Berbakti Kepada Ibu Bapa Adalah Segala-segalanya
Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh
بِسْمِ ٱللَّهِ ٱلرَّحْمَـٰنِ ٱلرَّحِيم
Segala puji bagi Allah, Tuhan sekelian alam. Selawat serta salam buat junjungan mulia Nabi Muhammad SAW keluarga serta para sahabat dan pengikut yang istiqamah menuruti baginda hingga ke hari kiamat.
Sahabat yang dirahmati Allah,
Dan daripada Abdullah bin ‘Amru al-‘As katanya, “Seorang lelaki mengadap Rasulullah lalu berkata, “Aku mengikat janji dengan engkau untuk turut serta berhijrah dan berjuang (jihad) untuk menuntut ganjaran pahala daripada Allah Taala”.
Rasulullah bertanya, “Adakah salah seorang orang tuamu masih hidup?”
Jawabnya, “Ya, bahkan kedua-duanya masih hidup”.
Rasulullah bertanya lagi, “Engkau mahukah menuntut pahala daripada Allah Taala?”
Jawabnya, “Ya”.
Kata Rasulullah, “Pulanglah kepada kedua-dua ibu bapamu dan berbuat baiklah (berbaktilah) kepada kedua-duanya”.
(Hadis Riwayat Bukhari dan Muslim)
Huraiannya :
Menjaga dan berbakti kepada kedua-dua ibu bapa akan mendapat ganjaran pahala daripada Allah. Islam menyeru umatnya supaya menjaga ibu bapa mereka dengan sebaik-baiknya. Hubungan sesama manusia adalah lebih penting lebih-lebih lagi golongan yang lebih muda dengan golongan yang lebih tua.
Walaupun hijrah itu wajib tetapi apabila bertembung dengan kewajipannya terhadap ibu bapa maka diutamakan kewajipan terhadapa ibu bapa jika agama dapat dipelihara (dilaksanakan perintahnya) disisi mereka, dan jika tidak maka wajiblah berhijrah dengan meninggalkan mereka untuk menyelamatkan agama seperti yang dilakukan oleh sahabat-sahabat (muhajirin).
Sumber : Kitab Riyadh al-Solihin
Dua Kejahatan Di segerakan Balasannya di Dunia
Sahabat yang dirahmati Allah,
Sabda Rasulullah bermaksud: “Dua kejahatan yang disegerakan balasan di dunia adalah zina dan menderhaka kepada dua ibu bapa.”
(Hadis riwayat at-Tirmizi)
Berdasarkan hadis di atas jelaslah bahawa balasan kepada kedua-dua maksiat tersebut di atas akan mendapat balasannya secara tunai di dunia ini sebelum azab yang lebih dahsyat akan diterimanya di hari akhirat nanti.
Dua dosa besar iaitu melakukan zina dan menderhaka kepada dua orang tua adalah perbuatan dosa yang tidak ditangguhkan Allah hingga hari kiamat tetapi diberi balasan kerana perbuatan tersebut meroskan keturunan dan menafikan hak dan kemuliaan orang tua yang melahirkan dan membesarkannya.
Pertama : Kejahatan zina.
Dalam sebuah hadis, baginda s.a.w. ada bersabda maksudnya : "Wahai orang yang beriman, takutilah kamu akan zina, kerana akibat daripadanya ada enam perkara, tiga di dunia dan tiga lagi akan berlaku di akhirat.
Ada pun yang berlaku di dunia ialah :
1. kehilangan keceriaan wajah,
2. pendek umur dan
3. sentiasa dalam keadaan susah.
Manakala tiga balasan di akhirat ialah :
1. kemurkaan Allah,
2. balasan yang buruk, juga
3. azab di Neraka. "
Rasulullah menjelaskan bahawa apabila seseorang itu berzina, maka akan keluarlah iman daripada dirinya seumpama awan yang melindungi atas kepalanya, kemudian apabila ia hilang, iman itu kembali semula.
Dalam sebuah hadis lain, riwayat Al-Hakim, baginda bersabda maksudnya : "Barang siapa berzina ataupun minum arak, Allah cabutkan daripadanya iman, seumpama manusia menanggalkan pakaian daripada kepalanya."
Hadis-hadis di atas dan juga hadis-hadis lain yang tidak dijelaskan di sini menyatakan bahawa seorang hamba yang melakukan zina, imannya telah keluar daripada dirinya. Bermaksud andainya dia benar-benar beriman kepada Allah, dia tidak akan berzina.
Apabila seseorang itu telah terjebak dengan zina, dia akan ketagih dan sentiasa terangsang. Tidak ada sesuatu pun yang hendak ditakutkan, lebih-lebih lagi sekiranya kedua-dua pihak pandai menyimpan rahsia, tidak mengandung dan tidak ditangkap basah. Walaupun demikian, sekiranya seseorang itu benar-benar beriman kepada Allah dan memahami hukum syariah, dia akan memahami bahawa zina itu adalah termasuk dalam salah satu dosa besar yang membinasakan.
Sekiranya seseorang itu terlepas daripada balasan dunia, kerana undang-undang itu tidak dilaksanakan, tiada undang-undang zina atau kerana sebab lain, balasan di akhirat tetap sedia menanti kecuali mereka yang bertaubat.
Allah berfirman maksudnya : "Mereka yang tidak menyembah Tuhan yang lain selain Allah, dan tidak membunuh jiwa yang diharamkan Allah kecuali dengan alasan yang benar, dan tidak berzina, barang siapa yang melakukan demikian, nescaya dia mendapat balasan dosanya, akan digandakan azab untuknya pada hari kiamat dan dia akan kekal dalam azab itu dalam keadaan hina, kecuali mereka yang bertaubat, beriman dan mengerjakan amalan soleh, kejahatan mereka diganti oleh Allah dengan kebajikan. Allah maha pengampun lagi maha penyayang."
(Surah al- Furqan ayat 68-70).
Bukan sahaja perbuatan zina itu larangan Allah, bahkan berjinak-jinak dengan punca-punca terjadinya zina juga dilarang.
Firman Allah s.w.t maksudnya : "Jangan kamu hampiri perbuatan zina kerana ia adalah kejahatan yang sangat keji dan sejahat-jahat jalan."
(Surah Al-Isra’ ayat 32)
Imam Ahmad mengatakan:
”Aku tidak tahu ada dosa yang lebih besar setelah membunuh jiwa daripada zina.”
