Orang Mukmin Sentiasa Bersyukur Kepada Allah SWT Dengan Lidah, Anggota Badan dan Hati
السَّلاَمُ عَلَيْكُم
سْمِ اللهِ الرَّحْمنِ الرَّحِيْم
Segala puji bagi Allah, Tuhan sekelian alam. Selawat serta salam buat junjungan mulia Nabi Muhammad SAW keluarga serta para sahabat dan pengikut yang istiqamah menuruti baginda hingga ke hari kiamat.
Sahabat yang dirahmati Allah,
Sesiapa yang sentiasa bersyukur bermakna dirinya mengingati Allah SWT. Rasa bersyukur terhadap Maha Pencipta yang memberikan segala kehidupan ini dan rasakan diri sentiasa hampir kepada-Nya. Allah SWT akan membalasnya dengan rahmat dan nikmat-Nya yang banyak.
Allah SWT berfirman yang bermaksud: “Maka ingatlah Aku nescaya Aku akan mengingatimu dan syukurilah atas nikmat-Ku dan janganlah sekali-kali kamu kufuri nikmat-Ku.” (Surah al-Baqarah, ayat 152).
Bersyukur kepada Allah SWT terdapat tiga tingkat iaitu :
Pertama : Syukur dengan lidah.
Kedua : Syukur dengan anggota .
Ketiga : Syukur dengan hati.
Huraiannya :
Pertama : Syukur dengan lidah.
Orang mukmin sentiasa lidahnya mengucapkan syukur kepada Allah SWT dengan mengucapkan "alhamdulillah". Mengucapkan syukur dengan memuji dan memuja Allah SWT sebagai Tuhan Yang Maha Berkuasa diseluruh alam semesta tanda kita berterima kasih kepada-Nya yang telah memberikan rezeki dan nikmatnya yang banyak dan kita tidak akan mampu membalasnya.
Tanda bersyukur dengan lidah maka lidah itu akan mengucapkan kalimah "alhamdulillah" berulang-ulang, setiap masa dan ketika apabila kita memperolehi rezeki, kejayaan, jodoh, mendapat anak, pekerjaan, projek , lulus pepereksaan dan lain-lain lagi. Selaian daripada ucapan kalimah "alhamdulillah" tanda syukur kepada Allah SWT maka lidah perlu digunakan untuk berzikir kepada Allah SWT, membaca al-Quran, berkata benar, mengajak kepada makruf dan menyuruh tinggalkan kemugkaran. Di kawal lidah itu supaya tidak memaki-hamun, menentang hukum-hukum Allah SWT, mengumpat dan menabur fitnah.
Betapa besarnya fadilat dan pahala apabila kita banyakkan menyebut "alhamdulillah" seperti hadis Nabi SAW.
Dari Abu Malik Al-Harits bin Ashim Al-Asy’ari r.a. berkata, bahwa Rasulullah SAW bersabda, “Kebersihan itu adalah sebagian dari iman. "Alhamdulillah" itu memberatkan timbangan. "Subhanallah" dan "Alhamdulillah" keduanya memenuhi ruang antara langit dan bumi. Solat itu adalah cahaya, sedekah itu adalah burhan (bukti/petunjuk). Kesabaran adalah cahaya. Al-Quran adalah hujjah (bukti) untuk membelamu atau menentangmu. Setiap manusia bekerja, maka ada yang menjual dirinya dengan bekerja berat untuk keselamatannya atau kehancurannya.” (Hadis Riwayat Muslim)
Hadis di atas menggambarkan bahwa “alhamdulillah” memberatkan timbangan. Bahkan Rasulullah SAW. mengulanginya lagi dengan mengatakan bahwa fadhilah, “subhanallah” dan “alhamdulillah” adalah akan memenuhi ruang antara langit dan bumi.
Rasulullah SAW. bersabda yang bermaksud :
"Siapa yang tidak bersyukur dengan pemberian yang sedikit, dia juga tidak akan bersyukur dengan pemberian yang banyak. Siapa yang tidak mensyukuri manusia, bererti dia juga tidak mensyukuri Allah. Memperkatakan nikmat Allah adalah tanda syukur, dan mengabaikannya adalah kufur. Berjemaah itu dirahmati, sedangkan berpecah belah itu mengundang azab."
(Hadis Riwayat Ahmad dalam Musnad Ahmad)
Kedua : Syukur dengan anggota .
Tanda seseorang itu bersyukur dengan anggota adalah melahirkan rasa terima kasih kepada Allah SWT dengan menggunakan anggota (kesemua sekali) ke arah kebaikan.
Bersyukur dengan tubuh badan, yakni menbelanjakan rezeki yang Allah berikan untuk keperluan diri, keluarga dan agama. Sentiasa mencegah daripadaa menggunakan nikmat Allah SWT untuk berbuat perkara yang mungkar dan ditegah oleh Allah SWT.
