Saturday, February 15, 2014

AZAN DAN IQAMAH

Kelebihan dan Keutamaan Azan dan Iqamah Dalam Islam



أًلسَّلاَمُ عَلَيْكُمْ
بِسْمِ اللهِ الرَّحْمنِ الرَّحِيْمِ

Segala puji bagi Allah, Tuhan sekelian alam. Selawat serta salam buat junjungan mulia Nabi Muhammad S.A.W. keluarga serta para sahabat dan pengikut yang istiqamah menuruti baginda hingga ke hari kiamat.

Sahabat yang dirahmati Allah,
Adapun azan menurut syarak bererti zikir yang ditentukan untuk pemberitahuan Sembahyang Fardu Lima Waktu dan mula disyariatkan pada Tahun Pertama Hijrah di Madinah. Perkara ini telah diceritakan dalam sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Imam Al-Bukhari daripada Abdullah bin Umar katanya yang bermaksud :

"Semasa orang-orang Islam sampai di Madinah, mereka berkumpul lalu memperkirakan waktu sembahyang dan tidak ada seorang pun yang menyerukan untuk sembahyang. Pada suatu hari mereka pun membincangkan hal itu. Berkata sebahagian mereka : Ambillah 'nakus' (loceng) seperti nakus orang-orang Nasrani (Kristian). Berkata sebahagian yang lain pula : Ambillah 'buuq' (terompit) seperti terompit orang-orang Yahudi. Lalu berkata Umar : Tidakkah kamu melantik seorang lelaki untuk menyerukan sembahyang? Bersabda Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam: Wahai bilal, berdirilah dan serulah untuk sembahyang".

Maka buat kali pertamanya azan pun dilaungkan dengan kalimah-kalimah yang suci dan ini membuktikan betapa seruan azan itu merupakan simbol syiar Islam yang unggul lagi tersendiri dan bukannya ditiru dari mana-mana adat atau budaya asing.

Sesungguhnya seruan azan itu mempunyai banyak hikmah dan kelebihannya. Imam Nawawi Rahimahullah pernah berkata bahawa azan itu mempunyai empat hikmah iaitu :

Pertama : Untuk menzahirkan tanda Islam dan Kalimah Tauhid.

Kedua : Untuk memberitahu tanda masuk waktu sembahyang.

Ketiga : Untuk memberitahu tempat sembahyang.

Keempat : Untuk memanggil berjemaah.

Selain daripada itu, laungan azan mempunyai banyak kelebihan-kelebihan antaranya ialah laungan azan itu dapat mengusir syaitan sebagaimana disebutkan dalam hadis maksudnya :

"Dari Abi Hurairah Radiallahuanhu, sesungguhnya Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam bersabda : Apabila dilaungkan azan untuk sembahyang, syaitan akan menjauhkan dirinya sambil terkentut-kentut (kerana lari sekuat-kuatnya) sehinggalah tidak terdengar lagi azan. Jika selesai azan itu, syaitan akan kembali lagi sehinggalah iqamah untuk sembahyang diserukan dia akan menjauhkan diri. Sehinggalah selesai iqamah itu barulah dia kembali lagi sehingga dia melintasi antara seseorang itu dengan dirinya (mengwas-waskan). Dia akan berkata : Ingatlah begini-begini, ingatlah begini-begini terhadap sesuatu yang tidak sewajarnya diingati sehinggalah lelaki itu tidak mengetahui berapa rakaat dia bersembahyang".(Hadis Riwayat Bukhari).

Perlu diketahui juga bahawa waktu atau masa di antara azan dan iqamah merupakan di antara saat-saat mustajab di mana doa diperkenankan oleh Allah Subhanahu Wata'ala. Oleh kerana itu kita disunatkan untuk berdoa pada ketika itu seperti memohon selamat daripada musibah dan penyakit. Sabda Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam maksudnya :

"Dari Annas bin Malik katanya : Telah bersabda Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam : Doa tidak ditolak antara azan dan iqamah. Mereka berkata : Apakah yang kami katakan wahai Rasulullah? Baginda bersabda : Kamu memohon kepada Allah afiat (keselamatan) di dunia dan di akhirat". (Riwayat Al-Imam At-Termidzi).

Islam telah mengajar kita cara-cara untuk menghormati azan, antaranya ialah jika kita mendengar seruan azan atau iqamah sedang dilaungkan, maka sunat kita berhenti sekejap untuk menjawab seruan azan, bukan dengan mengambil sikap sambil lewa dan tidak acuh seperti tidak memperdulikan seruan azan yang dilaungkan, seolah-olah tidak mendengarnya apatah lagi untuk menyahut seruan azan tersebut.

Oleh itu hormatilah azan dengan menjawab azan yang dilaungkan oleh muazzin iaitu dengan mengatakan seperti apa yang dikatakan oleh muazzin itu kecuali pada

حي على الصلاة دان حي على الفلاح

maka katakanlah

لاحول ولا قوة الا بالله

Dan pada azan Subuh apabila dikatakan,

الصلاه خير من النوم

maka katakanlah

صدقت وبررت

Doa Selepas Azan .