Kepapaan boleh berlaku kerana perbuatan zina menyebabkan lahirnya anak zina yang tiada hak untuk mendapat harta pusaka.
Sabda Rasulullah s.a.w maksudnya : ”Yang paling banyak menjerumuskan manusia ke dalam Neraka adalah mulut dan kemaluan.” (Riwayat Tirmizi)
Ibnu Mas’ud r.a berkata: ”Tidaklah muncul riba dan zina pada suatu daerah kecuali Allah akan mengizinkan kehancurannya.”
Akibat daripada berleluasanya zina maka lahir penyakit berjangkit dan kerosakan akhlak dalam masyarakat. Ia menimbulkan pecah belah keluarga dan krisis rumah tangga. Dan kerosakan keturunan manusia dengan lahirnya anak tak sah taraf (anak luar nikah). Kesemua ini menyebabkan keruntuhan budaya dan tamadun hidup manusia. Apabila berlaku demikian, hati tertutup untuk menerima taufiq dan hidayah daripada Allah s.a.w. .Memohonlah keampunan daripada Allah s.w.t. atas segala kemungkaran yang telah dilakukan dengan sebenar-benar taubat (taubat nasuha).
Islam memandang jenayah zina sebagai satu jenayah yang sangat keji dan tidak bermoral. Ia bukan sahaja membiakkan penyakit berjangkit seperti AIDS dan Siplis tetapi juga merosakkan sistem kekeluargaan, menghancurkan rumahtangga, menimbulkan ketidakharmonian dalam masyarakat, melahirkan jenayah rogol yang berleluasa, wujudnya anak luar nikah tanpa bapa sekaligus membawa kepada pembunuhan bayi yang tidak berdosa.
Sabda Nabi s.a.w maksudnya : "Jika zina dan riba sudah muncul di suatu qaryah bererti mereka sudah menghalalkan diri mereka untuk diseksa oleh Allah s.w.t."
Sabda Nabi saw lagi maksudnya : “Tidak ada sebarang dosa yang lebih besar selepas syirik selain daripada setitik air mani yang ditumpahkan oleh seseorang ke dalam rahim yang tidak halal baginya”.
Sebuah lagi hadis maksudnya : “ Sesungguhnya tujuh petala langit dan bumi mengutuk orang yang berzina dan bau kemaluan pelacur di dalam Neraka dapat mengganggu ahli Neraka kerana sangat busuknya. ”
Firman Allah s.w.t maksudnya : "Dan janganlah kamu menghampiri zina, (kerana) sesungguhnya zina itu adalah satu perbuatan keji dan membawa kerosakkan."
(Surah Al-Israk ayat 32)
Berdasarkan ayat ini apa sahaja perbuatan yang boleh membawa kepada gejala zina seperti pergaulan bebas lelaki dan perempuan, pendedahan aurat, membaca buku-buku dan majalah lucah, melawati laman-laman web lucah serta menonton VCD / DVD yang membangkitkan selera syahwat hukumnya adalah haram.
Sahabat,
Marilah kita jauhi dan cuba membaiki masyarakat kita supaya gejala sosial yang parah seperti berzina ini dapat kita elakkan berlaku. Semua pihak samaada ibu bapa, guru-guru, jabatan agama Islam, jemaah Islam, persatuan bukan kerajaan (Islam), pihak penguasa polis . Rela, majlis perbandaran dan ahli jawatan kuasa masjid hendaklah bersatu tenaga menyekat dan menghalang daripada perkara maksiat berlaku dimerata tempat. Ketegasan pihak berkuasa adalah amat diperlukan untuk mengenakan undang-undang yang lebih tegas untuk mereka-mereka yang berdua-duaan dan menghampiri zina. Sekiranya diperingkat awal dapat dicegah maka gejala zina dan buang anak akan dapat di atasi insya Allah.
Kedua : Kejahatan menderhaka kepada kedua ibu bapa.
Islam meletakkan kewajipan terhadap setiap anak agar mentaati ibu dan bapa. Perintah itu bukan setakat meletakkan seseorang anak melakukan kebaikan, tetapi sebagai bukti keimanan dan ketaqwaan.
Sesiapa yang menderhaka terhadap ibu bapanya bakal menjerumuskan dirinya ke dalam api Neraka.
Firman Allah bermaksud: “Kami perintahkan kepada manusia supaya berbuat baik kepada kedua- dua ibu bapa.”
(Surah al-Ahqaaf, ayat 15)
Firman-Nya lagi bermaksud: “Sembahlah Allah dan janganlah kamu menyekutukan-Nya dengan sesuatu pun. Dan berbuat baiklah kepada kedua-dua ibu bapamu, kaum kerabat, anak yatim, orang miskin, jiran tetangga sama ada yang dekat atau yang jauh, rakan karib dan ibnu sabil, serta hamba sahaya.”
(Surah an-Nisa, ayat 36)
Jelas, betapa pentingnya setiap anak menghormati ibu bapanya. Sesiapa yang derhaka terhadap ibu bapanya, maka Allah memberi balasan azab di dunia lagi.
Rasulullah menjelaskan orang yang tidak menghormati orang tua sebagai bukan daripada golongan Muslim.
Sabda Rasulullah bermaksud: “Bukanlah daripada golongan kamu, sesiapa yang tidak menghormati orang tua kami dan tidak pula mengasihi anak kecil kami.”
(Hadis riwayat Tabrani).
Hadis itu menjelaskan ‘tidak menghormati orang tua’ sudah dianggap boleh bukan daripada golongan Muslim. Apa lagi jika tidak menghormati orang tua yang menjadi ibu bapa sendiri. Kini menular gejala anak menganggap satu beban terpaksa menjaga atau melayan kerenah ibu bapa atau salah seorangnya. Tidak kurang juga kes anak menjadikan ibu atau bapa tidak ubah seperti orang gaji.
Menyakiti hati ibu bapa satu dosa besar. Apatah lagi dalam kes yang mana anak melakukan perbuatan yang mencederakan fizikal ibu bapa. Undang-undang manusia juga melarang sebarang perbuatan mencederakan fizikal terhadap seseorang. Hukuman daripada Allah tentulah lagi besar menanti di akhirat.
