesusahan-kesusahan dunia, nescaya Allah akan melepaskannya daripada satu kesusahan daripada kesusahan-kesusahan kiamat.

lslam adalah agama tolong menolong, bantu membantu dan saling memperkuat antara satu sama lain. lslam menggalakkan umatnya agar selalu melepaskan saudaranya yang dalam kesempitan dunia, yang berada dalam kesusahan hidup. Faktor inilah merupakan teras kekuatan umat lslam dan rahsia besar kegemilangan tamadun lslam yang silam.

Allah SWT memberi jaminan bahawa Dia akan memberi pertolongan kepada sesiapa dikalangan hamba-Nya dihari akhirat nanti. Kesusahan diakhirat adalah seperti berada kepanasan diPadang Mahsyar (mendapat perlindungan Arasy), menerima Buku Catatan (mendapat buku catatan di tangan kanan), Timbangan Amal {Mizan} (akan di pereksa dengan pemereksaan yang mudah) dan Titian Siratul Mustakim (melalui titian seperti kilat atau angin kencang). Pertolongan yang paling besar sekali adalah mendapat keampunan Allah SWT dan dimasukkan ke dalam syurga-Nya dengan rahmat-Nya.

2. Barangsiapa yang mempermudahkan bagi orang susah, nescaya Allah akan mempermudahkan baginya di dunia dan di akhirat.

Membantu orang yang susah dengan pemberian sedekah akan mendapat banyak kebaikan di dunia dan akhirat seperti hadis Nabi SAW riwayat Amru bin Auf r.a..

Dari Amru bin Auf r.a katanya Rasulullah SAW bersabda: “Sesungguhnya sedekah seseorang Islam itu memanjangkan umur dan mencegah daripada mati dalam keadaan teruk (su'ul khatimah) dan Allah SWT pula menghapuskan dengan sedekah itu sikap sombong, takbur dan membanggakan diri (dari pemberiannya).” (Hadis Riwayat Bukhari)

Setiap pemberian sedekah akan diberikan ganjaran pahala sekiranya dilakukan dengan ikhlas kerana Allah semata-mata. Bahkan fadhilat atau kelebihan bersedekah adalah meliputi dunia dan akhirat. Faedah sedekah di dunia adalah seperti seseorang itu akan dimurahkan rezekinya oleh Allah, terhindar daripada bala bencana, dipanjangkan umur, mencegah daripada kematian yang buruk di mana orang yang selalu bersedekah akan dilindungi daripada ditimpa kemalangan yang menyebabkan kematian dalam keadaan yang ngeri atau mati dalam keadaan tidak beriman (su’ul khatimah).

Dengan memberi sedekah itu sebenarnya membawa rahmat di samping menghapuskan sifat sombong, takbur dan menunjuk-nunjuk dengan pemberiannya.Manakala faedahnya di akhirat pula ialah seseorang itu akan mendapat naungan Arasy daripada panas terik di Padang Mahsyar dan mendapat pendinding daripada api neraka.

3. Barangsiapa yang menutup keaiban seorang muslim, nescaya Allah akan menutup keaibannya di dunia dan akhirat.

Firman Allah SWT yang bermaksud: “Sesungguhnya orang yang ingin agar (berita) perbuatan yang amat keji itu tersiar di kalangan orang beriman, bagi mereka azab yang pedih di dunia dan di akhirat. Dan Allah mengetahui, sedang, kamu tidak mengetahui”. (Surah An-Nuur ayat 19)

Dalam riwayat yang lain Nabi SAW bersabda maksudnya :“Siapa menutup aib seseorang Islam, maka Allah akan tutupkan aibnya di dunia dan di akhirat. (Hadis riwayat Tirmidzi).

