Berbaik Sangka (Husnuzzan) Sesama Mukmin
Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh
بِسْمِ ٱللَّهِ ٱلرَّحْمَـٰنِ ٱلرَّحِيم
Segala puji bagi Allah, Tuhan sekelian alam. Selawat serta salam buat junjungan mulia Nabi Muhammad SAW keluarga serta para sahabat dan pengikut yang istiqamah menuruti baginda hingga ke hari kiamat.
Sahabat yang dirahmati Allah,
Salah satu sifat orang mukmin adalah sentiasa berbaik sangka (husnuzzan) sesama mukmin. Tetapi sebaliknya sifat orang fasik dan munafik, hati dan jiwanya penuh dengan prasangka buruk, hasad dengki dan mudah melebalkan seseorang dengan gelaran yang buruk. Apa sahaja yang dilihatnya pasti akan ditafsirkannya dengan pandangan yang negatif.
Seharusnya sebagai hamba Allah SWT kita patut berlumba-lumba membuat kebajikan dan amalan soleh serta memperbaiki diri sebagai bekalan untuk hari esok sebagaimana firman Allah SWT yang bermaksud: “Hari yang tidak berguna harta benda dan anak pinak kecuali mereka yang datang kepada Allah dengan hati yang sejahtera”.(Surah Asy-Syu’ara’ ayat 88-89)
Hubungan yang murni dan suci sesama manusia merupakan maqasid (tujuan syariat) Islam, iaitu berlapang dada, mesra, kasihan belas, ukhuwwah, berkasih sayang dan sebagainya. Adalah menjadi kewajipan ke atas kita untuk mengekalkan hubungan silaturahim dan ukhwah Islamiah, kita hendaklah bertemu manusia dengan dada yang lapang, hati yang bersih dan muka yang manis. Seterusnya kita hendaklah berbaik sangka dalam hubungan sesama manusia, menjauhkan sikap memandang serong kepada amalan orang lain, pegangan dan perkataan mereka.
Jika diperhatikan di dalam masyarakat kita hubungan sesama mukmin tidak seperti yang di suruh oleh agama, kita akan dapati satu fenomena yang mendukacitakan, dengan ikatan persaudaraan yang tercarik dan simpulan ukhuwwah yang terungkai, disebabkan oleh sangkaan dan prasangka buruk, syak wasangka dan tuduhan yang tidak berasas.
Kadangkala seseorang boleh memutuskan silaturahim hanya kerana rebutan harta pusaka peninggalan ibu bapa. Permusuhan dan petelingakan berlaku hanya kerana berpunca daripada perbezaan pendapat mengenai perkara furuk dalam hukum fiqh. Tidak kurang hebat juga perpecahan dalam jemaah berlaku disebabkan merebut jawatan dan pangkat dan mudah tersinggung apabila ditegur.
Banyak kedengaran dalam majlis perbincangan umum ataupun khusus, tuduhan-tuduhan seperti; ‘pulan bermaksud begini’, ‘niat si pulan begini’, ‘maksud perbuatan atau perkataannya begini’… perkara seperti ini, semuanya lahir daripada buruk sangka yang merosakkan, menyalakan perasaan dengki dan kebencian, meruntuhkan hubungan baik masyarakat, menggoncangkan keutuhan ukhuwwah, memutuskan tali kekeluargaan, menanamkan sifat ragu dikalangan individu dan masyarakat. Bahkan berapa banyak yang telah kita dengar peristiwa besar dan bencana yang menimpa berpunca daripada sangkaan jahat (su’ uzzan) yang diletakkan bukan pada tempatnya.
