Saturday, February 15, 2014

BACAAN AL-QURAN DI KUBUR

Bacaan Al-Qur'an di Kubur




Sahabat yang dirahmati Allah,
Perlu disedari bahawa amalan membaca al-Quran di atas kubur merupakan permasalahan  cabang agama. Ia bukannya permasalahan tunjang menyentuh masaalah Iman dan Islam. Amalan cabang (furu') boleh dibuat atau ditinggalkan dan iannya tidak menjejaskan aqidah seseorang Mukmin. Oleh hal yang demikian itu, mengamalkannya dikira satu kebaikan. Manakala meninggalkannya bukanlah satu kecelaan. Demikian betapa fleksibelnya hukum syarak dalam permasalahan ini.

Tinjauan permasalahan ini menemukan kita dengan beberapa dalil sama ada daripada kitab suci al-Quran mahupun al-Sunnah. Ulama ada perselisihan pendapat mengenai bacaan al-Qur'an samada sampai atu tidak kepada simati. Disini dikemukakan beberapa pendapat ulama dan dalil-dalil menjadi pegangan mereka yang menyatakan bahawa bacaan al-Qur'an dan zikir-zikir itu sampai kepada simati.

Analisis fakta

Perlu diketahui secara insaf bahawa amalan membaca al-Quran di atas kubur berteraskan kepada dalil yang pelbagai. Adakalanya berstatus sahih, hasan, dhaif dan amat dhaif. Selain itu, kita juga yakin untuk menolak daripada menggunakan hadis-hadis palsu. Antaranya ialah:

1.  Imam Muslim meriwayatkan: “Setiap anggota tubuh kamu berpagi-pagian dengan sedekah ke atasnya. Setiap tasbih adalah sedekah. Setiap tahmid adalah sedekah. Setiap tahlil adalah sedekah. Setiap takbir adalah sedekah. Menyuruh yang makruf adalah sedekah. Melarang yang mungkar adalah sedekah. Semua itu dapat diperolehi melalui dua rakaat solat di waktu dhuha.” (Muslim bin Hajjaj al-Neisaburi, Sahih Muslim, ed : Muhammad Fu’ad Abd al-Baqi, t.th, Dar Ihya’ Thurath al-Arabi: Beirut , hlm 498 juz 1)

Imam al-Qurtubi mengatakan: “Berdasarkan dalil inilah para ulama menggalakkan menziarahi kubur kerana bacaan al-Qur’an itu bagaikan buah tangan untuk si mati yang dibawa oleh penziarah kubur.” (al-Qurtubi, al-Tazkirah, Maktabah al-Iman: Mansurah, Mesir, hlm. 74)

Imam Abdullah bin al-Siddiq al-Ghumari mengatakan: “Hadis ini memberi kita satu kefahaman bahawa bacaan al-Qur’an juga termasuk dalam erti kata sedekah menurut syarak.” (Abdullah bin al-Siddiq, Itqan al-Sun’ah fi Tahkik Makna al-Bid’ah, 1997, Maktabah al-Qaherah: Mesir)

2.  Imam Muslim meriwayatkan sebuah hadis tatkala Baginda s.a.w ditanyakan tentang solat qasar dalam suasana aman. Baginda s.a.w bersabda yang bermaksud: “Ia adalah sedekah yang disedekahkan oleh Allah kepada kamu. Maka terimalah sedekahnya.” (Muslim bin Hajjaj, Sahih Muslim, hlm 478 juz 1)

Al-Qurtubi mengatakan: “Asal kepada bab ini ialah sedekah yang tidak ada pertikaian pendapat di kalangan ulama. Sebagaimana pahala sedekah sampai kepada si mati maka begitu jugalah pahala membaca al-Quran sampai kepada si mati. Ini kerana semua itu termasuk dalam erti kata sedekah. Sedekah bukan terbatas kepada harta benda sahaja. Sebagaimana sabda Rasulullah s.a.w ketika Baginda ditanyakan tentang solat qasar dalam keadaan aman.”

