Wednesday, February 26, 2014

Iblis Dan Syaitan Akan Berusaha Mencerai Beraikan Suami Dan Isteri

 Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh

سْمِ اللهِ الرَّحْمنِ الرَّحِيْم

Segala puji bagi Allah, Tuhan sekelian alam. Selawat serta salam buat junjungan mulia Nabi Muhammad SAW keluarga serta para sahabat dan pengikut yang istiqamah menuruti baginda hingga ke hari kiamat.

Sahabat yang dirahmati Allah,
Rasulullah SAW bersabda maksudnya : "Sesungguhnya Iblis meletakkan singgahsananya di atas air (laut), kemudian ia mengutus para tenteranya. Maka tentera yang paling dekat dengan Iblis adalah yang paling besar fitnahnya (penyesatannya). Maka datanglah salah satu tenteranya dan melapor: Aku telah melakukan ini dan itu, maka Iblis berkata: Engkau belum melakukan apa-apa, kemudian datanglah tentera yang lain dan melapor: Aku telah menggodanya hingga akhirnya aku menceraikannya dengan isterinya. Maka Iblis pun mendekatkan tentera syaitan ini di sisinya lalu berkata: Engkau tentera terbaik." (Hadis Riwayat Muslim no. 2813)

Huraiannya :

Dalam hadis sahih di atas Nabi SAW menjelaskan bahawa  Iblis meletakkan singgahsananya di atas air (laut). Rupanya singgahsana Iblis yang terbesar ada di laut yang mana dia bermasyuarat dengan tentera-tenteranya terdiri daripada anak-cucu iblis sendiri iaitu syaitan-syaitan dan dikalangan jin-jin kafir untuk menerima laporan usaha-usaha kejahatan yang mereka lakukan, semakin besar fitnah atau kerosakkan yang telah mereka lakukan maka semakin mendapat pujian dan sanjungan daripada iblis.

Menurut Isa Daud dalam bukunya "Dailog dengan Jin Islam." Maklumat yang diterima bahawa kerajaan (singgahsana) Iblis yang terbesar adalah di laut  Segitiga Bermuda. Banyak berlaku kejadian misteri kehilanagn kapal laut dan kapal terbang yang melalui Segitiga Bermuda. Kapal-kapal yang hilang termasuk anak-anak kapal tidak dapat dikesan setelah hilang melalui perairan tersebut. 

Satelit USA cuba mengesan kawasan Segitiga Bermuda di dapati seolah-olah ada satu dataran yang luas dan terdapat bunyi yang bising (hirok-pikok) dan tidak dapat difahami bahasa yang diucapkan seperti makhluk asing yang tidak dapat dikesan identiti mereka dan bunyi-bunyi tersebut tidak terdapat di mana-mana keadaan laut yang biasa.

Berlaku satu peristiwa seorang juruterbang muslim melalui kawasan tersebut (selepas perang Vietnam) dan peralatan letronik pesawat tersebut telah hilang kawalan dan terus menjunam ke laut, juruterbang pesawat tersebut tidak mampu berbuat apa-apa lantas beliau melaungkan azan sekuat-kuatnya tiba-tiba peralatan letronik pesawat tersebut pulih seperti sedia ada dan beliau terselamat dengan izin Allah daripada terhempas dilaut Segitiga Bermuda.

Dalam hadis Rasulullah menjelaskan bahawa apabila azan di laungkan iblis dan syaitan akan lari lintang pukang hingga terkentut-kentut kerana takut terhadap suara azan.

Hadis daripada Abu Hurairah katanya: Maksudnya: “Sesungguhnya Rasulullah Sallallahu ‘Alaihi Wasallam bersabda: “Apabila dilaungkan azan untuk sembahyang, syaitan akan menjauhkan dirinya sambil terkentut-kentut (kerana lari sekuat-kuatnya) sehinggalah tidak terdengar lagi azan. Jika selesai azan itu, syaitan akan kembali lagi sehinggalah iqamah untuk sembahyang diserukan dia akan menjauhkan diri. Sehinggalah selesai iqamah itu baharulah dia kembali lagi sehingga dia melintasi antara seseorang itu dengan dirinya (mengwas-waskan). Dia akan berkata: “Ingatlah begini-begini, ingatlah begini-begini terhadap sesuatu yang tidak sewajarnya diingati, sehinggalah lelaki itu tidak mengetahui berapa rakaat dia bersembahyang.” (Hadis riwayat al-Bukhari, Muslim, Abu Daud dan an-Nasa’ie)

Memang tidak dapat di nafikan bahawa kawasan tersebut di diami oleh iblis, syaitan dan anak-cucu cicit mereka.