Sebelum kita membaca doa selepas azan sunat kita berselawat keatas Nabi SAW terlebih dahulu dan diikuti dengan membaca doa selepas azan.

Berselawat kepada Nabi Muhammad saw selepas azan adalah sahih dan thabit dari baginda SAW melalui sabdanya yang bermaksud : “Sekiranya kamu mendengar muazzin (azan) , maka ikutlah seperti apa yang disebutkan. Kemudian, berselawatlah kamu kepadaku. Maka barangsiapa yang berselawat kepada ku sekali selawat, nescaya Allah swt akan berselawat kepadanya 10 kali.” (Hadis Riwayat Muslim : 384 , Abu Daud : 523 , Tirmizi : 3614)

Doa selepas azan atau iqamah adalah sebagaimana berikut;

(Allahumma rabba hazihid da' watittamah. Wassolatil qaimah. Ati saiyidana Muhammadanil wasilata wal fadhilah. Wassyarafa waddarajatal 'aliatar rafi'ah. Wab'athhul maqamal mahmudal lazi wa'adtah. Innaka laatukhliful mii'ad.)

Maksudnya: "Ya Allah, Wahai Tuhan yang telah mensyariatkan seruan azan dan sembahyang yang akan didirikan. Kurniakanlah kedudukan yang tinggi dan terpuji yang engkau telah janjikan kepada junjungan kami Nabi Muhammad dan kehormatan, sesungguhnya Engkau tidak memungkiri janji. "

Agama Islam sendiri telah mengajar bahawa jika seseorang itu mendengar azan atau iqamah, walaupun ketika itu dia sedang membaca al-Quran, berzikir, menuntut ilmu atau berdoa, maka sunat bagi orang itu berhenti sekejap untuk menjawab azan atau iqamah. Sunat juga menjawab azan dan iqamah walaupun dalam keadaan berhadas, junub, haid atau nifas kerana ianya adalah zikir, melainkan ketika dalam sembahyang fardu atau sunat, bersetubuh dan qadak hajat (buang air kecil atau besar) namun sunat dijawab kemudian jika tidak lama jaraknya.

Ini jelas kepada kita sedangkan ketika beramal ibadat juga kita disunatkan menjawab azan, maka apatah lagi ketika berbuat perkara-perkara yang lain seperti sedang berbual-bual, menonton televisyen, bersukan dan sebagainya, bukankah lebih utama baginya untuk berhenti seketika bagi mendengar dan menjawab azan yang sedang dilaungkan?.

Dalam perkara ini juga terdapat suatu keadaan yang tidak menyenangkan berlaku di mana terdapat sebilangan orang yang seolah-olah tidak mendengar seruan azan apabila ia dikumandangkan, baik ketika berada di dalam masjid atau berdekatan masjid atau di mana saja ia berada. Begitu juga keadaan di pasar-pasar raya khususnya yang berdekatan dengan masjid, pada masa seruan azan dilaungkan, ketika itulah juga lagu-lagu nyanyian dan muzik dimainkan tanpa diberhentikan. Oleh yang demikian, sebagai sebuah negara Islam dan selaku umat Islam, kita hendaklah menghormati azan sebagaimana yang telah diajarkan oleh agama kita.

Kelebihan Azan Dan Iqamah.

Muazzin (tukang azan) itu juga merupakan pemegang amanah (amin). Manakala menjadi imam itu adalah penjamin (dhamin). Kedua-duanya mempunyai kelebihan dan kebaikan di sisi Allah SWT.

Sabda Rasulullah Sallallahu ‘alaihi wasallam maksudnya: “Imam-imam itu dhumana (menjamin sembahyang makmumnya) dan orang-orang yang azan itu umana (amanah atas waktu sembahyang) maka Allah memberi petunjuk kepada imam-imam dan mengampunkan orang-orang yang azan.” (Hadis riwayat Ibnu Hibban)

Dalam hadis yang lain Nabi SAW bersabda maksudnya : “Maka azanlah untuk kamu oleh salah seorang di kalangan kamu, kemudian hendaklah yang mengimamkan kamu itu orang yang akhbar (berilmu) di kalangan kamu.” (Hadis riwayat al-Bukhari dan Muslim)

Selain itu, banyak lagi disebutkan di dalam hadis mengenai kelebihan-kelebihan azan dan iqamah dan orang yang melaungkannya. Antaranya ialah:

1. Sehingga Orang Sanggup Berundi Untuk Medapatkannya .

Hadis daripada Abu Hurairah katanya maksudnya: “Bahawa Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda: “Seandainya manusia mengetahui tentang apa (kelebihan) dalam azan dan saf pertama, kemudian mereka tidak akan mendapatkannya melainkan dengan mereka berundi, nescaya mereka akan berundi. Seandainya mereka mengetahui apa (kelebihan) pada at-tahjir (sembahyang zohor di awal waktu) nescaya mereka akan berlomba-lomba mendapatkannya. Seandainya mereka mengetahui apa (kelebihan) pada al-‘atamah (sembahyang isyak) dan subuh nescaya mereka mendatanginya walaupun dengan merangkak-rangkak.” (Hadis riwayat al-Bukhari dan Muslim)