Anak derhaka kepada ibu bapa tidak mendapat berkat dalam kehidupan. Perhatikan nasib mereka yang membelakangi ibu bapa dalam kehidupan. Biarpun, secara luaran nampak ceria dan berjaya, hakikatnya mereka dalam pembalasan daripada Allah.
Pelbagai bentuk pembalasan daripada Allah diperlihatkan kepada anak derhaka. Kemelut kehidupan yang dihadapi kebanyakan manusia sekarang berpunca daripada menderhaka kepada ibu bapa.
Allah bukan saja melarang melakukan perbuatan yang secara nyata menyakiti hati dan fizikal ibu bapa, bahkan menyebut perkataan ‘kasar’ juga ditegah. Allah memerintahkan agar anak bercakap dengan bahasa yang baik dengan ibu bapa.
Firman Allah bermaksud: “Tuhanmu telah memerintahkan, supaya kamu tidak menyembah selain Allah, dan hendaklah berbuat santun terhadap kedua orang tua. Jika salah seorang telah lanjut usianya, atau kedua-duanya telah tua, janganlah sekali-kali engkau berani berkata ‘ah’ terhadap mereka dan janganlah engkau suka menggertak mereka. Tetapi berkatalah dengan sopan santun dan lemah lembut.”
(Surah al-Isra, ayat 23).
Kewajipan anak terhadap ibu bapa berterusan biarpun ibu bapa sudah lama meninggal dunia.
Ketika ditanya oleh seorang sahabat daripada kaum Ansar mengenai masih adakah tanggungjawabnya terhadap ibu bapa yang sudah meninggal dunia, Rasulullah menjawab dengan sabdanya bermaksud: “Ada, iaitu berdoa, beristighafar untuk kedua-duanya, menyempurnakan janji, memuliakan sahabat taulan kedua-duanya dan menyambungkan silaturahim yang tidak sempat dijalinkan oleh kedua-duanya.”
(Hadis riwayat Abu Daud dan Ibnu Majah).
Sesungguhnya beruntunglah sesiapa yang memiliki anak yang soleh yang memberikan balasan kebaikan kepadanya biarpun sesudah meninggal dunia. Anak soleh adalah kebaikan yang tidak putus-putus pahalanya.
Sabda Rasulullah bermaksud: “Apabila meninggal seseorang itu, maka terputuslah segala amalannya, melainkan tiga perkara iaitu sedekah jariah yang berterusan memberi manfaat, ilmu yang memberi kebaikan diajarkan kepada orang lain dan anak yang salih yang sentiasa mendoakan kebaikan kepada kedua ibu bapanya.” (Hadis riwayat Muslim).
Daripada Abdullah bin ‘Amru bin al-‘As r.a., bahawa sesungguhnya Rasullullah SAW bersabda: “Sesungguhnya diantara dosa-dosa besar ialah seseorang itu melaknat (mencaci maki) kedua-dua orang tuanya (ibu bapanya),” lantas ditanyakan kepada baginda: “Wahai Rasulullah, bagaimanakah seseorang boleh melaknat (mencaci maki) ibu bapanya sendiri?”.
Lalu Rasulullah SAW menjawab: “Seseorang melaknat (mencaci maki) ibu atau bapa orang lain (kerana sebab-sebab tertentu), maka orang tersebut membalas cacian itu dengan mencaci maki (melaknat) ibu bapa yang mencacinya”.
Berdasarkan kepada hadis tersebut juga maka dapat disimpulkan bahawa Islam bukan sahaja menjadikan perbuatan menderhaka kepada ibu bapa sebagai dosa besar, malah perbuatan mencaci maki, laknat melaknat yang menbabitkan mereka juga dikategorikan sebagai dosa besar.
Caci maki ibu bapa orang lain, serupa mencaci ibu bapa sendiri. Sesorang mungkin tidak menyedari bahawa dengan mencaci maki ibu bapa orang lain juga dikira seolah-olah mencaci ibu bapa sendiri. Itu semua tidak sepatutnya berlaku di kalangan orang-orang yang mengaku beriman kepada Allah dan hari akhirat.
Sabda Rasulullah s.a.w yang bermaksud :
“ Barangsiapa membuat ibu bapanya gembira (memberi keredhan), maka sesungguhnya ia membuat redha Allah. Barangsiapa menyakitkan hati ibu bapanya, maka sesungguhnya ia membuat kebencian Allah”
(Hadis riyawat Imam Bukhari )
Nabi s.a.w bersabda yang bermaksud :
“ Dosa yang paling besar ialah mensyrikkan Allah , derhaka pada ibu bapa dan membunuh orang”
(Hadis riwayat Anas bin Malik)
Sahabat yang dikasihi,
Banyak kita mendengar kisah-kisah benar berlaku apabila seseorang menderhaka kepada kedua ibu bapanya maka balasannya akan diterima di dunia lagi secara tunai. Kisah seorang sahabat Nabi s.a.w bernama 'Alaqamah telah menyakiti hati ibunya bila di saat dia nazak dia tidak dapat mengucapkan kalimah syahadah hinggalah ibunya memaafkannya barulah dia boleh mengucapkan kalimah syahadah.
Kisahnya seperti berikut :
Pada suatu ketika di zaman Rasulullah s.a.w , seorang sahabat Rasulullah s.a.w bernama ‘Alaqamah, apabila ajalnya sudah hampir tiba , keluarganya sudah berkumpul dan mereka mengajarkan untuk mengucapkan kalimah “Laa ilaaha illallaah” beberapa kali tetapi sia-sia. Mulut ‘Alaqamah terkunci. Akhirnya mereka sampaikan kepada Rasulullah s.a.w , dan baginda menyuruh beberapa orang sahabat melihat akan hal itu, keadaan ‘Alaqamah tetap seperti itu juga tidak berubah , mulutnya tetap terkunci.
Nabi s.a.w menyuruh agar membawa ibunya kepada baginda .Setelah tiba ibu ‘Alaqamah ,baginda bertanya mengenai diri ‘Alaqamah, dan ternyata dia agak kecil hati pada anaknya , dan dia tidak mahu mema’afkan kesalahannya.