4. Allah sentiasa bersedia menolong hambaNya selagi mana dia suka menolong saudaranya.

Firman Allah SWT maksudnya : ‘Tolong-menolonglah kamu dalam perkara kebaikan dan ketakwaan, dan jangan sekali-kali kamu memberi pertolongan di atas perkara kejahatan dosa yang membawa kepada perseteruan, dan takut olehmu akan Allah. Sesungguhnya Allah akan mengenakan seksaan yang amat dasyat’. (Surah Al-Maidah ayat 2)

Begitulah hendaknya dalam kerukunan hidup di dunia, sentiasa memberi pertolongan kepada yang memerlukan semoga Allah memberi pertolongan kepada orang yang bersifat pemurah agar dia mendapat kelapangan di dunia dan akhirat. Pertolongan beginilah yang dituntut oleh syariat Islam supaya hidup ummah sentiasa terjamin dan kukuh melalui tolong-menolong serta mengeratkan persaudaraan dan merapatkan silatulrahim yang disertai ganjaran pahala dari Allah yang tidak terhingga.

5. Barangsiapa yang melalui suatu jalan untuk menuntut ilmu, nescaya Allah akan mempermudahkan baginya suatu jalan menuju ke syurga.

llmu adalah cahaya menuju ke syurga. Barangsiapa yang menuntut ilmu, dengan niat ikhlas, Allah SWT menjanjikan baginya kemudahan menuju jalan ke syurga. Setiap muslim wajib menuntut ilmu. Rasulullah SAW bersabda maksudnya : “Menuntut ilmu adalah kewajiban bagi setiap muslim laki-laki dan perempuan.”.

Allah memberikan keutamaan dan kemuliaan bagi orang-orang yang berilmu dalam firman-Nya dalam Al-Quran surat Al-Mujaadilah ayat 11 yang bermaksud : “Allah akan meninggikan orang-orang yang beriman diantaramu dan orang-orang yang diberi ilmu pengetahuan beberapa derajat”.

Orang-orang yang berilmu akan pula dimudahkan jalannya ke syurga oleh Allah dan senantiasa didoakan oleh para malaikat.

6. Sesuatu kaum tidak berkumpul di salah sebuah rumah-rumah Allah (iaitu masjid) sambil mereka membaca Kitab Allah dan mengkajinya sesama mereka melainkan suasana ketenangan akan turun ke atas mereka, rahmat akan melitupi mereka dan mereka akan di kelilingi oleh para malaikat dan Allah akan menyebut (perihal) mereka kepada orang-orang yang berada di sisiNya.

Berkumpul dan mengkaji al-Quran dan ilmu di masjid adalah antara amalan yang amat diberkati Allah SWT. Para malaikat turun mengelingi mereka, ketenangan dan rahmat menyelubungi mereka. Mereka mendapat penghormatan agung dari Allah SWT apabila Dia menyebut nama mereka kepada para penghuni langit.

7. Barangsiapa yang terlambat amalannya, nescaya nasab keturunannya tidak mampu mempercepatkannya.

Sesungguhnya manusia dimuliakan dan memasuki syurga dengan amalannya dan rahmat Allah SWT, bukannya dengan keturunan. Barangsiapa yang amalannya kurang dan atau amalan jahatnya menyusahkannya di akhirat nanti, nasab keturunan kebangsawanannya tidak mampu sama sekali memberi syafaat kepadanya. Secara tidak langsung hadis ini menggesa umat lslam agar berbekal dengan amalan soleh untuk menghadapi hari akhirat nanti

Sahabat yang dikasihi,
Marilah sama-sama kita perbanyakkan amal-amal soleh di dunia ini dengan memberi pertolongan , sedekah dan kerja-kerja kebajikan kepada golongan fakir-miskin, anak yatim , orang kurang upaya, warga emas dan sesiapa sahaja yang susah dan memerlukan bantuan dan pertolongan terutama mereka yang ditimpa musibah dan bencana alam.

Selain daripada memberi pertolongan, kita juga diperintahkan supaya menutup aib saudara kita yang lain, dilarang sama sekali kita menugumpat, memfitnah, mengadu domba dan menceritakan keburukan orang lain.

Islam menggalakkan menuntut ilmu kerana orang berilmu tidak sama dengan orang jahil kerana orang berilmu akan mengetahu hukum hakam dan akan sentiasa beramal menuju ke syurga Allah SWT.


No comments:

Powered By Blogger | Template Created By Lord HTML