Do'a Orang di Zalimi Mustajab di Sisi Allah s.w.t.
Sahabat yang dirahmati Allah,
Do'a adalah senjata orang Mukmin. Dalam kehidupan seorang Mukmin, hidupnya penuh dihiasi dengan akhlak Islam, amal soleh, amal ibadah dan peribadi mulia yang akan menjadi contoh kepada orang lain. Dalam keadaan hidup yang sukar dan perlu pengorbanan maka lidahnya sentiasa berzikir, berdo'a dan bermunajat kepada Allah s.w.t tanda pengharapannya yang mutlak kepada Allah s.w.t.
Di dalam masyarakat yang penuh tipu daya dan fitnah, orang Mukmin yang ikhlas berjuang menegakkan kebenaran dan keadilan sering di fitnah dan dilemparkan berbagai tuduhan tanpa bukti dan asas yang kukuh. Mereka berkonsperasi merancangkan tuduhan demi tuduhan dengan menyediakan bukti-bukti palsu yang diciptanya sendiri supaya tuduhan tersebut seolah-olah nampak benar dan berasas. Hakikat sebenarnya ianya adalah satu dongengan yang di lakunkan oleh pelakun-pelakun yang diupah dengan bayaran yang tinggi. Demi dunia dan harta pelakun-pelakun ini sanggup mengadaikan maruah walaupun terpaksa membuat sumpah palsu yang sebenarnya mengundang laknat Allah kepada diri mereka sendiri.
Nabi s.a.w bersabda maksudnya : "Hendaklah kamu waspada terhadap do'a orang yang dizalimi sekalipun dia adalah orang kafir. Maka sesungguhnya tidak ada penghalang diantaranya untuk diterima oleh Allah."
(Hadis riwayat Ahmad - sanad hasan)
Dari Ibnu Umar r.a, Rasulullah s.a.w bersabda maksudnya : "Hendaklah kamu waspada terhadap do'a orang dizalimi. Sesungguhnya do'a itu akan naik ke langit amat pantas seumpama api marak ke udara."
(Hadis riwayat Hakim - sanad sahih)
Dari Khuzaimah bin Thabit r.a, Rasulullah s.a.w bersabda maksudnya : " Hendaklah kamu waspada terhadap do'a orang yang dizalimi. Allah s.w.t berkata : 'Demi kemulian dan keagunganKu, Aku pasti akan menolongmu walaupun setelah masa yang lama."
(Hadis riwayat Tobrani - sanad hasan)
Sahabat yang dimuliakan,
Allah s.w.t telah berfirman maksudnya :
" Allah tidak suka seseorang mengatakan sesuatu yang buruk kepada seseorang dengan terang-terangan melainkan orang yang dizalimi maka dia boleh menceritakan kezaliman tersebut ; dan Allah itu Maha Mendengar dan Maha Mengetahui."
(Surah an-Nisa ayat 148)
Ibnu Abbas r.a telah mentafsirkan ayat ini: " Allah tidak suka seseorang mendokan keburukan kepada seseorang yang lain kecuali orang yang dizalimi. Sesungguhnya Allah telah memberikan kebenaran kepadanya untuk mendo'akan keburukan kepada orang yang dizalimi. Jika dia bersabar maka itu lebih baik baginya."
Qatadah berkata: "Allah memberikan kelonggaran kepada orang yang dizalimi untuk mendo'akan keburukan. Ini seperti mana yang kamu dengar."
Dalam hadis yang lain dari Abu Hurairah r.a, Rasulullah s.a.w bersabda maksudnya : " Tiga do'a yang diperkenankan: Do'a orang puasa, do'a orang yang dizalimi dan do'a orang yang musafir."
(Hadis riwayat Baihaqi - sahih)
Dari Abu Hurairah r.a, Rasulullah s.a.w bersabda maksudnya : " Do'a orang yang dizalimi adalah diterima sekalipun do'a dari orang yang jahat. Kejahatannya itu memudaratkan dirinya dan tidak memberi kesan pada do'a tadi." (Hadis hasan riwayat at-Tayalasi)
Sahabat yang dihormati, Imam Nawawi telah meletakkan hukum harus bagi seorang manusia untuk mendo'akan keburukan kepada orang yang menzalimi orang-orang Islam atau menzalimi dirinya sendiri.