Dengan helah Nabi s.a.w mengatakan kepada para sahabat yang ada di sana, supaya mengumpulkan kayu kering, dan tatkala di tanya sahabat apa gunanya, Nabi s.a.w mengatakan untuk pembakaran ‘Alaqamah di hadapan ibunya. Mendengar yang ‘Alaqamah akan di bakar, maka ibunya dengan menangis, mengatakan, agar janganlah anaknya di bakar, dan dia bersaksi kepada Allah dan Muslimin yang ada di majlis itu mengatakan redhalah akan ‘Alaqamah, dan mema’afkan akan dia.
Setelah itu Nabi s.a.w menyuruh sahabat menjenguknya . Belum sempat mereka mengajarkannya lantas ‘Alaqamah terus mengucapkan kalimah “Laa ilaaha illa llaah” dengan fasih dan lancar , dan dia pun mati dalam kalimah itu.
Sahabat,
Hanya mereka-mereka yang beriman dan bertaqwa saja dua kejahatan yang termasuk di dalam dua dosa besar dan disegerakan balasannya di dunia ini dapat dijauhi. Keran iman yang tertaman dihati ini akan melahirkan jiwa yang taat dan patuh kepada Allah s.w.t. dan menjauhi segala dosa dan larangan daripada Allah s.w.t. Jika kita telah melakukan kesalahan dan dosa segeralah bertaubat kepada Allah s.w.t dan mohonlah ampun kepada kedua ibu bapa sebelum mereka kembali menemui Allah s.w.t dan ketika itu penyesalan tidak berguna lagi.
Tanggungjawab Ibu Bapa Melahirkan Anak-anak Yang Soleh
Segala puji bagi Allah, Tuhan sekelian alam. Selawat serta salam buat junjungan mulia Nabi Muhammad SAW keluarga serta para sahabat dan pengikut yang istiqamah menuruti baginda hingga ke hari kiamat.
Sahabat yang dirahmati Allah,
Apabila Allah telah anugerahkan anak kepada pasangan suami isteri, secara pastinya mereka akan menyayangi anak mereka dengan penuh kasih sayang, memberi sepenuh perhatian kepada anak mereka dan mengorbankan segala apa yang ada untuk menjamin kebahagiaan anak mereka di masa akan datang.
Walaupun dalam keletihan dan baru pulang dari kerja, mereka sanggup lagi melayan karenah anak mereka dengan penuh senyuman dan kerinduan. Mereka sanggup meluangkan masa membawa anak-anak mereka keluar bersiar-siar dan bermain-main di tempat permainan, demi memenuhi tuntutan anak atau tanggungjawab sebagai ibu bapa.
Ketika anak mereka sakit, mereka sanggup meredah kesunyian dan kegelapan pada waktu malamnya dan sanggup mengambil cuti pada siangnya untuk memastikan sakit anak mereka dirawat di klinik, hospital atau di rumah. Yang penting bagi mereka, anak mereka selamat dan sihat seperti anak-anak atau kanak-kanak yang lain. Jiwa mereka menjadi tidak tenteram dan risau dengan keadaan anak mereka yang sakit. Selain dari ubat yang diambil daripada klinik atau hospital, mereka juga merawat anak mereka dengan kaedah perawatan tradisional yang telah diajar oleh ibu bapa mereka pada masa dahulu.
Adakah kasih sayang terhadap anak-anak hanya tertumpu kepada fizikal anak semata-mata? Adakah ibu bapa berfikir bahawa perkara yang paling penting adalah bagaimana ingin mendidik anak-anak itu supaya mereka semua menjadi anak-anak yang soleh dan solehah dan mementingkan kehidupan cara Islam.
Bagaimanapun dalam Islam ibu bapa bertanggungjawab mendidik anak-anak mengikut acuan Islam. Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: “Setiap anak dilahirkan dalam keadaan fitrah (suci bersih), maka ibu bapalah yang bertanggungjawab sama ada menjadikannya Yahudi, Majusi atau Nasrani,” (Hadis Riwayat Muslim).
Dalam hal ini jika ibu bapa tersalah didik hingga anak-anak menjadi salah satu dari tiga golongan itu, sudah tentu anak-anaknya tidak akan menjadi seorang Islam yang baik. Jika ibu bapa prihatin sejak anak dalam kandungan lagi hingga di lahirkan apabila ajaran Islam di ajarkan dan telah menjadi sebati dalam jiwa dan diri anak-anak maka anak-anak itu sedang berada di dalam keadaan fitrah (bersih). Islam adalah agama fitrah yang bersih daripada syirik dan kemungkaran.
Sahabat yang dimuliakan,
Segala pengorbanan yang diberikan kepada anak semasa dia kecil hingga dewasa tidak akan merugikan ibu bapa, malah mereka dijanjikan dengan balasan yang baik dari Allah jika mereka mengharunginya dengan perasaan reda dan sabar. Mereka juga sedar jika Allah SWT tidak menganugerahkan kepada mereka anak, nescaya kehidupan mereka akan menghadapi kekurangan dan tidak memiliki keturunan.
Sebagai hamba Allah yang bertakwa, kita hendaklah menerima anugerah Allah SWT ini dengan penuh kesyukuran, kerana cahaya mata itu adalah perhiasan dan penyeri rumahtangga kita. Firman Allah SWT maksudnya :
“Harta benda dan anak pinak itu, ialah perhiasan hidup di dunia; dan amal-amal soleh yang kekal faedahnya itu lebih baik pada sisi Tuhanmu sebagai pahala balasan, dan lebih baik sebagai asas Yang memberi harapan.” (Surah al-Kahfi ayat 46)
Memang ada orang yang mengeluh mempunyai anak, kerana banyak wang yang diperlukan untuk memelihara anaknya. Ada juga orang yang tidak mahu mempunyai anak dan sanggup mengambil ubat-ubat pencegah kehamilan dengan alasan masih belum bersedia untuk memperolehi anak, menjaga badan, terlalu muda, belum mampu dan sebagainya. Mereka lupa sesungguhnya anak bukan membebankan tetapi ia adalah pembawa rezeki kepada keluarga tersebut. Setiap anak telah ditetapkan rezekinya semasa dalam kandungan lagi. Perkara ini telah dibuktikan di dalam firman Allah :
“Sesungguhnya Allah Dialah sahaja yang memberi rezeki (kepada sekalian makhlukNya, dan Dialah sahaja) yang mempunyai kekuasaan yang tidak terhingga, lagi yang Maha kuat kukuh kekuasaanNya.” (Surah az-Zaariyat ayat 58)
Alangkah baiknya ibu bapa yang mempunyai anak, melaksanakan tugasnya dengan penuh keikhlasan dan kesabaran untuk mendidik anak mereka sepertimana yang dikehendaki oleh Islam. Ujian yang sangat besar kepada kedua ibu bapa yang mempunyai anak, kadang-kadang waktu tidur malam dikejutkan dengan tangisan anak kerana kelaparan untuk minum susu ataupun buang air besar atau kecil.