Apabila penyakit su’ uzzan menular ke dalam diri, ianya akan membawa kepada; terlalu cepat membuat tuduhan, suka mencari kesalahan orang, suka menerima berita keburukan orang, suka mencari dan menyelidik rahsia keburukan orang. Kerana itu kita lihat orang yang bersikap su’ uzzan sering berkata: “Saya akan cuba memastikan kebenaran perkara ini”, maka, dia mula mencari rahsia dan kemungkinan dia akan mengumpat. Mungkin juga, dia akan menyebut saudara muslimnya dengan perkataan jahat maka dengan itu dia telah melakukan dosa yang berganda dan maksiat yang merosakkan. Di sini tersembunyi satu bahaya apabila hubungan sesama muslim dibina di atas sikap prasangka su’ uzzan, maka sangkaan menjadi asas kepada kasih sayang atau kebencian terhadap seseorang. Semua ini adalah pembunuh sikap berkasih sayang dan memusnahkan makna mahabbah.
Menebalnya sikap prasangka su’ uzzan akan menjadikan manusia mudah melemparkan tuduhan terhadap sesama mereka, kemudian tidak akan ada lagi sikap saling percaya-mempercayai, bahkan mereka akan sering berbalah-balahan, tidak bertegur sapa dan memutuskan hubungan silaturahim, ini merupakan suatu sikap yang akan membawa kepada hilangnya kekuatan dan keutuhan umat. Nabi SAW bersabda maksudnya : “Tidak masuk syurga orang yang memutuskan hubungan kekeluargaan (silaturahim).” (Hadis riwayat Muslim)
Zan atau sangkaan terbina di atas asas agakan atau satu perkataan atau amalan yang diragukan. Zan akan menjadikan seseorang menurut perasaan di dalam dirinya yang suka membuat tohmahan terhadap saudaranya, maka dengan itu Zan akan menguasai dirinya juga cara pemikirannya. Sehingga kamu akan dapati orang yang bersikap prasangka akan merasakan seseorang yang disangkakan tidak baik itu telah melakukan kesalahan yang banyak berdasarkan khayalan sangkaannya hasil daripada sikap buruk sangkanya terhadap saudaranya. Sebenarnya syaitan dan hawa nafsunya sedang menguasai diri seseorang sehinggakan dia merasakan sagkaannya itu adalah benar.
Bahkan sehingga salam yang diucap oleh seorang muslim kalau telah dilingkungi oleh prasangka, boleh dianggap sebagai ejekan atau celaan, demikian juga dengan senyuman akan dianggap sebagai perlian atau sinisan, pujian dan pemberian hadiah juga boleh disalah ertikan dengan berbagai anggapan yang akan membawa kepada perbalahan dan perselisihan.
Firman Allah Taala (yang bermaksud): “Wahai orang-orang yang beriman! Jauhilah kebanyakan dari sangkaan, kerana sesungguhnya sebahagian dari sangkaan itu adalah dosa dan janganlah kamu mencari-cari keaiban orang lain dan janganlah kamu mengumpat akan setengahnya yang lain”. (Surah Al-Hujurat ayat 12).
Ayat ini menunjukkan perintah supaya menjaga kehormatan orang muslim dengan sebaiknya kerana ianya didahului dengan tegahan daripada bercakap tentangnya dengan sangkaan. Kalau orang yang berprasangka mengatakan: ‘Saya akan kaji dan selidik’! Katakanlah kepada mereka: “Janganlah kamu mencari-cari keaiban orang lain”.
Firman Allah Taala (yang bermaksud): “Wahai orang-orang yang beriman! Jauhilah kebanyakan dari sangkaan”. Seruan kepada orang-orang mukmin, menyeru agar jangan biarkan diri mereka menjadi mangsa kepada semua yang terlintas dalam hati yang sering menyangka, syak dan ragu-ragu terhadap keadaan orang lain. Dengan ini Al-Quran telah membersihkan hati dari terkena kotoran prasangka yang akan membawa dosa, biarlah hati terus bersih daripada sebarang syak dan keraguan, bersih perasaannya terhadap saudaranya. Alangkah indahnya hidup di dalam masyarakat yang bersih dari prasangka.
Sahabat yang dimuliakan,
Hati yang mulia dan bersih daripada kotoran dosa akan suka kepada kasih sayang , bersangka baik dan bertolak ansur sedangkan hati yang sakit dan berpenyakit suka kepada sangkaan dan perkara negatif.