3.  Imam al-Thabrani meriwayatkan: “Menceritakan kepada kami al-Hussain bin Ishak al-Tustari, menceritakan kepada kami Ali bin Hajr, menceritakan kepada kami Mubasyir bin Ismail, menceritakan kepada kami Abd Rahman bin al-A’la bin Lajlaj daripada bapanya, katanya : berkata Abu al-Lajlaj Abu Khalid : “Wahai anakku, apabila aku meninggal dunia kebumikanlah aku. Apabila kamu meletakkan jasadku di liang lahad, bacalah: “Dengan nama Allah dan atas agama Rasulullah SAW, Kemudian curahkanlah tanah dengan cermat ke atasku. Kemudian bacalah disisi kepalaku permulaan surah al-Baqarah dan penutupnya, kerana aku telah mendengar Rasulullah s.a.w bersabda sedemikian.” (al-Thabrani, Mu’jam al-Kabir, 1982, Maktabah al-Ulum Wal Hikam, hlm 220 juz 19)

Imam al-Haitsami di dalam Majma’ al-Zawa’id hlm 44 juz 3 mengatakan bahawa rangkaian perawi ini terdiri dari kalangan perawi yang ditsiqahi (dipercayai). Manakala Imam al-Hakim membawa kesaksian hadis ini di dalam kitabnya al-Mustadrak hlm 512 juz 3 (al-Hakim, al-Mustadrak ‘Ala Sahihain, 1990, Dar al-Kutub al-Ilmiyyah).

Imam Ibn Hajar al-Asqalani di dalam Talkhis al-Habir turut memperakui hadis ini. (al-Asqalani, Talkhis al-Habir, 1964, ed: Abdullah Hasyim al-Yamani, al-Madinah al-Munawwarah, hlm 130 juz 2). Juga tiada sebarang komentar daripada Imam al-Zaila’ie di dalam Nusb al-Rayah hlm 302 juz 2.

Senario kesaksian ini juga turut dipersetujui oleh Sayyid Muhammad Alawi al-Makki di dalam kitabnya Hadaya al-Ahya’ Lil Amwaat (Hadiah Si Hidup Kepada Si Mati) halaman 57.

Pemerincian sanad hadis ini dibuat berdasarkan kepada beberapa pandangan para pengkritik hadis. Jika para pengkritik hadis bertauliah menerimanya… kenapa tidak dengan kita?

Hadis di atas secara jelas menaskan kepada kita bahawa Abu al-Lajlaj Abu Khalid (seorang sahabat) mendengar Nabi s.a.w menggalakkan para sahabat membaca ayat suci al-Qur’an di bahagian kepala dan kaki si mati di atas kubur. Lalu mewasiatkan amalan tersebut kepada anaknya supaya berbuat demikian.

Ternyata amalan membaca ayat suci al-Quran di atas kubur bukanlah sesuatu bid’ah yang sesat. Bahkan ia diwarisi daripada Nabi s.a.w sendiri. Justeru, amalan ini merupakan satu sunnah yang terpuji.

4.  Imam al-Baihaqi, al-Thabrani dan al-Hakim meriwayatkan daripada Ibn Umar r.a berkata: “Aku mendengar Rasulullah s.a.w: “Apabila salah seorang kamu meninggal dunia, jangan kamu menahan jenazahnya dan segeralah membawanya ke kubur. Bacalah di sisi kepalanya Fatihatul Kitab (surah al-Fatihah) – lafaz al-Baihaqi berbunyi: “… permulaan surah al-Baqarah dan di sisi kakinya penutup surah al-Baqarah di kuburnya.” (al-Thabrani, Mu’jam al-Kabir m/s 44 juz 12, al-Baihaqi, Syuab al-Iman m/s 16 juz 7)

Imam al-Haitsami di dalam Majma’ al-Zawaid, halaman 44 juz 3 mengatakan: “Hadis ini diriwayatkan oleh al-Thabrani di dalam Mu’jam al-Kabir. Padanya terdapat Yahya bin Abdullah al-Bablati. Dia merupakan seorang perawi yang lemah.” Seterusnya al-Haitsami mengintegrasikan sanad yang lemah ini dengan riwayat al-Baihaqi. Riwayat itu bersumberkan Abd Rahman bin al’-‘Ala bin al-Lajlaj yang diperakui kesahihannya.

Kedua-dua hadis ini secara jelas membuktikan kepada kita bahawa Ibn Umar dan  Abu Khalid al-Lajlaj mendengar galakan daripada Nabi s.a.w agar dibacakan ayat-ayat suci al-Qur’an di tanah perkuburan.

Walaupun riwayat dari Thabrani ini bertaraf dhaif, namun ia dibantu dengan beberapa riwayat yang sahih daripada Imam Muslim dan al-Baihaqi sebagaimana di atas.