Syeikh Ibnu Allan as-Siddiqi (pengarang syarah bagi kitab Azkar) berkata : " Maksud harus yang disebut Imam Nawawi adalah merangkumi sunat. Maksudnya ia tidak haram dan tidak makruh. Sekiranya do'a kecelakaan kepada orang yang menzalimi manusia lain supaya terhindar dari kezalimannya maka hukumnya sunat. Sekiranya do'a kecelakaan kepada orang yang menzalimi dirinya sendiri atau yang menyakitinya , sesungguhnya ini diharuskan untuk berdo'a sebegini. Seeloknya dia maafkan dan melupakannya."
Dalil pengharusan. Ini jelas melalui ayat al-Quran 148 surah an-Nisa mengikut tafsiran Ibnu Abbas seperti yg telah dinyatakan sebelum ini. Adapun hadis Rasulullah s.a.w adalah hadis berikut:
" Sesungguhnya Nabi s.a.w mendo'akan kecelakaan kepada orang-orang yang membunuh penghafaz-penghafaz al-Quran r.a dan sentiasa mendo'akan kecelakaan kepada mereka selama sebulan. Baginda berdo'a : Ya Allah laknatilah Ri'l, zakwan dan 'usayyah (nama-nama kabilah)."
(Hadis sahih riwayat Bukhari dan Muslim)
Dizaman pemerintahan Umar r.a , beliau telah melantik Saad bin Abi Waqas r.a sebagai gabenor Kufah. Ada seorang lelaki yang bernama Usamah bin Qatadah atau Abu Sa'dah telah menuduh Sa'ad dengan kata-katanya:
" Sekiranya kamu bertanya kami tentang Sa'ad, sesungguhnya dia tidak menyertai peperangan, tidak menyamaratakan pemberian dan tidak berlaku adil dalam hukum."
Saad bin Abi Waqas r.a. berdo'a :
" Ya Allah sekiranya hamba mu ini pembohong dan melakukannya semata kerana riya' dan sum'ah maka hendaklah engkau panjangkan umurnya, kekalkan kefakirannya dan dedahkan dia kepada fitnah."
Kemudian setelah tua, lelaki yg menuduh Saad r.a berkata " Aku telah terkena bencana akibat do'a Sa'ad." Abdul Malik bin Umair r.a perawi hadis ini berkata: Aku melihat lelaki tadi (Abu Sa'dah) selepas dia tua, dua bulu keningnya telah gugur kerana terlampau tua , dia telah menganggu perempuan-perempuan muda dengan meraba dan meramas mereka. (Riwayat Bukhari dan Muslim)
Seorang wanita bernama Arwa binti Aus telah mengadu kepada khalifah Marwan bin Hakam tentang Sa'id bin Zaid ra. Dia mendakwa Sa'ad r.a telah mengambil sebahgian dari tanahnya. Lalu Sa'ad berkata : Adakah aku tergamak mengambil sebahgian dari tanahnya sedangkan aku telah mendengar sesuatu dari Rasulullah s.a.w?" Marwan bertanya " Apa yang engkau dengar dari Rasulullah s.a.w ?" Aku mendengar Rasulullah s.a.w bersabda:
" Sesiapa yang mengambil sejengkal tanah secara zalim, Allah s.w.t akan mengalungi tanah tersebut sehingga tujuh petala bumi."
Lalu Marwan bin Hakam berkata "Aku tidak akan memintamu mendatangkan saksi selepas ini." Sa'id pun berkata:
"Ya Allah sekiranya wanita tadi berbohong maka hendaklah engkau butakan matanya dan bunuhlah dia di tanahnya. "
Wanita tadi tidak mati sehinggalah dia buta dan ketika mana dia berjalan di atas muka tanah milikinya, tiba-tiba dia jatuh di dalam lubang, lalu mati." (Hadis sahih riwayat Bukhari dan Muslim.)
