Hiasi Diri Kita Dengan Sifat-sifat Mahmudah (Terpuji)
Sahabat-sahabat yang dirahmati Allah,
Tanpa di sedari, masa terlalu pantas berlalu. Setiap masa berlalu ini bermakna umur kamu telah meningkat dan kita sedang menuju ke distinasi abadi. Hidup bermula dari alam kanak-kanak, memasuki alam remaja dan sekarang masuk pula ke alam dewasa, sebahagian kita sudah sampai ke alam usia emas.
Di zaman manapun kita berada sekarang, yang penting amal ibadah dan amal soleh perlu berterusan, kerana setiap masa dan usia yang di habiskan akan ditanya oleh Allah s.w.t. dihari akhirat nanti. Sekarang ini kita berhadapan dengan zaman pancaroba, dugaan dan cabaran. Cabaran yang sering menganggu iman dan hati, perasaan dan fikiran serta kewibawaan tugas kita.
Ingatlah hidup didunia ini adalah persinggahan sementara, tempat rehat yang tidak kekal dan segala kesenangan yang dinikmati yang amat sedikit berbandingkan kenikmatan dihari Akhirat iaitu di Syurga Allah s.w.t.
Dalam kita menjalani kehidupan ini perkara yang penting perlulah kita hiasi hidup kita ini dengan sifat-sifat mahmudah iaitu sifat-sifat terpuji. Sifat yang akan membawa kita kepada akhlak terpuji dan diredhai oleh Allah s.w.t.
Sahabat yang dimuliakan,
Adapun sifat-sifat mahmudah itu ada 10 sifat iaitu:-
1. Taubat - keazaman untuk meninggalkan segala kesalahan dan dosa-dosa yg telah dilakukan.
Rasulullah s.a.w bersabda yang bermaksud :
"Semua anak Adam adalah berdosa dan sebaik-baik orang yang berdosa ialah yang bertaubat dari dosanya."
2. Takut kepada Allah (takwa)- Seseorang muslim itu apabila dia mengenali Zat Allah melalui sifat-sifat-Nya, maka jiwanya akan mewarisi perasaan takut terhadap Allah s.w.t.
Rasulullah s.a.w. bersabda yang bermaksud : "Bertakwalah engkau kepada Allah walaupun di mana engkau berada, dan iringilah kejahatan dengan kebaikan, nescaya ia akan menghapuskan kejahatan tersebut dan bergaullah sesama manusia dengan budi pekerti yang baik."
(Hadis Riwayat al-lmam al-Tirmizi. Beliau berkata: la adalah Hadis Hasan. Dalam setengah manuskrip,ia adalah Hadis Hasan Sohih).
3. Mahabbah (kasih sayang)
Kasih akan Allah s.w.t. itu dipuji oleh syarak dan dimuliakan oleh Rasullullah saw.
Sabda Rasulullah s.a.w yang bermaksud :
"Janganlah kamu bermusuh-musuhan, jangan benci-membenci, jangan dengki-mendengki, jangan berputus hubungan antara satu sama lain, dan jadilah kamu sekalian sebagai hamba-hamba Allah yang bersaudara."
(Hadis Riwayat Muslim)
4. Zuhud
Mengambil dunia sekadar yang perlu.
Daripada Abu al-'Abbas Sahlu ibn Sa'ad al-Saa'idie r.a. beliau berkata:
Seorang lelaki telah datang menemui Nabi s.a.w.lalu berkata:" Wahai Rasulullah! Tunjukkan daku
suatu amalan yang apabila aku lakukannya, aku dikasihi oleh Allah dan dikasihi oleh manusia". Baginda
bersabda: "Zuhudlah engkau terhadap dunia, nescaya Allah kasihkan engkau dan zuhudlah terhadap apa
yang ada pada manusia, nescaya manusia akan mengasihimu."
5. Sabar.
Firman Allah s.w.t. yang bermaksud :
"Dan berapa ramai para nabi yang berperang bersama-sama mereka sejumlah besar dari pengikutnya yang bertakwa. Mereka tidak menjadi lemah (mental) kerana bencana yang menimpa di jalan Allah, tidak lesu (dalam penampilan), dan tidak menyerah (dalam aktiviti). Allah menyukai orang-orang yang sabar."
(Surah Ali Imran ayat 146)
6. Syukur.
Rasulullah s.a.w. bersabda yang bermaksud :
"Siapa yang tidak bersyukur dengan pemberian yang sedikit, dia juga tidak akan bersyukur dengan pemberian yang banyak. Siapa yang tidak mensyukuri manusia, bererti dia juga tidak mensyukuri Allah. Memperkatakan nikmat Allah adalah tanda syukur, dan mengabaikannya adalah kufur. Berjemaah itu dirahmati, sedangkan berpecah belah itu mengundang azab."
(Hadis Riwayat Ahmad dalam Musnad Ahmad)
7. Ikhlas dan benar.
Rasulullah s.a.w. pernah bersabda yang bermaksud, "Para Malaikat cemburu kepada pemuda yang mati muda (dalam perjuangannya) sedang ia tidak dikenali semasa hayatnya, dan tidak ramai yang mengkebuminya." Ia terkenal di langit kerana keikhlasannya, tidak mencari publisiti di kalangan manusia, tetapi hatinya hampir kepada Allah, serta sumbangannya kepada agama sangat besar."
8. Tawakkal - sentiasa berserah diri kepada Allah SWT setelah berazam, seterusnya diikuti dgn usaha
Rasulullah s.a.w yang bermaksud :
“Barangsiapa menginginkan dirinya menjadi orang terkuat hendaklah dia bertawakkal kepada Allah.”
Firman Allah s.w.t. yang bermaksud :
“Dan memberinya rezeki dari arah yang tiada disangka-sangkanya. Dan barangsiapa yang bertawakkal kepada Allah, nescaya Allah akan mencukupkan keperluannya. Sesungguhnya Allah melaksanakan urusan yang dikehendaki-Nya. Sesungguhnya Allah telah mengadakan bagi tiap-tiap sesuatu.”
(Surah ath-Talaq ayat 3)
9. Redha dgn Qadak dan Qadar.
Abu Hurairah r.a meriwayatkan bahawa Rasulullah s.a.w bersabda yang bermaksud : "Allah s.w.t berfirman, 'Aku sesuai dengan prasangka hamba-Ku kepada diri-Ku'."
(Hadis RiwayatAl-Bukhari)
Rasulullah s.a.w bersabda, maksudnya : "Janganlah kamu mati melainkan dalam keadaan kamu berbaik sangka dengan Allah."
(Hadis Riwayat Muslim)
10. Mengingati Mati -
Nabi s.a.w bersabda yang bermaksud ” Sepintar-pintar manusia ialah orang yang sentiasa mengingati
mati dan sentiasa bersiap sedia menghadapinya, mereka itulah orang yang bijaksana”.
Sahabat yang dihormati,
Marilah sama-sama kita hiasi akhlak dan kehidupan kita dengan sifat-sifat mahmudah ini, kerana sesungguhnya sifat yang terpuji ini adalah mencontohi akhlak Rasulullah s.a.w dan mereka yang memiliki akhlak yang terpuji akan layak memasuki Syurga yang disediakan oleh Allah s.w.t di hari akhirat nanti.
No comments:
Post a Comment