Tambahan pula, Imam Ibn Hajr al-Asqalani mendakwa bahawa ia berstatus hasan (baik). (al-Asqalani, Fath al-Bari, 1379H, Dar al-Makrifah: Beirut , hlm. 184, juz 3)

Manakala Imam al-Ajlouni ketika membentangkan hadis ini menyatakan bahawa hadis yang diriwayat al-Thabrani ini adalah marfuk. (al-Ajlouni, Kasyf al-Khafa’, 1405H, Muassasah al-Risalah: Beirut , cet 4, hlmm 192, juz 1)

Al-Zurqani mengatakan: “Bahawa hadis: “Apabila seseorang kamu telah meninggal dunia jangan kamu menahannya..adalah diriwayatkan al-Thabrani dengan sanad-sanadnya yang hasan.” ( al-Zurqani, Syarh al-Zurqani, 1411H, Dar al-Kutub al-Ilmiyyah: Beirut , hlm 127 juz 2). Kehasanan hadis ini juga turut diperakui oleh al-Syaukani di dalam Subul al-Salam. (al-Syaukani, Subul al-Salam, 1379H, Dar Ihya’ Thurats al-Arabi : Beirut , Cet 4, hlm. 106, juz 2)

Justeru, kedhaifan sanad pada riwayat al-Thabrani secara automatik ditampung dengan riwayat yang sahih dan dhaif yang lain. Himpunan jaluran sanad yang dhaif menjadikan ia bertaraf hasan sebagaimana diperakui ulamak. Justeru, situasi ini sedikit pun tidak mencacatkan penghujahan terhadap amalan membaca al-Quran di tanah perkuburan. Bahkan hujahnya kekal dalam kelasnya yang tersendiri.

5.  Imam Ahmad, Abu Daud, al-Nasai’ie, al-Tirmidzi dan Ibn Majah meriwayatkan daripada Ma’qil bin Yasar bahawa Nabi s.a.w bersabda (yang bermaksud): “Hati al-Quran adalah Yaasin. Tidaklah dibaca surah itu oleh seseorang yang mengkehendaki Allah dan hari akhirat melainkan diampunkan dosanya. Bacalah Yaasin kepada orang mati kamu.”

Hadis ini dipandang sahih oleh Ibn Hibban dan al-Hakim. Ibn Hibban menyebutkan bahawa yang dimaksudkan dengan orang mati di dalam hadis ini ialah orang yang hampir mati.. pendapat ini ditarjih oleh Ibn Qayyim dengan beberapa alasan yang diberikannya. Akan tetapi Ibn Rif’ah berpegang kepada zahir hadis di atas. Lantaran itu, beliau mengesahkan bahawa surah Yaasin boleh dibacakan kepada orang yang telah mati. Al-Syaukani pula berpendapat bahawa lafaz al-Mauta pada hakikatnya bermaksud orang yang telah mati. Dan maksud hakikat tidak boleh dipesongkan melainkan ada karenahnya.

Syeikh Abdullah bin al-Siddiq al-Ghumari berpendapat bahawa tidak menjadi halangan dibacakan al-Quran kepada orang yang hampir mati supaya dia dapat mentadabbur bacaan itu. Manakala tidak menjadi halangan dibacakan al-Qur’an kepada orang yang telah mati supaya seseorang itu mendapat manfaat pahalanya.” (al-Ghumari, Itqan al-Sun’ah, hlm. 87 )

6.  Imam al-Baihaqi meriwayatkan: “Menceritakan kepada kami Abu Abdullah al-Hafiz dari Abu al-Abbas bin Ya’qub dari al-Abbas bin Muhammad, katanya: “Aku bertanya Yahya bin Ma’in tetang membaca al-Qur’an di atas kubur? Lalu beliau menjawab berdasarkan kepada riwayat Abd Rahman bin al-‘Ala bin al-Lajlaj daripada ayahnya daripada Ibn Umar yang menggalakkan amalan sedemikian.”

Imam Ibn Hajr al-Asqalani di dalam Amali al-Azkar mengesahkan bahawa hadis ini bertaraf mauquf dan hasan.

Berdasarkan kepada keterangan di atas, jelaslah kepada kita bahawa Imam Yahya bin Ma’in (sarjana hadis yang mashyur) sendiri turut membenarkan amalan membaca al-Qur’an di atas kubur.