2. Dipohonkan Ampun Dan Mendapat Pahala Sepertimana Pahala Orang Yang Bersembahyang Dengannya.

Hadis daripada al-Bara’ bin ‘Azib katanya maksudnya: “Bahawasanya Nabi Allah Shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda: “Sesungguhnya Allah dan MalaikatNya mengucapkan selawat kepada (makmum-makmum) di baris hadapan. Sementara orang yang azan akan dipohonkan ampun baginya sejauh suaranya dan akan dipersaksikan dia  oleh sesiapa yang mendengarnya daripada tumbuhan yang hidup dan kering dan baginya pahala seperti pahala sesiapa yang bersembahyang bersamanya.” (Hadis riwayat Ahmad dan an-Nasa’ie)

3. Mengusir Syaitan.

Hadis daripada Abu Hurairah katanya maksudnya: “Sesungguhnya Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda: “Apabila dilaungkan azan untuk sembahyang, syaitan akan menjauhkan dirinya sambil terkentut-kentut (kerana lari sekuat-kuatnya) sehinggalah tidak terdengar lagi azan. Jika selesai azan itu, syaitan akan kembali lagi sehinggalah iqamah untuk sembahyang diserukan dia akan menjauhkan diri. Sehinggalah selesai iqamah itu baharulah dia kembali lagi sehingga dia melintasi antara seseorang itu dengan dirinya (mengwas-waskan). Dia akan berkata: “Ingatlah begini-begini, ingatlah begini-begini terhadap sesuatu yang tidak sewajarnya diingati, sehinggalah lelaki itu tidak mengetahui berapa rakaat dia bersembahyang.” (Hadis riwayat al-Bukhari, Muslim, Abu Daud dan an-Nasa’ie)

4. Mendapat Pahala Yang Banyak. 

Sebagaimana di dalam hadis daripada Mu‘awiyah katanya maksudnya: “Aku pernah mendengar Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda: “Muazzin-muazzin itu ialah orang yang paling panjang lehernya di hari kiamat.” (Hadis riwayat Muslim)

Adapun yang dimaksudkan dengan orang yang paling panjang lehernya di hari kiamat itu ialah disebabkan dia melihat pahalanya yang banyak.

Menurut an-Nadhr bin Syumail, adapun kelebihannya ketika berada di Padang Mahsyar melepaskannya daripada kesusahan dan kesesakan disebabkan ramainya orang pada hari perhitungan itu.

5. Balasan Syurga.

Sabda Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam maksudnya: “Barangsiapa azan selama dua belas tahun wajiblah baginya syurga dan ditulis untuknya dengan azannya itu pada setiap hari enam puluh kebajikan dan pada setiap iqamah pula tiga puluh kebajikan.”
(Hadis riwayat Ibnu Majah)

6. Jin Dan Manusia Serta Selainnya Menjadi Saksi Di Hari Kiamat

Sebagaimana hadis daripada ‘Abdullah bin ‘Abdurrahman katanya maksudnya: “Sesungguhnya Abu Sa‘id al-Khudriy radhiallahu ‘anhu berkata kepadanya (‘Abdullah bin ‘Abdurrahman): “Sesungguhnya aku melihat engkau menyukai kambing dan sahara. Jika engkau berada di lingkungan kambing atau saharamu lalu engkau azan untuk sembahyang, maka tinggikanlah suaramu ketika melaungkannya. Kerana tidak didengar suara orang yang azan oleh jin dan manusia serta lain-lainnya melainkan menjadi saksi baginya di hari kiamat. Berkata Abu Sa‘id: “Aku mendengarnya daripada Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam.” (Hadis riwayat al-Bukhari dan an-Nasa’ie)

7. Pintu Langit Dibuka Dan Saat Doa Mustajab

Sabda Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam maksudnya: “Jika dilaungkan iqamah untuk sembahyang, maka dibukakan pintu-pintu langit dan dimakbulkan doa.”
(Hadis riwayat Ahmad)

Sabda Baginda lagi maksudnya: “Bersabda Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam: “Ada dua waktu tidak ditolak doa orang yang berdoa, iaitu ketika iqamah sembahyang dan dalam barisan jihad pada jalan Allah.” (Hadis riwayat Ibnu Hibban)

Nabi SAW bersabda maksudnya : "Allah tidak menolak doa hambanya diantara waktu azan dan waktu iqamah". (Hadis Riwayat Abu Daud)

Sahabat yang dikasihi,
Marilah sama-sama kita menyahut seruan azan apabila dikumandangkan oleh muazzin menandakan masuknya waktu solat fardu. Ingatlah tidak ada amalan yang terlebih baik dikerjakan oleh seorang mukmin melainkan dia mengerjakan solat selepas menengar azan. Tinggalkan semua perkerjaan duniawi dan utamakan seruan panggilan kepada Allah SWT (untuk solat). Tidak akan berkat sesuatu amalan yang membelakangkan suruhan Allah SWT.

No comments:

Powered By Blogger | Template Created By Lord HTML