Berkata sebahagian ulama : “Perkara yang membezakan syak atau sangkaan yang mesti dijauhkan daripada yang sebaliknya ialah setiap keraguan yang tidak ada tanda yang sahih serta sebab yang nyata adalah haram, wajib dijauhi. Iaitu jika sekiranya seseorang itu dari kalangan orang yang baik atau yang tersembunyi kejahatannya, seorang yang tampak amanah pada zahirnya, maka meyangka jahat terhadapnya adalah haram. Ini berbeza dengan orang yang telah terkenal dari kalangan manusia yang sering melakukan perkara yang meragukan atau melakukan kejahatan secara terang-terangan”.
Ini kerana kebanyakan ulama berpendapat: “Tidak boleh berprasangka buruk kepada orang yang zahirnya tampak baik dan tidak mengapa berprasangka tidak baik terhadap orang yang zahirnya tampak tidak baik”. Maksudnya jika seorang pemimpin masyarakat jelas akhlak dan peribadinya buruk, ada bukti mengambil rasuah dan tidak amanah dan mungkir janji maka prasangka seperti dibenarkan . Tidak dikira mengumpat menceritakan keaiban pemimpin seperti ini supaya rakyat tidak terpedaya dengan dakwaannya.
Dari Sa’id bin Al-Musayyib rh katanya: ‘Telah menulis kepada saya beberapa orang ikhwah daripada sahabat Rasulullah SAW: "Hendaklah engkau meletakkan urusan/perkara saudara engkau di tempat yang sebaiknya selagi kamu tidak didatangi oleh perkara yang menurunkannya dan jangan kamu menyangka satu kalimah yang keluar daripada seorang muslim itu tidak baik sedangkan kamu masih ada peluang untuk menjadikannya baik’.
Sebahagian daripada prasangka ialah meletakkan perkataan dan perbuatan orang lain di tempat yang tidak baik iaitu dengan membesarkan kesalahan dan memandang mereka dengan penuh tohmahan, tanpa meneliti sebab atau mencari keuzuran, setiap perkataan yang boleh ditafsir dengan maksud yang baik dan tidak baik, akan diambil yang tidak baik…Subhanallah! Bagaimana mereka menghukum dengan menafsirkan niat dan tujuan dalam diri orang lain?.
Sesungguhnya perkara yang tersembunyi dan rahsia dalam diri untuk memuhasabahnya adalah ciri-ciri yang hanya tertentu bagi Allah SWT Yang Maha Mengetahui perkara yang tersembunyi dan rahsia. Adapun manusia tidak ada hak baginya ke atas saudaranya kecuali amalannya yang zahir, inilah amalan Salafussoleh yang terdahulu, yang telah penuh hati mereka dengan didikan Islam yang sempurna lagi bersih.
Sheikh Abdur Razzaq Radhiallahuanhu telah meriwayatkan daripada Abdullah bin ‘Utbah bin Mas’ud katanya: Aku dengar ‘Umar bin Al-Khattab ra berkata: “Bahawa sesungguhnya manusia pada zaman Rasulullah SAW diberi penjelasan dengan wahyu dan wahyu telah terputus, kita sekarang hanya boleh mengambil kira perbuatan yang zahir daripada amalan kamu, sesiapa yang menzahirkan kepada kami kebaikan kami akan percaya dan dekat dengannya, tidak ada hak bagi kami mencampuri perkara yang tersembunyi, Allah akan menghisabnya. Sebaliknya sesiapa yang menzahirkan kejahatan kami tidak akan mempercayai dan membenarkannya, walaupun dia berkata niatnya baik”.
Maka setiap muslim hendaklah memuhasabah dirinya dengan setiap kalimah yang diucapkannya atau suatu hukum yang dikeluarkannya, sentiasalah mengingati firman Allah SWT yang bermaksud : “Dan janganlah engkau mengikut apa yang engkau tidak mempunyai pengetahuan mengenainya; sesungguhnya pendengaran dan penglihatan serta hati, semua anggota-anggota itu tetap akan ditanya tentang perkara yang dilakukan”.
(Surah Al-Isra’ ayat 36).