Sahabat,
Dalam masyarakat kita berita fitnah dan membuat tuduhan kepada seseorang itu ianya telah menjadi perkara biasa oleh surat khabar arus perdana. Mereka mementingkan berita sensasi untuk melariskan jualan akhbar mereka, soal dosa pahala itu menjadi perkara kedua dan tidak termasuk dalam kiraan mereka. Mereka menjadi agen golongan tertentu untuk menjatuhkan orang lain walaupun mengunakan kaedah ' matlamat menghalalkan cara'. Sedangkan Islam mengajar kita supaya menjauhi diri daripada mengumpat, memfitnah dan mendedahkan keaibaan orang lain. Termasuk juga ingin menjatuhkan pemimpin yang telah diberi mandat oleh rakyat dengan tohmahan dan tuduhan yang tidak berasas. Golongan yang muflis disisi Allah s.w.t dihari akhirat nanti adalah golongan yang membawa amalan yang banyak tetapi pada masa yang sama membawa dosa mengumpat, memfitnah, mengaibkan orang lain dan mengambil hak orang lain secara batil dan mendatangkan kecederaan kepada orang lain.
Dari Abu Hurairah r.a bahawa Nabi s.a.w. bersabda yang bermaksud : “Tahukah kamu siapakah dia Orang Muflis?”
Sahabat-sahabat baginda menjawab : “Orang Muflis di antara kami, ya Rasulullah ialah orang yang tidak ada wang ringgit dan tidak ada harta benda.”
Nabi s.a.w. bersabda yang bermaksud : “Sebenarnya Orang Muflis dari kalangan umatku ialah orang yang datang pada hari kiamat membawa sembahyang, puasa dan zakat , sedang datangnya itu dengan kesalahan memaki hamun orang ini, dan menuduh orang itu , memakan harta orang orang ini ,menumpah darah orang itu dan juga memukul orang . Maka akan di ambil dari amal kebajikannya serta di beri kepada orang ini dan orang itu , kemudian kiranya habis amal kebajikannya sebelum habis di bayar kesalahan-kesalahan yang di tanggungnya , akan di ambil pula dari kesalahan-kesalahan orang yang di aniayakannya serta di timpakan keatasnya , kemudian ia di humbankan kedalam neraka.”
(Hadis Riwayat Muslim dan Turmizi)
Perlu di ingat mereka yang difitnahkan dan membuat tuduhan kepada seseorang tanpa bukti kukuh adalah orang yang telah dizalimi dan do'a golongan ini amat mustajab disisi Allah s.w.t.
Dua Belas Golongan yang di Do'akan Malaikat
Pada hari qiamat nanti, para malaikat akan memberikan syafa‘at, sebagaimana dijelaskan di dalam Sahih Muslim dan yg lainnya. Para malaikat juga akan memberikan syafa‘at di dunia, yg mana mereka akan memohonkan ampunan untuk semua orang Mukmin. Di dalam Al-Qur’an dan As-Sunnah, telah dijelaskan tentang dua golongan iaitu: pertama; golongan orang yg berbahagia, yakni mereka yg dido‘akan oleh para malaikat, dan kedua; golongan orang yg sengsara, yakni mereka yg dilaknat oleh para malaikat.
Apakah ciri-ciri golongan yang dido‘akan oleh para malaikat?
1) Orang yang tidur dalam keadaan bersuci.
Rasulullah s.a.w. bersabda maksudnya : "Barangsiapa yang tidur dalam keadaan suci, maka malaikat akan bersamanya di dalam pakaiannya. Dia tidak akan bangun hingga malaikat berdoa "Ya Allah, ampunilah hamba-Mu si fulan kerana tidur dalam keadaan suci"
(Imam Ibnu Hibban meriwayatkan dari Abdullah bin Umar RA, hadis ini disahihkan oleh Syaikh Al-Albani dalam Sahih At-Targhib wat Tarhib I/37)
2) Orang yang sedang duduk menunggu waktu solat.