Tindakan saling membantu antara suami dan isteri dalam segala urusan rumahtangga, adalah tindakan yang baik dan ia merupakan sunnah Rasulullah SAW. Dari Aisyah r.ha ditanya oleh seorang lelaki yang bernama Aswad :
“Apa yang di lakukan Rasulullah SAW di rumahnya? Aisyah r.ha menjawab : Rasulullah SAW membantu isterinya dalam menyelesaikan pekerjaan rumah dan jika baginda SAW mendengarkan azan baginda pun keluar (ke masjid)”. (Hadis Riwayat Bukhari)
Ini tauladan yang sangat baik dan perlu dicontohi oleh semua umat Islam. Jangan anggap kerja rumah itu adalah kerja isteri sahaja dan suami tidak perlu membantunya. Suami perlu mempunyai sikap bertimbang rasa kepada isterinya untuk menjaga rumahtangga kerana ia adalah milik bersama.
Sahabat yang dihormati,
Ramai ibu bapa di luar sana yang gagal mendidik anak mereka menjadi manusia yang mempunyai akhlak yang baik. Contoh yang dapat kita lihat, ibu bertudung dan menutup aurat, tetapi anaknya membuka aurat dengan memperagakan pakaian yang ketat sehingga menampakkan bentuk tubuh mereka. Si ayah pula berkopiah dan sentiasa menunaikan solat di masjid, tetapi anaknya memakai seluar pendek dan tidak pernah sama sekali melakukan solat.
Semua perbuatan yang menyalahi prinsip Islam ini tidak pernah ditegur oleh kedua ibu bapa mereka. Malah ibu bapa mereka memberi alasan bahawa anak mereka sudah besar, bukan masanya untuk menegur dan mereka sendiri sudah tahu yang mana baik dan yang mana buruk.
Ibu bapa seperti inilah yang lemah dan tidak mampu untuk melaksanakan segala amanah yang diberikan oleh Allah kepada mereka. Segala kesalahan mereka terhadap anak mereka akan dipertanggungjawabkan di akhirat kelak nanti. Hal ini bertepatan dengan sebuah hadis
Rasulullah SAW yang bermaksud : “Sesungguhnya Allah akan bertanya kepada setiap penanggungjawab akan tanggungjawabnya, apakah mereka telah memeliharanya atau mensia-siakannya.” (Hadis Riwayat Ibnu Hibban)
Beginilah apabila manusia tidak lagi memiliki iman dan tidak takut lagi dengan kekuasaan Allah, mereka akan lakukan apa sahaja mengikut nafsu amarah mereka tanpa mengira dosa dan pahala. Perbuatan seperti ini juga boleh dikatakan seperti perangai binatang yang hanya mementingkan dirinya sendiri.
Untuk melaksanakan amanah ini seperti mana yang dipertanggungjawabkan oleh Allah SWT, maka ibu bapa perlulah bersedia dari segi jasmani dan rohani seperti melengkapkan diri masing-masing dengan pengetahuan agama yang baik dan mengamalkan cara hidup Islam di dalam keluarga. Dari segala pengetahuan penghayatan agama yang ada di dalam diri kedua ibu bapa, maka curahkanlah segalanya kepada anak-anak supaya mereka dapat menjauhkan diri mereka dari segala anasir-anasir jahat yang sentiasa berusaha untuk merosakkan akidah dan iman mereka. Cara ini mampu melahirkan generasi Rabbaniah yang mempunyai jati diri yang kuat dan tidak tergugat apabila ia memasuki mana-mana kelompok masyarakat.
Alangkah baiknya kalau anak tersebut menjadi manusia yang berguna dan taat kepada Allah, dia akan menjadi harta yang sangat tidak ternilai berbandingkan dengan harta dunia yang lain, kerana anak yang soleh akan membantu ibu bapanya untuk masuk ke syurga Allah.
Al-Afnaf Bin Qias menjawab apabila Khalifah Muawiyah bertanya kepadanya tentang anak :
“Wahai Amirul Mukminin! Adapun anak itu ialah buah hati kita, tulang belakang kita. Kita ini adalah bumi yang lebar tampanya berpijak, langit tempat mereka berlindung teduh dan bernaung dari kerananyalah berani kita menempuh kesukaran bagaimana sulit. Dari itu bila mereka meminta, berikan, bila mereka kecewa, senangkan hatinya agar di balasinya dengan cinta pula dan hargainya kepayahan kita.”
Sahabat yang dikasihi,
Ibu bapa yang bertakwa akan sentiasa merindukan anak-anak yang soleh dan solehah yang akan mendoakan mereka ketika mereka berada di alam barzakh, kerana doa anak yang soleh mustajab di sisi Allah SWT.
Seorang anak yang soleh adalah anak yang taat dan patuh kepada Allah dan Rasul-Nya dan taat dan menghormati kepada kedua ibu bapanya semasa kedua ibu bapanya masih hidup. Apabila kedua ibu bapanya telah meninggal dunia dia sentiasa bersedekah, membuat amal kebajikan dan mendoakan untuk mereka. Doa anak yang soleh mustajab disisi Allah SWT.
Dari Abu Hurairah r.a. berkata Rasulullah SAW yang bermaksud :
"Apabila seorang diantara kamu meninggal dunia maka terputuslah semua amalnya kecuali tiga perkara : sedekah jariah, ilmu yang bermanfaat dan anak yang soleh yang selalu mendoakannya." (Hadis Riwayat Muslim)
Oleh itu pastikan anak-anak perempuan kita menutup aurat ketika keluar rumah (di ajar memakai tudung kepala diawal usia), anak lelaki perlulah dipantau tidak memakai seluar pendik ketika di padang permainan atau ketika keluar rumah, ajar mereka mengenai batas aurat dan pergaulan di antara lelaki dan perempuan yang bukan mahram.
