Peranan Doa Dalam Kehidupan Seorang Mukmin
Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh
سْمِ اللهِ الرَّحْمنِ الرَّحِيْم
Segala puji bagi Allah, Tuhan sekelian alam. Selawat serta salam buat junjungan mulia Nabi Muhammad SAW keluarga serta para sahabat dan pengikut yang istiqamah menuruti baginda hingga ke hari kiamat.
Sahabat yang dirahmati Allah,
Berdoa adalah senjata orang mukmin. Orang mukmin akan terus berdoa kerana berdoa akan membina satu ikatan yang kukuh di antara hamba dengan Tuhannya. Berdoa juga adalah ibadah, boleh menolak bala dan mengubah qadak dan qadar dengan izin Allah SWT.
Firman Allah SWT :
ادْعُوا رَبَّكُمْ تَضَرُّعًا وَخُفْيَةً إِنَّهُ لَا يُحِبُّ الْمُعْتَدِينَ (55)
Maksudnya : "Berdoalah kepada Tuhanmu dengan berendah diri dan suara yang lembut. Sesungguhnya Allah tidak menyukai orang-orang yang melampaui batas.
(Surah al-A'raaf (7) ayat 55)
Ayat ini mengandung adab-adab dalam berdoa kepada Allah SWT. Berdoa adalah suatu munajat antara seorang hamba dengan Tuhannya untuk menyampaikan suatu permintaan agar Allah dapat mengabulkannya. Maka berdoa kepada Allah SWT hendaklah dengan sepenuh kerendahan hati, dengan betul-betul khusyuk dan berserah diri. Kemudian berdoa itu disampaikan dengan suara lemah dan lembut yang keluar dari hati sanubari yang bersih.
Berdoa dengan suara yang kuat menghilangkan kekhusyukan dan mungkin menjurus kepada ria dan pengaruh-pengaruh lainnya dan dapat mengakibatkan doa itu tidak dikabulkan Allah. Tidak perlulah doa itu dengan suara yang keras, sebab Allah Maha Mendengar dan Maha Mengetahui.
Diriwayatkan oleh Abu Musa Al-Asyari r.a. dia berkata: Ketika kami bersama-sama Rasulullah SAW. dalam perjalanan, terdengarlah orang-orang membaca takbir dengan suara yang kuat. Maka Rasulullah SAW bersabda :
إربعون على أنفسكم فإنكم لا تدعون اصم ولا غائبا إنكم تدعون سميعا قريبا وهو معكم
Maksudnya : "Sayangilah dirimu jangan bersuara kuat kerana kamu tidak menyeru kepada yang pekak dan yang jauh. Sesungguhnya kamu menyeru Allah Yang Maha Mendengar lagi Dekat dan Dia selalu beserta kamu."
(Hadis Riwayat Bukhari dan Muslim dari Abu Musa Al 'Asy'ari)
Bersuara kuat dalam berdoa boleh mengganggu orang, lebih-lebih orang yang sedang beribadat, baik dalam masjid atau di tempat-tempat ibadat yang lain, kecuali yang dibolehkan dengan suara kuat, seperti talbiyah dalam musim haji dan membaca takbir pada hari raya Idul Fitri dan Idul Adha. Allah SWT. memuji Nabi Zakaria a.s. yang berdoa dengan suara lembut.
Firman Allah SWT :
خَلَقَ السَّمَوَاتِ وَالْأَرْضَ بِالْحَقِّ تَعَالَى عَمَّا يُشْرِكُونَ
Maksudnya : "Iaitu tatkala ia berdoa kepada Tuhannya dengan suara yang lembut."
(Surah Maryam ayat 3)
Kemudian ayat ini ditutup dengan peringatan: "Sesungguhnya Allah tidak menyukai orang-orang yang melampaui batas." Maksudnya dilarang melampaui batas dalam segala hal, termasuk berdoa. Tiap-tiap sesuatu sudah ditentukan batasnya yang harus diperhatikan, jangan sampai dilampaui.
Firman Allah SWT :
تِلْكَ حُدُودُ اللَّهِ فَلَا تَعْتَدُوهَا وَمَنْ يَتَعَدَّ حُدُودَ اللَّهِ فَأُولَئِكَ هُمُ الظَّالِمُونَ
Maksudnya : "Itulah hukum-hukum Allah, maka janganlah kamu melanggarnya. Barang siapa yang melanggar hukum-hukum Allah, mereka itulah orang-orang yang zalim."
(Surah al-Baqarah ayat 229)
Bersuara kuat dan berlebih-lebihan dalam berdoa termasuk melampaui batas Allah tidak menyukainya. Termasuk juga melampaui batas dalam berdoa, meminta sesuatu yang mustahil adanya menurut syarak atau pun hukum akal, seperti seseorang meminta supaya dia menjadi kaya, tetapi tidak mahu berusaha atau seseorang menginginkan agar dosanya diampuni tetapi dia masih terus bergelimang berbuat maksiat dan melakukan dosa dan lain-lainnya. Berdoa seperti itu, namanya ingin merubah sunnatullah yang mustahil terjadinya.
