Saturday, February 15, 2014

DOA BUKA HATI

Do'a Membuka Pintu Hati Untuk Menerima Al-Quran dan Ilmu Yang Haq

Sahabat yang dirahmati Allah,
Kenapa kita merasai sukar untuk menghafal ayat-ayat Allah?
Kenapa mukjizat Al-Qur'an tidak menyerap masuk kedalam hati kita?
Kenapa arahan Al-Qur'an tidak mampu kita hayati di dalam kehidupan kita?


Kenapa kita sukar untuk memahami Islam,
walaupun setiap hari kita membaca bahan-bahan mengenai Islam?


Kenapa kita sukar untuk melaksanakan Islam dalam kehidupan kita,
walaupun kita mengetahui setiap arahan Allah dan Rasul-Nya wajib kita patuhi?


Tepuk dada tanya iman kita...adakah kerana banyak kotoran yang melekat dihati kita hinggakan nur hidayah dan nur rahmat tidak mudah menyerap masuk di hati kita.?


Untuk menjawab persoalan ini marilah kita hayati do'a yang diajarkan oleh Rasulullah s.a.w. kepada Sayyidina Ali k.w.


Abdullah bin Abbas r.a. berkata, "Saya pergi ke majlis Nabi dan disana Sayyidina Ali k.w telah datang dan berkata, "Wahai Rasulullah, saya mengorbankan ayah dan ibu saya untuk tuan, ayat-ayat Al-Qur'an tidak melekat pada hati saya. Apa-apa saja yang saya hafal tidak kekal dalam ingatan."


Nabi s.a.w bersabda maksudnya , "Hendakkah saya memberitahu kamu satu cara yang akan memberi manfaat kepada kamu dan kepada sesiapa yang akan kamu  sampaikan tentang hal ini serta apa-apa sahaja yang kamu pelajari akan terpelihara dalam ingatanmu?"


Diatas permintaan Ali k.w  Nabi s.a.w memberitahu, "Apabila tiba malam jumaat, sekiranya kamu mampu, bangunlah pada satu pertiga bahagian akhir malam. Masa itu masa yang paling baik kerana masa itu adalah masa para malaikat turun ke bumi dan masa yang khusus untuk penerimaan do'a. Untuk menunggu masa tersebutlah Nabi Ya'akub a.s. berkata kepada anak-anaknya yang bermaksud, " Tidak lama lagi aku akan memohon keampunan untuk kamu daripada Tuhanku." (yakni  malam jumaat).


Setelah selesai solat tahajjud 4 rekaat , memuji Allah s.w.t, beristighfar, berselawat dan mohon keampunan untuk kaum Muslimin dan Muslimat baik yang masih hidup atau telah meninggal dunia maka teruskan membaca do'a ini :


"Ya Allah, rahmatilah daku sehingga daku dapat meninggalkan segala maksiat selama Engkau menghidupkan daku. Rahmatilah daku supaya daku tidak menanggung apa-apa beban yang tidak memberi manfaat kepadaku. Kurniakanlah kepada daku pandangan yang baik terhadap amalan yang membawa daku kepada keredhaan-Mu.


Wahai Tuhan yang menciptakan langit dan bumi, wahai Tuhan yang memiliki kehebatan dan kemuliaan serta kehormatan yang tidak mungkin dapat dicapai oleh sesiapapun. Wahai Allah, wahai yang Maha Pemurah, aku memohon dengan kehebatan dan nur wajah-Mu supaya Engkau menetapkan hatiku untuk menghafal kitab-Mu sebagaimana Engkau telah mengajarku. Dan kurniakanlah (taufik) supaya daku dapat membaca al-Qur'an dengan cara yang menyebabkan Engkau redha terhadapku. 


Wahai Tuhan yang menciptakan langit dan bumi, yang memiliki kehebatan, kemuliaan dan kehormatan yang tidak dapat di capai (oleh sesiapapun), wahai Allah dan wahai Tuhan yang Maha Pemurah, aku memohon dengan kehebatan dan nur wajah-Mu supaya Engkau mencahayakan penglihatanku dengan nur kitab-Mu dan Engkau mengerakkan lidahku untuk menyebut al-Qur'an dan Engkau menghilangkan kesempitan hatiku dengan keberkesanan al-Qur'an dan Engkau lapangkan dadaku dengan keberkatan al-Qur'an.


Dan Engkau membasuh badanku dengan al-Qur'an (dari kekotoran dosa) kerana sesungguhnya tiada pembantu bagiku keatas perkara yang haq (benar) kecuali Engkau dan tidak ada yang mengurniakan perkara haq itu (kepadaku) kecuali Engkau. 
Dan tiada daya (untuk melakukan sebarang kebaikan) dan tiada upaya (untuk menjauhi sebarang kejahatan) kecuali dengan Allah Yang Maha Tinggi lagi Maha Agung."


Selanjutnya, Rasulullah s.a.w bersabda maksudnya, "Wahai Ali, lakukanlah amalan ini sama ada 3 kali Jumaat, 5 kali Jumaat atau 7 kali Jumaat. Insya Allah do'a kamu pasti akan dikabulkan. Demi Zat yang mengutuskan daku dengan kebenaran, do'a ini tidak akan ditolak daripada mana-mana Mukmin."


Abdullah bin Abbas r.a. berkata, " Setelah berlalu 5 atau 7 minggu maka Sayyidina Ali k.w. telah datang ke majlis Nabi s.a.w. dan berkata, "Wahai Rasulullah, dahulu saya membaca lebih kurang 4 ayat, itu pun saya tidak dapat mengingat sedangkan sekarang saya membaca 40 ayat dan ayat-ayat itu dapat saya ingati sehingga seolah-olah al-Qur'an terbuka dihadapan saya. Sekarang, setelah saya mendengar hadis, apabila saya ingin menyampaikan hadis itu kepada orang lain, satu huruf pun saya tidak tertinggal."


Sahabat yang dimuliakan,
Marilah kita amalkan do'a ini semoga terbuka pintu hati kita untuk menerima ayat-ayat al-Qur'an dan  ilmu yang haq dan benar dan mampu pula kita amalkan dan sampaikan kepada orang lain. Semoga Allah s.w.t memberi taufik dan hidayah-nya kepada kita semua dan diiringi pula dengan rahmat dan keberkatan.

No comments:

Powered By Blogger | Template Created By Lord HTML