Menghormati Ibu Bapa Satu Kewajipan Seorang Anak
Sahabat yang di rahmati Allah,
Bagi anak-anak jasa dan pengorbanan ibu bapa sangat besar nilainya. Mereka dengan penuh rasa tanggungjawab membesar, mendidik dan memelihara anaknya hingga menjadi manusia yang berguna kepada masyarakat dan negara. Seorang anak yang diasuh dan dididik dengan nilai agama, hendaklah memberi penghormatan dan kasih sayang sewajarnya kepada mereka.
Kita hendaklah menunjukkan rasa terima kasih dengan sentiasa berbuat baik dan tidak melanggar segala perintahnya, menjaga perasaannya jangan sampai terluka serta menjaganya ketika mereka dalam tua atau uzur.
Sememangnya, kedudukan atau darjat ibu bapa di sisi Allah sangat mulia dan tinggi sekali, sehingga menjadi sebagai ukuran penentu bagi keredaan dan kemurkaan Allah. Ini sebagaimana sabda Rasulullah s. a. w. yang bermaksud: "Keredaan Allah terletak pada keredaan ibu bapa dan kemurkaan Allah pula terletak pada kemurkaan ibu bapanya." (Hadis riwayat at-Tirmizi dan Hakim).
Berdasarkan maksud hadis di atas, seharusnya sebagai insan yang memiliki kesempurnaan akal, kita berusaha untuk mencapai keredaan ibu bapa. Namun dalam masyarakat kita, lebih-lebih lagi pada zaman sekarang ini, kenyataannya masih ramai yang belum insaf dan tidak prihatin terhadap keterangan hadis di atas. Mereka dengan tanpa rasa segan silu, melakukan penderhakaan terhadap ibu bapa yang banyak berjasa.
Sahabat yang dimuliakan,
Penderhakaan yang sering diperhatikan ialah:
i- Apabila bercakap dengan ibu bapa kerap meninggikan suara.
ii- Mencaci, mengherdik atau menengking apabila ibu bapa membuat kesilapan atau melakukan perkara yang tidak disukai dan tidak sesuai dengan kehendaknya.
iii- Sanggup melanggar perintah atau membantah nasihat ibu bapa.
iv- Mengabaikan atau membiarkan mereka apabila tua atau uzur.
Ingatlah bahawa orang yang derhaka kepada ibu bapa, akan mendapat balasan buruk yang disediakan oleh Allah. Antaranya ialah:
i-Segera mendapat balasan Allah.
Orang yang derhaka kepada ibu bapanya, akan disegerakan Allah balasannya tanpa ditangguh-tangguhkan. Ini sebagaimana sabda Rasulullah saw yang bermaksud: "Setiap dosa mungkin ditangguhkan seksanya sesuai dengan kehendak Allah sampai hari kiamat kecuali dosa terhadap ibu bapa..." (Hadis riwayat at-Tirmizi).
ii-Segala amal ibadatnya sia-sia.
Amalan baik yang kita lakukan akan menjadi `kosong' dan sia-sia, tidak diterima Allah sekiranya melakukan penderhakaan terhadap ibu bapa.
Hal ini dapat difahami melalui sepotong hadis yang bermaksud: "Tiga hal yang menyebabkan sia-sia amal iaitu menyekutukan Allah, menentang kedua ibu bapa dan melarikan diri daripada medan perang." (Hadis riwayat Tabrani).
iii-Tidak akan masuk syurga.
Balasan setimpal disediakan Allah bagi orang yang menderhaka kepada ibu bapa ialah tidak akan dapat masuk Syurga. Perhatikan sabda Rasulullah s.a.w yang bermaksud:"Hak Allah atas empat orang yang tidak akan dimasukkan ke dalam Syurga dan tidak akan merasakan kenikmatannya iaitu, orang yang sentiasa minum arak, pemakan riba, pemakan harta anak yatim dan orang yang tidak suka kedua orang tuanya." (Hadis riwayat al-Hakim).
Sahabat,
Oleh itu, sebagai Muslim yang takut seksaan Allah serta selalu mengharapkan keredaan-Nya, hendaklah selalu berbuat baik, menunjukkan muka manis, menyenangkan hati ibu bapa dan sebagainya sebagai tanda terima kasih dan kesyukuran kepada Allah.
Sikap yang baik inilah yang selalu diinginkan oleh ibu bapa daripada anaknya. Jika terlanjur melakukan penderhakaan terhadap mereka, segera meminta ampun ampun serta bertaubat kepada Allah yang bersifat Maha Pengasih, Maha Penyayang sentiasa bersedia untuk memberi keampunan kepada setiap hamba yang memohon keampunan daripada-Nya.
Ini kerana keredaan ibu bapa terhadap anak-anak, keredaan suami terhadap isteri, sebaliknya juga terlahirnya perasaan redha isteri terhadap suaminya adalah suatu kemanisan yang menyumbang kepada wujudnya penghidupan yang bahagia.
Kewajipan Anak Mentaati dan Mengasihi Ibu Bapanya.
Segala puji bagi Allah, Tuhan sekelian alam. Selawat serta salam buat junjungan mulia Nabi Muhammad SAW keluarga serta para sahabat dan pengikut yang istiqamah menuruti baginda hingga ke hari kiamat.
Sahabat yang dirahmati Allah,
Sabda Rasulullah SAW :
"عَنْ مُعَاوِيَةَ بْنِ حَيْدَةَ الْقُشَيْرِىِّ قَالَ : قُلْتُ يَا رَسُوْلَ اللهِ ، مَنْ أَبَرَّ؟ قَالَ : أُمُّكَ . قَالَ قُلْتُ : ثُمَّ مَنْ؟ قَالَ : أُمُّكَ . قَالَ قُلْتُ : ثُمَّ مَنْ؟ قَالَ : أُمُّكَ . قَالَ قُلْتُ : ثُمَّ مَنْ؟ قَالَ : أَبَاكَ؟ ثُمَّ الأَقْرَبَ فَالأَقْرَبَ."