Rasulullah s.a.w. bersabda maksudnya: "Tidaklah salah seorang di antara kalian yang duduk menunggu solat, selama dia berada dalam keadaan suci, kecuali para malaikat akan mendoakannya:' Ya Allah, ampunilah dia. Ya Allah, sayangilah dia'."
(Imam Muslim meriwayatkan dari Abu Hurairah r.a., Sahih Muslim no. 469)
3) Org-org yg berada di saf barisan depan ketika solat berjamaah.
Rasulullah s.a.w. bersabda maksudnya : "Sesungguhnya Allah dan para malaikat-Nya berselawat kepada (orang-orang) yang berada pada saf-saf terdepan"
(Imam Abu Dawud (dan Ibnu Khuzaimah) dari Barra' bin 'Azib RA, hadis ini disahihkan oleh Syaikh Al-Albani dalam Sahih Sunan Abi Dawud I/130)
4) Orang-orang yang menyambung saf pada solat berjamaah (tidak membiarkan sebuah kekosongan di dalam saf).
Rasulullah s.a.w. bersabda maksudnya : "Sesungguhnya Allah dan para malaikat selalu berselawat kepada orang-orang yang menyambung saf-saf"
(Hadis Riwayat Ahmad, Ibnu Majah, Ibnu Khuzaimah, Ibnu Hibban dan Al-Hakim meriwayatkan dari Aisyah RA, hadis ini disahihkan oleh Syaikh Al-Albani dalam Sahih At-Targhib wat Tarhib I/272)
5) Para malaikat mengucapkan 'Aamiiin' ketika seorang Imam selesai membaca Al-Fatihah.
Rasulullah s.a.w. bersabda maksudnya : "Jika seorang Imam membaca 'ghairil maghdhuubi 'alaihim waladh dhaalinn', maka ucapkanlah oleh kalian 'aamiiin', kerana barangsiapa ucapannya itu bertepatan dengan ucapan malaikat, maka dia akan diampuni dosanya yang masa lalu"
(Imam Bukhari meriwayatkan dari Abu Hurairah r.a., Sahih Bukhari no. 782)
6) Orang yang duduk di tempat solatnya setelah melakukan solat.
Rasulullah s.a.w. bersabda maksudnya : "Para malaikat akan selalu berselawat (berdo'a) kepada salah satu di antara kalian selama dia ada di dalam tempat solat dimana dia melakukan solat, selama dia belum batal wudhu’nya, (para malaikat) berkata: 'Ya Allah, ampunilah dan sayangilah dia' "
(Imam Ahmad meriwayatkan dari Abu Hurairah r.a., Al-Musnad no. 8106, Syaikh Ahmad Syakir mensahihkan hadis ini)
7) Orang-orang yg melakukan solat subuh dan asar secara berjamaah.
Rasulullah s.a.w. bersabda maksudnya : "Para malaikat berkumpul pada saat solat subuh lalu para malaikat (yang menyertai hamba) pada malam hari (yang sudah bertugas malam hari hingga subuh) naik (ke langit), dan malaikat pada siang hari tetap tinggal. Kemudian mereka berkumpul lagi pada waktu salat asar dan malaikat yang ditugaskan pada siang hari (hingga salat asar) naik (ke langit) sedangkan malaikat yang bertugas pada malam hari tetap tinggal, lalu Allah bertanya kepada mereka, 'Bagaimana kalian meninggalkan hamba-Ku?', mereka menjawab, 'Kami datang sedangkan mereka sedang melakukan solat dan kami tinggalkan mereka sedangkan mereka sedang melakukan solat, maka ampunilah mereka pada hari qiamat' "
(Imam Ahmad meriwayatkan dari Abu Hurairah r.a., Al-Musnad no. 9140, hadis ini disahihkan oleh Syaikh Ahmad Syakir)
8) Orang yg mendo'akan saudaranya tanpa pengetahuan orang yang dido'akan.