Firman Allah SWT :
فَلَنْ تَجِدَ لِسُنَّةِ اللَّهِ تَبْدِيلًا وَلَنْ تَجِدَ لِسُنَّةِ اللَّهِ تَحْوِيلًا
Maksudnya : "Maka sekali-kali kamu tidak akan mendapatkan pergantian bagi sunah Allah dan sekali-kali tidak (pula) akan menemui penyimpangan bagi sunah Allah itu."
(Surah Fatir ayat 43)
Termasuk juga melampaui batas, bila berdoa itu dihadapkan kepada selain Allah atau dengan memakai perantara orang yang sudah mati dipanggil tawasul. Cara yang begini adalah melampaui batas yang sangat tercela. Berdoa itu hanya dihadapkan kepada Allah SWT sahaja, tidak boleh menyimpang kepada yang lain.
Firman Allah SWT :
قُلِ ادْعُوا الَّذِينَ زَعَمْتُمْ مِنْ دُونِهِ فَلَا يَمْلِكُونَ كَشْفَ الضُّرِّ عَنْكُمْ وَلَا تَحْوِيلًا
Maksudnya : "Katakanlah, 'Panggillah mereka yang kamu anggap (tuhan) selain Allah, maka mereka tidak akan mempunyai kekuasaan untuk menghilangkan bahaya dari padamu dan tidak pula memindahkannya'. Orang-orang yang mereka seru itu, mereka sendiri mencari jalan kepada Tuhan mereka, siapa di antara mereka yang lebih dekat (kepada Allah) dan mengharapkan rahmat-Nya dan takut akan azab-Nya. Sesungguhnya azab Tuhanmu adalah suatu yang (harus) ditakuti."
(Surah al-Israk ayat 56 dan 57)
Sabda Rasulullah SAW :
وروى عن أبي هريرة قال: قال رسول الله صلى الله عليه وسلم: سلو الله لي الوسيلة قالوا: وما الوسيلة؟ قال القرب من الله عزوجل ثم قرأ: يبتغون إلى ربهم الوسيلة أيهم أقرب
Diriwayatkan dari Abu Hurairah, dia berkata: Telah bersabda Rasulullah SAW : "Mintalah kepada Allah wasilah untukku." Mereka bertanya, "Ya Rasulullah, apakah wasilah itu?" Rasulullah menjawab, "Dekat dengan Allah Azza Wa Jalla." Kemudian Rasulullah membaca ayat: "(Mereka sendiri) mencari jalan kepada Tuhan mereka, siapa di antara mereka yang lebih dekat kepada Allah." (Hadis Riwayat Tirmizi dari Ibnu Mardawaih)
Sahabat yang dimuliakan,
Nabi SAW bersabda maksudnya :
“Tidak ada yang dapat mengubah takdir selain doa, dan tidak ada yang dapat memanjangkan umur melainkan memperbanyakan amal kebajikan”. (Hadis Riwayat Tirmizi)
Berdasarkan peringatan Rasulullah SAW ini, ternyata kepada kita bahawa pengaruh doa itu amat hebat sehingga ia mampu mengubah takdir Allah dan alangkah hebatnya pengaruh amal kebajikan kerana ia dapat memanjangkan umur seseorang. Ketika manusia tidak dapat lagi berbuat apa-apa, selepas habis daya usaha dan tiada sesiapa lagi yang mampu memberi bantuan yang diperlukan, ketika itu manusia akan sedar bahawa sesungguhnya kehidupan manusia tidak dapat dipisahkan daripada Allah SWT.
Kadangkala timbul pertanyaan, kita sering berdoa tetapi diyakini doa kita tidak dimakbul Allah SWT?. Seorang sahabat iaitu Saad Abi Waqas pernah meminta Rasulullah SAW agar memberinya panduan untuk mendapat doa yang makbul.
Menurut Ibnu Abbas r.a, Rasulullah SAW bersabda maksudnya : “ Wahai Sa'ad, makanlah makanan yang baik (lagi halal) tentu engkau menjadi orang yang makbul doanya. Sesungguhnya seorang yang pernah memasukkan sesuap makanan yang haram ke dalam perutnya, maka tidak akan dikabulkan doanya selama 40 hari. Sesiapa saja yang dagingnya tumbuh dari makanan yang haram maka nerakalah layak untuknya”. (Hadis Riwayat Thabrani)
Berdasarkan besar peranan doa dalam kehidupan umat Islam, maka Islam meletakkan doa sebagai sebahagian daripada ibadah kepada Allah. Dengan demikian permohonan doa itu hendaklah mematuhi adab-adab tertentu.
Berdasarkan rujukan al-Quran dan hadis, antara lain adab berdoa itu ialah:
Pertama : Suci dari hadas besar dan kecil.
Kedua : Menghadap ke arah kiblat dan dimulai dengan bacaan Surah al-Fatihah, pujian kepada Allah serta selawat kepada Nabi Muhamad SAW.