Maksudnya: "Daripada Muawiyah bin Haidatal Qusyairi katanya aku bertanya Rasulullah SAW, siapakah orang yang paling patut aku berbuat baik?, Rasulullah SAW menjawab : ibumu, kemudian aku bertanya lagi siapa?, Rasulullah menjawab : ibumu, kemudian aku bertanya lagi siapa? Rasulullah menjawab: ibumu, kemudian aku bertanya lagi siapa? Rasulullah menjawab : bapamu, kemudian orang yang paling hampir denganmu dan seterusnya".(Hadis Riwayat at-Tirmizi)
Huraiannya :
Menurut maksud hadis tersebut, Baginda Rasulullah SAW telah menggariskan satu dasar bahawa Islam amat mengutamakan kepada si ibu sebagai insan yang layak menerima segala layanan yang terbaik dari setiap anak-anaknya ini kerana segala pergorbanan yang ditanggung oleh ibu sepanjang tempoh kehamilan diikuti dengan proses melahirkan, kemudian memelihara untuk membesarkan kita adalah satu tempoh yang amat sukar. Namun begitu, ia berjaya diatasi dengan sebab rasa kasih sayang yang mendalam dalam diri si ibu berserta sokongan dari si bapa.
Memandangkan begitu banyak jasa dan pengorbanan oleh ibu, maka selayaknyalah ibu diberi penghormatan yang begitu tinggi, ini tepat sekali dengan sabda Nabi SAW:
"اَلْجَنَّةُ تَحْتَ أَقْدَامِ اْلأُمَّهَاتِ."
Maksudnya: "Syurga itu berada di bawah telapak kaki ibu-ibu."
Maka, janganlah sesekali kita melakukan perkara-perkara yang boleh mengguris perasaan dan menyakitkan hati mereka. Terutama kepada golongan remaja yang sering terlibat dengan masalah sosial di mana perbuatan dan perilaku tersebut boleh mengguris perasaan dan mengecewakan harapan ibu yang impikan setiap anak mereka menjadi insan berguna dan sentiasa menjaga nama baik keluarga bukan dengan menjatuhkan maruah keluarga.
Kerana terdapat kes-kes yang mengecewakan kita telah berlaku dan dipaparkan di dalam media seperti ibu bapa didera oleh anak sendiri, malahan ada yang sanggup membunuh ibu bapa apabila permintaan mereka tidak dipenuhi atau perbuatan mereka dihalang oleh ibu bapa. Perbuatan derhaka seperti ini adalah disebabkan telah hilangnya nilai keimanan dalam diri dan jiwa kerana telah dikuasai oleh syaitan serta kewarasan akal fikiran hilang disebabkan pengaruh pil khayal, dadah dan sebagainya. Mereka ini perlu bertaubat kepada Allah SWT dan memohon ampun di atas segala dosa-dosa yang dilakukan, mudah-mudahan hidup akan diberkati dan dijauhkan dari azab siksaan api neraka Allah SWT.
Bagi menghargai segala jasa ibu, maka berbagai cara perlu kita lakukan untuk menghiburkan hati mereka. Diantaranya kita memperuntukkan masa untuk menziarahi ibu, bercuti bersama-sama ibu, membawa ibu bersiar-siar ke tempat yang menarik, menghadiahkan sesuatu yang menjadi kesukaannya, sentiasa mendoakan mereka, dan melakukan apa sahaja yang menyenangkan hati mereka, sebagai tanda penghargaan serta kasih sayang seorang anak kepada ibu.
Persoalannya? adakah kita telah melakukan hal-hal sedemikian kepada ibu kita? adakah hanya sekadar bila tibanya hari raya atau ibu bapa sakit barulah kita tertanya-tanya di mana dan bagaimana keadaan si ibu?. Sedangkan ajaran Islam menegaskan bahawa ibu hendaklah diberikan perhatian dan layanan pada setiap masa. Sebagai anak, kita perlulah sentiasa mentaati dan mendoakan kesejahteraan serta keampunan bagi kedua ibu bapa agar hidup kita diberkati Allah. Jika ibu bapa kita telah meninggal dunia, hadiah yang paling bermakna untuk mereka yang amat kita kasihi ini, ialah mendoakan kesejahteraan untuk mereka, sedekah jariah dan niatkan untuk mereka berdua agar Allah Taala sentiasa merahmati dan mengampunkan segala dosa-dosa mereka.
Mukmin Yang Baik Akhlaknya Sentiasa Membantu Dan Memuliakan Ibu-ibu Tunggal
Segala puji bagi Allah, Tuhan sekelian alam. Selawat serta salam buat junjungan mulia Nabi Muhammad SAW keluarga serta para sahabat dan pengikut yang istiqamah menuruti baginda hingga ke hari kiamat.
Sahabat yang dirahmati Allah,
Ibu Tunggal adalah wanita yang ditinggalkan oleh suaminya samaada di sebabkan kematian atau cerai hidup. Biasanya ibu tunggal akan menjaga dan membesarkan anak-anaknya dengan penuh kasih sayang. Kesusahan dan penderitaannya tetap ditanggungnya dengan sabar dan tabah, hatinya cukup cekal mengharungi bahtera hidup yang penuh cabaran dan dugaan.
Walaupun hidup tanpa suami atau ketua keluarga, hidup perlu diteruskan dan pergantungan dan tawakal hanya kepada Allah SWT. Ibu tunggal yang beriman dan bertakwa akan mendidik dan membesarkan anak-anaknya hingga mereka menjadi anak-anak yang soleh dan solehah.
Daripada Abu Hurairah r.a. daripada Nabi SAW sabdanya : “Orang yang berusaha membantu janda dan orang miskin seolah-olah berjuang dijalan Allah” dan aku kira baginda telah bersabda, “Seperti orang yang bersembahyang malam tetapi tidak berasa letih dan seperti orang yang berpuasa yang tidak berbuka (tidak rasa lapar)”
(Hadis Riwayat Bukhari dan Muslim)
Berdasarkan hadis di atas orang Islam yang membantu janda (ibu tunggal) dan orang miskin untuk memperbaiki keadaan dan menjaga mereka adalah sama dengan pahala mereka yang berjihad atau yang sentiasa sembahyang dan sentiasa berpuasa kerana memerlukan kesabaran yang kuat dan kadang-kadang terpaksa mengeluarkan wang dan harta. Golongan janda (ibu tunggal) dan orang miskin adalah dua golongan yang dianggap kurang bernasib baik oleh Islam dan ia wajib ditolong. Ibadah tidak terbatas kepada amalan-amalan tertentu malah merangkumi semua kerja kebajikan yang diniatkan kerana Allah.