Rasulullah s.a.w. bersabda maksudnya : "Do'a seorang Muslim untuk saudaranya yang dilakukan tanpa sepengetahuan orang yang dido'akannya adalah do'a yang akan diqabulkan. Pada kepalanya ada seorang malaikat yang menjadi wakil baginya, setiap kali dia berdo'a untuk saudaranya dengan sebuah kebaikan, maka malaikat tersebut berkata 'aamiiin' dan engkau pun mendapatkan apa yang dia dapatkan'"
(Diriwayatkan oleh Imam Muslim dari Ummud Darda' r.a., Sahih Muslim no. 2733)
9) Orang-orang yang berinfaq.
Rasulullah s.a.w. bersabda maksudnya : "Tidak satu hari pun di mana pagi harinya seorang hamba ada padanya kecuali dua malaikat turun kepadanya, salah satu di antara keduanya berkata, 'Ya Allah, berikanlah ganti bagi orang yang berinfaq'. Dan lainnya berkata, 'Ya Allah, hancurkanlah harta orang yang kedekut' "
(Imam Bukhari dan Imam Muslim meriwayatkan dari Abu Hurairah r.a., Sahih Bukhari no. 1442 dan Sahih Muslim no. 1010)
10) Orang yang sedang makan sahur.
Rasulullah s.a.w. bersabda maksudnya : "Sesungguhnya Allah dan para malaikat-Nya berselawat (berdo'a) kepada orang-orang yang sedang makan sahur"
(Imam Ibnu Hibban dan Imam At-Thabrani, meriwayaatkan dari Abdullah bin Umar r.a., hadis ini disahihkan oleh Syaikh Al-Albani dalam Sahih At-Targhiib wat Tarhiib I/519)
11) Orang yang sedang menjenguk orang sakit.
Rasulullah s.a.w. bersabda maksudnya : "Tidaklah seorang mukmin menjenguk saudaranya kecuali Allah akan mengutus 70,000 malaikat untuknya yang akan berselawat kepadanya di waktu siang pada bila-bila masa sahaja hingga petang dan di waktu malam pada bila-bila masa sahaja hingga subuh"
(Imam Ahmad meriwayatkan dari Ali bin Abi Thalib k.w, Al-Musnad no. 754, Syaikh Ahmad Syakir berkata, "Sanadnya sahih")
12) Seseorang yg sedang mengajarkan kebaikan kepada orang lain.
Rasulullah s.a.w. bersabda maksudnya : "Keutamaan seorang alim atas seorang ahli ibadah bagaikan keutamaanku atas seorang yang paling rendah di antara kalian. Sesungguhnya penghuni langit dan bumi, bahkan semut yang di dalam lubangnya, dan bahkan ikan, semuanya berselawat kepada orang yang mengajarkan kebaikan kepada orang lain"
(Diriwayatkan oleh Imam Tirmidzi dari Abu Umamah Al Bahily r.a., disahihkan oleh Syaikh Al-Albani dalam Kitab Sahih At-Tirmidzi II/343)
{Sumber: Syaikh Dr. Fadhl Ilahi, Orang-Orang yang Didoakan Malaikat, Pustaka Ibnu Katsir, Bogor, Cetakan Pertama, Februari 2005}
Allah s.w.t. berfirman maksudnya : "Sebenarnya (malaikat-malaikat itu) adalah hamba-hamba yang dimuliakan, mereka tidak mendahului-Nya dengan perkataan dan mereka mengerjakan perintah-perintah-Nya. Allah mengetahui segala sesuatu yang di hadapan mereka dan yang di belakang mereka, dan mereka tidak memberikan syafa'at melainkan kepada orang-orang yang diredhai Allah, dan mereka selalu berhati-hati kerana takut kepada-Nya" (Surah Al-Anbiyaa' ayat 26-28)
Nota : Begitu mulianya kedudukan para malaikat, kerana mereka termasuk dalam golongan makhluq Allah s.w.t. yang selalu diqabulkan do‘anya. Para malaikat tidak pernah berbuat sesuatu kecuali berdasarkan apa yang diperintahkan oleh Allah. Ini juga bermakna, para malaikat tidak pernah mendo‘akan seorang hamba kecuali orang-orang yang diredhai Allah. Maka lakukankanlah amalan-amalan yang membolehkan kita mendapat tempat dalam golongan orang-orang yang dido‘akan oleh para malaikat.