Su’ uzzan atau sangkaan buruk terjadi daripada beberapa sebab, yang paling banyak terjadi ialah apabila seorang individu dibesarkan dalam suasana yang terkenal dengan akhlak yang buruk, buruk sangka, sama ada di rumah atau bersama kawan-kawan, menjadikannya berniat tidak baik dan mempunyai hati yang busuk.
Sesiapa yang mengikut hawa nafsu akan membawanya kepada perasaan zan dan sangkaan dusta, kerana kasihkan sesuatu akan menjadikannya buta dan tuli dan apabila seseorang cenderung kepada yang lain dengan hawanya, akan menjadikannya lupa kesalahan orang itu dan sentiasa berbaik sangka dengannya, walaupun orang itu melakukan kesalahan, demikianlah juga sebaliknya, dia akan sentiasa berprasangka buruk, mencari kesalahan dan menimbulkan kesilapan, walaupun orang itu benar pada dasarnya.
Sesetengah manusia ada yang bersikap bongkak, mengagumi kebolehan dirinya, sentiasa merasakan dirinya benar dan orang lain bersalah, membanggakan dirinya dan menghina orang lain, semua ini akan menjadikannya bersikap buruk sangka terhadap orang lain.
Sesungguhnya fenomena buruk sangka sesama Islam telah begitu meluas di zaman kita, menjadi barah yang meruntuhkan hubungan dan kesatuan (wehdah) di antara individu dan masyarakat muslim, ini adalah merupakan satu kesan negatif terhadap kekuatan masyarakat untuk menghadapi cabaran dari dalam dan luar.
Buruk sangka, menuduh tanpa asas, cepat menghukum telah menakutkan orang, menzalimi beberapa golongan dan beberapa orang yang soleh telah dijauhkan tanpa sebab yang diizinkan oleh syariat, sebagaimana kata orang dahulu: ‘Aku melihat permusuhan tetapi tidak melihat sebabnya’. Semuanya berpunca daripada percakapan yang tidak ada sandaran…hanya sangkaan yang buruk, umpatan jahat dan tuduhan palsu,
Firman Allah SWT yang bermaksud : “Dan orang-orang yang menyakiti orang lelaki dan perempuan yang beriman dengan perkataan atau perbuatan tanpa kesalahan yang mereka lakukan, maka sesungguhnya mereka telah memikul kesalahan menuduh secara dusta dan berbuat dosa yang amat nyata”. (Surah Al-Ahzab ayat 58).
Sahabat yang dikasihi,
Setelah jelas kepada kita bahawa buruk sangka adalah satu penyakit yang merosakkan, maka kita mesti berusaha untuk membendungnya sebelum ia terus merebak dan menghancurkan.
Di antara ubatnya ialah: berbaik sangka (husnuzzan) dengan manusia, jauhkan sikap buruk sangka, berfikir semasaknya sebelum membuat tuduhan atau hukuman. Sekiranya kalian tersalah kerana berbaik sangka adalah lebih baik daripada tersalah kerana cepat menghukum dengan buruk sangka. Kata Saidina ‘Umar bin Al-Khattab ra: “Jangan kamu membuat sangkaan terhadap satu kalimah yang keluar daripada seorang saudara mukminmu kecuali kebaikan selagi kamu masih ada cara untuk meletakkannya di tempat yang baik”.
Ubat yang seterusnya: sentiasa mencari keuzuran yang boleh memaafkan manusia, tinggalkan sikap suka mencari kesalahan atau mengorek keburukan orang lain, sentiasa berpegang dengan adab dan ajaran Islam dalam menghukum seseorang atau sesuatu perkara yang jelas dan meninggalkan segala yang tersembunyi hanya kepada Allah Yang Maha Mengetahui semua rahsia dan segala yang tersembunyi.
Firman Allah Taala SWT yang bermaksud : “Mereka tidak lain hanyalah mengikut sangkaan semata-mata, pada hal sesungguhnya sangkaan itu tidak dapat memenuhi kehendak menentukan sesuatu dari kebenaran”. (Surah An-Najmi ayat 28)
No comments:
Post a Comment