Laksanakanlah sepenuhnya konsep syukur dalam aktiviti harian kita agar sentiasa cemerlang serta dapat membawa kebaikan kepada manusia lain. Ingatlah, bersyukur yang sebenarnya dengan anggota adalah nampak penghayatan dalam kehidupan.
Tanda kita bersyukur diatas nikmat rezeki yang dikurniakan Allah SWT. kita laksanakan zakat, sedekah dan amal jariah.
Tanda kita bersyukur diatas nikmat kesihatan tubuh badan dan akal fikiran kita melaksanakan ibadah dan amalan soleh dan sentiasa mentaati Allah dan Rasul-Nya.
Tanda kita bersyukur diatas nikamat ilmu pengetahuan yang kita peroleh adalah kita pergunakan ia untuk menegakkan Islam dan melaksanakan peraturan hidup yang diturunkan Allah SWT. kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW.
Tanda kita syukur nikmat mata, maka mata akan digunakan untuk membaca al-Quran, menuntut ilmu yang bermanfaat dan tidak melihat perkara yang haram.
Tanda kita bersyukur dengan nikmat tangan dan kaki, maka kedua-duanya digunakan untuk berjihad dijalan Allah SWT dan menjalankan kerja-kerja dakwah dan tarbiah.
Tanda bersyukur dengan nikmat harta, maka hartanya akan dibersihkan dengan dibayar zakat dan tidak bakhil untuk bersedekah dan infak di jalan Allah SWT.
Ibnu Abbas r.a berkata : "Bersyukur adalah taat dengan segenap anggota badan kepada Allah SWT., baik secara sembunyi ataupun terang-terangan serta secara lisan maupun di dalam hati. Setelah itu sedaya upaya menjauhi maksiat serta kemungkaran."
Tegasnya kewajipan kita hanyalah bersyukur serta mengaggungkan Allah SWT sehingga kita tidak membuat sebarang maksiat. Disamping beroleh nikmat, kadangkala kita juga ditimpa musibah. Dalam hal ini kita mestilah menghadapinya dengan bersabar.
Ketiga : Syukur dengan hati.
Syukur dengan hati adalah tahap syukur yang paling susah untuk dicapai kecuali dengan cara belajar dan mendalami ilmu (pengetahuan agama dan iman). Iaitu hati sentiasa ingat kepada Allah SWT dan merasakan bahawa segala taat yang dilakukan ini adalah semata-mata kerana Allah SWT untuk melakukan taat itu. Bersyukur dengan hati, yakni bahawa segala nikmat itu
datangnya daripada Allah SWT.
Hati perlu dididik dengan didikan iman dan banyakkan berzikir kepada Allah SWT supaya hati itu hidup, bersih dan sejahtera. Apabila hati itu telah diproses dengan tarbiah imaniah maka akan lahirlah hati yang sentiasa bersyukur kepada Allah SWT.
Maka wajiblah seseorang mendidik hatinya dengan zikrullah yang banyak supaya ianya dapat disucikan. Apabila hatinya suci dan bercahaya dengan cahaya zikrullah maka akan terlihat didalam hatinya betapa banyak dan besarnya nikmat dan rahmat Allah SWT kepadanya.
Dari Abu Hurairah ra berkata, bahawa Rasulullah SAW. bersabda : “Barang siapa yang bertasbih seratus kali pada setiap selesai solat, dan bertahlil seratus kali, maka akan diampuni dosa-dosanya meskipun dosa-dosanya tersebut seumpama buih di lautan. (Hadis Riwayat Nasa’i)
Hati yang sentiasa bersyukur tidak akan buruk sangka dengan ketentuan Allah SWT. Sentiasa reda dengan qadak dan qadar dan tidak akan mudah putus asa dan rasa kecewa . Hati yang sentiasa bersyukur juga tidak akan wujud perasaan hasad dengki, iri hati dan benci kepada kelebihan orang lain. Semuanya bergantung kerana kemantapan hubungan hati dengan Allah SWT.
Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: “Tidaklah kekayaan itu dengan banyak harta, tetapi sesungguhnya kekayaan itu ialah kekayaan jiwa.” ( Hadis riwayat Bukhari dan Muslim)
Sahabat yang dimuliakan,
Marilah sama-sama kita bersyukur kepada Allah SWT samaada syukur dengan lidah, syukur dengan anggota badan dan syukur dengan hati, nescaya kita akan menjadi hamba-Nya yang diredai dan dikasihi di dunia dan akhirat.
Firman-Nya bermaksud: “Sesungguhnya jika kamu bersyukur, pasti Kami akan menambah (nikmat) kepadamu dan jika kamu mengingkari (nikmat Ku), maka sesungguhnya azab Ku sangat pedih.”(Surah Ibrahim, ayat 7).
No comments:
Post a Comment