Do'a Pelembut Hati Untuk Anak-anak
Assalamualaikum, disini dinyatakan ayat-ayat, selawat dan do'a-do'a yang pelu dibaca di air minuman : Diantara yang biasa dilakukan oleh perawat ialah membaca doa-doa tertentu pada air seperti
1. Surah al-Fatihah,
2. Doa Pelembut Hati (Surah Taha ayat 1 hingga 5)
3. Selawat Syifa’,
4. Selawat Tafrijiyah,
5. Doa Menghindar Maksiat (Surah al-Mu’min ayat 3)
dan beberapa doa-doa yang lain.
"Rabbana atinaa fiddunia hasanah wa fil akhirati hasanah wakina azabannar"
(Ya Allah, berilah kami kebaikan di dunia dan kebaikan di akhirat, dan lindungilah kami daripada azab api Neraka) - Riwayat Bukhari.
"Allahumma laayakti bil hasanaati illah anta walaa yazhab bissaiaati illah anta walahaulaa kuwataillah billa"
(Ya Allah! Tiada yang mendatangkan kebaikan melainkan Engkau, dan tiada yang menghilangkan keburukan melainkan Engkau, tiada upaya melainkan dengan Allah)
(Hadis Riwayat Tirmizi)
Air minuman yg telah dibaca do'a ini diberi minum kepada anak-anak yang bermasalah ini juga dibuat bilasan mandi.
Do'a Agar Banyak Berzikir, Syukur dan Taat.
Sahabat yang dimuliakan,
Do'a dan zikir adalah senjata orang Mukmin, manakala bersyukur dan melakukan ketaatan adalah natijah dari jiwa yang beriman dan bertakwa kepada Allah s.w.t. Do'a dan zikir mampu menjadi pendorong utama untuk menguatkan rohani dan jiwa.
Seorang Muslim Mukmin yang sentiasa dalam hidupnya berdo'a dan berzikir kepada Allah s.w.t., kekuatan dalamannya amat luar biasa dan akan mencapai kecemerlangan dalam hidupnya berbanding mereka yang dalam hidupnya tidak mahu berdo'a dan berzikir dan hanya bergantung pada akal fikirannya semata-mata untuk mencapai sesuatu perkara. Perancangan macamana hebat sekalipun apabila ianya dibuat tanpa memohon pertolongan Allah s.w.t. maka ianya tidak akan berjaya dan kalau berjaya sekalipun ianya tidak akan berkat dan akhirnya akan menemui jalan buntu dan kegagalan.
Segala kekuatan lahir, pengalaman, kemahiran dan kekuatan batin daripada tenaga dalaman akan dipadukan untuk mencapai apa-apa yang dihajatkan. Apabila diketengahkan dan diamalkan dalam kehidupan seharian do'a dan zikir mampu menjadi senjata yang ampuh.
Sahabat yang dirahmati Allah,
Do'a dan zikir adalah suara hati. Namun jika do'a dan zikir itu kita ambil daripada do'a-do'a dan zikir-zikir yang diamalkan oleh Nabi s.a.w untuk memohon daripada Allah s.w.t.maka ianya menjadi lebih kuat dan mustajab.
Nabi s.a.w. berwasiat kepada Muaz bin Jabal r.a agar dapat mengamalkan do'a ini setiap lepas solat :
"Allahumma inni ala zikrika wasyukrika wahusni ibadatik"
(Ya Allah, tolonglah aku agar dapat berzikir kepada-Mu (mengingati Allah), bersyukur kepada-Mu, dan memperelokkan ibadah kepada-Mu.) - Riwayat Abu Daud.