7. Imam Muslim meriwayatkan : “Jangan kamu jadikan rumah kamu seperti kawasan perkuburan. Sesungguhnya syaitan akan lari daripada rumah yang dibacakan di dalamnya surah Al-Baqarah(Muslim, Sahih Muslim, no: 870, hlm. 539, juz 1).

Imam al-Tirmidzi mengatakan: “Perkara yang dimaksudkan ‘Jangan kamu jadikan rumah kamu seperti tanah perkuburan’ bermaksud jangan jadikan ia (rumah) sunyi dari berzikir dan melakukan ketaatan (kebaikan) sepertimana tanah perkuburan dan orang mati…” (al-Tirmidzi, Tuhfah al-Ahwazi, t.th, Dar al-Kutub al-Ilmiyyah : Beirut , hlm 146 juz 8)

Perintah hadis ini bersifat umum, iaitu menggalakkan kita untuk membaca al-Quran di rumah atau di mana-mana sahaja kita berada asalkan bertunjangkan kepada niat, cara, tempat yang baik dan munasabah.

Kandungan hadis ini sama sekali tidak menjustifikasikan larangan membaca al-Quran di tanah perkuburan. Ini kerana kebenaran membaca al-Quran di tanah perkuburan tsabit dengan pemerincian hadis-hadis di atas.

Oleh yang demikian, hadis yang bersifat umum tidak boleh digunakan hujjah untuk membatalkan galakan yang bersifat khusus. Hal ini penting bagi mengelak percanggahan hadis.

Tambahan pula, galakkan Rasulullah SAW supaya kita membaca al-Quran khususnya surah al-Baqarah ternyata ada kelebihan tersendiri. Bacaan surah ini dapat menghalau syaitan daripada bermastautin kerana penghuninya telah menghidupkan suasana rumah dengan ibadat.

Mafhum sebaliknya, jika kita tidak membaca al-Quran di tempat kediaman, maka jadilah tempat kediaman itu sunyi sepi bagaikan tanah perkuburan. Walaupun kediaman dihuni makhluk hidup tetapi suasana kediaman itu bagaikan dihuni orang mati apabila tidak diserikan dengan ibadat. Itulah yang dimaksudkan dengan ‘Jangan jadikan rumah kamu seperti tanah perkuburan.’

Terdapat beberapa pendapat para ulama mengenai bacaan al-Qur'an untuk simati akan sampai kepada mereka pahala bacaan tersebut :

1.   Muhammad bin Ahmad al-Muruzi berkata: Aku mendengar Ahmad bin Hanbal berkata: “Apabila kamu masuk ke kubur, bacalah fatihah al-Kitab dan ayat Muawwizatain dan surah al-Ikhlas. Jadikanlah pahalanya untuk penghuni kubur itu kerana pahalanya itu sampai kepada mereka.”

2.   Di dalam kitab al-Azkar di bawah tajuk: “Apa yang perlu dibaca selepas pengebumian?. Imam al-Nawawi menyebutkan: “Al-Syafie dan para sahabat (ulamak Syafi’iyyah) mengatakan: “Disunatkan membaca disisi kubur sesuatu daripada ayat al-Quran. Mereka mengatakan: Jika mereka mengkhatamkan al-Qur’an kesemuanya maka itu adalah (sesuatu yang) baik.” (al-Nawawi, al-Azkar, Dar al-Makrifah: Beirut, 1996, hlm. 142 )

3.   Imam al-Zahabi di dalam Takzikah al-Huffaz ketika membicarakan biodata al-Khatib al-Baghdadi menyebutkan: “Tatkala beliau meninggal dunia orang membacakan al-Quran di atas kuburnya dengan beberapa kali dikhatamkan.”

4.   Imam al-Hassan bin al-Sobbah al-Za’farani berkata: “Aku bertanya kepada al-Syafi’ie tentang bacaan al-Quran di kubur. Lalu beliau menjawab: “Tidak mengapa. Al-Khallal meriwayatkan daripada Al-Sya’bie katanya: “Orang Ansar apabila berlakunya kematian dikalangan mereka, maka mereka selalu mengunjungi kuburnya untuk membaca al-Quran di sisinya.”

5.   Al-Khara’iti di dalam kitab al-Kubur menyebutkan: “Menjadi Sunnah kebiasaan ornag-orang ansar apabila mengusung mayat mereka membaca surah al-Baqarah.”