Tujuannya adalah untuk melahirkan masyarakat penyayang dan adil sehingga dapat mengatasi masalah golongan terbiar dan yang tidak berada.
Membantu darisegi kewangan kepada ibu tunggal yang mempunyai tanggungan anak-anak yang ramai adalah digalakkan dan sangat dituntut dalam agama terutama ibu tunggal yang menjaga anak-anaknya sendiri iaitu anak yatim (jika bapanya telah meninggal dunia).
Nabi S.A.W. memberi jaminan bahawa sesiapa yang mengasuh dan berlemah lembut dengan anak yatim akan dapat bersama-sama Nabi S.A.W. disana. Itu adalah derajat yang akan diperolehi oleh orang yang mengasuh dan berlemah lembut terhadap anak yatim .
Nabi S.A.W. bersabda maksudnya : “Aku dan orang-orang yang mengasuh/menyantuni anak yatim di syurga seperti ini”, Kemudian baginda memberi isyarat dengan jari telunjuk dan jari tengah seraya sedikit merenggangkannya. (Hadis Riwayat Bukhari)
Imam Ibnu Bathal rahimahullah berkata : “Orang yang mendengar hadis ini wajib melaksanakannya, agar ia boleh menjadi sahabat Nabi S.A.W. di syurga."
Jika kita membiarkan ibu-ibu tunggal yang miskin tanpa diberi bantuan dan pertolongan dibimbangi kita menzalimi mereka, maka maslahat anak-anak yatim juga akan terjejas. Tidak kiralah kezaliman tu dari sudut mental, fizikal, material mahupun emosi. Para ibu tunggal telah sedia menanggung terlalu banyak bebanan. Dari hendak mencari nafkah, menguruskan anak-anak, mendidik mereka, memikirkan keselamatan keluarga dan lain-lain lagi. Entah-entah hal diri sendiri, makan pakai sendiri pun tak sempat difikirkan. Setiap saat ada sahaja tekanan tanggungjawab dan emosi yang berlegar. Jika tidak kuat kesabaran dan pergantungan mereka kepada Allah SWT, memang amat mudah pula pertimbangan akal fikiran mereka terbabas keluar dari landasan normal kehidupan. Di dalam akhbar kita ada terjumpa kisah kerana desakan hidup ada ibu tunggal yang terlajak dalam membuat pertimbangan apabila dihimpit dengan begitu banyak tekanan.
Sahabat yang dimuliakan,
Membantu ibu tunggal bukan hanya memberikan wang ringgit sahaja tetapi bantuan boleh diberikan dalam berbagai bentuk, misalnya mencarikan pekerjaan yang bersesuaian dengan kelulusan dan kemampuannya, memberi peluang-peluang perniagaan untuk berniaga kecil-kecilan, membantu untuk mereka membuka taska atau tadika dirumah-rumah mereka dan membantu mereka mengikuti kursus-kursus kemahiran seperti membuat kuih dan menjahit pakaian adalah usaha-usaha murni dan dipandang mulia oleh Islam.
Kita juga perlu membantu dan menolong mereka supaya masaalah mereka dapat disalurkan kepada agensi kerajaan yang menguruskan kebajikan seperti Pusat Zakat dan Jabatan Kebajikan Masyarakat, semoga mereka mendapat bantuan secara tetap tiap-tiap bulan melalui agensi tersebut.
Di samping kita memberi bantuan kepada ibu tunggal kita juga perlulah membantu anak-anak ibu tunggal yang masih kecil dan bersekolah. Perlu difikirkan bantuan untuk persekolahan anak-anak mereka seperti pakaian , bag dan kasut sekolah, buku-buku pelajaran, yuran persekolahan dan tambang bas sekolah sekiranya jarak rumah dan sekolah perlukan pengangkutan.
Ibu tunggal juga manusia biasa yang memerlukan pasangan hidup yang baru setelah kematian suami atau di ceraikan suaminya yang lama. Jangan dipandang rendah jika ada lelaki berhati mulia walaupun telah berkahwin untuk mengambilnya menjadi pasangan hidup yang sah semata-mata untuk membantu kerana Allah SWT dan mengisi keperluan hidupnya untuk memiliki ketua keluarga yang dapat membimbingnya kejalan Allah.
Berpoligami adalah harus disisi syarak jika suami berkemampuan.
Amalan yang mulia dengan memberi bantuan ini terdapat satu hadis daripada Nabi SAW betapa mulianya mereka yang memberi bantuan kebajikan kepada golongan yang memerlukan bantuan.
Daripada Abu Hurairah r.a. daripada Nabi SAW, baginda telah bersabda: "Barangsiapa yang melepaskan seorang mukmin daripada satu kesusahan daripada kesusahan-kesusahan dunia, nescaya Allah akan melepaskannya daripada satu kesusahan daripada kesusahan-kesusahan kiamat. Barangsiapa yang mempermudahkan bagi orang susah, nescaya Allah akan mempermudahkan baginya di dunia dan di akhirat. Barangsiapa yang menutup keaiban seorang muslim, nescaya Allah akan menutup keaibannya di dunia dan akhirat. Allah sentiasa bersedia menolong hambaNya selagi mana dia suka menolong saudaranya. Barangsiapa yang melalui suatu jalan untuk menuntut ilmu, nescaya Allah akan mempermudahkan baginya suatu jalan menuju ke syurga. Sesuatu kaum tidak berkumpul di salah sebuah rumah-rumah Allah (iaitu masjid) sambil mereka membaca Kitab Allah dan mengkajinya sesama mereka melainkan suasana ketenangan akan turun ke atas mereka, rahmat akan melitupi mereka dan mereka akan di kelilingi oleh para malaikat dan Allah akan menyebut (perihal) mereka kepada orang-orang yang berada di sisiNya. Barangsiapa yang terlambat amalannya, nescaya nasab keturunannya tidak mampu mempercepatkannya." (Hadis Riwayat Muslim)
Sahabat yang dikasihi,
Marilah sama-sama kita berkorban masa , tenaga dan wang ringgit setakat kemampuan kita untuk mengurangkan beban ibu-ibu tunggal terutama mereka yang kematian suami dan terpaksa menanggung anak-anak yatim yang masih kecil. Bantuan kalian adalah merupakan jihad dijalan Allah SWT dan setiap ringgit yang diberikan akan mendapat ganjaran yang besar disisi Allah SWT.
No comments:
Post a Comment