Do'a untuk keselamatan dunia dan akhirat :
"Allahumma inni asalukal 'afiya fiddunia wal akhirah"
(Ya Allah, aku memohon kepada-Mu kesejahteraan di dunia dan akhirat) - Riwayat Tirmizi.
"Rabbana atinaa fiddunia hasanah wa fil akhirati hasanah wakina azabannar"
(Ya Allah, berilah kami kebaikan di dunia dan kebaikan di akhirat, dan lindungilah kami daripada azab api Neraka) - Riwayat Bukhari.
Akhirkata peruntukkanlah masamu untuk beribadah, berdo'a dan berzikir kepada Allah s.w.t. terutama diseperiga malam untuk menambahkan kekhusyukan kepada-Nya. Kesemua amalan soleh ini akan menjadikan diri kita cemerlang dalam kehidupan di dunia dan di hari Akhirat.
Bilakah Do'a Akan di Makbul?
Berdo'a adalah amalan yang dituntut oleh Islam. Seorang hamba yang merasa hina di sisi Tuhannya akan memanjatkan permohonan dan do'a kehadrat Allah s.w.t. agar ditunaikan segala hajat yang diperlukannya. Ia merasa amat kerdil dan tidak ada pergantungan dan pengharapan yang lain melainkan ditujukan kepada yang Maha Esa.
Sebagai seorang Mukmin yang yakin di atas Qada' dan Qadar Allah s.w.t. kalian kena berfikiran positif dan yakin apa sahaja keputusan Allah s.w.t.adalah keputusan yang terbaik, yang mana hanya Allah s.w.t. sahaja Maha Mengetahui di atas kehidupanmu pada masa sekarang dan masa akan datang. Terdapat tiga keadaan do'a kalian di sisi Allah s.w.t. iaitu seperti berikut :
Pertama : Apabila Allah cepat makbulkan do'amu, maka Dia menyayangimu.
Firman Allah s.w.t. yang bermaksud : "Dan apabila hamba-hamba-Ku bertanya kepadamu mengenai Aku maka (beritahu mereka) : Sesungguhnya Aku sentiasa hampir (kepada mereka); Aku perkenankan permohonan orang yang berdo'a apabila dia berdo'a kepada-Ku. Maka hendaklah mereka menyahut seruan-Ku dan hendaklah mereka beriman kepada-Ku supaya mereka menjadi baik serta betul."
Kedua : Apabila Dia lambat makbulkan do’amu, Dia ingin mengujimu.
Menurut al-Khatabi : "Jika Allah tidak menjawab do’a seseorang, Dia akan memberikan kepadanya ketenangan dan kelapangan dalam hatinya atau mengelakkan dirinya daripada kecelakaan, atau menggantinya dengan pahala."
Menurut hukama : "Manusia menyangka do’a mereka tidak dimakbulkan, sedangkan sebenarnya ia dimakbulkan melebihi daripada apa yang dipohon atau ia menolak dengan musibah atau penyakit lebih banyak daripada apa yang dipinta, atau diberikan ganjaran pada hari Qiyamat.”
Ketiga : Apabila Dia tidak makbulkan do’amu, maka Dia merancang sesuatu yang lebih baik untukmu.
Firman Allah s.w.t. yang bermaksud : “Boleh jadi kamu benci kepada sesuatu padahal ia baik bagi kamu, dan boleh jadi kamu suka kepada sesuatu padahal ia buruk bagi kamu. Dan (ingatlah), Allah jua Yang Maha Mengetahui (semua itu), sedang kamu tidak mengetahuinya.”
(Surah al-Baqarah ayat 216).
Oleh itu, sentiasalah bersangka baik pada Allah s.w.t. Firman Allah s.w.t. yang bermaksud : "Aku bersama sangkaan hamba-Ku terhadap-Ku, maka bersangka tentang-Ku apa sahaja yang kamu ingini."
(Hadis Qudsi)
No comments:
Post a Comment