6.   Al-Qurtubi mengatakan: “Sebahagian ulama kami mengemukakan dalil sampainya bacaan al-Quran kepada si mati dengan hadis berkenaan pelepah tamar yang dibelah dua oleh Nabi s.a.w. Kemudian Baginda memacaknya satu di atas kubur orang ini dan satu lagi di atas kubur yang lain. Kemudian Baginda bersabda: “Mudah-mudahan ia dapat meringankan mereka berdua selagi kedua-duanya tidak kering.” Riwayat al-Syeikhain: Bukhari Kitab Wudhu 218 dan Muslim al-Thaharah 111/292)

Bagi saya, jika pacakan pelepah tamar yang basah di kubur boleh memberi manfaat kepada si mati, bagaimana pula halnya dengan bacaan ayat-ayat suci al-Quran yang dihadiahkan kepada si mati? Tentunya bacaan ayat suci itu lebih istimewa daripada pelepah tamar berkenaan.” Cumanya perbuatan Baginda memacak pelepah tamar tersebut adalah salah satu daripada kepelbagaian yang boleh membantu mereka yang telah meninggal dunia. Wallahu’alam.

7.   Ibn Qayyim (ketika membicarakan panjang lebar tentang sampainya pahala amalan-amalan yang dihadiahkan kepada si mati beserta dalilnya) mengatakan: “Adapun membaca al-Quran dan menghadiahkan pahalanya kepada si mati secar sukarela tanpa mengambil upah maka ia sampai kepada si mati sebagaimana pahala puasa dan haji…” (Ibn al-Qayyim al-Jauziyyah, al-Ruh, hlm. 152-159)

8.   Imam Ibn al-Solah ketika menjawab penghujahan ayat 39 surah al-Najm mengatakan: “Apa yang dimaksudkan oleh ayat ini ialah seseorang itu tidak mempunyai hak atau mendapat balasan melainkan apa yang diusahakannya. Ini tidak termasuk amalan yang dilakukan untuknya secara sukarela oleh orang lain seperti membaca al-Quran dan berdoa.”

9.   Syeikh Ibn Taimiyyah mengatakan: “Barangsiapa yang berkeyakinan bahawa manusia tidak dapat mengambil manfaat kecuali dengan amalannya sahaja beerti dia telah melanggar ijmak. Pendapat itu terbatal dengan beberapa sudut…”  Ibnu Taimiyah pernah ditanya tentang bacaan al-Quran untuk mayat dan juga tentang tasbih, tahmid, tahlil dan takbir jika dihadiahkan kepada mayat. Sampaikah pahalanya atau tidak? Maka beliau menjawab sebagaimana tersebut dalam kitab beliau; ”Sampai kepada mayat pahala bacaan al-Quran daripada keluarganya, dan tasbih, takbir serta seluruh zikir mereka kepada Allah apabila mereka menghadiahkan pahalanya kepada mayat akan sampai pula kepadanya.” (Ibn Taimiyyah al-Harrani, Majmu’Fataawa, jilid 24 hlm. 324)

10.   Imam Ibn Muflih al-Hanbali di dalam al-Furu’ mengatakan: “Tidak dilarang untuk membaca al-Quran di atas kubur atau tanah perkuburan. Telah dinaskan ke atasnya oleh Abu Bakar, al-Qadhi dan sebahagian ulama dan ia merupakan pandangan mazhab…” (Ibn Muflih al-Hanbali, al-Furu’, hlm. 304, juz 2)

Kesimpulan

1.     Amalan membaca ayat-ayat suci al-Quran di atas kubur merupakan salah satu dari permasalahan cabang  agama. Galakkan ini bersumberkan dalil-dalil yang sahih, hasan dan dhaif.

2.   Al-Quran al-Karim sepatutnya dijadikan dalil utama. Manakala sumber hadis dijadikan dalil kedua dalam apa jua permasalahan umat Islam.

3.   Himpunan dalil yang ada menjustifikasikan amalan ini sebagai amalan sunat. Ia dilihat sebagai amalan pelengkap  sahaja.

4.   Kita perlu memahami permasalahan usul dan furu’ secara menyeluruh beserta dalil-dalil dan kaedah syariah yang jelas. Hal ini penting supaya sesuatu isu yang dirumus benar-benar menepati tuntutan syarak. Di samping boleh mengelakkan diri daripada bersikap fanatik dan melampau.


No comments:

Powered By Blogger | Template Created By Lord HTML