Iblis kemudian ia mengutus para tenteranya. Maka tentera yang paling dekat dengan Iblis adalah yang paling besar fitnahnya (penyesatannya). Maka datanglah salah satu tenteranya dan melapor: Aku telah melakukan ini dan itu, maka Iblis berkata: Engkau belum melakukan apa-apa, kemudian datanglah tentera yang lain dan melapor: Aku telah menggodanya hingga akhirnya aku menceraikannya dengan isterinya. Maka Iblis pun mendekatkan tentera syaitan ini di sisinya lalu berkata: Engkau tentera terbaik.

Sesungguhnya Iblis dan syaitan akan berusaha bersungguh-sungguh merosakkan kehidupan anak Adam dengan berbagai helah dan tipu daya. Salah satu sasarannya adalah mencerai beraikan ikatan perkahwinan yang sah di antara suami dan isteri.

Firman Allah SWT maksudnya : " Dan katakanlah kepada hamba-hamba-Ku (yang beriman), supaya mereka berkata dengan ucapan-ucapan amat baik; sesungguhnya syaitan itu sentiasa menghasut di antara mereka; syaitan itu adalah musuh yang amat nyata bagi manusia. (Surah al-Isra’ (17) ayat 53)

 Al-A’masy mengatakan, “Aku menyangka Nabi Sallallahu ‘Alaihi Wasallam bersabda, ‘Iblis merangkul syaitan itu’.”

Imam al-Munawi mengatakan, “Sesungguhnya hadis ini merupakan peringatan keras, tentang buruknya perceraian. Kerana perceraian merupakan cita-cita terbesar makhluk terlaknat, iaitu Iblis. Dengan perceraian akan berlaku peristiwa buruk yang sangat banyak, seperti terputusnya keturunan, peluang besar bagi manusia untuk terjerumus ke dalam zina, yang merupakan dosa yang sangat besar kerosakannya dan menjadi skandal terbanyak.” (Faidhul Qadir, 2:408).

Memang pada dasarnya, talak adalah perbuatan yang dihalalkan. Akan tetapi, perbuatan ini disukai iblis kerana perceraian memberikan peristiwa buruk yang besar bagi kehidupan manusia. Betapa banyak anak yang terbiar, tidak mendapat pendidikan yang sepatutnya akibat dari perceraian.

Salah satu perbuatan yang boleh memisahkan suami isteri adalah dengan amalan sihir atas usaha iblis dengan izin Allah SWT.

 Allah berfirman,

فَيَتَعَلَّمُونَ مِنْهُمَا مَا يُفَرِّقُونَ بِهِ بَيْنَ الْمَرْءِ وَزَوْجِه

Maksudnya : “Mereka belajar dari keduanya (Harut dan Marut) ilmu sihir yang boleh digunakan untuk memisahkan seseorang dengan isterinya.” (Surah al-Baqarah ayat 102)

Sahabat yang dikasihi.
Marilah sama-sama kita jaga hubungan kekeluargaan di antara kita jangan sampai terputus hubungan silaturahim. Suami dan isteri perlu bersabar apabila menghadapi suasana perselisihan di kalangan mereka. Jangan biarkan keluarga bercerai berai kerana perancangan iblis adalah ingin melihat ramai berlaku perceraian dikalangan umat Islam .

Allah Subhanahu Wa Ta'ala merakam perjanjian syaitan ini: Iblis berkata: “Oleh kerana Engkau (wahai Tuhan) menjadikan daku sesat (maka) demi sesungguhnya aku akan mengambil tempat menghalangi mereka (dari menjalani) jalan-Mu yang lurus (Sirat al-Mustaqim). Kemudian aku datangi mereka dari hadapan mereka, dari belakang mereka, dari kanan mereka serta dari kiri mereka; dan Engkau tidak akan dapati kebanyakan mereka bersyukur.” (Surah al-A’raaf (7) ayat 16-17)



No comments:

Powered By Blogger | Template Created By Lord HTML