Ketiga : Berdoa dengan ikhlas, suara yang perlahan, merendah diri, mengaku kesalahan dosa yang lalu, dan yakin Allah akan mengkabulkan doa sama ada cepat atau lambat.
Keempat : Berdoa terus menerus sama ada semasa senang atau susah, dan tanpa putus asa.
Kelima : Tidak melampaui batas ketika berdoa iaitu berdoa untuk meminta kebinasaan, mengakibatkan keburukan atau menginginkan kejahatan sehingga boleh memutuskan silaturrahim, kerosakkan harta benda dan kezaliman sesama umat Islam.
Menurut sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Abu Daud bahawa Rasulullah SAW bersabda
maksudnya : “ Janganlah kamu sekalian berdoa untuk kebinasaan diri, kebinasaan anak-anak, dan janganlah pula berdoa untuk kebinasaan harta benda lebih-lebih lagi jika waktu doa berkebetulan dalam waktu yang mustajab”.
Sahabat yang dikasihi,
Doa adalah senjata ghaib umat Islam untuk memohon pertolongan Allah. Dalam hal ini terdapat tiga golongan yang doa mereka amat diterima oleh Allah bersandarkan kepada sebuah hadis Qudsi yang disampaikan oleh Abu Hurairah r.a bahawa Rasulullah SAW bersabda maksudnya : “ Tiga golongan yang tidak pernah ditolak doa mereka iaitu pertama, doa orang yang berpuasa; kedua, doa pemerintah yang adil; dan ketiga, doa orang yang dizalimi, di mana doa-doa mereka terbuka luas dan Allah memberi jaminan doa mereka pasti dipenuhi”. (Hadis Riwayat Tirmizi)
Sesungguhnya doa orang yang dizalimi dan teraniaya adalah mustajab. Apalagi kalau mereka itu orang-orang yang lemah, tiada kuasa dan orang tua. Semakin lemah mereka, maka semakin besar dan cepat pula pertolongan Allah datang membantu.
Berdasarkan hadis di atas kita perlulah berhati-hati jangan melakukan pelbagai bentuk kezaliman, pembohongan, ketidakadilan, fitnah-memfitnah dan penganiayaan dalam keluarga, masyarakat dan negara.
Pemimpin yang adil kepada rakyatnya doanya makbul di sisi Allah SWT. Tetapi jika pemimpin pula yang zalim kepada rakyatnya, menafikan hak rakyat bersuara dan mengadakan perhimpunan aman dan menahan rakyat tanpa di adili dimahkamah adalah suatu perbuatan yang zalim, ketika ini doa rakyat yang dizalimi akan makbul dan mustajab di sisi Allah SWT.
Berdasarkan peringatan Allah SWT dan Rasulullah SAW itu, maka yakinlah mereka yang melakukan kezaliman, fitnah dan penganiayaan kepada manusia tidak akan terlepas begitu sahaja.
Sebagai peringatan berhubung tingkah laku kita, marilah kita menghayati firman Allah SWT ini yang bermaksud : “Sesiapa yang mengerjakan amal soleh maka faedahnya akan terpulang kepada dirinya sendiri, dan sesiapa yang berbuat kejahatan maka bahayanya akan menimpa dirinya sendiri; dan Tuhanmu tidak sekali-kali berlaku zalim kepada hamba-hamba-Nya.” (Surah Fussilat ayat 46)
Rasulullah SAW ketika ditanya tentang kebanyakan hal-hal yang memasukkan manusia ke dalam syurga, baginda menjawab : “Takwa kepada Allah dan akhlak yang baik!” Dan ketika baginda ditanya lagi tentang kebanyakan hal-hal yang dapat memasukkan manusia ke dalam neraka, baginda menjawab : “Mulut dan kemaluan!”. (Hadis Riwayat Tirmidzi)
Dari Abu Hurairah r.a, bahwa sesungguhnya Rasulullah SAW telah bersabda : “Takutlah kamu terhadap prasangka. Sebab sesungguhnya prasangka adalah sedusta-dusta pembicaraan. Janganlah kamu mencari-cari dan meneliti kesalahan orang lain, janganlah kamu saling mendengki, janganlah kamu saling membenci dan janganlah kamu saling belakang membelakangi . Jadilah kamu hamba-hamba Allah yang bersaudara sebagaimana Allah telah memerintahkan kepadamu. Orang muslim adalah saudara muslim yang lain, tidak saling menzhalimi, tidak saling merendahkan dan tidak saling menghina. Takwa adalah di sini, takwa adalah di sini”, sambil Rasulullah menunjuk ke a rah dada. Kemudian melanjutkan sabdanya : “Cukuplah keburukan bagi seseorang dengan menghina saudaranya sesama muslim. Setiap muslim adalah haram atas muslim yang lain akan darah, kehormatan dan hartanya. Sesungguhnya Allah tidak melihat kepada tubuhmu dan rupamu, tetapi Allah melihat kepada hatimu”. (Hadis Riwayat Muslim)
No comments:
Post a Comment